Bab 10
INI kerja gila!
Ya, kerja gila. Eshal tahu, dia buat keputusan yang tak masuk akal. Dua malam di Cappadocia, tidurnya benar-benar tak lena. Cadangan Arissa itu menghantui dirinya.
Terdetik dalam hatinya hendak menjadi Eshal Wardina yang dulu. Malah, dia juga ingin kembali ke masa lalu. Di mana ketika itu, dia benar-benar bahagia. Masalah tak banyak. Dugaan tak datang bertalu-talu. Hidupnya juga terasa bebas dan ceria.
Dan kerana keinginan itu, dia membuat keputusan untuk bermalam di rumah Arissa. Dia ingin kembalikan masa lalunya. Dia ingin merasa bahagia walau hanya untuk seketika. Dan semalam, dia menghubungi Puan Wardah. Menangis-nangis dia menjelaskan kepada orang tua itu agar mengerti apa yang dia inginkan.
"Shal tak minta banyak, mak. Shal nak mak setuju aje," ucapnya.
"Shal akan lebih terluka. Percayalah cakap mak ni."
Eshal menggeleng. Tak bersetuju.
"Ni aje peluang yang Shal ada. Untuk rasa bahagia semula."
"Shal... Apa guna semua tu kalau hanya sementara?"
"Tolonglah, mak." Teresak-esak dia memujuk Puan Wardah agar orang tua itu bersetuju untuk dia bermalam di rumah Arissa dan melanjutkan percutiannya.
Puan Wardah mengeluh berat.
"Suka hati Shal la. Pesan mak, jangan terlalu mengikut kata hati sampai lupa yang kamu berdua tu dah tak ada hubungan lagi. Faham tak ni?"
"Shal faham. Shal janji akan jaga diri."
"Nanti mak bagi tahu abah kamu. Tapi mak tak bagi tahu yang Arash ada kat situ juga. Sebab mak yakin, abah kamu mesti tak setuju. Apatah lagi kalau Ehsan tahu. Tak pasal-pasal gaduh lagi."
Berkali-kali Eshal mengangguk. Pipi yang basah juga dikesat laju.
"Terima kasih, mak."
"Balik Malaysia nanti, mak nak Shal mulakan hidup baru. Mak tak nak Shal sedih-sedih lagi. Cukuplah tiga tahun ni."
Itulah permintaan Puan Wardah sebelum dia memutuskan panggilan. Kini, dia menanti kedatangan Arissa di Bestepe National Mosque itu. Manakala ahli rombongan yang lain sedang bersiap sedia untuk pulang ke Istanbul.
"Lepas ni aku terpaksa shopping sorang-soranglah gayanya," luah Zetty seraya membuat wajah sedih.
"Hawa kan ada. Lagipun, kau yang beria-ia setuju untuk aku stay kat rumah Kak Rissa."
Tersengih wanita itu.
"Memang pun. Hidup ni sementara aje, Shal. Takkan nak sedih aje memanjang? Sesekali, kita ikut apa yang hati kita nak selagi tak menyalahi hukum dan undang-undang."
Perlahan Eshal mengangguk. Itulah yang dia lakukan ketika ini.
"Aku doakan yang terbaik untuk kau, Shal."
Eshal terus memeluk tubuh wanita itu.
"Thanks, Zetty. Kau kawan aku dunia akhirat!"
"Tahu!"
"Bilik kita bakal sunyi lepas ni, Zetty," celah Hawa ketika mendekati Eshal dan juga Zetty.
Terukir senyuman di bibir Eshal.
"Dua malam aje. Lepas tu kau orang balik Malaysia dah."
"Tiket balik sure dah beli? Kalau belum, BlueSky Travel boleh uruskan."
"Kakak saya kata dah beli."
"Alhamdulillah. Saya harap awak berpuas hati dengan trip ni walaupun terpaksa skip dua malam."
"So far memang tak ada masalah. Insya-Allah... Kalau ada rezeki lagi, saya dengan Zetty akan join trip yang lain pula," ucap Eshal dengan disokong oleh Zetty.
"Sure."
Ketika Eshal mengangkat wajahnya, dia ternampak kelibat Arissa. Wanita yang sudah berusia empat puluh tahun itu kelihatan semakin cantik. Gaya pun dah ala-ala orang Turki.
"Haaa... Tu Kak Rissa," beritahu Eshal teruja.
"Kalau macam tu, kami pun nak start gerak, Shal."
"Okey. Thanks sebab tunggu sampai kakak saya datang."
"No problem!" Mata Eshal mengiringi Hawa dan Zetty sehingga kedua-dua wanita itu naik ke dalam bas. Kemudian, dia menoleh ke depan, Arissa berlari-lari anak mendekatinya.
"Shal!" Badan Eshal dipeluk erat.
"Ya Allah... Kenapa makin cantik ni?" puji Arissa sehingga membuatkan Eshal ketawa.
"Akak tu yang makin cantik. Anak-anak dah besar panjang. Mak dia macam anak dara."
"Jangan puji akak lebih-lebih, naik kembang nanti." Walaupun Arissa sudah meleraikan pelukan tetapi tangannya masih kejap merangkul lengan Eshal.
"Akak datang seorang ke?" Mata Eshal tercari-cari Arash ataupun Zarul namun kelibat kedua-duanya tak kelihatan.
"Tak. Dengan Arash."
Dup! Dada Eshal mula berdebar.
"Dia kat mana?"
"Dia cari parkir. Akak minta turunkan depan masjid aje tadi."
Perlahan kepala Eshal mengangguk.
"Dia sebenarnya tak tahu akak jemput Shal."
Membuntang mata Eshal memandang Arissa. Biar betul?
"Maknanya dia tak tahu Shal nak bermalam di rumah akak?"
"Tak. Saja nak bagi kejutan kat dia. Dia pelik juga tadi. Kenapa nak pergi masjid jauh-jauh sedangkan yang dekat ada."
"Kalau dia tak setuju nanti, macam mana?"
"Percayalah... Dia takkan menolak. I know him well."
"Ha... Tu dia," beritahu Arissa setelah ternampak kelibat Arash.
Ketika Eshal menoleh, Arash sudah kaku di hujung sana. Lantas, Arissa menggamit lelaki itu supaya mendekati mereka.
"Tercegat pula dia kat situ."
Eshal tunduk sebaik saja Arash melangkah ke arah mereka. Segan nak bertentang mata dengan lelaki itu.
Arash pula tertanya-tanya kehadiran Eshal itu. Lagi-lagi bila melihat bagasi wanita itu juga ada di situ.
"Eshal buat apa kat sini?"
Arissa menampar lembut lengan Arash.
"Hish, ada ke tanya macam tu? Dah tentulah ni tempat lawatan mereka."
"Beg tu?" Tangan menunjuk bagasi yang berada di sebelah Eshal.
"Beg tu untuk Eshal bermalam di rumah kita. Kau pergi angkat. Akak nak borak dengan Eshal. Dah lama sangat tak jumpa ni," arahnya seraya menarik tangan Eshal untuk berlalu dari situ.
"Bermalam?" Arash terpinga-pinga. Langkah kakak dan bekas isterinya itu diekori.
"Ya Allah, budak ni. Banyak tanya pula dia. Boleh tak kau bagi peluang akak bercakap dengan Shal sekejap?"
Arash terdiam. Matanya melirik Eshal yang menyembunyikan senyuman itu. Apa sebenarnya yang terjadi ni? Namun begitu, dibiarkan persoalan itu tergantung seketika.
"Shal dah solat maghrib?" soalnya lagi tetapi kali ini, pada Eshal pula. Saja nak dengar suara wanita itu.
"Dah. Sampai sini aje terus solat. Tinggal nak solat isyak aje lagi."
"Kalau macam tu, kita solat isyak kat sini aje terus. Lepas tu baru kita balik," putus Arash seraya mengangkat bagasi Eshal itu ke kereta.
Tak semena-mena, terbit senyuman di bibirnya. Bahkan, hatinya turut terasa berbunga-bunga. Kehadiran Eshal itu memang tak diduga tetapi dia tahu, semua ini kerja Arissa. Wanita itu pandai memujuk sehingga orang yang dipujuk jadi serba salah.
Patutkah dia berterima kasih kepada Arissa? Kerana tindakan wanita itu kali ini memberi manfaat kepadanya.
Usai solat isyak, mereka sama-sama menuju ke kereta. Arash menoleh ke belakang dan pandangannya menghala pada Eshal.
"Nak ke mana lagi lepas ni?"
"Shal mesti dah rindu masakan Malaysia, kan?" Tanpa menjawab pertanyaan Arash itu, Arissa juga sibuk bertanyakan pada Eshal.
"Tujuh hari kat sini, dah penat makan roti, kebab semua tu. Tapi kat Istanbul hari tu sempatlah juga makan kat restoran Malaysia." Eshal memilih untuk menjawab soalan Arissa.
"Ha, kalau macam tu... Kita makan kat rumah aje. Akak masakkan untuk Shal."
Eshal mengangguk teruja.
"Shal duduk depan. Akak duduk belakang," arah Arissa.
"Errr... Encik ke yang drive?"
Sebelum Arash menjawab, Arissa kembali bersuara.
"Dah kenapa berencik-encik ni? Takkan bila dah tak bersama terus tukar panggilan?"
Eshal terdiam seketika. Dia memandang Arash. Lelaki itu yang tak nak dia memanggil Arash dengan panggilan abang.
"Tak tahu nak panggil apa."
"Panggil abang pun dah cukup. Panggilan tu bukan sekadar untuk suami isteri. Lagipun, jarak umur kau orang sembilan tahun, kan? Eloklah tu."
"Akak ni, benda macam ni pun nak bising," celah Arash. Dia tak mahu Eshal memanggilnya abang kerana mahu membezakan kehidupan mereka.
"Dah, masuk cepat. Sejuk sangat malam ni." Arissa akhirnya mengalah. Walau begitu, dia tetap nak dengar Eshal memanggil Arash dengan panggilan dulu.
Masuk ke dalam kereta, Arash menoleh ke arah Eshal lagi. Dia seolah-olah tak percaya Eshal ada di situ. Di sisinya. Dia ingatkan, pertemuaan di Istanbul itulah pertemuan terakhir mereka.
"Lawatan awak macam mana?" soalnya. Kalau Eshal bermalam di rumah Arissa, tak ke mengganggu jadual lawatan wanita itu nanti?
"Setakat di Ankara ni ajelah. Yang kat Istanbul, saya skip."
Berkerut dahi Arash. Eshal sanggup membatalkan lawatan di Istanbul hanya kerana bermalam di rumah Arissa? Atas sebab itu aje ke? Atau ada sebab lain lagi?
"Awak balik Malaysia bila?"
"Eshal balik dengan Arash nanti." Arissa menyampuk dari belakang.
Arash dan Eshal menoleh sesama sendiri. Kedua-dua mereka nampak terkejut.
"Tiket ke Istanbul akak dah sediakan. Sekali dengan tiket balik Malaysia."
Eshal terpinga-pinga. Apa sebenarnya yang Arissa cuba rancangkan ni? Bukankah wanita itu ingin mencarikan dia local guide untuk melawat ke tempat yang belum dijejaki di Istanbul nanti?
"Bukan akak cakap nanti ada local guide..."
"Arash la local guidenya. Dia yang akan bawa Shal melawat ke tempat-tempat yang Shal sebut hari tu. Kau orang akan bermalam di Istanbul dua malam. Yang tu tak payah risau, akak dah book hotel untuk kau orang berdua. Well... Bilik asing-asinglah. Tak asing nanti, lain pula jadinya," jelas Arissa panjang lebar.
"Kak..." keluh Arash berat. Dia memang teruja ditemukan dengan Eshal semula tetapi mendengar rancangan Arissa itu buat dirinya ternganga.
Tidakkah Arissa sedar status hubungannya dengan Eshal? Tidakkah wanita itu tahu cabaran yang perlu dia dan Eshal lalui bila berdua-duaan nanti?
"Flight balik kau direct ke Malaysia, kan? Tak payah transit ke Singapore lagi."
"Masalahnya bukan sebab flight direct ke tak direct. Tapi plan akak ni..."
"La... Tak setuju ke dengan plan akak ni?" Arissa tunjuk wajah kesian. Dia memang sengaja membuat plan begitu. Dia harap, rancangannya itu membuahkan hasil. Paling tidak pun, mengembalikan perasaan sayang antara Eshal dan Arash.
"Bukan macam tu, kak..." ujar Eshal pula.
"Kalau tak setuju, tak apalah. Nanti akak cuba carikan local guide then tukar tiket flight..."
"Akak sepatutnya bincang dengan kami dulu. Ni saya risau kalau Eshal yang tak selesa." Arash bersuara.
"Abang... Tak apa." Eshal menggelengkan kepala. Memberi isyarat agar Arash tak terus-terusan menolak rancangan yang sudah diaturkan oleh Arissa itu.
Arash terdiam. Bukan sebab Eshal menyuruhnya diam tetapi panggilan abang itu, mengingatkan dia ke masa lalu.
"Maknanya Shal setujulah?" Arissa di belakang tersenyum-senyum. Apatah lagi mendengar panggilan abang itu meluncur lembut dari bibir Eshal.
"Dah akak sediakan segala-galanya. Shal tak sampai hati nak tolak."
"Kalau awak tak nak, jangan paksa, Shal." Arash tak mahu Eshal rasa terbeban.
Eshal tersenyum, wajah Arash dipandang.
"Shal okey."
"Mak dengan abah dah tahu?"
"Mereka tahu yang Shal bermalam di rumah Kak Rissa dan extend dua malam lagi kat sini."
Perlahan kepala Arash mengangguk. Dari kata-kata Eshal itu, seperti keberadaannya di situ tak diketahui oleh keluarga Eshal. Kalau mereka tahu, mungkin wanita itu takkan berada di sisinya ketika ini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro