Bab 3
MATA Eshal melilau sebaik saja tiba di Dersaadet Hotel itu. Hotel yang berkonsepkan kayu itu nampak begitu klasik sekali. Setelah kaki menjejak ke lobi, tak semena-mena dia teringatkan Arash. Bukankah Arash juga bermalam di situ? Di manakah lelaki itu ketika ini?
Tetapi kemudian, dia tersedar. Untuk apa dia bertanya tentang keberadaan lelaki itu? Antara dia dengan Arash sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi.
"Tak apa kan kalau kita kongsi bilik? Sebab ahli yang lain berpasangan," soal Hawa setelah menyerahkan kunci bilik kepada ahli yang lain.
"Saya tak kesah pun."
"Me too!" sahut Zetty juga.
"Okey. Kau orang pegang kunci bilik ni satu." Kunci bilik diserahkan kepada Eshal dan mereka sama-sama menuju ke lif.
"Tak sabar betul mereka nak masuk bilik sampai kita pun mereka tinggalkan." Eshal berseloroh bila sedar, ahli yang lain sudah tak kelihatan di ruang lobi itu. Semua pakat naik ke bilik masing-masing.
"Penat sangatlah tu. Lagipun, lif kat sini kecil aje. Kadang muat empat orang termasuk dengan bagasi. Kadang ada yang muat hanya untuk dua orang aje. Mungkin sebab tu mereka bergegas nak naik."
Eshal dan Zetty berpandangan dengan mata membulat. Muat hanya untuk dua orang? Kecil sangat tu!
"Tapi lif hotel ni, insya-Allah muat untuk empat ke lima orang, tapi kira padat sikitlah," sambung Hawa kemudian.
Eshal tersenyum dan saat itu, pintu lif terbuka. Kelibat Arash kelihatan di dalam lif itu dan serta-merta senyuman Eshal pudar. Zetty pula tak semena-mena terbatuk.
Pada masa yang sama, Arash yang ingin keluar dari lif itu juga terkejut melihat Eshal di situ malah kakinya turut terhenti dari melangkah.
"Sir?" soal Hawa seraya memberi ruang kepada lelaki yang berada di dalam lif itu untuk keluar.
"I'm going upstairs," beritahu Arash. Membuat keputusan untuk terus berada di dalam lif.
"Oh, okay." Hawa membawa masuk bagasi mereka terlebih dahulu dengan ditolong oleh Arash. Sebelah tangan lelaki itu pula menekan butang lif agar pintu tak tertutup.
"Thank you," ucap Hawa seraya masuk ke dalam lif diikuti oleh Zetty dan Eshal. Namun kemudian, muncul seorang lagi pelancong lelaki yang ingin masuk ke dalam lif itu juga.
Melihat keadaan lif yang semakin sesak itu, Arash bertindak menarik lengan Eshal agar wanita itu berdiri di sebelahnya berbanding berdiri dekat dengan lelaki yang tak tahu dari mana datangnya.
Dan tindakan itu membuatkan Eshal terkebil-kebil memandang Arash. Lengan yang dipegang juga segera dileraikan. Tak lama kemudian, lif berhenti di tingkat dua. Tingkat yang menempatkan bilik mereka bertiga.
Ketika dia hendak mengangkat bagasinya, Arash laju menolongnya. Bagasi Hawa dan Zetty juga turut diangkat sekali.
"Terima kasih. Bilik encik kat tingkat ni juga ke?" soal Eshal saat melihat Arash hanya membiarkan pintu lif tertutup sebelum lelaki itu sempat masuk ke dalam.
"Tak."
"You guys kenal ke?" Hawa mencelah. Dia tak perasan sangat dengan kawan yang Eshal temui pagi tadi. Mungkinkah lelaki ini?
"Errr... Kawan."
"Saudara," jawab Eshal dan Arash serentak namun kedua mereka memberikan jawapan yang berbeza.
Kening Zetty terangkat manakala Hawa pula terpinga-pinga. Wajah kedua-dua manusia di depannya itu dipandang silih berganti. Seperti ada yang tak kena tetapi Hawa malas nak ambil tahu.
"Nevermind. Tu bilik kita, Eshal. Kalau lepas ni awak nak keluar jalan-jalan sekitar hotel ni pun boleh. Cuma jangan lewat sangat balik. Esok kita gerak ke Bursa, pagi. Lepas breakfast."
Sebagai ketua rombongan, dia tiada halangan untuk ahli lain berjalan-jalan sekitar hotel cuma dia harap, pandai membawa diri di negara orang. Jangan pergi terlalu jauh dan pulang terlalu lewat.
"I will leave you guys here. Saya masuk dulu," ujar Hawa sebelum masuk ke dalam bilik. Bagasi miliknya dengan Eshal juga turut dibawa masuk. Dia ingin memberi ruang kepada Eshal dan teman untuk berbicara.
"Aku juga, Shal. Errr... Hi, doc! Ingat lagi tak kat saya?" Dah alang-alang bertemu depan mata, tak salah rasanya Zetty menegur lelaki itu. Sekadar menghormati Arash sebagai pensyarah di universiti mereka belajar dulu.
"Ingat. Zetty apa khabar?" sahut Arash. Dia lega melihat hubungan Eshal bersama Zetty masih terjalin baik sehingga sekarang.
"Alhamdulillah, sihat. Lebih sihat daripada Eshal." Lengannya terasa disiku tetapi Zetty buat-buat tak endah.
"Okeylah, saya masuk bilik dulu. Nanti-nanti kita borak panjang." Bergegas dia masuk ke dalam bilik kerana memahami, Arash seperti hendak berkata sesuatu kepada Eshal.
Dan untuk beberapa ketika, suasana hanya sunyi di antara Eshal dan Arash. Kedua-duanya nampak kekok. Tak tahu nak kata apa. Tapi kemudian, Arash berdeham dan mula bersuara.
"Awak nak jalan-jalan lagi ke lepas ni?"
"Tak sure."
"Saya boleh temankan," ujarnya ikhlas. Dia tak berniat apa-apa melainkan hanya untuk menemani wanita itu.
"Saya rehat kat hotel aje kut," putus Eshal kemudian. Cuba mengelak daripada berdua-duaan dengan Arash.
"Kalau macam tu, awak masuklah. Rehat."
Arash tahu Eshal penat. Wanita itu terikat dengan rombongan yang diikuti. Tak sepertinya. Bebas ke mana saja dia nak. Selepas dari Masjid Biru tadi, dia terus pulang ke hotel. Namun kemudian, dia mengambil angin sekitar hotel sehingga terlajak ke Grand Bazaar.
"Okey." Eshal tak menolak.
"Esok saya tunggu awak kat rooftop. Kita breakfast sama-sama."
Eshal tak tahu nak klasifikasikan kata-kata Arash itu sebagai soalan, permintaan atau arahan. Cuma dia tak sangka, Arash masih mahu bersemuka dengannya. Mungkin untuk kali yang terakhir sebelum masing-masing bergerak ke tempat lain.
"Insya-Allah." Hanya itu yang Eshal mampu katakan. Baginya, duduk semeja dan menikmati sarapan bersama seolah-olah mengimbau kenangan lalu. Sedangkan dia cuba untuk melupakan semua itu.
"Saya tunggu," ujar Arash lagi. Berharap wanita itu akan munculkan diri. Kerana ada sesuatu yang ingin dia katakan kepada Eshal sebelum mereka kembali berpisah.
Eshal masih tak berani menjanjikan apa-apa pada Arash. Dia tunduk menekur lantai. Suasana di antara mereka juga kembali sunyi.
"Saya masuk dulu." Dari mereka terus membisu, lebih baik Eshal masuk ke dalam bilik.
Arash dilihat hanya mengangguk. Lantas, Eshal melangkah mendekati pintu biliknya. Sebelum pintu dibuka, dia menoleh, Arash masih berada di situ. Memandangnya tanpa berkata apa-apa.
Pandangan itu mengingatkan dia pada pertemuan terakhir mereka ketika berada di Mahkamah Syariah. Sebaik saja mereka sah bercerai, dia tak dibenarkan lagi untuk mendekati Arash. Itu arahan keras daripada Ehsan. Dan Arash pula hanya mampu memandang ketika Ehsan 'mengheretnya' masuk ke dalam kereta.
Liur yang ditelan terasa pahit. Sebelum emosi menguasai diri, Eshal terus melangkah masuk ke dalam bilik. Sebaik saja pintu ditutup rapat, badan disandar dengan mata dipejam kejap. Tangan naik menyentuh dada yang terasa pedih. Sungguh, kejadian itu masih meninggalkan kesan yang mendalam padanya.
TERJONGKET-JONGKET kaki Eshal melepasi ruang tamu. Bekas Tupperware disembunyikan di belakang badan. Sebaik saja kaki melangkah keluar dari pintu rumah, dia menarik nafas lega. Panjang lehernya melihat ke rumah sebelah. Kereta Arash masih ada, bermakna, lelaki itu juga ada di dalam rumah.
Sebelum dirinya tertangkap oleh Puan Wardah, bergegas dia mendekati rumah sebelah. Loceng ditekan namun pintu masih belum dibuka. Yang kedengaran cuma suara Fayad tergelak di sebalik pintu.
"Ayah! Ayah! Door!"
"Sekejap, sayang."
Ah, comelnya dua beranak ni, bisik hati Eshal. Namun kemudian, pintu dibuka dan muncul Arash bersama Fayad.
"Errr... Assalamualaikum." Eshal terus gugup. Kali ini, Arash kelihatan santai dengan baju T-shirt serta jean lusuh. Fayad pula melihatnya seperti orang asing. Mungkin Fayad lupa yang mereka pernah bertemu sebelum ini.
"Waalaikumussalam," jawab Arash dengan wajah yang sedikit terkejut.
"Errr... Nah! Mak suruh bagi. Cempedak goreng." Bekas Tupperware diserahkan kepada lelaki itu.
Tetapi Arash pula kelihatan teragak-agak. Lelaki itu berfikir seketika sebelum mengambilnya.
"Terima kasih. Susah-susah aje."
"Tak susah pun," ucap Eshal ceria. Nasib baik Arash menerima pemberiannya itu. Kalau tak, pasti dia malu. Mana dia nak letak muka nanti?
Mata menghala pada Fayad yang sedari tadi memandangnya.
"Hai, Fayad." Tangan turut melambai si kecil itu.
Fayad kelihatan terpinga-pinga. Laju si kecil itu merangkul leher Arash.
"Dia tak ingat kat saya kut," ujar Eshal setelah menyedari respons yang diberikan oleh Fayad itu.
"Fayad, sayang... Ni Aunty Eshal." Arash cuba memperkenalkannya kepada Fayad.
"Errr... Bukan aunty. Kakak." Eshal memperbetulkan panggilan itu. Dia rasa dirinya masih muda. Kenapa nak panggil aunty pula?
"Umur berapa?" soal lelaki itu.
"Baru aje masuk dua puluh empat."
"Sesuailah kalau Fayad panggil aunty."
Tak naklah! Cepat hatinya memangkah tetapi bibir tak berani nak meluahkannya.
"Oh, ya... Abang Ehsan kata, encik mengajar..."
"Baru melapor," pintas Arash.
"Ala... Saya baru aje habis study kat sana. Ni tengah tunggu nak konvo. Kan best kalau encik mengajar waktu saya masih ada kat sana." Ketika Ehsan memberitahu tentang perkara itu, dia benar-benar teruja. Tak sangka Arash mengajar di universiti yang sama dia menuntut ilmu dulu.
Arash kelihatan hanya senyum segaris.
"Er... Encik makanlah cempedak goreng tu. Nanti sejuk. Saya balik dulu." Memandangkan sudah lebih lima minit dia berada di luar rumah Arash, lebih baik dia pulang. Nanti tak pasal-pasal Puan Wardah tahu apa yang dia lakukan itu.
"Terima kasih."
Eshal tersenyum kelat. Terima kasih itu untuk apa sebenarnya? Disebabkan cempedak goreng atau sebab dia nak balik? Dia lihat respons yang diberikan oleh Arash itu lebih kurang juga seperti Fayad. Tak mesra!
"Bye, Fayad. Kalau nak main, ketuk aje pintu rumah kakak. Kakak boleh temankan."
Fayad kembali memandang Arash. Si kecil itu jelas kelihatan tak faham apa yang dia katakan.
"She wants to play with you," beritahu Arash pada anaknya.
Laaa... Nak kena cakap omputih lagi ke? desis hati Eshal. Namun bibirnya dipaksa untuk tersenyum.
"Play?" Akhirnya, si kecil itu bersuara.
"Yes, play," sahut Eshal laju.
Perlahan kepala Fayad mengangguk tetapi wajah itu tak kelihatan teruja.
"Maknanya dia nak?" soal Eshal pada Arash. Dia memang faham erti angguk itu tapi reaksi wajah Fayad pula kata sebaliknya.
"Mungkin."
"Nanti kalau encik kerja, isteri encik juga kerja, saya boleh jagakan Fayad. Saya tengah free sekarang ni. Duduk rumah pun tak ada benda nak dibuat."
Wajah Arash terus berubah.
"Saya hantar Fayad ke nursery."
"Oh..."
"Saya masuk dulu. Ada orang call," beritahu Arash.
"Saya pun nak balik ni. Assalamualaikum." Sebelum Eshal melangkah pergi, Arash terlebih dahulu menutup pintu. Salamnya juga seperti tak dijawab.
Ah... Mungkin Arash jawab dalam hati kut. Eshal teruskan langkahnya untuk kembali ke rumah. Tetapi kemudian, kakinya terhenti lagi.
"Aku tak dengar pun bunyi telefon tadi."
Pelik.
"Ke tu sekadar alasan aje?" teka Eshal.
"Hish... Lantak dialah. Orang buat baik pun salah," bebelnya sambil membuka pintu rumah.
Namun dia dikejutkan dengan kemunculan Puan Wardah.
"Shal pergi mana tadi?"
"Errr... Ambil angin."
"Tengah panas ni?"
"Eh, tak panas pun. Tengah mendung kat luar tu."
Berkerut dahi Puan Wardah. Lama orang tua itu memandangnya. Seolah-olah curiga.
"Awalnya Shal goreng cempedak tu. Ehsan dengan abah kamu pun tak balik lagi."
"Shal goreng untuk diri sendiri dulu. Nanti Shal goreng lagi untuk mereka, sekali untuk mak la. Ke mak nak makan sekarang?" jawab Eshal jujur walaupun sebenarnya, dia berikan sedikit kepada Arash.
"Tunggu mereka balik ajelah nanti."
"Okey. Shal masuk bilik dulu, ya." Sebaik saja Puan Wardah mengangguk, panjang langkah Eshal naik ke bilik.
Langsir diselak sedikit untuk melihat rumah sebelah. Kelihatan Tupperware yang dia berikan tadi diletakkan di atas meja makan. Nampak seperti tak terusik. Mungkin Arash tak sudi nak makan kut. Manalah tahu, lelaki itu risau kalau-kalau dia 'menjampi' makanan tu.
"Mungkin dia tunggu isteri dia balik kut." Eshal berkata sendiri sekadar untuk menyedapkan hatinya ketika itu.
"Tapi kalau sejuk, dah tak sedap dah," luahnya lagi. Berharap sangat Arash makan ketika cempedak goreng itu masih panas.
Keluhan berat terbit di bibir Eshal saat terkenangkan peristiwa itu. Badan yang baring terlentang itu dikalih ke kanan. Selain teringatkan Arash, dia juga tak pernah lupa pada Fayad. Si kecil itu penyeri hidupnya sepanjang bergelar isteri kepada Arash. Dia tak pernah sekali pun rasa terbeban menjaga Fayad. Malah kehadiran si kecil itu menceriakan lagi rumah tangga yang dibina.
Punat menu pada telefon bimbit itu ditekan. Gambar yang menjadi wallpaper itu ditatap lama. Fayad kelihatan terlentok manja di dalam pelukannya. Eshal tersenyum nipis. Gambar itu tak pernah ditukar semenjak dia menjadikannya sebagai wallpaper di dalam telefon.
Mama rindukan Fayad, sayang, hatinya berbisik hiba.
Telefon bimbit itu dibawa ke dada. Hanya itu saja cara untuk melepaskan rasa rindunya yang mendalam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro