Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Hidup baik-baik, Eshal.

Saya doakan kebahagiaan awak.

Yours truly,

Syed Arash

NOTA kecil itu dipandang lama walaupun sudah hampir tiga puluh minit berada di tangannya. Eshal tak sangka, Arash sempat memberikan nota itu kepada Zetty untuk diberikan kepadanya.

Kata-kata yang dititipkan, membuatkan hatinya berasa sayu. Kebahagiaan itu mungkin akan datang padanya satu hari nanti tetapi bagaimana pula dengan Arash? Dia tahu, luka dalam hati Arash masih berbekas. Mungkin juga masih berdarah. Kerana yang mengalami kehilangan itu adalah Arash meskipun dia juga merasa tempiasnya.

Dia menoleh ke kiri, Zetty kelihatan terlelap. Mungkin gadis itu cuba mencari tenaga sebelum mereka menjejak kaki ke Bursa nanti.

Lantas, dia mengambil kesempatan untuk menghubungi Puan Wardah. Tak semena-mena, dia rindukan orang tua itu.

"Mak..." serunya dengan nada yang bergetar.

"Shal kenapa ni?"

Eshal tersenyum nipis. Puan Wardah memang seorang ibu yang memahami. Hanya dengan mendengar suaranya, orang tua itu tahu ada yang tak kena dengannya.

"Tak ada apa. Shal cuma rindukan mak."

"Shal ingat pesan mak, kan? Apa-apa masalah, jangan pendam. Mak ada untuk dengar."

Liur ditelan. Sudah lama dia tak meluahkan apa-apa perasaan pada Puan Wardah. Kerana dia mahu orang tua itu tahu, dia sudah pulih dari luka lama.

"Abah ada kat situ?" soalnya.

"Tak ada."

Perlahan kepala Eshal mengangguk. Dia lebih selesa bercerita dengan Puan Wardah berbanding dengan Encik Tarmizi.

"Shal terjumpa Abang Arash kat sini."

"Hah?" Orang tua itu kedengaran terkejut.

"Shal sendiri tak sangka," luahnya.

"Dia okey? Sihat?"

"Nampaknya macam itulah."

"Sekarang dia kat mana? Dengan Shal?"

Eshal menggeleng seolah-olah Puan Wardah ada di depannya.

"Tak. Sekarang Shal dalam perjalanan ke Bursa. Dia pula nak terbang ke Ankara. Sebab Kak Rissa tinggal kat sana."

"Oh... "

"Shal tak tahu kenapa Shal sedih," sambung Eshal lagi.

"Mak harap Shal kuat. Ada sebab kenapa Allah nak temukan Shal dengan dia semula."

Eshal mengeluh perlahan.

"Bertemu dan lepas tu berpisah."

Puan Wardah juga kedengaran mengeluh.

"Janganlah cakap macam tu."

"Kalau kami jadi kawan sekalipun, Shal yakin, Abang Ehsan tetap tak suka."

"Ehsan terlalu mengikut kata hati. Mak sebenarnya tak salahkan Arash seratus peratus. Bila mak fikir balik, keadaan yang memaksa dia waktu tu. Dengan desakan Ehsan lagi."

Eshal tunduk. Air matanya mula bergenang.

"Shal..." seru Puan Wardah.

"Hmmm?"

"Percayalah, pasti ada hikmah semua ni berlaku."

Eshal mengangguk. Dia juga mengharapkan agar ada hikmah di sebalik semua ini. Dia harap hubungannya dengan Ehsan kembali rapat seperti dulu. Dia harap ada kebahagiaan yang menantinya suatu hari nanti. Malah, dia juga berharap, agar Arash hidup bahagia walau di mana pun lelaki itu berada.

"Ni pesan mak, jangan berdendam. Tak kira dengan Ehsan, Arash atau abah Shal sekalipun. Keadaan waktu tu membuatkan kita terpaksa membuat keputusan. Demi kebaikan bersama."

Mata dipejam rapat. Eshal tak menyahut kerana baginya, kebaikan itu tak berpihak kepadanya. Keadaan tak bertambah baik sebaliknya menjadi semakin buruk. Dia dengan Arash berpisah, manakala dia dengan Ehsan pula bergaduh. Di mana kebaikannya? Jauh sekali nak kata semua ini untuk kebahagiaannya kerana sejak dia berpisah dengan Arash, dia tak sebahagia dulu.

MALAM itu, mereka sekeluarga menghadiri majlis doa selamat yang diadakan di rumah Arash. Eshal menyerahkan sebekas kuih keria dan kuih tepung pelita kepada lelaki itu. Arash kelihatan terpinga-pinga tetapi lelaki itu tetap mengambil kuih-muih itu dari tangannya.

"Terima kasih. Terima kasih juga sudi datang sekeluarga," ujar Arash.

"Tak mengapa, Arash. Kita hidup berjiran ni dah macam keluarga. Susah senang nanti, jiran yang datang dulu," ucap Encik Tarmizi sambil menepuk bahu Arash.

Arash tersenyum nipis.

"Errr... Jemputlah masuk, pak cik, mak cik, Ehsan, Eshal."

Si ayah, si ibu dan si abang mengangguk seraya masuk ke dalam rumah Arash. Manakala dia pula masih bertahan di situ sambil memerhatikan Arash. Fayad yang sedari tadi berdiri di sebelah Arash minta dikendong. Mungkin si kecil itu sudah penat berdiri. Arash hanya menurut. Sebelah tangan mengendong Fayad, sebelah tangan lagi kejap memegang bekas kuih-muih yang dia berikan tadi.

"Encik..." panggilnya.

Arash menoleh sebelum lelaki itu melangkah masuk ke dalam rumah.

"Ya?"

"Saya boleh tolong bawakan." Kuih-muih yang di tangan Arash itu ditunjuk.

"Yang ni kena hidang, kan?" soal lelaki itu pula.

"Selalunya macam itulah."

"Nak letak kat atas pinggan atau letak aje semua ni?"

Tak semena-mena, Eshal ketawa kecil. Lelaki di depannya itu seperti tak tahu apa-apa. Mungkin ini kali pertama Arash mengadakan majlis sendiri.

"Encik boleh hidang terus macam ni aje."

"Oh..."

"Nak saya letak atas meja? Encik boleh layan tetamu yang lain."

"Boleh juga. Terima kasih." Kuih-muih itu diserahkan kembali kepadanya.

"Kalau nak saya jagakan Fayad, pun boleh. Kesian encik, ke hulu hilir dengan Fayad."

"Tak apa. Dah biasa." Arash menolak.

Eshal hanya mengangguk. Tak mahu memaksa. Setelah meletakkan kuih-muih itu di atas meja, dia melangkah masuk ke dalam rumah Arash. Rata-rata yang ada di dalam rumah itu adalah jiran mereka juga. Tiada wajah asing. Malah isteri Arash juga tak kelihatan.

"Keluarga dia yang mana satu, mak? Semua yang ada ni bukan jiran-jiran kita ke?" bisik Eshal pada Puan Wardah.

"Haah. Semua jiran kita. Keluarga dia tak nampak pun."

"Isteri dia?"

"Tak nampak juga."

Berkerut dahi Eshal. Dia memandang sekeliling. Mencari gambar keluarga Arash tetapi yang ada cuma bingkai gambar yang diukir dengan tulisan jawi; Allah dan Muhamad serta surah empat Qul.

Mata kembali mencari Arash. Lelaki itu mengambil tempat duduk bersebelahan dengan imam masjid yang juga tinggal di kawasan perumahan mereka. Manakala, Fayad pula diletakkan di atas riba si ayah. Tanpa Eshal sedar, dia tersenyum nipis. Fayad kelihatan tak banyak ragam. Duduk diam tanpa mengganggu perbualan si ayah bersama tetamu.

Ketika doa selamat dibaca, si kecil itu turut menadahkan tangan. Nampak comel sangat sehingga mata Eshal tak lari dari memandang kedua-dua beranak itu.

Usai bacaan doa selamat, tetamu yang hadir keluar untuk menjamu makanan. Eshal merupakan orang yang terakhir keluar dari rumah Arash dan ketika itu, Fayad sudah mula merengek-rengek.

"Kenapa dengan Fayad?"

"Dia lapar. Ni waktu makan dia."

"Makanan dia dah sedia?" soal Eshal lagi.

"Memang dah sedia."

"Kalau macam tu, saya bagi Fayad makan. Encik layan tetamu," cadang Eshal. Tetapi seperti biasa, Arash tetap menolak.

"Tak apa. Sebelum ke sini pun, saya dah makan. Encik boleh layan tetamu sementara tu saya bagi Fayad makan. Takkan nak tunggu tetamu balik baru encik nak bagi Fayad makan?"

Arash terdiam. Lama anak mata lelaki itu memandang Fayad.

"Fayad makan dengan Kakak Eshal, ya?"

Mungkin kerana terlalu lapar, Fayad hanya mengangguk. Ketika si kecil itu diserahkan kepada Eshal pun, Fayad tak meronta-ronta.

"Makanan Fayad semua kat dapur. Bagi dia makan buah dulu, ya? Lepas tu baru makan sup dengan nasi. Air dengan susu Fayad pun saya dah sediakan," pesan Arash.

"Okey." Baru setapak Eshal melangkah untuk menuju ke dapur, Arash memanggil namanya lagi.

"Ya?"

"Terima kasih."

"It's not a big deal la!" Lebar Eshal tersenyum walaupun Arash kelihatan serba salah.

Eshal tahu, Arash tak suka susahkan orang lain tapi takkan lelaki itu nak biarkan Fayad dalam kelaparan? Nak harapkan isteri lelaki itu, batang hidung pun tak nampak lagi.

Sedang memberi makan Fayad, Eshal mengambil kesempatan untuk berbual dengan si kecil itu.

"Sedap?"

Fayad mengangguk.

"Dap!"

"Siapa yang masak sup ni?"

"Ayah."

Eshal ketawa. Dia ingatkan Fayad tak faham apa yang dia katakan. Manalah tahu, si kecil itu cuma faham bahasa Inggeris. Sebelum Eshal kembali bertanya, matanya memerhatikan sekeliling terlebih dahulu. Risau jika soalan yang bakal ditanya itu didengari oleh Arash.

"Hmmm... Mama Fayad mana?"

"Ayah sana." Tangan Fayad naik menunjuk keluar.

"Bukan ayah. Kakak tanya, mama Fayad. Ibu, mommy, umi... Apa lagi, eh?"

Si kecil itu hanya menggelengkan kepala.

"Mama tak ada atau mama Fayad kerja?"

Kepala itu menggeleng lagi.

"Ayah kat na?"

Mungkin tak suka disoal, Fayad mula mencari si ayah.

"Ayah kat luar. Fayad minum dulu, ya? Lepas tu kita cari ayah." Air diberikan kepada Fayad. Si kecil itu menurut lalu meneguk air sehingga habis.

"Good boy! Susu ni nak minum ke tak?"

"Tak nak. Enyang," jawab Fayad seraya memegang perutnya.

"Okay, then." Fayad diangkat ke singki. Mulut dan tangan si kecil itu dibersihkan sebelum mereka keluar mencari Arash.

"Ayah!" jerit Fayad teruja. Tangan turut dihulurkan agar Arash mengambilnya daripada Eshal.

Sebelum kedua-dua mereka mendekati, Arash terlebih dahulu menghampiri.

"Makan dah?"

"Dah!" Kemas Fayad merangkul leher si ayah setelah Eshal menyerahkannya kepada Arash.

"Terima kasih, Eshal. Maaf, menyusahkan awak."

"Tak apa. Saya betul-betul ikhlas. Fayad pun behave tadi. Senang betul saya jaga. Right, Fayad?"

Fayad tersenyum malu sambil melentokkan kepala ke bahu si ayah.

"See? Kami dah jadi kawan."

Arash tersenyum. Hidung Fayad dicuit.

"Fayad ni susah nak bergaul dengan orang. Saya hantar ke nursery pun, nak kena pujuk lama. Kalau tak, menangis tak berhenti. Nampaknya, awak memang pandai jaga budak-budak."

Kali ini, Eshal pula yang tersenyum malu bila dipuji begitu.

"Tak adalah pandai sangat. Ni pun first time jaga budak-budak. Tapi kalau dah boleh handle Fayad tu, kiranya nanti dah boleh kahwinlah." Kata-kata itu meluncur tanpa ada niat lain.

"Enjoy your life dulu. Then bila dah bersedia sepenuhnya, baru kahwin."

Terangguk-angguk Eshal menerima nasihat itu. Nasihat daripada seseorang yang sudah berkahwin.

"Sebelum balik, awak makanlah dulu," suruh Arash seraya menoleh ke arah hidangan yang masih berbaki.

"Encik tak payahlah risau. Pandailah saya bawa diri. Okeylah... Saya ke sana dulu, ya. Bye, Fayad!"

Arash tak menegahnya dan Eshal bergerak mendekati Ehsan.

"Mak dengan abah mana?"

"Tu, borak dengan Uncle Yunus."

Eshal menoleh sekilas sebelum mengambil serba sedikit makanan yang ada.

"Abang dengar Shal tolong jagakan anak Arash tadi."

"Haah. Kenapa?"

"Kenapa tak minta abang temankan? Kalau jiran tengok, kan tak elok."

Sambil menyuap kuih keria ke dalam mulut, Eshal memandang abangnya dengan dahi yang berkerut.

"Apa pula tak eloknya? Shal tolong bagi makan anak dia aje. Bukan bagi dia makan."

Ehsan bergerak mendekati seraya berbisik ke telinga Eshal.

"Abah bagi tahu, Arash tu duda. Isteri dia meninggal selepas melahirkan Fayad."

Eshal ternganga. Matanya juga bulat memandang si abang.

"Abah tahu dari mana?"

"Abah tanya Arash sendiri."

"Kesiannya..." Hati Eshal terusik. Lagi-lagi tadi dia bertanya kepada Fayad di mana ibu si kecil itu.

"Lepas ni jangan suka hati masuk rumah dia," pesan Ehsan.

"Yang tu Shal tahulah. Tapi kalau dia minta tolong Shal untuk jagakan Fayad nanti, Shal takkan menolak."

"Yang Shal tetiba rajin nak jaga anak orang ni kenapa?" Wajah itu nampak berkerut memandangnya.

"Shal tengah free sekarang ni, tak salah kalau Shal tolong jagakan Fayad. Fayad tu comel. Dengar cakap pula tu."

"Jangan sampai jiran duk bercakap pula nanti."

Eshal menjeling abangnya. Kenapa bila Ehsan dah tahu yang Arash tu berstatus duda, terus nak kawal gerak-gerinya? Seolah-olah Arash itu pembawa virus yang tak boleh untuk didekati.

Sekembalinya mereka ke rumah, Eshal terus membersihkan diri dan kemudian bersolat isyak. Sebelum dia membaringkan tubuhnya di atas katil, dia melangkah ke tingkap lalu menyelak sedikit langsir untuk melihat rumah di sebelah.

Arash kelihatan sibuk mengemas. Fayad pula tak kelihatan lagi. Mungkin si kecil itu sudah melelapkan mata. Langkah Arash kembali diperhatikan. Dari ruang tamu, berulang-alik pula ke dapur, membuatkan Eshal berasa simpati terhadap lelaki itu.

Ditambah lagi dengan apa yang menimpa hidup Arash sebelum ini. Kehilangan isteri selepas melahirkan cahaya mata bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima oleh para suami. Sedangkan sebelum itu, pasti ada bermacam-macam impian yang ingin dilaksanakan bersama lagi-lagi dalam membesarkan anak-anak.

Eshal menyentuh pipinya. Dia tak sangka, hanya kerana mengenangkan kehidupan Arash, membuatkan air matanya menitis. Mudah betul dia tersentuh dengan apa yang menimpa lelaki itu. Mungkin sebab dia melihat kegigihan Arash dalam menguruskan Fayad, malah ketika ini pun, dia melihat Arash melakukan kerja seorang diri.

Kotak tisu yang berada di tepi katil itu dicapai lalu dia kembali semula ke tingkap. Tetapi tingkap Arash pula ditutup sepenuhnya dengan langsir. Lampu di dalam rumah Arash juga kelihatan sudah ditutup. Eshal tersenyum nipis. Mungkin sudah tiba masanya juga untuk dia melelapkan mata agar rasa sedihnya itu tak berlarutan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro