[ Tiga ]
Apabila malam menjelma, Eva sentiasa bermimpi tentang memori yang hampir dilupakan. Juga kanak-kanak itu.
Kanak-kanak yang duduk diselubungi kabus tebal, di bawah pohon yang menunduk ke arah mereka. Mata Eva yang sentiasa kelam, merenung lelaki yang seumuran dengannya penuh ingin tahu.
Titisan jernih enggan berhenti dari sebalik topeng budak kecil. Dia tertunduk, menekap telinga dengan siku. Tangisannya mengundang rasa aneh di dalam diri Eva.
"Kenapa?" soal Eva.
"Penghibur marah aku ...," balas kanak-kanak itu, "Dia kata, aku selalu menangis ...."
Eva menyengetkan kepala. Hairan.
"Kau siapa?" soal Eva.
Kanak-kanak itu menarik nafas, berusaha mengambil ruang untuk bersuara. Suaranya tersekat-sekat akibat tangisan sendiri.
"Tanpa Nama."
. . .
Bayang-bayang di sekitar mula bergerak-gerak lalu membentuk jasad serigala dan anjing buas. Orang-orang baharu memunculkan diri di antara taman. Seringai daripada jahitan mereka terserlah. Butang sebagai mata mereka tercabut, digantikan lubang bersama lohong hitam.
"Cik Eva ada rancangan?" soal Bunga Matahari sambil berundur perlahan-lahan.
Eva membalas, "Ada."
"Huraikan."
"Lari."
Tanpa berlengah, mereka membuka langkah seribu. Raksasa dan orang-orang yang cuba menyerang tersasar. Makhluk-makhluk itu mendengus kasar dan mengejar.
"Macam mana dengan kelebihan kau, Bunga?" soal Eva.
"Nama saya Bunga Matahari, Cik Eva."
"Ya, apa-apa sahajalah, Bunga Matahari."
Lelaki berkepala bunga itu menjelaskan, "Saya tidak boleh gunakan kelebihan saya lama-lama. Tetapi, saya boleh bantu Cik Eva naik."
Eva menjongket sebelah kening. Daripada tatapan gadis itu, dia setuju.
Bunga Matahari menjentik sekali. Aura putih meletus kecil dari jari-jemarinya.
Sekuntum bunga matahari gergasi mekar di atas tanah. Sebaik sahaja Eva berpijak di atas tumbuhan itu, dahan bunga mula keluar bersama berpuluh-puluh bunga matahari yang lain. Eva pantas bergerak ke langit sambil memegang kelopak dengan erat. Risau terjatuh.
Pemandangan taman terhampar luas. Benteng tumbuhan tidak mampu menghalang pandangannya lagi. Tetapi, realiti sebenar menamparnya, membuatkan Eva terkaku. Dia meneguk.
"Cik Eva!" laung Bunga Matahari sambil menyentuh hujung hidung seekor serigala. Lantas, semua raksasa yang mengejar terkaku dibelenggu cahaya putih.
Bunga Matahari memetik. Semua raksasa hancur ditumbuhi bunga kuning.
Eva tidak mampu menjawab apa-apa. Mulutnya terkunci. Rasa cemas menyesakkan nafas. Tangannya menggigil.
Tiada jalan keluar. Itulah ayat pertama yang terluah daripada fikiran. Hanya jalan tidak jelas yang dibentengi tumbuhan sejauh mata memandang. Gelap, bersama raksasa dan orang-orang yang merenungnya tajam. Sedangkan pagar masuk taman ini pun lenyap.
Dia seperti terperangkap di dalam dunia taman tidak berpenghujung.
Rasa keputusasaan itu mengundang tawa Penghibur dari semua arah. Bunga Matahari terkejut apabila tumbuhan yang menampung Eva mulai layu. Dia berfikir Eva akan menjerit meminta tolong, tetapi, tidak. Gadis itu sempat berpaut pada kelopak lain, lalu mendarat di tanah. Tubuhnya lemah seperti hilang punca hidup.
Lolongan dan pekikan muncul mengiringi dekah Penghibur. Mereka mentertawakan Eva yang berlari tanpa hala tuju, seperti semut yang terperangkap di dalam balang kaca.
"Cik Eva, saya tidak dapat guna kelebihan saya lagi!" kata Bunga Matahari dengan cemas. "Apa kita mesti buat?"
"Dia cuma mahu berhibur," kata Eva dengan datar, "Tetapi, kau mahu tahu sesuatu?"
"Apa yang saya tidak tahu?"
Eva memandang Bunga Matahari dan membalas, "Bosan."
Serentak, tawa Penghibur mati. Semua makhluk lesap. Kesunyian menghambat tanpa amaran, membuatkan Bunga Matahari terkedu.
Eva akhirnya berjalan menyelusuri taman tanpa mengendahkan Bunga Matahari. Lelaki bunga itu tergesa-gesa mengekori Eva.
"Apa maksud semua ini, Cik Eva?" soal Bunga Matahari.
"Aku bosan," balas Eva, "Apa tujuan penghibur kalau penonton sudah bosan?"
Bunga Matahari mula sedar, Eva tidak memberitahu kepada dirinya melainkan Penghibur. Walaupun mereka tidak mampu melihat Penghibur, lelaki bertopeng itu pasti sudah bersandar sambil mengetuk meja dengan tertekan.
Penghibur perlu menutup tirai pentas untuk persembahan seterusnya.
Tanpa dijangka, suatu suara menyentuh telinga mereka. Bukan gelak tawa Penghibur, melainkan tangisan halus. Langkah Eva terhenti. Bunga Matahari segera bersiaga.
Mereka tidak sedar kewujudan sebuah laluan di sebelah mereka. Laluan itu agak suram tanpa bunga-bunga aneh yang memenuhi benteng tumbuhan. Tiada raksasa mahupun orang-orang yang menunggu. Satu-satunya laluan yang agak menonjol berbanding yang lain.
Eva membulatkan mata apabila seseorang di hujung laluan, tertunduk sambil memegang kepala dengan lengan. Remaja lelaki itu menggigil takut, berlindung di belakang topeng terngkorak yang menangis. Titisan air mata berjatuhan dari sebalik topeng.
"Tolong...," bisiknya, serak. "Tolong aku ...."
Tangisannya terlepas, membuatkan Eva dan Bunga Matahari saling berpandangan. Remaja misteri itu seperti dihurung mimpi buruk berlarutan. Dia tidak berhenti menarik rambutnya, menggumam tidak jelas.
"Tolong ... suruh dia berhenti ...," katanya, "Aku tidak tahan ... suruh dia berhenti!"
Bunga Matahari bertanya, "Tunggu, siapa saudara?"
Lelaki itu mendongak, menyerlahkan kesan rekahan pada topengnya.
"Aku ...," balasnya, "Tanpa Nama."
Eva tidak menunggu, meluru ke arah lelaki itu tanpa mengendahkan panggilan Bunga Matahari. Kabus muncul entah dari mana, mula menyelimuti pandangan mereka berdua. Esakan remaja bertopeng tadi semakin lama semakin lemah.
"Tunggu!" panggil Eva.
Tetapi, kelibat Tanpa Nama sudah tiada. Eva tercungap-cungap, menoleh ke sekitar mencari lelaki itu.
Hanya suara lemah Tanpa Nama yang berbisik ngeri, "Hentikan Penghibur ...."
Rasa berang membuak-buak di dalam diri Eva. Walaupun dia senyap, namun rahangnya bergerak-gerak. Tertekan.
Perlahan-lahan, dia menghela nafas, tidak mahu menunjukkan keresahannya kepada Penghibur. Mendengar tawa lelaki itu pun sudah menjengkelkan.
"Tanpa Nama tunjukkan jalan," kata Eva perlahan, sambil merenung ke laluan yang semakin kelam.
"Apa? Cik Eva pasti?"
Eva tidak membalas, segera menyelusuri laluan yang dipilih. Bunga Matahari tidak memahami, sekadar akur.
Jalan ini berbeza dengan yang lain. Jalan yang semakin curam ke atas, dan lebih tepat sekiranya diberitahu bahawa laluan ini tidak ubah seperti jalan gunung yang berliku-liku.
Bunga-bunga di kepala peneman Eva sudah layu. Lelaki itu mengeluarkan penyembur kecil, lalu disembur-sembur pada kelopak yang penat. Dikeluarkan sapu tangan, lalu dilap pada kot yang basah ditimpa titisan air dari daun. Eva memandang lelaki itu tidak berkelip.
Bunga Matahari bertanya, "Kenapa, Cik Eva?"
Eva tidak berselindung apabila berkerut. "Tiada."
Sedar tidak sedar, benteng tumbuhan semakin rendah. Penghujung laluan sudah menunjukkan diri. Jalan tidak lagi securam tadi, memudahkan perjalanan Bunga Matahari. Mereka menarik nafas apabila melihat sebuah pagar hitam gergasi, tidak jauh di hadapan.
Sesuatu yang ganjil bagi Eva. Padahal, dia baru melihat taman yang tidak berpenghujung.
"Itu pasti ilusi Penghibur untuk lemahkan semangat kita," terang Bunga Matahari.
"Mujurlah Tanpa Nama bebaskan kita."
"Siapalah saudara yang baru tolong kita, agaknya?" soal Bunga Matahari sambil membetulkan kelopak bunganya yang ditindih bunga lain.
"Macam mana dengan kau?" balas Eva mendadak. "Aku tidak kenal kau. Tapi, kau datang tolong aku untuk apa?"
"Untuk balas budi seseorang."
Eva menjongket sebelah kening. "Siapa?"
Hening. Hanya siulan angin yang berlalu perlahan.
Eva mengalah, berkata, "Apa-apa sahajalah."
"Cik Eva percayakan saya?"
Eva menarik senyuman kecil sambil melirik Bunga Matahari, "Sekurang-kurangnya, aku tahu kau bukan pembantu Penghibur."
Semakin berseri-seri bunga pada lelaki itu. Dengan penuh bersemangat, dia menolak pagar sekuat hati. Bunyi keriutannya menyakitkan, namun tidak mengganggu mereka.
Eva menoleh ke arah taman tadi.
Taman seluas beribu-ribu batu jaraknya, mula menunjukkan rupa asal. Tiada bunga-bunga kelam yang merah, ataupun kabus yang menyelubungi. Hanya taman kecil ringkas yang dihiasi bunga segar penuh berwarna-warni. Patung penjaga dan bayang-bayang lenyap. Normal, seolah-olah semua kejadian yang berlaku hanyalah mimpi semata-mata.
Eva akhirnya meneruskan langkah ke tempat seterusnya. Dia tidak boleh leka.
Mereka tiba di sebuah taman permainan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro