[ Sepuluh ]
"Cik ... Eva ...."
Tubuhnya sakit berbisa dicucuk dahan-dahan berduri. Tona kelopaknya mulai pudar, hampir luruh menyentuh bumi. Sama seperti Helang yang dililit tumbuhan beracun, mereka berdua tidak mampu bergerak, merenung Eva yang sekadar tergantung tinggi di tengah hutan.
Lumut dan tumbuhan kecil milik gunung perlahan-lahan menjalar di hujung kasut Bunga Matahari. Tidak sabar melahap lelaki itu seperti boneka-boneka buruk yang tergantung di pohon. Rona sudah memenuhi diri semua patung itu. Beberapa anggota kayu boneka telah hilang.
Helang tidak sedarkan diri. Kepalanya tertunduk seperti rangka helang yang menunggu masa untuk dijamah kematian.
Kesedaran Bunga Matahari perlahan-lahan menghilang. Jantungnya ditikam jarum kesal yang mendalam.
Mereka berdua tidak mampu melindungi Eva lagi.
"Cik Eva," bisiknya, "cepatlah sedar...."
. . .
Suasana kelas agak bingit. Rakan sekelas Eva seronok berborak, sesetengah pula bergosip tentang hal ehwal pelajar yang membosankan. Hana pula duduk di atas meja Eva, sentiasa tertarik mengupas bawang bersama yang lain.
Eva pula menongkat dagu dengan lengan, tenggelam di dalam minda sendiri. Jantungnya menyengat mengingati suara-suara itu.
"Cik Eva, jangan lari laju sangat! Cik mesti hati-hati."
"Manusia, kau sepatutnya belajar untuk berjalan di belakang orang dewasa."
Keluhan Eva dilepaskan.
Mimpinya bersama mereka berdua, terlalu realisme. Perasaan kesal bergelojak di dada. Walaupun perjumpaan mereka tiba-tiba dan membingungkan, tetapi tali persahabatan itu terjalin diam-diam. Tanpa sedar, tangannya menari-nari di atas kertas, menconteng muka surat paling belakang buku latihan.
"Wah, cantiknya lukisan kau!"
Hana tiba-tiba berseru menarik perhatian rakan yang lain. Mereka turut menjenguk dan suara kekaguman terlepas dari mulut mereka.
"Kau lukis apa?" Seorang lagi pelajar menunjuk sesuatu di kertas. "Kau conteng buku Hana lagi?"
Eva meletakkan pensel di atas meja. "Bukan dia guna buku pun."
Hana menunjal lengan Eva. "Tak payahlah serang aku!"
Terlepas tawa mereka dibuatnya. Eva sekadar menarik senyuman kecil.
"Tapi, kalau kau lukis cantik macam ni, kau guna satu buku aku pun tak apa," Hana sempat mengusik. "Cuma ... mereka ini ... orang?"
Lakaran pensel itu dilukis penuh berhati-hati, bersambung dari garisan ke garisan. Lakaran ringkas tetapi menghampiri realiti. Garis-garis halus yang melengkung membentuk tubuh seseorang, daripada kot lalu membentuk jubah, lalu perlahan-lahan membentuk kelopak yang segar, dan tengkorak helang yang tersenyum.
Di bawah, tertulis nama mereka dengan jelas. Walaupun tulisan Eva sedikit cakar ayam, namun mereka mampu membaca jelas – Bunga Matahari, Helang.
"Eh, alamak!" Hana melompat turun, memijak sesuatu.
Eva menjongket kening. "Ada apa?"
"Lipas."
"Bunuhlah cepat."
"Sudah." Hana menguis bangkai serangga itu daripada kasutnya dengan pensel.
Eva segera berdiri sambil mengacu pensel ke arah Hana. Pandangannya berubah tajam.
"Kau siapa?"
Sebelah kening Hana terjongket. Kepalanya ditelengkan apabila memandang Eva. Berasa aneh dengan pertanyaan Eva.
"Apa maksud kau, Eva?"
Eva berundur setapak demi setapak. Meja rakan belakang dijadikan sebagai benteng. Semua pelajar merenung Eva dengan mata membulat. Terkejut.
"Dia takut bunuh haiwan," Suara Eva tegas. "Lipas pun dia tak berani pijak!"
Tiba-tiba, sebuah rahang gergasi muncul dari bawah kaki Hana. Raksasa itu menganga luas menampakkan ribuan taring. Dengan sekali lahap, tali-tali yang bersambungan dengan tubuh Hana terputus. Tubuh boneka Hana hancur. Raksasa itu tenggelam semula di bawah, mengundang pekikan semua orang.
Eva mengerling ke sekitar. Tali-tali dan garis patung di sendi mereka mula terzahir. Sinar mata mereka hilang, mula menunjukkan bebola yang tidak sempurna ciptaanya.
Mereka semua boneka di dalam sebuah mainan kecil. Hanya Eva satu-satunya yang tidak terikat oleh tali-tali aneh. Menakjubkan, tali-tali itu muncul daripada garis lubang di siling. Mengapa dia tidak perasan dari awal?
Atau pandangannya yang ditutup sejak mula lagi?
"Kenapa kau tidak terima saja?"
Sebuah pintu terbuka di sisi kelas. Apabila pintu itu terbuka, tingkap dan dinding ruangan itu di permukaan turut bergerak terbuka – seolah-olah ia hanyalah sebahagian daripada lukisan realisme pada pintu.
Seseorang memunculkan diri, bercekak sebelah pinggang melihat semua boneka pelajar yang terundur ketakutan.
"Cubalah berseronok sikit?" soal tetamu itu sambil menjongket bahu. "Ini, 'kan, sama sahaja dengan dunia sebenar kau?"
Sebuah pensel dilempar ke arahnya. Kelibat itu sekadar menelengkan kepala berupa tengkorak kambing. Mengelak.
Suara Eva ternaik, "Hantar aku pulang!"
Dada Eva mula berombak. Tangannya sedikit menggigil akibat mencengkam pensel terlalu kuat. Renungannya tajam, merenung Kambing yang santai.
"Pulang?" Kambing itu menyeluk kocet seluar. "Tengok. Dari kayu, kipas, semua kawan kau. Semuanya normal."
Kambing melirik patung-patung yang merangkak laju keluar dari kelas. Semuanya ketakutan. Tidak sampai sesaat, seekor ikan gergasi muncul dari lantai melahap mereka. Lalu, ia terjun ke lantai menghasilkan percikan air yang lenyap ditelan udara.
Kambing menjawab selamba, "Mimpi inilah rumah kau."
"Kau nak menipu lagi, Penghibur?"
Senyuman Kambing mula meleret. Tatapan daripada lohong tengkoraknya menaikkan bulu roma sesiapa yang melihat.
"Bosanlah kau." Kambing membuka topeng yang dipakainya sedari tadi, menyerlahkan topeng tengkorak yang terserlah. "Macam mana kau tahu?"
"Gambar di bilik Kambing. Jam tangan dia lain," balas Eva dengan dingin. "Dia bukan kidal."
Penghibur melirik jam tangan di kiri.
Penghibur tersenyum dan tertunduk, seperti menahan tawa. Tetapi, akhirnya dia tergelak kuat. Suaranya bergaung-gaung, tidak mampu menahan rasa lucu. Siling mula mencair, meluruhkan cecair merah di sekitar mereka.
Dengan sekali rentapan, pakaiannya berubah menjadi pakaiannya yang asal – Berjaket merah menyala, seluar biru gelap separas buku lali, dan berkasut sewarna jaket yang lusuh.
"Kau pun penipu. Elok sahaja kau mendengar. Kau fikir, aku tidak tahu?" Penghibur menunjuk sebelah telinganya. "Kadang-kadang, budak itu kena diajar. Pandai dia lawan aku. Betul, tak? Betul, tak?"
Eva menekan suaranya, "Mana Tanpa Nama?"
Penghibur berpaling, lalu melangkah kembali ke pintu dan melambai. "Cubalah cari kawan kau dulu."
"Tunggu!"
Eva tidak sempat mengejar, tetapi Penghibur sudah bertepuk sekali. Pintu tertutup kemas. Gadis itu sempat menangkap tombol pintu. Tetapi, tombol itu tercabut.
Bunyi tawa lelaki itu kedengaran jengkel di telinga Eva. Gadis itu mengambil kerusi, lalu menghempas pada pintu sekuat hati. Dengan tiga kali hempasan, pintu itu hancur.
Eva meluru ke arah pintu, membuatkan setiap langkahnya menghasilkan retakan cermin. Ruangan kelas hancur menjadi serpihan kaca. Sebaik sahaja Eva menapak keluar, bunyi sesuatu yang pecah bergema. Pintu itu hancur.
Dia tiba di sebuah kawasan hutan yang tebal. Gelap-gelita. Beberapa lampu pelita tergantung di dahan, bergerak perlahan ditiup angin. Dahan-dahan berselirat menyentuh bumi, membuatkan pandangan Eva terhad.
"Sini!" Penghibur melaung, muncul di belakang sebuah pohon.
Eva berlari ke arah sana. Kelibat Penghibur hilang.
"Sini! Sini!"
"Tak, sini!"
"Bukan, sinilah!"
Ilusi ramai Penghibur yang muncul dari satu-satu masa menyakitkan mata Eva. Bunyi kekehan dan ketawa nyaring mereka membingitkan suasana. Gadis itu memegang telinganya kuat. Dia merenung kawasan sekitar. Jalan hutan terlalu memeningkan. Tiada denai, kecuali semak yang menyesakkan.
"Kenapa?"
Suara Penghibur muncul dari atas. Apabila Eva mendongak, topeng lelaki itu menyeringai kejam di hadapan wajahnya.
"Telinga kau berdarah lagi?"
Apabila Eva berkelip, kelibat Penghibur lenyap. Ilusi-ilusi lelaki itu muncul lagi di semua tempat. Eva mendengus. Dia tiada masa untuk bermain-main.
Eva mengambil langkah drastik. Dia berpaling ke arah berlawanan, membuatkan Penghibur panik.
"Bukan, bukan jalan sana! Hei!" Penghibur memanggil sambil melambai. Terdesak.
Eva tidak mendengar, terus meredah hutan meninggalkan Penghibur.
Jalan denai yang sempit perlahan-lahan semakin luas. Hutan mula condong, seperti membuka jalan untuk gadis itu. Semuanya semakin jelas.
Eva merempuh daun gergasi terakhir yang menjadi penghalang laksana pintu keluar.
Dia mesti cari Bunga Matahari dan Helang.
Eva terbeliak.
"Tebing?"
Eva berhenti mendadak, nyaris terjatuh di jurang. Batu-batu di hujung tebing sudah jatuh, lalu menghilang di dalam kegelapan rimba. Eva diserang gayat. Dia berundur, menarik nafas buat beberapa ketika.
Sedikit sahaja lagi.
Dia hampir-hampir terjatuh. Bila-bila masa, nyawanya pasti melayang. Semuanya akan menjadi sia-sia.
"Nah. Ini jalan keluar kau."
Penghibur muncul di belakang Eva. Kaki gadis itu ditendang perlahan.
Mata Eva terbuntang luas. Dia tergelincir. Dia cuba menangkap Penghibur, tetapi lelaki itu mengangkat kedua-dua tangan dan mengelak. Mengejek.
Gadis itu terjerit dan sempat menangkap hujung tebing.
Dia tidak berani memandang ke bawah. Nafas Eva laju. Tubuhnya berat, terasa seperti di awang-awangan. Tangannya berkeringat. Bunyi jantung berdendang hebat.
Penghibur mencangkung, menelengkan kepala sewaktu merenung Eva. Dia mengeluarkan sebuah ranting berduri.
Eva merenung ranting itu. "Jangan ...."
"Kau bosan, 'kan?"
Penghibur mula mencucuk tanah di antara jari-jemari Eva secara berturutan.
"Penghibur, buang ranting itu sekarang."
"Kenapa? Kau, 'kan, suka main benda ini?" Tangan Penghibur semakin laju. Dia mula menikam tanah di antara jemari Eva, membuatkan tangan Eva semakin berpeluh. Gadis itu menahan nafas.
Eva menjerit, "Simpan ranting itu cepat!"
Penghibur menusuk tanah. Nafas Eva tersekat. Dia mampu merasakan angin berdekatan jari telunjuk. Ranting itu nyaris menikam tangannya.
"Kau kata kau mahu keluar, 'kan ...?" Penghibur menyanyi malas, "Keluarlah cepat. Keluarlah. Aku tunggu ini."
Sesuatu melintas di fikiran Eva. Gadis itu merenung Penghibur.
"Jadi," kata Eva, "ini masih mimpi?"
Penghibur ternaikkan suara, "A-apa? Ini memang dunia sebenarlah!"
Nada suara Penghibur menjawab segala persoalannya. Eva merenung ke bawah.
Sesuatu menarik perhatian Eva.
"Kau mahu tahu, Penghibur?" Eva tidak memandang lelaki itu. "Aku ada seorang kawan. Dia susah bangun. Kau tahu apa caranya sedarkan dia?"
"Aku sudah cakap yang—"
Eva melepaskan cengkaman. Penghibur terkejut, segera menjenguk sambil meneropong dengan tangan.
Penghipur terpegun. "Tunggu ...."
Eva masih jatuh di udara, tidak mengendahkan Penghibur. Tajam dia merenung sebuah tasik gergasi yang mendepa luas di bawah. Satu-satunya tasik yang bersinar di bawah cahaya rembulan merah di langit, seolah-olah bersedia menyambut gadis itu.
"Tunggu, tunggu, tunggu! Siapa letak tasik di sana!" Penghibur menarik rambut.
Sebaik sahaja air menghempas Eva, rasa sakit luar biasa menyerang gadis itu. Kegelapan menerkam. Deburan air bergema diselangi teriakan sayup-sayup milik Penghibur.
"Apa kau dah buat, Tanpa Nama!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro