Bab 13
"BE my wife and be a mother to Fayad."
Dia ingat, dia bermimpi malam itu. Wajah Arash juga dipandang tak berkelip. Cuba memastikan, lelaki itu waras ketika menuturkan kata-kata itu tadi. Sesungguhnya, dia tak sangka akan menerima lamaran pada malam itu juga.
"Awak berhak menolak, Eshal. Saya..."
Sebelum Arash menghabiskan kata-kata, dia sudah pun memintas lelaki itu.
"Saya dah lama sukakan encik. And I love Fayad so much."
"Awak fikir dulu. Saya tak nak awak buat keputusan melulu. Saya ni banyak kekurangan, Shal. Sudahlah duda. Ada anak pula tu."
"Bagi saya, tu bukan kekurangan."
"Keluarga awak mungkin tak setuju."
"Mereka akan setuju," jawab Eshal penuh yakin.
"Minggu depan saya jumpa mak dengan abah awak. Kalau mereka tak setuju, saya takkan paksa."
Ya, seperti yang Arash janjikan, lelaki itu tiba tepat pada waktunya. Kesemua ahli keluarga ada di rumah ketika itu, begitu juga dengan Ehsan. Dan itu membuatkan Eshal rasa gementar dan gelisah. Kerana dia tahu, Ehsan tak suka bila dia mendekati Arash selalu.
Sedang leka membancuh air, Puan Wardah mendekatinya.
"Lain macam aje kedatangan Arash kali ni."
Bibir digigit. Orang tua itu seolah-olah sudah dapat menghidu punca kedatangan Arash ke rumah mereka.
"Mak..." seru Eshal lembut.
"Kalau Shal nak kahwin, mak izinkan tak?"
Wajah Puan Wardah jelas kelihatan berubah.
"Shal cakap apa ni?"
Kepala tunduk dan tangan berkali-kali mengacau bancuhan minuman. Balasan daripada Puan Wardah itu seperti tak berpihak kepadanya.
"Shal nak kahwin dengan Abang Arash."
Spontan badannya dikalih untuk menghadap orang tua itu.
"Jadi Arash datang sebab tu?"
Perlahan kepala Eshal mengangguk.
"Sejak bila Shal dengan Arash bercinta ni?"
"Tak bercinta pun. Shal sukakan dia. Dari mula-mula dia pindah ke sini lagi."
Puan Wardah kelihatan tak percaya dengan apa yang dia katakan.
"Macam mana pula dengan dia? Dia sukakan Shal?"
"Dia proposed Shal... Maknanya dia pun sukakan Shal."
Tergeleng-geleng kepala orang tua itu.
"Itu bukan penentu yang dia sayangkan Shal. Lagipun status dia tu, mak tak rasa abah dengan abang kamu setuju."
Eshal sedih mendengar kata-kata si ibu itu tetapi dia masih tak berputus asa. Tangan Puan Wardah dipegang kemas.
"Sekurang-kurangnya kalau mak setuju, Shal dah bersyukur sangat."
Pegangannya itu dibalas erat.
"Arash tu memang baik, mak tak nafikan. Tapi... Ni untuk masa depan Shal."
Nafas ditarik dalam sebelum Eshal kembali bersuara.
"Shal hidangkan minuman ni dulu. Mak duduklah sekali dengan abah dan abang. Selepas Abang Arash balik, baru kita bincang semula," putusnya.
Setelah menghidangkan minuman dan sedikit makanan, dia mengajak Fayad untuk naik ke biliknya. Memberi ruang kepada Arash untuk berbincang dengan keluarganya terlebih dahulu.
Sepanjang tiga puluh minit, dia cuba mengelak dari mendengar apa yang dibualkan oleh Arash bersama keluarganya. Tetapi kemudian, dia tak dapat menahan dirinya dari rasa ingin tahu. Lalu mengajak Fayad untuk duduk di tangga. Si kecil itu juga diberi isyarat untuk tak berkata apa-apa.
"Shhh..." ujar Fayad sambil jari dibawa ke bibir.
"Good," bisik Eshal seraya tersenyum nipis. Fayad memang budak yang mendengar kata.
"Aku nak tanya kau... Kenapa Eshal?" Kedengaran suara Ehsan bertanya.
Eshal menelan liur yang terasa pahit. Malah dadanya juga berdebar menanti jawapan daripada Arash.
"Dia wanita yang baik. Sangat baik. Saya tak pernah jumpa wanita sebaik dia selepas arwah isteri saya."
Tersentuh hati Eshal mendengar jawapan itu. Kedengaran begitu ikhlas sekali dan itu membuatkan dia yakin dengan keputusannya.
"Jadi kau samakan dia macam arwah isteri kau?"
"Ehsan..." tegur Encik Tarmizi.
"Saya tak samakan Eshal dengan Aileen sebab mereka mempunyai kelebihan yang berbeza. Tapi Eshal... Dia orang pertama yang membuka hati saya untuk menerima orang baru dalam hidup kami."
Tubir mata Eshal terasa panas. Lantas, tubuh Fayad dibawa dekat dengannya. Ubun-ubun si kecil itu juga dikucup lembut.
"Niat kamu tu memang baik, Rash. Tapi kami juga perlu memikirkan tentang masa depan Eshal. Kamu faham kan maksud pak cik ni? Apa-apapun, biar kami bincang dulu perkara ni. Dan pak cik harap, apa-apa keputusan daripada kami nanti, tak menjejaskan hubungan kita sebagai jiran." Suara Encik Tarmizi kembali bergema.
"Saya faham, pak cik. Dan saya terima dengan hati yang terbuka, apa jua keputusan daripada pihak pak cik."
Sedar kata-kata itu seperti penyudah segala perbincangan, Eshal membuat keputusan untuk turun ke bawah. Namun sebelum itu, ada sesuatu yang dia titipkan buat lelaki itu nanti. Jejak ke ruang tamu, semua mata memandangnya. Seolah kehadirannya itu dinanti-nanti.
"Kami balik dulu, Shal," beritahu Arash. Wajah lelaki itu nampak tenang. Tak kelihatan kecewa, tak juga sebaliknya.
"Okey." Fayad diserahkan kepada lelaki itu.
"Salam atuk, nenek dengan Uncle San, sayang," arah Arash pada si kecil. Kemudian, lelaki itu juga melakukan yang sama.
Langkah kedua-dua beranak itu Eshal ekori sehingga ke luar rumah. Tak dipedulikan pandangan Ehsan mahupun Encik Tarmizi padanya.
"Shal masuklah," suruh Arash bila dia masih mengekori langkah lelaki itu dan Fayad.
"Encik okey?"
Lelaki itu tersenyum.
"Okey. Jangan risaulah."
"Nah..." Nota kecil diberikan kepada lelaki itu.
"Saya baca kat rumah. Thanks. Kami balik dulu." Tanpa menunggu jawapan darinya, Arash berpaling.
"Ayah... Nak shalam kakak." Si kecil itu bersuara sekaligus menghentikan langkah Arash.
Eshal yang melihat gelagat kedua-duanya tersenyum. Tanpa dipinta, dia datang mendekati seraya menghulurkan tangan untuk disalam oleh Fayad.
"Bye, Fayad. Kakak love you."
"Bye bye. Lop you."
Setelah Fayad dan Arash pergi, dia menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum masuk ke dalam rumah. Seperti dijangka, kesemua ahli keluarga menantinya di ruang tamu. Tanpa disuruh, dia mengambil tempat duduk berdekatan dengan Puan Wardah.
"Shal dah tahu pasal ni?" Ehsan mulakan bicara.
"Tahu."
"Shal sedar tak yang dia dah ada anak, dah pernah berkahwin?"
"Of course, Shal sedar. So, apa masalahnya kalau dia dah ada anak dan pernah berkahwin?" Dia kembali menyoal soalan itu pada si abang.
Sungguh, dia geram. Tetapi perasaan itu kembali reda bila terasa Puan Wardah mengusap tangannya.
"Abang tak rasa Shal sesuai dengan dia."
"San..." tegur Encik Tarmizi.
"Bah... Eshal ni muda lagi. Nak kahwin pula dengan duda. Lagipun, abah sendiri dengar yang Si Arash tu kata, dia tak ada wakil daripada mak ayah sebab mak ayah dia dah buang dia. Lelaki macam ni ke yang nak jaga Eshal nanti?"
Eshal mengetap bibir. Tajam matanya menentang anak mata Ehsan.
"Dia dibuang keluarga sebab mak ayah dia ada pilihan sendiri. Tak nak dia kahwin dengan arwah Aileen. Bila Abang Arash dengan keputusan dia, mulalah mak ayah dia guna kuasa veto mereka. Konon tak izinkan dia jejak ke rumah lagi. Kalau abang di tempat dia, nak ke terima pilihan orang tua? Sedangkan, abang pun ada pilihan sendiri," bidasnya.
Sejak Arash melamarnya, satu per satu kisah lama lelaki itu diceritakan oleh Arash. Bagaimana lelaki itu dibuang keluarga. Bagaimana Arash kehilangan Aileen. Jadi, dia tak terkejut bila Ehsan mengungkit tentang perkara itu padanya.
"Yang Shal gedik sangat nak kahwin ni kenapa?"
Semakin meluap darah Eshal bila dituduh begitu.
"Abang ingat, semua yang nak kahwin tu gedik? Shal nak kahwin ni sebab Shal dah bersedia segala-galanya! Dari buat maksiat, dari mengundang fitnah, lebih baik kahwin!"
"Sudah, sudah!" Keras suara Encik Tarmizi mencelah. Dia dengan Ehsan juga sama-sama terdiam.
"Susah sangat ke nak bincang elok-elok?"
Eshal tak menyahut. Tetapi tubir matanya sudah mula bergenang. Sikit masa lagi, mungkin akan ada titisan air mata jatuh ke pipi.
"Shal kena fikir sedalam-dalamnya. Berkahwin ni bukan untuk sehari dua. Kita mengharapkan untuk selamanya."
Kepala Eshal mengangguk laju.
"Shal faham, bah. Dan Shal dah fikir masak-masak pasal hal ni. Shal dah bersedia untuk jadi isteri Abang Arash dan mama buat Fayad."
Ehsan mendengus kasar. Dari duduk, lelaki itu berdiri pula.
"Abang tetap tak setuju. Shal kena ambil kira pandangan abang ni. Jangan bila dah mabuk cinta, lupa segala-galanya."
"Shal ingat, abang dengan dia okey. Rupa-rupanya..." Sinis kata-kata itu diucapkan bersama jelingan tajam. Jadi selama ini, Ehsan hanya berpura-pura baik di hadapan Arash?
"Antara abang dengan dia, tak ada masalah. Cuma abang tak nak dia ada kaitan dengan Shal. Shal ada pilihan yang lebih baik lagi dari dia."
"Hina sangat ke dia tu? Macamlah jadi duda tu kemahuan dia." Kini dia tahu, punca Ehsan tak setuju hanyalah disebabkan status Arash. Seolah-olah mengahwini seorang duda itu berdosa besar. Seolah-olah hidupnya akan hancur suatu hari nanti.
"Kita berhenti sampai sini dulu. Abah tak rasa kita akan jumpa kata sepakat malam ni. Shal pergi naik atas. Tenangkan fikiran. Solat dan berdoa banyak-banyak semoga Allah bagi laluan yang terbaik untuk Shal."
Air mata yang cuba ditahan tadi, kini mengalir dengan deras. Puan Wardah yang hanya diam sedari tadi, dipandang. Dia benar-benar mengharapkan sokongan daripada orang tua itu.
"Shal selesa bila dengan Abang Arash. Shal tak rasa terbeban pun bila jaga Fayad. Kenapa susah sangat orang nak faham perasaan Shal ni? Whatever it is, Shal tetap dengan keputusan Shal. Shal yakin, Abang Arash jodoh Shal!"
Laju dia berlari meninggalkan ruang tamu itu. Air matanya juga semakin lebat membasahi pipi. Dia tak minta banyak daripada keluarganya, cuma mengharapkan persetujuan sahaja. Cukup itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro