Bab 11
KAHWIN baru.
Dua perkataan itu menyapa dalam benak fikiran Arash. Ayat itu bukan saja datang daripada Eshal tetapi juga daripada Arissa. Wanita itu mahu dia berkahwin baru setelah tahu apa yang terjadi padanya tempoh hari.
"Sepatutnya kau tahu, kalau ada isteri ni, dia boleh tengokkan kau dengan Fayad. Makan minum kau orang pun terjaga. Kalau nanti kau sakit lagi macam mana? Siapa nak tengokkan Fayad? Berkahwin baru ni bukan bererti kau dah lupakan Aileen, Rash. Yang tak ada, tetap tak ada. Kau yang masih ada ni yang perlu teruskan hidup. Carilah seseorang. Tak pun budak nama Eshal tu. Kau kata dia baik, kan? Siapapun pilihan kau, akak tetap sokong kau." Panjang lebar Arissa menasihatinya. Tapi nasihat itu masih difikirkan sehingga ke hari ini.
Berkahwin baru? Bererti akan ada wanita yang bergelar isteri. Wanita yang akan menggantikan tempat Aileen. Wanita yang akan menjadi ibu kepada Fayad. Malah, kehadiran wanita itu nanti dapat membantu kerja-kerja yang selama ini dilakukan seorang diri. Tetapi, bersediakah dia untuk menerima orang baru dalam hidupnya?
Hatinya mungkin belum bersedia tetapi ada ketikanya, dia memerlukan seseorang untuk menjaga dirinya dan juga Fayad. Contoh aje ketika dia sakit tempoh hari. Dirinya sendiri tak terurus apatah lagi nak menguruskan Fayad. Nasib baik Eshal ada ketika itu.
Bercakap tentang Eshal, berkali-kali hatinya memuji kebaikan gadis itu. Bukan hanya Eshal, keluarga gadis itu juga banyak membantu. Sehingga dia fikir, dia terlalu banyak menyusahkan Eshal sekeluarga.
Tangan mencapai telefon bimbit ketika kereta berhenti di lampu merah. Nama Eshal dihubungi dan pembesar suara ditekan.
"Hai!" sapa Eshal ceria.
"Awak kat mana sekarang ni?"
"Kat luar. Kenapa? Encik nak saya jagakan Fayad?"
Arash tersenyum. Sikit-sikit, itu yang difikirkan Eshal.
"Tak adalah. Saya baru nak jemput Fayad kat nursery."
"Oh... Dinner nanti jangan makan sembarangan pula."
Terlepas tawa kecil dari bibirnya.
"Saya ingat tadi nak ajak awak dinner dengan kita orang."
"Laaa, saya ada gathering dengan kawan uni sekarang ni."
"Kalau macam tu, tak apa."
"Tapi... Saya boleh balik awal. Dan kita boleh dinner sama-sama."
Arash berfikir seketika. Dia tak mahu mengganggu perjumpaan Eshal dengan kawan-kawan.
"Tak apalah. Lain kali aje."
"Ala, encik ni. Saya dah excited nak dinner dengan Fayad."
"Kawan-kawan awak tu?"
"Ada yang dah balik lebih awal tau."
Arash mengangguk perlahan.
"Awak gathering kat mana? Lepas jemput Fayad, saya jemput awak."
"The Gardens."
"Okay. I'll be there in thirty minutes." Kereta meluncur laju menuju ke nursery Fayad. Si kecil itu pasti gembira jika tahu makan malam mereka akan ditemani oleh Eshal.
Sebelum tiga puluh minit, Arash sudah pun tiba di The Gardens. Dia tersenyum melihat leher Fayad panjang memandang ke luar tingkap.
"Kakak mana?"
"Sekejap lagi kita jumpa kakak." Kereta diparkirkan. Dia bercadang untuk makan malam di situ saja.
Kami dah sampai. Is it okay kalau kita dinner kat Tony Roma's? - Arash
Mesej dititipkan buat Eshal. Tak sampai seminit, mesejnya dibalas.
TR kat sini? Ikut encik la. Saya tak kesah. - Eshal
Yup. Kat sini. Kami tunggu awak kat TR aje terus. - Arash
Telefon diselitkan ke dalam poket seluar. Arash beralih ke pintu penumpang. Fayad yang sudah teruja itu dikeluarkan.
"Kakak mana?" soal si kecil itu lagi sambil memeluk erat leher Arash.
"Kakak ada kat dalam."
"Yeay!"
"Suka sangat dengan kakak, ya?"
Berkali-kali Fayad mengangguk. Arash ketawa. Pipi Fayad yang kemerahan itu dikucup sekilas.
Tiba di hadapan restoran, Fayad menjerit memanggil Eshal yang baru tiba dari arah bertentangan dengan mereka. Si kecil itu juga minta diturunkan. Arash hanya menurut seraya memerhatikan Fayad berlari laju mendekati Eshal.
"Tak apa ke awak tinggalkan kawan-kawan awak?" soal Arash setelah Eshal dan Fayad menghampirinya.
"Tak apa. Dah borak lama tadi."
"Boyfriend ada sekali tadi?" Sengaja Arash bertanya. Selama ini, dia tak pernah nampak lelaki lain menjemput gadis itu di rumah.
"Hish... Tak ada boyfriend la."
Keningnya terjongket seolah-olah tak percaya. Di matanya, Eshal sudah cukup cantik. Berwajah lembut. Malah, keceriaan gadis itu menyempurnakan lagi kecantikan Eshal. Mungkin kerana belum bersedia atau terlalu 'memilih' membuatkan gadis itu belum mempunyai teman istimewa.
"Kalau ada boyfriend tadi, saya tak berani nak ajak dinner," usik Arash.
"Too late. Dah ajak, baru tanya. Nasib baik saya single lagi." Eshal turut melayan usikan itu.
Langkah mereka diatur menuju ke meja yang ditunjukkan oleh pelayan restoran. Fayad diletakkan ke dalam baby chair dan si kecil itu mahu duduk berdekatan dengan Eshal.
"Dah tak nak dengan ayah sekarang, ya?" ujar Arash seraya duduk berhadapan dengan Eshal.
Tersengih-sengih Fayad sambil menyelak menu yang ada di atas meja itu seolah-olah tahu apa nak dipesan.
"Fayad nak makan apa?" soal Eshal pula. Rambut si kecil itu diusap perlahan.
"Soup and fries."
Terangkat kening Eshal mendengar pilihan Fayad itu.
"Wah, dah tahu memilih sekarang, ya?"
Arash yang mendengar, tersenyum.
"Dia memang suka makan sup. Awak pula nak makan apa?"
Gadis itu menggelengkan kepala.
"Saya minum aje."
"Makanlah sekali," ajaknya.
"Actually, saya dah kenyang. Saya cuma nak temankan encik dengan Fayad aje."
"Kalau tak nak makan yang berat, makan dessert ke?" Arash cuba memujuk.
Eshal kelihatan berfikir, namun kemudian gadis itu mengangguk.
"Tapi jangan marah kalau saya tak dapat habiskan tau."
"Tak marahlah," ujarnya seraya memanggil pelayan untuk membuat pesanan.
"How's school, Fayad?"
Arash sempat terdengar Eshal bertanyakan si kecil. Matanya juga sekejap-sekejap melirik kedua-dua manusia itu.
"Besh!"
"Tadi Fayad buat apa?"
Si kecil itu kelihatan berfikir.
"Hmmm... Counting. One, two, three."
"Tu aje ke?" tanya Arash pula setelah pelayan beredar dari meja mereka.
"Hmmm... Amir."
"Kenapa dengan Amir?" Nama Amir sering kali disebut oleh Fayad setiap kali balik dari nursery.
"Amir anye mama Ayad."
Wajah Arash berubah.
"Fayad jawab apa?"
"Ayad ta de mama."
Arash tersenyum kelat mendengar jawapan Fayad itu.
"Bukan tak ada, sayang. Ada. And she wanted you to call her, ibu."
Ketika Aileen mengandung, wanita itu selalu berbual dengan Fayad dan ketika itulah dia tahu, Aileen membahasakan diri sebagai ibu.
Fayad kelihatan tak mengerti apa yang dia jelaskan. Namun kemudian, Eshal bersuara.
"Nanti bila Fayad dah besar sikit, Fayad akan faham. Bila dah besar, jangan lupa doakan untuk ibu, tau?"
Seolah-olah mengerti, Fayad mengangguk.
"Encik pernah bawa Fayad ziarah pusara arwah?" soal Eshal padanya.
"Pernah tapi tak adalah selalu. Itupun selepas Fayad umur dua tahun. Orang kata tak elok bawa budak kecik menziarahi kubur. Tapi saya nak Fayad tahu siapa ibunya walaupun Aileen dah tak ada."
Walaupun tak kerap membawa Fayad menziarahi pusara Aileen tapi sekurang-kurangnya Fayad tahu di mana Aileen 'berada'. Dan berharap bila Fayad sudah besar nanti, si kecil itu sudah terdidik untuk terus menziarahi pusara Aileen.
"Insya-Allah... Suatu hari nanti, Fayad akan tahu juga siapa ibunya. Di mana ibunya. Yang penting, kita tak lupa ingatkan dia tentang siapa ibunya sebenar," ujar Eshal seraya kembali mengusap lembut rambut Fayad.
"Betul," sahut Arash.
"Tadi kat school, rindu kakak tak?" Nampaknya Eshal cuba menukar topik perbualan. Mungkin gadis itu tak mahu dia bersedih agaknya.
Dan soalan itu membuatkan Fayad memandangnya. Si kecil itu kelihatan teragak-agak hendak menjawab.
"Fayad jawablah," suruh Arash. Kedua-dua tangan diletakkan di atas meja dan pandangannya terarah pada Fayad. Dia seolah-olah tahu jawapan yang bakal keluar dari bibir mungil itu.
"Windu!"
"Ayah?" soal Arash pula.
"Windu gak."
"Tapi rasanya, lebih banyak rindukan kakak, kan?" Eshal meliriknya. Soalan itu lebih kepada mengusiknya.
Tak pasti Fayad faham ke tidak apa yang dikatakan oleh Eshal itu, tetapi si kecil itu tetap menganggukkan kepala.
Eshal ketawa besar. Lesung pipit yang jarang kelihatan itu kini jelas terserlah.
"Encik... I don't think you can stay away from me la. Fayad dah lebihkan saya dari encik ni."
Arash turut tersenyum. Dia memang tak terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Fayad itu. Hidup mereka kini lebih ceria dengan kehadiran Eshal.
"I think, you're the one that can not stay away from us, Shal. Cause... We need you." Perlahan kata-kata itu dituturkan. Entah apa yang merasuk dia ketika itu.
Senyuman Eshal sirna.
"We?"
"Fayad and I."
Eshal kelihatan terkedu. Gadis itu juga tunduk menekur meja. Melihat respons Eshal itu, Arash meraup wajahnya. Tiba-tiba saja dia rasa kesal berkata begitu.
"I'm sorry... Just forget it..."
Laju kepala Eshal menggeleng.
"No. You can't stop the conversation just like that. Saya... Saya sebenarnya perlukan penerangan yang lebih jelas. You said, you need me... Tapi maksud 'need' tu macam mana? Jadi penjaga? Jadi kawan? Atau jadi girlfriend..."
"Be my wife and be a mother to Fayad."
Dan gadis itu terkesima.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro