Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

2 | Mimpi Afiq

"ABANG, kalau adik kena tahan lama kat hospital, abang datang jenguk adik selalu, kan?"

Afiq tergelak kecil, mengusap kepala adiknya, Afiya. "Soalan apa ni? Mestilah abang datang. Hari-hari pun tak apa."

Dia tersenyum kecil, tapi Afiq dapat lihat ketakutan yang cuba disembunyikannya.

"Adik takut, abang."

Afiq menariknya ke dalam pelukan. "Abang ada. Abang takkan tinggalkan adik."

Pembedahan jantungnya adalah satu-satunya harapan untuknya menjalani hidup seperti orang lain. Ummi dan ayah yakin ini keputusan terbaik, tapi dalam hati Afiq ... dia bimbang sesuatu berlaku kepada Afiya.

• • •

Hari pembedahan, Afiq duduk di luar bilik bedah bersama ummi dan ayah. Minit terasa seperti jam.

Kemudian, tiba-tiba bunyi kecemasan bergema dari dalam bilik pembedahan.

Jantungnya hampir berhenti.

Doktor berlari masuk. Seketika kemudian, seorang doktor keluar, wajahnya serius.

"Jantungnya tiba-tiba gagal berfungsi. Kami sedang cuba menyelamatkannya!"

Afiq rasa dunia berputar. Ummi menekup wajahnya, menangis dalam panik. Ayah terpaku, seakan tidak mampu bernafas.

Afiq? Dia hanya mampu berdoa.

Setelah berjam-jam, doktor keluar. Wajahnya sugul.

"Pembedahan berjaya … tapi pesakit mengalami komplikasi. Kekurangan oksigen menyebabkan otaknya terjejas. Dia kini dalam keadaan koma."

Dunia Afiq gelap.

Afiya … koma?

• • •

Malam pertama selepas Afiya koma, Afiq tak dapat tidur. Afiq duduk di sebelahnya di hospital, menggenggam tangannya yang sejuk.

"Adik … kalau adik dengar abang, bangunlah," bisiknya.

Matanya tetap terpejam.

Entah bila Afiq tertidur.

Bila dia membuka mata, dia berada di tempat lain.

Afiq berdiri dalam sebuah masjid yang tidak pernah dia kenali. Masjid itu kosong, hanya diterangi cahaya samar. Aroma kayu gaharu menyelubungi udara.

Dia keliru. Bagaimana aku boleh berada di sini?

Kemudian, dia melihat seseorang di saf hadapan.

Seorang gadis kecil.

Jantungnya hampir berhenti.

"Adik?"

Afiya menoleh, tersenyum lembut seperti biasa.

"Abang … abang datang juga."

Afiq terkaku. Dia kelihatan sihat, tanpa sebarang tiub atau wajah pucat seperti di hospital.

Afiq melangkah mendekatinya. "Adik … adik dah sedar?"

Dia ketawa kecil. "Adik … tak pasti."

Afiq cuba menyentuhnya. Tangannya tidak tembus melaluinya. Dia benar-benar ada di sini.

"Jom solat," katanya tiba-tiba.

Afiq masih keliru, tapi dia ikut. Dia berdiri di saf hadapan, dan Afiya di sebelahnya. Afiq menjadi imam, seperti selalu.

Ketika dia sujud, hatinya terasa lapang.

Dan bila dia memberi salam, dia kembali terjaga.

Afiq masih di hospital. Tangannya masih menggenggam tangan Afiya, tapi dia masih koma.

Aku bermimpi?

Tapi … rasanya terlalu nyata.

• • •

Setiap malam selepas itu, Afiq bermimpi bertemu Afiya di masjid itu. Mereka berbual, solat bersama, dan dia menganggap ini sebagai peluang kedua untuk bersamanya.

Sehinggalah satu malam …

Bila dia berada di masjid itu, suasananya berbeza.

Lampunya lebih suram. Udara lebih sejuk.

Dan Afiya berdiri jauh darinya, membelakangi dirinya.

Jantung berdegup laju. "Adik?"

Perlahan-lahan, dia berpaling.

Tapi kali ini, senyumannya menyakitkan hati.

"Abang … ini sujud terakhir adik dengan abang."

Jantung Afiq terasa bagai ditikam.

"Apa maksud adik?"

Dia melangkah mendekat, menggenggam tangan Afiq dengan jemari kecilnya.

"Adik selalu doa, kalau adik tak dapat bangun semula di dunia, sekurang-kurangnya adik dapat bersama abang di sini. Tapi adik rasa … dah sampai masa adik pergi."

Air mata Afiq mula jatuh tanpa kawalan.

"Tak ... abang tak nak adik pergi."

Dia memandang Afiq dengan lembut. "Bangunlah, abang. Jaga solat abang. Jaga hati abang. Jangan tinggal doa untuk adik."

Afiq cuba menahannya, cuba menggenggam tangannya lebih kuat. Tapi cahayanya semakin malap.

"Abang janji abang akan doakan adik," kata Afiq dalam esakan.

Afiya kelihatan tersenyum sebelum segalanya menjadi gelap.

• • •

Afiq duduk di sejadah, matanya merenung kosong ke arah telefon yang masih bergetar. Nama "Ummi" terpampang di skrin, tapi dia tidak punya kekuatan untuk menjawab. Jarinya menggenggam tasbih digital, tapi bibirnya kelu.

Dalam hatinya, hanya ada satu perkara—Afiya dah pergi.

Tadi, dia baru saja dapat panggilan dari ummi. Suara ummi kedengaran tenang, tapi kata-kata yang keluar dari mulutnya bagai pisau menoreh jiwa. "Adik dah tak ada, abang."

Afiq sujud, air matanya jatuh membasahi sejadah. "Ya Allah, aku reda ... tapi kenapa sakit sangat?"

Dalam sujudnya yang panjang, dia teringat mimpi-mimpi yang selalu menghantuinya. Mimpi Afiya yang tersenyum dalam telekung putih, memimpin tangannya untuk solat bersama. Setiap kali dia tersedar dari mimpi itu, dia berharap Afiya benar-benar bangun dari koma. Tapi sekarang, harapan itu dah hancur.

Dia masih dalam sujud, tubuhnya diam tak bergerak. Telefon di tepi sejadah terus bergetar, tapi Afiq tak lagi mampu menjawab.

Beberapa jam kemudian, pintu rumah dikuak. "Afiq?" Suara Ummi kedengaran cemas.

Langkahnya laju ke ruang solat. Mata Ummi membulat melihat anak sulungnya berbaring di atas sejadah, wajahnya pucat lesi. Bibir mengukir senyuman kecil. Seolah-olah sedang lena.

Tapi bila Ummi menyentuh bahunya, tubuh itu kaku dan dingin.

"Afiq ...?"

Jasad Afiq terbaring di atas sejadah. Dalam sujud terakhirnya, dia telah pergi—menyusul Afiya ke alam abadi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro