[ Empat ]
Taman permainan, destinasi mereka yang seterusnya. Eva hanya mampu berdoa agar inilah tempat terakhir yang perlu dilepasi demi menemui Hana. Sedangkan penghibur itu percaya bahawa nyawa manusia tidak ubah seperti patung-patung pentas yang layak dipertontonkan. Suatu fikiran ngeri muncul di minda Eva—bagaimana seandainya semua usaha selama ini sia-sia?
"Cik Eva risaukan sesuatu?"
Soalan daripada Bunga Matahari menyedarkan Eva. Dia tidak sedar lecak di jalan sudah digantikan rumput kelabu.
"Sebab itulah aku di sini," balas Eva.
"Apa yang Cik Eva cari?"
"Sahabat aku, atau mungkin... keluarga aku," balas Eva tanpa memandang Bunga Matahari, "Dialah nyawa aku."
"Cik Eva nampaknya rapat dengan dia."
Eva tersenyum seraya merenung kaki sendiri. Wajah kanak-kanak yang polos dahulu bersama tawa riang, menjentik nostalgianya. Suara Hana yang bercerita di bawah cahaya matahari, tentang rakan-rakannya, tentang bukit, dan anak patung.
Gadis itu berkata tekad, "Itulah sebabnya aku mesti cari dia."
"Tetapi, kenapa Encik Penghibur sampai turun tangan?"
Soalan Bunga Matahari tidak sempat dijawab apabila bunyi sesuatu menyapa mereka. Mereka berdua terundur apabila bayang-bayang hitam mula malahap seluruh tanah. Eva tidak lagi berpijak pada bumi, melainkan rona hitam pekat yang basah.
"Air?" getus Eva.
"Air ini cuba telan kita, Cik Eva!" jerit Bunga Matahari.
Air itu perlahan-lahan memanjat kaki mereka. Eva cuba mengesat rona hitam daripada kaki, namun bayang-bayang itu masih gigih memanjat. Sesekali, tangan-tangan kecil terlihat daripada bayangan yang berusaha melekat.
Taman permainan pula, entah sejak bila sudah berubah. Semua permainan berubah gergasi, menjadikan Eva dan Bunga Matahari sekerdil tupai. Jongkang-jongket sudah terapung jauh. Buaian pula tidak melekat di tanah, terawang-awang. Jam gergasi berdetik di belakang, sampah yang bergentayangan, loceng timbul daripada antah-berantah, juga topeng-topeng yang menyeringai di langit. Tiada sesiapa yang tahu dari mana semua barang tidak penting itu muncul.
Bunga Matahari melempar kelopak bunga ke sekitar. Bunga gergasi mula mekar, memberi peluang kepada mereka untuk memanjat. Namun, sekejap sahaja ia berubah layu dan tumbang.
Eva sempat berpaut pada sehelai daun berdekatan, lalu melompat ke arah gelongsor gergasi.
Bunga Matahari berpijak dari bunga ke bunga, lalu mendarat di sebelah Eva. Apabila dia menyentuh gelongsor, bunga-bunga mataharinya tadi sudah tenggelam ditelan lautan gelap.
"Kau tidak apa-apa?" soal Eva, sedar Bunga Matahari sudah layu.
Pemuda itu meraba-raba poket mencari sesuatu. Dikeluarkan penyembur air, lalu disembur pada kelopak. Namun, alatannya terlepas.
Eva sempat menangkap penyembur dan membantu Bunga Matahari bernafas dengan baik. Barulah kelopak Bunga Matahari segar semula.
"Maaf, Cik Eva," kata Bunga Matahari sambil mengelap sisa air yang menitis pada pakaian. "Saya habiskan terlalu banyak tenaga."
"Terima kasih," ucap Eva sambil mengangguk.
Seandainya Bunga Matahari seperti manusia, pasti pemuda itu tersenyum sekarang. Tetapi, waktu rehat mereka tamat apabila mendengar bunyi desisan.
Beratus-ratus ular hitam muncul daripada lautan gelap, merayap pada gelongsor. Mata merah binatang itu menyala-nyala menatap santapan mereka.
"Lari cepat!" seru Bunga Matahari.
Mereka berdua berusaha memanjat gelongsor yang dirasakan licin. Apatah lagi, saiz gelongsor itu terlalu besar. Apabila mereka tergelincir, lekas-lekas mereka mencengkam benteng plastik di sebelah. Dipanjatnya lagi gelongsor itu, sementara desisan ular semakin dekat.
Bunga Matahari berjaya tiba di tempat paling atas, tetapi Eva masih terperangkap. Gadis itu nyaris tiba di tempat paling atas. Tetapi, dia tersilap langkah. Dia terjatuh.
"Cik Eva!" panggil Bunga Matahari dengan cemas.
Semua ular di bawah sudah menayang taring. Mata binatang-binatang itu terbakar tidak sabar mahu melahap tubuh Eva.
Sebatang dahan tersembul dari tangan Bunga Matahari. "Tangkap, Cik Eva!"
Eva terkejut, segera menangkap dahan yang meluru ke arahnya. Ditangkapnya dahan itu, sebelum tumbuhan itu layu.
"Cepat!" seru Bunga Matahari sambil menguatkan pegangan pada dahan yang layu. Bunga pada wajahnya bertukar gelap. Kelopaknya mengering.
Eva menguatkan cengkaman pada tali harapan sambil memijak gelongsor persis mendaki. Dengan sepenuh hati, dia memanjat tali itu ke puncak. Ular-ular mula menyusur melalui kaki gelongsor, menghampiri Bunga Matahari. Tangan pemuda itu sudah berkeringat, menarik dahan itu sekuat hati.
Dahan itu hampir tercarik. Sedikit demi sedikit, ia nyaris terputus. Eva menahan nafas, memaksa tangannya mendaki secepat mungkin. Seekor ular sudah mengembangkan leher, bersedia menyerang.
"Di belakang, Cik Eva!" laung Bunga Matahari.
Eva menoleh sekilas.
Ular itu meluru ke arah si gadis sambil menayang taring. Laju ia mematuk Eva.
Tetapi, Eva sempat melompat tinggi dan mendarat di atas kepala si ular. Dia menujah ke sisi, lalu mengelak serangan ular lain. Nafas Bunga Matahari tertahan-tahan. Satu demi satu ular sudah mula menyerang Eva.
"Tarik!" laung Eva sewaktu semakin menghampiri puncak gelongsor.
Bunga Matahari mengerah seluruh kekuatannya menarik Eva. Bunga di kepalanya sudah berpeluh-peluh. Tetapi, seekor ular muncul di belakang pemuda itu.
Bunyi desis ular menyentakkan Bunga Matahari. Tanpa memberi ruang, ular itu segera menerkam pemuda itu.
"Elak!" teriak Eva yang baru tiba di atas.
Mereka berdua segera berpecah. Serangan ular tersasar. Mereka bergegas menuju ke tangga, lalu terkial-kial melompat turun. Habis lencun kot Bunga Matahari akibat peluh melampau. Tergesa-gesa dia mengesat pakaiannya dengan sapu tangan sambil menyelamatkan diri.
Di hadapan mereka, sebuah jongkang-jongket terapung berdekatan tangga gelongsor. Mereka memecut sekuat hati, lalu melompat tinggi menangkap hujung tempat duduk jongkang-jongket. Eva berjaya melompat ke atas, diikuti Bunga Matahari.
"Cik Eva tidak apa-apa?" soal Bunga Matahari termengah-mengah.
"Macam mana dengan kau?"
"Kering sedikit."
Topeng-topeng yang terapung di semua arah memerhati mereka berdua bersama seringai lebar. Eva dan Bunga Matahari mengelak, melompat dari sampah ke sampah, nyaris dilanggar kapal mainan, lalu melompat di atas jam loceng. Tiba-tiba, jam itu berdering nyaring. Mereka terjatuh di atas sampan kertas yang teroleng-oleng menyelusuri taman permainan gergasi.
Bunga Matahari benar-benar layu, sehingga Eva menyembur air kepada pemuda itu beberapa kali. Apabila Eva mendongak, topeng-topeng gergasi itu sudah tersengih di atas mereka. Lohong mata topeng yang hitam merenungnya tajam, seolah-olah ingin menelan jasad Eva di dalam kegelapan.
Suara Penghibur bergema lucu apabila menyindir, "Macam mana?"
Eva menahan nafas.
Air mata merah mengalir daripada semua topeng itu apabila berkata, "Sekarang kau bosan lagi, Cik Eva?"
Tiba-tiba, kapal yang dinaiki mereka terumbang-ambing tidak stabil. Mereka berdua terpaksa berpaut pada hujung kapal.
Sebuah sarung tangan gergasi serona hitam muncul dari sebalik salah sebuah topeng itu, lalu menjentik kapal mereka. Eva dan Bunga Matahari terjerit apabila terjatuh. Mereka hampir ditelan lautan bayang-bayang yang gelap. Namun, muncul buaian yang kebetulan melepasi mereka.
Mereka terjatuh di atas buaian.
Eva terhuyung-hayang apabila berdiri, memegang kepalanya yang sakit. Bunga Matahari pula berpaut pada sisi tempat buaian. Pening.
Ular-ular memanjat kaki buaian sambil berdesis. Eva mendongak, tersedar haiwan itu semakin menghampiri puncak buaian. Ular lain sudah menunggu di sampah lain yang terapung-apung, memerangkap mereka.
"Apa kita mesti buat?" soal Eva, cemas.
Bunga Matahari pun tidak pasti. Rantai buaian sedikit bergoyang apabila ular-ular itu menyusur mendekati mereka. Mata binatang itu bersinar lapar.
Eva tersedar sesuatu, menunjuk ke arah kuda penunggang spring. "Sana!"
"Tetapi, kita jauh, Cik Eva," balas Bunga Matahari.
"Kita boleh gerakkan buaian ini."
Bunga Matahari mengangguk. Mereka tiada pilihan.
Mereka mula berpegang pada sisi buaian, melompat ke hadapan dan ke belakang. Tempat buaian itu mula bergoyang perlahan, mengikuti alur mereka. Ular-ular itu sudah merayap di atas rantai buaian.
"Kuat lagi!" laung Eva.
Buaian itu dihayun lebih kuat. Semakin lama, semakin laju. Bunyi keriut besi buaian mula kedengaran. Ular yang mendekati mereka bergerak-gerak, hampir terjatuh.
Sebaik sahaja buaian itu terhayun ke hadapan, Bunga Matahari menjerit, "Lari!"
Ular-ular di atas menjatuhkan diri ke arah mereka. Eva dan Bunga Matahari sudah memecut dan melompat sekuat hati. Salah seekor ular berusaha mematuk Bunga Matahari, namun tidak mengena.
Mereka berdua berjaya mendarat di atas kuda penunggang spring. Eva tergelincir, membuatkan Bunga Matahari terkedu. Eva terjatuh. Gadis itu segera berpaut pada tempat pemijak kuda. Pemuda itu menghela lega.
"Cik Eva, kita pergi di pemanjat sana!" laung Bunga Matahari sambil menunjuk suatu arah. Eva mengangguk.
Sewaktu topeng-topeng di langit sekadar menjeling jengkel, Eva dan Bunga Matahari sudah mendarat di atas pemanjat tali. Tali pemanjat tidak rata dan kesat, memudahkan mereka untuk berpaut.
"Kita mesti ke mana?" soal Bunga Matahari.
Eva diam. Penghibur sedari tadi memerhatikan mereka dan mengeluh. Pasti lelaki itu akan merosakkan segala-galanya jika rancangannya diketahui.
"Ikut aku," kata Eva akhirnya, sambil melompat turun di atas batu terapung.
Mereka melompat melepasi sampah-sarap di sekitar. Sesekali mereka mengelak ular yang cuba mematuk, dan berjaya mendarat di atas sebuah merry-go-around. Eva bergegas ke arah tin kosong yang tidak bergerak sedari tadi.
Tin itu berada di hujung taman. Eva sendiri melihat tin itu dengan mata kepala sendiri. Tidak bergerak, sekadar terawang-awangan.
Jika dia tidak silap, pasti tin itu membawa mereka ke pintu keluar.
Selepas melepasi halangan demi halangan dan mengelak serangan ular, senyuman kecil terbit di wajah Eva. Mereka mendarat di atas kasut, lalu melompat ke arah gumpalan kertas. Mereka hampir tiba.
Mata Bunga Matahari terbuka luas. Dia mampu melihat sebuah pagar hitam di penghujung laluan, juga tanah di sempadan lautan hitam. Semangat mula terbit di dalam jiwa mereka.
Jalan keluar.
Mereka menujah tinggi melepasi lautan gelap. Bunga Matahari menghala tangan ke bumi.
Sekuntum bunga matahari mekar, menangkap tubuh mereka berdua. Lekas-lekas mereka melompat dari bunga ke bunga, dan menujah tinggi ke atas tanah.
Penghibur yang sekadar duduk diam sambil menongkat pipi, tersenyum senget.
"Tidak semudah itu."
Eva dan Bunga Matahari belum menyentuh tanah. Tanpa dijangka, tempat itu berubah menjadi lautan bayang. Sampah-sampah yang terapung hilang lalu bertukar tempat. Pagar hitam yang terlihat di hadapan lenyap.
Ular-ular hitam sudah menunggu di bawah.
Eva panik, segera menangkap sebuah tin terapung. Tetapi, apabila Bunga Matahari mendarat di atas tin, tin itu bergoncang kuat. Pegangan Eva terlepas.
Bunga Matahari menjerit, "Cik Eva!"
Sebuah dahan tersembul dari sebalik kot Bunga Matahari. Namun, baru sahaja Eva berpaut pada dahan itu, tali pergantungannya putus. Dahan itu mereput. Bunga Matahari terkedu.
Masa seakan-akan bergerak perlahan. Eva pula terbuntang luas apabila tubuhnya jatuh. Ular-ular di bawah sudah menganga, bersedia menangkap gadis itu. Dia mampu mendengar panggilan Bunga Matahari, juga tawa topeng-topeng yang bergema ke seluruh dunia.
Tidak guna.
Berbanding takut, rasa jengkel meluap-luap daripada diri Eva.
Sampai di sini sahajakah pengakhirannya?
Bunyi binatang yang menggauk menyentakkan Eva. Seekor haiwan bersayap meredah lautan sampah terapung, lalu menangkap gadis itu. Eva terkejut, lekas-lekas menoleh.
"Helang?" getusnya tidak percaya.
Seekor helang gergasi berjaya menyelamatkan gadis itu. Mata emasnya menyala, melepasi setiap halangan dengan mudah. Eva sendiri berpaut pada leher si helang yang besar.
Burung helang itu menggauk seraya terbang ke arah Bunga Matahari. Pemuda itu menunduk takut dirempuh Si Helang. Tetapi, burung itu mengepak mengelilingi pemuda itu, seperti memberi petunjuk.
Lelaki itu akhirnya faham, berundur beberapa tapak. Dia akhirnya berlari ke hadapan lalu melompat ke arah helang. Sempat dia berpaut pada bulu pelepah haiwan itu, memanjat lalu duduk.
"Terima kasih, saudara!" seru Bunga Matahari.
Bunyi keluhan kasar Penghibur bergema lantang sehingga mereka menekup telinga. Burung itu tidak terkesan, meluncur laju melepasi sampah-sampah terapung. Ular-ular yang cuba menerkam dari atas sempat dielak.
Tiba-tiba, ombak bayang-bayang gergasi muncul di hadapan. Habis semua barangan terapung ditelan tanpa ampun. Besarnya mengalahkan saiz tsunami. Eva dan Bunga Matahari menunduk cemas. Tetapi, semakin laju pula penerbangan binatang itu.
Rempuhan dahsyat membuatkan telinga Eva berdesing kuat. Kesedarannya lenyap serta-merta. Pegangannya terlepas.
Dia terhempas di suatu tempat yang keras, membuatkan rasa sakit menyerang. Namun, matanya tidak mampu dibuka. Hanya gelap yang masih bertandang.
Untuk beberapa lama, hening.
Sehinggalah, suara seseorang menyambutnya, "Kau tidak sepatutnya datang ke sini, manusia."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro