[ Lima ]
Kesedaran membelai kelopak matanya. Perlahan-lahan, gadis itu memaksa diri untuk mencelik. Hanya dunia yang kabur mencecah retina. Selepas berkelip beberapa kali, barulah dunia berubah jelas.
Eva mengerang perlahan sambil memegang kepalanya. Sakitnya berdenyut-denyut. Dia menukar posisi duduk dengan sebelah tangan. Lenguh. Apabila dia mengerling ke sebelah, Bunga Matahari terbaring tidak sedarkan diri. Kelopaknya kering.
"Dia sudah mati."
Suara seseorang berbisik, membuatkan gadis itu terjongket.
Seekor helang bertenggek di atas pohon mati, sedikit memalingkan diri daripada Eva. Mata satwa itu melirik Eva dengan angkuh. Tubuh si helang yang mula menunjukkan hakikat saiz yang kecil sahaja. Tidaklah seluar biasa seperti tadi.
"Siapa hantar kau?" soalan Eva berisi curiga.
"Di mana terima kasih kau, manusia?"
Bulu pelepah helang meluruh lalu berpusar di sekitar burung itu. Seperti sakti, bulu pelepahnya semakin banyak. Berpusar-pusar laksana putting beliung.
Lalu pelepahnya bercantum membentuk sebuah jasad.
Seorang wanita.
Kulitnya pucat mengingatkan Eva dengan tulang mayat. Santai wanita itu duduk di dahan seraya bersilang kaki. Jubah perang gelapnya tersarung anggun di tubuh menutupi keseluruhan diri, bersama corak bermotifkan pelepah helang. Tudung jubahnya melindungi separuh kepala yang menzahirkan bentuk tengkorak helang.
Burung-burung helang hinggap di tubuh wanita itu, menatap Eva dengan tajam.
Eva bersuara perlahan, "Helang?"
"Itu nama aku." Helang menongkat dagu dengan kukunya yang runcing. "Oh ... dia bergerak."
Tangan Bunga Matahari bergerak-gerak. Pemuda itu menderam perlahan, seperti baru bangkit daripada mimpi ngeri.
Helang melempar sesuatu ke arah Eva. "Ambillah."
Eva menangkap barang itu dengan cekap. Itu penyembur air milik Bunga Matahari. Eva memandang Helang dengan bingung.
"Cepatlah, sebelum dia mati," balas Helang dengan malas.
Eva masih curiga, namun ini bukan masanya berfikir. Dia terpaksa akur.
Air itu disembur-sembur kepada Bunga Matahari. Bunga di wajah pemuda itu mula berubah segar. Barulah pemuda itu mampu duduk, menarik nafas dengan lega. Kelopaknya yang bertindan disusun semula agar tidak berdekut.
"Syukurlah, kau hidup lagi," ujar Eva dengan lega. "Ada orang pelik kata kau sudah mati."
"Aku cakap sahaja." Paruh tengkorak Helang menarik senyuman sinis.
Bunga Matahari berdehem, seperti tindakan manusia apabila lehernya terasa kering. Agak menakjubkan, kerana leher lelaki itu hanya dahan-dahan dan daun gergasi di sekitar bunga matahari.
Bunga Matahari menguatkan diri untuk bersuara, "Siapa ... saudari ini, Cik Eva?"
Belum sempat Eva membalas, Helang sudah berubah menjadi burung lalu mengepak mengelilingi mereka. Haiwan itu bertukar menjadi bentuk asal di belakang Eva.
Apabila wanita itu berdiri, tubuhnya lebih tinggi berbanding Eva dan Bunga Matahari.Wajahnya sentiasa mendongak, sambil dia menggangguk ke suatu arah. "Kau berdua sepatutnya fokus dengan tempat sana."
Eva dan Bunga Matahari berpaling, merenung taman permainan yang seharusnya menelan mereka tadi.
Bunga Matahari bersuara tidak percaya, "Tempat itu ... normal semula."
Taman permainan yang diliputi lautan hitam dan dipenuhi ular, mula menzahirkan rupa asal. Tempatnya kecil dan dipenuhi lalang. Kebanyakan permainan sudah rosak dan berkarat. Terbiar.
Eva menghela berat, berusaha menolak perasaan asing yang menjentik hati. Jantungnya menyengat apabila kenangan lama menjengah.
Automatik kaset memorinya berputar. Dia mampu melihat dirinya yang masih kecil, duduk di buaian berkarat. Satu-satunya permainan yang belum rosak. Bosan. Ditambah lagi dengan bunyi rantai buaian yang berkarat jengkel.
Di sebelah Eva, seorang kanak-kanak tertawa kuat. Seronok dia bermain buaian selaju yang mungkin. Bunyi rantai berkarat menyakitkan telinga Eva.
"Bisinglah ...," tegur Eva.
"Kau cubalah. Seronok!"
Tiba-tiba, rantai itu terputus. Kanak-kanak bertopeng itu terhumban jauh, lalu terhentak di atas merry-go-around. Dia terjatuh lagi, lalu terjatuh di atas tanah.
Kanak-kanak itu terus melepaskan tawa lebih kuat sambil memukul tanah. Lucu. Bunga di sekitar mereka mencair menjadi darah.
Eva tersenyum geli hati. "Aku dah cakap awal-awal."
Bahu Eva disentuh Helang, merentap gadis itu ke alam sedar.
"Jangan mengelamun jauh sangat," tegur Helang sambil menoleh ke suatu tempat.
Eva baru sedar kewujudan sebuah rumah aneh, tersergam gah menjulang ke langit. Rumah itu berbumbungkan nipah dan zink, dengan ruangan kolong luas, kaki-kaki tiang yang panjang, juga tangga kayu. Rumah-rumah lain melekap pada rumah utama. Kabus muncul semula, menjadi latar rumah-rumah aneh itu.
"Penghibur marah sebab aku datang, agaknya," Wanita itu ketawa kecil.
Eva menambah, "Boleh jadi, dia mahu kita terperangkap di sini selama-lamanya."
Bunga Matahari menyeluk kocet seluar. "Seperti yang diharapkan daripada Encik Penghibur."
Eva memulakan langkah. Dia memanjat bumbung yang melekat di tanah, lalu membuka tingkap tingkat atas. Bagus. Tempat ini tidak dikunci.
Bunga Matahari yang menjenguk dari belakang tidak mampu menahan rasa ganjilnya. Luar biasa.
Rumah-rumah di sini semuanya terbalik. Namun, isi dalaman menunjukkan sebaliknya—tidak terbalik. Hanya gelap, bersama cecair hitam pekat yang mengotori dinding.
Apabila Bunga Matahari memberi ruang kepada Helang untuk naik, wanita itu sekadar bercekak sebelah pinggang.
Helang bersuara, "Wah ... kau berdua percayakan aku begitu sahaja? Macam mana kalau berpihak dengan Penghibur?"
"Kalau saudari tidak mahu naik, saya pergi dahulu," ucap Bunga Matahari, lalu melompat masuk ke dalam.
"Naifnya," ujar Helang sambil mengekori mereka, menutupi separuh wajah dengan kuku runcing. "Aku boleh tikam kau berdua senyap-senyap dengan arahan Penghibur, tahu?"
Eva sekadar melirik di sebalik bahu dan membalas, "Kalau Penghibur hantar kau, kenapa dia mahu susahkan diri tolong aku tadi?"
"Mungkin takut akan kematian itu hiburan untuk kau."
Eva tersenyum kecil.
"Kematian itulah hiburan untuk aku."
Wanita helang itu tidak menjawab. Tetapi, senyuman kecil mampu dilihat di hujung paruhnya.
Topeng-topeng tengkorak bergantungan di seluruh dinding. Seringai mereka sentiasa ditarik menjadi peneman ketiga-tiga tetamu itu. Pelbagai bakul anyaman seperti nurod, sirung dan sisiri tergantung di siling dan memenuhi beberapa tempat. Bebola mata hidup dan anggota tubuh manusia yang dikerat memenuhi bakul-bakul itu.
Sompoton gergasi—alat muzik daripada buluh yang dimasukkan di dalam buah labu air yang dikeringkan—tergantung memanjang di dinding rumah. Warnanya hitam pekat, dan beberapa bahagiannya sudah berlubang dan patah.
Wajah Eva masih kaku, namun diam-diam, dia menggosok lengan. Tidak selesa. Rasanya seperti ada mata-mata runcing yang merenung melalui lubang buluh. Tajam.
Bunyi tangisan mendayu-dayu menyapa telinga Eva. Gadis itu terhenti, merenung sebuah lorong yang gelap.
Dia kenal bunyi esakan itu.
Eva memanggil perlahan, "Tanpa Nama ...?"
Seperti mimpi ngeri, Bunga Matahari dan Helang lenyap. Hanya gerun yang menemani Eva di lorong itu. Tempat ini pun, terasa lebih panjang daripada biasa.
Lorong tempat asal-usul bunyi Tanpa Nama terlalu sepi. Bakul-bakul anyaman yang tergantung mula bergerak perlahan. Kupu-kupu kecil datang memenuhi dinding tempat itu. Apabila Eva menapak masuk, kupu-kupu itu berterbangan pergi.
"Siapa?" soal Eva akhirnya.
Daripada tangisan halus, bertukar menjadi deraman kasar. Perlahan-lahan, bunyinya semakin nyaring. Eva terundur, terlanggar tembikar di belakang. Cecair hitam pekat tertumpah. Beberapa jari manusia – tidak, jari itu milik boneka – tergeletak di lantai.
Seekor raksasa bayang-bayang, merenung Eva dengan tajam. Mata merahnya terbakar. Eva terundur, kerana saiz makhluk yang luar biasa itu memenuhi lorong rumah.
"Baguslah," keluh Eva.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro