Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

[ Tujuh ]

Rumah ini, agak ganjil. Eva sendiri tidak pasti seandainya dia perlu menghancurkan sahaja lantai seperti tadi agar bebas. Lorong ditamatkan dengan sebuah tangga yang bergerak ke tingkat atas.

Sewaktu mendaki, Helang segera melepaskan beberapa ekor helang ke puncak tangga. Bunga Matahari mendahului perjalanan, sementara Eva tajam meliar ke sekitar. Awalnya, tangga ini ditutupi dinding. Tetapi, semakin lama mereka berjalan, suasana menjadi semakin gelap.

Hanya tangga yang mampu dilihat Eva. Disentuhnya dinding tadi, tetapi tangan Eva hanya menggapai kepekatan hitam.

Dinding sudah lenyap. Suatu fakta yang menggerunkan, kerana tangga ini tidaklah terlalu luas. Sesiapa yang tersadung pasti akan ditarik oleh bayangan di bawah.

Tangga mula berkeriut kuat. Langkah mereka bertiga terhenti. Tangga yang dipijak tiba-tiba bergoyang kuat seperti jambatan gantung. Papan jauh di hujung mula runtuh.

Eva, Bunga Matahari dan Helang segera berlari mengejar puncak. Semakin kuat derap mereka, semakin bergoyang tangga itu. Beberapa bahagian tangga sudah retak lalu runtuh. Eva terpaksa melompat demi memijak anak tangga lain dan meneruskan larian.

Bunga Matahari memetik jari. Serentak bunga-bunga gergasi muncul menolak Eva dan Helang ke atas. Bunga Matahari melompat di atas daun, membawa mereka meluncur laju ke atas.

Bayang-bayang gergasi yang membentuk tangan, mula menunjukkan diri daripada siling. Disebabkan suasana terlalu gelap, pandangannya agak terbatas.

"Biar aku uruskan," ujar Helang sambil melompat turun. Pantas dia bertukar menjadi berpuluh-puluh burung helang.

Sayap-sayap helang berterbangan dahsyat, membuatkan Eva menutup mata. Bayang-bayang yang cuba menangkap mereka ditikam helang tanpa ampun. Apabila sebuah tangan berusaha menggapai Bunga Matahari, seekor lagi helang datang mencakar tangan itu. Bunyi raungan aneh bergema di serata arah, seolah-olah kegelapan suasana inilah tubuh mereka.

Berpuluh-puluh mata gergasi mencelik dari semua arah. Anak mata itu besar, menatap ketuga-tiga mangsa persis harimau kelaparan. Urat-urat merah berlingkar di sekitar bahagian putih mata.

"Cepat, Bunga Matahari!" suara Helang kedengaran daripada helang-helang yang berterbangan, tidak jelas di manakah tubuh aslinya.

Bunga Matahari masih bertahan, mengawal tumbuhannya bergerak pantas ke arah cahaya kecil di atas. Di situlah sebuah pintu menunggu.

Eva berkerut. Nalurinya berkata untuk tidak mempercayai pintu itu. Pasti ada muslihat di sebalik semua ini.

Jadi, di mana jalan keluar?

Eva melilau ke sekitar. Hanya mata-mata gergasi yang terkelip-kelip memandang mereka. Tangan-tangan hitam berjaya menangkap tumbuhan Bunga Matahari tetapi sempat dihalang Helang. Tangan itu hancur dicakar.

Sebuah mata yang lebih besar berbanding yang lain, mencelik di bawah. Berbanding yang lain, hanya mata itu yang mempunyai bentuk kunci pada anak mata.

Sana!

Eva tiba-tiba merentap salah sebatang bunga matahari di sebelah. Pemuda itu cemas melihat bunganya patah.

"Apa cik cuba buat!" Bunga Matahari sudah menjerit sambil menarik kelopaknya.

Eva tidak membalas, segera terjun ke bawah tangga. Helang yang menyerang musuh terkejut. Tergesa-gesa semua helang itu meluncur ke arah Eva. Bunga Matahari cuba menjulurkan tumbuhan ke arah Eva, namun tidak sampai. Dadanya diserang sakit.

Mata kunci itu terbeliak apabila Eva meluru ke arahnya. Gadis itu menjulang batang Bunga Matahari. Semua bayang-bayang tangan meluru ke arah gadis itu.

"Kau yakin itu jalan keluar?"

Suara Penghibur menerjah di antara deruan angin kuat bersama tawa sinis. Terlalu dekat, seolah-olah Penghibur menyeringai kejam di sebelah gadis itu.

"Itu kawan kesayangan aku!" gelak Penghibur.

Pegangan Eva pada dahan bunga sedikit melonggar. Jantung gadis itu hampir terhenti.

Mata gergasi itu mula menunjukkan hakikat bentuknya. Ia berubah menjadi kepala manusia berkepala botak gergasi. Berkulit biru, dengan mata ternaik ke atas. Kesan rekahan muncul di seluruh kulitnya, menyerlahkan sisi ketiadaan yang bersedia melahap Eva. Mulutnya menganga sehingga sisi rahangnya terkoyak, menyerlahkan beribu-ribu gigi taring halus sewarna merah.

Eva mengemaskan cengakaman dahan.

Helang berusaha menangkap belakang Eva. Masih sempat untuk gadis itu menyelamatkan diri.

Tetapi, Eva segera menepis sekumpulan helang yang cuba menangkapnya.

Sengihan Eva ditarik yakin.

Dia tidak akan tertipu!

Gadis itu menikam kerongkong manusia botak itu sekuat hati. Rupa luaran raksasa itu berubah menjadi mata gergasi semula. Tiada darah. Mata itu berlubang, sementara permukaan mata daripada kaca itu hancur berkeping-keping. Bentuk kunci gergasi muncul di sebalik lubang kaca.

Sebuah sinaran terang muncul. Helang yang berusaha menangkap Eva hanya terbang pegun, merenung mata aneh. Bunga Matahari pula bingung, tetapi segera berlindung daripada serangan tangan.

Seluruh dunia hancur menjadi kaca berkeping-keping. Mereka berpijak di dalam kekosongan. Tidak terjatuh. Bunga Matahari berusaha melangkah, setapak demi setapak ke arah Eva dan Helang. Kemudian, pemuda itu berlari menuruni tangga tidak terlihat. Menakjubkan. Ke mana-mana pun dia berpijak, dia benar-benar tidak terjatuh.

"Bosan...."

Keluhan Penghibur berdengung-dengung di semua arah.

"Kenapa kau selalu terlepas, hmm?" soal Penghibur, seperti berbicara dengan diri sendiri. "Apa gunanya aku bertanya? Kau sudah pekak, bukan?"

"Semua ini salah kau!" laung Helang, melepaskan helangnya ke semua arah.

Tetapi, sekejap sahaja helang itu terbelah dua. Wanita itu terjatuh duduk, memegang perut. Darah terkeluar dari mulut.

Eva dan Bunga Matahari segera menghampiri Helang.

Eva menyentuh bahu wanita itu. "Kau tidak apa-apa? Apa yang jadi?"

Helang hanya mengangguk, mengangkat tangan. Memberitahu bahawa dia baik-baik sahaja. Bunyi keluhan Penghibur semakin kuat terlepas.

"Kau mesti tidak boleh dengar suara aku, 'kan, Eva?" ujar Penghibur. "Tidak boleh, 'kan? Tidak boleh?"

Mahu sahaja Eva membalas kata-kata lelaki itu sekarang. Semakin jengkel dia mendengar suara Penghibur. Tetapi, bayangan Tanpa Nama menjentik memori Eva.

Sebelum telinga Eva disembuhkan, Tanpa Nama ada memberitahu sesuatu. Daripada gerak mulut, Eva memahami maksud remaja itu.

Atas.

Padahal, mereka berada di dalam ketiadaan. Jika Eva berpijak ke mana-mana yang diingini, pasti dia akan menuju ke tempat itu tanpa tangga, seperti Bunga Matahari tadi.

Eva terus berlari memanjat tangga fikiran. Perbuatannya mengundang cemas Penghibur.

"Hei, hei! Kau buat apa itu? Kenapa kau naik?"

Helang tidak menunggu, bertukar menjadi helang dan bertenggek di atas bahu Eva. Bunga Matahari mengiringi Eva. Daripada reaksi Penghibur, pasti gadis itu menjumpai sesuatu.

"Apa kata kau turun dahulu? Tunggu, kau tidak boleh dengar suara aku," ujar Penghibur, seperti berfikir.

Eva berpura-pura tidak mendengar, meneruskan larian.

"Aku sudah sediakan tangga. Jalan ini sangat jelas. Ini jalan keluar, tahu?"

Sebuah tangga yang menuju ke bawah tersedia. Eva tidak melayan tangga itu, membuatkan tangga itu tertunduk kecewa.

"Macam mana dengan teh? Kau suka teh, bukan?"

"Cuba kau tengok bawah. Ada rumah cantik. Kau mungkin mahu main masak-masak dengan kawan-kawan kau."

"Ah... bencinya aku tengok muka yakin kau. Eva, kau hodoh. Hodoh. Hodoh!"

Segala cawan, teh, papan tanda dan rumah muncul di sekitar Eva. Apabila sebuah kertas tertulis 'Turun Bawah!', Eva segera mengoyakkan kertas itu dan meneruskan perjalanan. Muncul pula kertas lain yang tertulis, 'Busuk!'

"Kacaulah!" marah Eva sambil mengeronyokkan kertas itu dan melemparnya jauh.

Muncul pula sebuah cahaya, tidak jauh di atas mereka. Daripada bentuk, Eva yakin itu pintu kayu. Tetapi, muncul pula papan-papan aneh bersilang yang menutupi pintu itu bersama papan tanda, 'Ini Bukan Jalan Keluar!'

Eva memandang Bunga Matahari. Pemuda itu mengangguk. Dengan sekali petikan, bunga-bunga matahari mekar pada papan-papan kayu itu. Semua penghadang itu mereput.

Eva dan Bunga Matahari mematahkan papan-papan itu dengan mudah. Pintu kayu itu tegak di atas kepala mereka. Pantas Helang menolak pintu itu terbuka.

"Jangan, jangan! Bukan di sana!" Penghibur sudah memekik berang.

Eva melompat menangkap birai pintu atas. Segera di memanjat pintu itu, lalu diekori Bunga Matahari. Suara geram Penghibur kedengaran.

"Masuk sini semula—"

Belum sempat Penghibur menghabiskan ayat, Eva menendang pintu itu tertutup. Pintu itu terbuka semula.

"Datang sini!"

Bunga Matahari menutup pintu itu lekas-lekas. Pintu itu dikunci dengan dahan Bunga Matahari. Pintu itu bergegar mahu dibuka, tetapi tidak berjaya. Akhirnya, senyap. Penghibur mengalah.

Eva, Helang dan Bunga Matahari saling berpandangan. Mereka akhirnya duduk, melepaskan lelah – kecuali helang yang hinggap di atas lantai.

Mereka berada di dalam loteng rumah yang sempit. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro