Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

[Empat Belas]

"Macam mana dengan janji kau, Penonton?"

Suara Penghibur dan Tanpa Nama berlang-seli apabila bersuara.

"Kau sudah lupa?"

Eva merenung tasik yang memantulkan jambatan dan diri mereka dengan jelas. Jambatan itu bergoyang-goyang, membuatkan Eva agak gerun. Dia tidak yakin semua ini akan tamat dengan terjun ke dalam tasik, seperti sebelumnya.

"Kau berdua memang rindu aku sangatkah?" Eva menyindir. "Sampai kau berdua bawa aku ke sini untuk mati?"

Penghibur berjalan ke tengah jambatan sambil mendepa, "Kami bermain sahaja. Betul, Tanpa Nama? Tengoklah, sejak kau keluar dari sini, kuasa kau pun hilang."

Tanpa Nama berhenti dan menjawab, "Kau sendiri... yang paksa kami... Penonton."

Sebaik sahaja mereka berdua memetik, papan-papan jambatan itu berubah menjadi kupu-kupu. Haiwan bersayap itu terbang, membuatkan Eva terkial-kial berundur. Setiap kali dia berpijak, papan itu terbang menjadi haiwan bersayap.

Eva segera melompat ke hujung jambatan gantung. Dia selamat tiba di sebuah rumah pokok kecil. Gadis itu tertanya-tanya asal-usul rumah itu.

Penghibur melaung dari jauh, "Kau suka main anak patung, Eva?"

Rumah kayu itu bergegar kuat. Seekor anak patung kayu merangkak keluar. Berkepala lima, sebelah matanya hilang, dan bunyi sendi kayunya mengerikan. Boneka raksasa itu menerkam Eva. Eva segera melompat menangkap dahan pohon lalu menujah tinggi melepasi raksasa itu. Dia sempat mendarat, nyaris terjatuh dari lantai rumah kayu. Boneka itu tangkas berpaling, menyerang Eva.

Apabila Eva berlari ke arah jambatan kayu, kayu jambatan berubah menjadi kupu-kupu. Gadis itu berusaha melompat ke atas haiwan bersayap itu. Dia nyaris tergelincir. Eva melirik Penonton yang berdekah-dekah mengetawakannya. Boneka ngeri itu pula melompat dari papan yang terbang, berusaha menangkap Eva.

"Kau suka main dengan serangga, 'kan?" sindir Penghibur. "Atau... kau lagi suka main dengan bunga?"

Eva terbeliak.

Tiba-tiba, muncul bunga-bunga gergasi di langit. Kelopak hitam pekatnya mekar. Daun beracunnya menjalar ke semua arah. Eva yang berpijak pada seekor kupu-kupu, betul-betul ada di hadapan bunga itu.

"Argh!"

Tubuh Eva dililit dengan dahan berduri. Cecair merah pekat menitis-nitis jatuh.

"Macam mana? Seronok, 'kan?" soal Penghibur dengan teruja.

"Lembab." Eva berkata sakit hati, "Tengok belakang kau."

Sebaik sahaja Penghibur dan Tanpa Nama berpaling, berpuluh-puluh matahari mekar dari tubuhnya. Sebelah matanya yang mengalirkan air mata terbeliak. Tiada darah, namun bunga yang mekar mengejut membuatkan mereka berdua tekedu.

Bunga Matahari sudah muncul di belakang, menghalakan tangan ke arah Penghibur.

Sekumpulan helang muncul menikam bunga beracun yang melilit Eva. Gadis itu terjatuh, sebelum seekor helang gergasi menangkap tubuhnya. Mata kelam Tanpa Nama berubah tajam, merenung Bunga Matahari yang menghalang.

"Sakit...," esak Tanpa Nama dengan lemah.

Bunga Matahari terundur, terkejut apabila Tanpa Nama menarik sekuntum demi sekuntum bunga daripada tubuh remaja itu sendiri. Langsung tidak terkesan. Beberapa bahagian tubuhnya yang merekah, perlahan-lahan terkatup sendiri. Air mata Tanpa Nama yang jatuh membakar kelopak bunga, sebelum ia hilang sendiri menjadi abu.

"Suara Penghibur... lagi teruk," keluh Tanpa Nama.

"Sini!"

Eva dari atas memekik, membuatkan Tanpa Nama dan Penghibur menoleh. Eva muncul bersama Helang, berusaha menendang wajah lelaki itu.

Tetapi, Penghibur lebih pantas memetik jari.

Helang tiba-tiba hilang. Eva terjatuh di atas jambatan. Jambatan itu bergoyang-goyang.

Eva awalnya panik, namun tenang apabila sedar Helang hanya berubah menjadi kecil seperti helang biasa.

"Dari mana mereka semua datang?" Penghibur seperti berbicara dengan Tanpa Nama.

"Encik-encik berdua tidak boleh berbincang tanpa kami!" Bunga Matahari menaikkan suara.

Helang berubah menjadi jasad manusia dan membalas dingin, "Lebih baik berbincang dengan kami dahulu."

Di hujung jambatan, Kambing tercungap-cungap selepas memanjat dari pohon. Dia tertunduk sambil mengesat tengkorak kambingnya. Lelah.

"Penat juga panjat dari bawah sampai atas ini...," keluh Kambing.

"Cik Eva!" Bunga Matahari melempar sesuatu ke arah si gadis. Eva menangkap dengan kemas.

Sebuah batang kayu.

Eva merenung Tanpa Nama dan Penghibur. Lelaki itu sekadar merenungnya berang.

"Kau takut, Eva?" sindir Penghibur sambil menarik senyuman senget. "Kenapa? Kau sahaja yang boleh cederakan kami, 'kan?"

. . .

"Kau mahu ke mana...?"

Suara Tanpa Nama menyentakkan Penonton. Kanak-kanak itu berpaling dengan wajah yang pucat. Dia terhenti di tengah taman, tidak sempat menghampiri pagar gergasi yang menjadi batas dunia mereka.

Tanpa Nama berdiri tidak jauh dari belakang. Gerimis mula jatuh menimpa mereka. Kedinginan yang luar biasa menjadikan kulit mereka hampir biru.

Penghibur menarik senyuman lebar. "Matahari pun belum naik. Apa kau buat di sini? Betul, Tanpa Nama?"

Tanpa Nama tidak membalas.

Penonton meneguk beberapa kali. Resah.

"Aku... mahu keluar."

Kanak-kanak perempuan itu terkejut mendengar suaranya yang sedikit gagap.

Tanpa Nama dan Penghibur merenung Penonton tidak berkelip. Tajam.

"Kau mahu pergi begitu sahaja?" suara Penghibur semakin keras. "Sebab apa? Sebab manusia itu?"

Penonton tersentak. Tanpa Nama pasti sudah beritahu tentang perkara itu. Tetapi, Penonton tidak berani mengangkat kepala.

"Aku mahu keluar...," balas Penonton perlahan, tetapi tekad. "Aku mahu lihat dunia luar. Bukan terperangkap dengan tempat kecil macam ini. Aku mahu jumpa makhluk yang sama seperti kita di tempat lain. Aku mahu jumpa manusia."

"Tetapi nama kau Penonton!" Tanpa Nama menjerkah.

"Itu bukan nama aku lagi," Kanak-kanak itu membalas tegas. "Nama aku Eva."

Tanpa Nama menjerit sekuat hati, sehingga seluruh dunia bergegar kuat. Kabus di sekitar pecah menghilang di udara. Eva tertunduk sehingga menekap telinga kuat-kuat.

Tanpa dijangka, Tanpa Nama menyerang Eva. Eva menendang Tanpa Nama, sementara Tanpa Nama menumbuk Eva. Mereka bergelut untuk beberapa waktu. Eva ditolak sehingga terjatuh.

"Kalau kau mahu keluar seperti mereka, kau pergi mati sahajalah!" Tanpa Nama berteriak berang. Penghibur yang memerhati terkekeh-kekeh dari dalam.

Eva mengambil sebuah kayu di belakang. Sebelum Tanpa Nama mencekiknya, kanak-kanak itu memukul kepala lelaki itu sekuat hati.

Serentak, dunia menjadi gelap. Tanah yang dipijak ditelan bayangan. Hanya pagar di belakang Eva masih berdiri kukuh, tidak terkesan. Tanpa Nama terjatuh, memegang kepalanya yang perit. Kesan rekahan terlihat di bahagian dahi. Air mata Tanpa Nama jatuh dengan lebih deras.

Eva pula terkedu dengan kayu yang dipegang. Hairan bercampur takjub. Untuk kali pertamanya, dia melihat Tanpa Nama tercedera. Padahal, lelaki itu sukar benar dilukai makhluk lain.

Atau adakah kerana dia sebahagian daripada mereka?

Penonton?

Eva terundur beberapa tapak, melempar dahan kayu itu jauh-jauh. Lekas-lekas gadis itu berlari pergi. Nafasnya laju. Wap berkepul-kepul dari mulut. Kanak-kanak itu segera pergi meninggalkan pagar gergasi, satu-satunya sesuatu yang tidak hilang ditelan kegelapan.

Dia akan bebas!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro