Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

[Dua Belas]

"Nama aku bukan Penonton."

Tatapan Eva masih kosong tanpa perasaan, apabila menebut nama lamanya. "Aku Eva."

"Baiklah... Eva." Penghibur menelengkan kepala, mengejek. "Aku sudah sejauh ini semata-mata hiburkan kau ...."

"Kau ingat aku boleh ketawa lepas kau cederakan kawan-kawan aku? Kau cuba bunuh aku! Kau cederakan Tanpa Nama!"

Suara Eva menggaung-gaung di dalam belantara. Nafas gadis itu laju. Tangannya dikepal. Penghibur terdiam, tidak berkelip merenung gadis itu.

Sesaat, Penghibur tersenyum.

Penghibur tertawa kuat sehingga memegang perut. Suaranya tidak lagi lantang, tetapi terdengar seperti tawa manusia biasa. Sudah tentu—sentiasa menjengkelkan di telinga Eva.

Selepas tawa Penghibur terhenti, remaja itu santai membalas, "Aku? Cederakan Tanpa Nama?"

Hujung nadanya ditekan. Eva berundur apabila rekahan di topek tengkorak semakin membesar. Penghibur terus melangkah mendekati sahabat lamanya. Namun, Eva yakin tiada senyuman di wajah lelaki itu seperti biasa.

"Kau tinggalkan kami berdua ...."

Retakan di wajah Penghibur tertanggal satu-persatu.

"Dan lupakan kami ...."

Mata Eva membulat. Topeng tengkorak itu hancur keseluruhan, menyerlahkan kesan parut di dahi kiri. Sepasang mata nilam dan kirmizi menatap Eva dengan tetapan membara. Rambut hitam pekat berjuntaian, nyaris melindungi air mata mengalir deras dari mata kiri lelaki itu. Tiada kesedihan, hanya dendam.

Suara Tanpa Nama menjerit berang, "Aku bukan macam kau!"

. . .

Dia tidak pernah mempersoalkan asal-usul kewujudannya di dunia yang fana. Sejak awal lagi, dia hanya berdiri di antara bukit-bukau yang diselimuti awan, menghuni sebuah tempat jauh di puncak bukit. Dia berdiri di sebalik pagar hitam gergasi yang menjadi perantara dunia manusia dan dunia mimpi. Sekadar merenung ke langit, menatap pemandangan gunung gergasi yang berdiri gah.

Inilah dunia yang berbeza daripada dunia berbeza. Mereka berkongsi dunia yang sama, seperti cermin.

Bukan dia tidak pernah melihat topi yang boleh bercakap, alat muzik yang berbunyi sendiri, ataupun selipar yang mampu berjalan tanpa tuan. Tidak mustahil jika ada raksasa bernama Pokok, ataupun Matahari, dan Bulan.

"Penonton! Sinilah!"

Panggilan seorang budak kecil mengejutkan dirinya. Penghibur tertawa apabila melihat Penonton, berlarian masuk ke dalam sebuah taman yang luas. Penonton tidak membantah, sekadar akur kata-kata Penghibur. Berbanding topeng Penghibur, topeng Penonton sekadar wajah putih kosong, bersama sepasang mata yang tersenyum—seolah-olah terhibur dengan gurauan sahabatnya.

"Tengok... kupu-kupu," ujar Penghibur, lalu mencabut sayap-sayap serangga itu.

"Apa kau buat?" soal Penonton.

Penghibur membiarkan kupu-kupu itu bergerak tidak tentu dengan kaki sendiri. Kanak-kanak itu tertawa kecil apabila berkata, "Dia tidak boleh terbang lagi!"

Penghibur menganggap semua perkara sekadar jenaka. Sesiapa yang melalui kawasan mereka, akan disesatkan Penghibur. Penonton memerhatikan sahaja kabus tebal yang menutupi pandangan manusia, sebelum makhluk-makhluk fana itu terjerit terjatuh ke dalam gaung. Jatuh, jauh ke dalam hutan di bawah, menenggelamkan teriakan mereka.

"Mereka tidak perasan langsung!" Penonton tidak mampu menahan diri, tergelak kuat sehingga memegang perut.

Bukan sekali juga Penonton melihat Penghibur terkekeh sendiri, merenung seekor ayam di dalam kurungan yang mematuk-matuk tanah. Apabila Penonton mendekati, barulah dia sedar ayam itu mematuk ayam lain yang sudah mati. Melahap sisa daging rakan yang ada.

"Ayam ini tidak tahu pun ini daging saudara dia!" Penghibur menunjuk kurungan.

Penonton tersenyum. Lucu juga.

Awalnya, dia fikir Penghibur sekadar seorang budak lelaki nakal yang suka berjenaka. Tetapi, sesekali dia melihat Penghibur teresak-esak, bersendirian dari yang lain. Penonton pernah menegur, tetapi Penghibur tidak berminat mahu bercerita.

Pandangannya berubah apabila dia bertemu seorang budak kecil yang duduk di bawah pohon. Tubuhnya terselindung di sebalik kelabu, namun Penonton kenal topeng lelaki itu.

Budak kecil itu mencangkung di bawah pohon, menekap telinga dengan kuat. Air mata menitis-nitis dari topengnya. Tangisannya mengundang rasa aneh di dalam diri Penonton.

"Kenapa kau menangis?" Penonton menegur.

"Penghibur marahkan aku ...," balas kanak-kanak itu, "Dia kata, aku selalu menangis ...."

Penonton menyengetkan kepala. Hairan. Sesaat, Penonton sedar topeng tengkorak kanak-kanak itu berbeza. Tidak tersenyum, tetapi bersedih.

Penonton mencangkung di sisi kanak-kanak itu, ingin tahu. "Kau siapa?"

Kanak-kanak itu menarik nafas, berusaha mengambil ruang untuk bersuara. Suaranya tersekat-sekat akibat esakan sendiri.

Dia akhirnya memberitahu, "Tanpa Nama."

"Jadi, siapa Penghibur?"

"Itu aku!"

Penonton terundur. Suara Tanpa Nama berubah drastik. Tiada serak, bernada ceria. Apabila Penonton berkelip, topeng Tanpa Nama berubah menjadi Topeng Penghibur.

"Dia selalu menangis. Nye... nye... nye... manja." Penghibur mengecilkan suara seperti mengejek. "Mata aku sakit sebab dia!"

"Tetapi, dia menangis sebab kau."

"Aku minta maaf ...."

Tiba-tiba, personaliti Penghibur berubah. Apabila Penonton berkelip, topeng lelaki itu berubah menjadi topeng Tanpa Nama.

Kanak-kanak itu menanggalkan topeng dan tertunduk mengesat air matanya. "Aku minta maaf...."

Kanak-kanak itu menyarung topeng, tetapi Penonton melihat topeng yang disarung ialah milik Penghibur. Sekejap sahaja Penghibur bercekak pinggang dan membebel.

"Jadi, kau jangan bising! Aku tidak boleh tidur kalau kau menangis lagi!"

"Aku... aku tak menangis." Sekali lagi, Tanpa Nama teresak-esak. "Air mata aku keluar sendiri...."

Penonton terkelip-kelip memandang mereka berdua. Setiap kali Penghibur bersuara, beberapa ekor serangga jatuh lalu hancur menjadi debu. Apabila Tanpa Nama teresak-esak, air matanya menukar rona rumput menjadi hitam.

Mereka berdua, adik-beradik yang aneh.

. . .

"Apa rasanya... melihat dunia luar?"

Penonton pernah bertanya, sewaktu Penghibur tergantung pada palang atas buaian. Buaian milik Penghibur sudah terputus. Hanya Penonton yang sekadar duduk di atas buaian. Di belakang mereka, sebuah jurang gergasi dipenuhi boneka-boneka yang patah-riuk. Di hadapan mereka, ialah sebuah rumah yang sudah lama terbiar.

"Hutan inilah dunia kita. Kau mahu buat apa dengan dunia luar?" Penghibur bertanya, lalu pemandangan berubah. Mereka sudah berdiri di dalam belantara. Boneka-boneka tergantung di pepohon.

"Tengok, itu kawan-kawan kita," ujar Penghibur sambil menunjuk semua boneka itu. "Itu pun kawan kau."

Penghibur menunjuk orang-orang.

"Di sana."

Penghibur menunjuk raksasa dan dahan yang merangkak di pohon.

"Dan di sana juga."

Penghibur menunjuk rumah-rumah sunyi pada sebuah gunung gergasi.

"Tempat ini sudah luas. Kenapa kau mahu keluar?" Penghibur terkekeh sambil melompat-lompat berjalan di hadapan.

Penonton tertunduk. Serba salah.

"Maksud aku," ujar Penonton, "dunia manusia."

Penghibur terbersin sehingga topengnya tertanggar. Kanak-kanak itu terbatuk keras beberapa kali, sebelum Penonton sedar bahawa dia sebenarnya ketawa. Apabila Penghibur menyarung topengnya semula, topengnya berubah sedih.

"Kau mahu pergi...?" suara Penghibur berubah menjadi milik Tanpa Nama.

"Tidak... aku cuma...," Penonton tergagap, "Aku cuma terfikir...."

Tanpa Nama menanggalkan topeng, sebelum suaranya berubah menjadi Penghibur. "Tanpa Nama! Jangan mencelah kalau aku bercakap!"

Penghibur mendengus, dan merenung Eva semula bersama senyuman. "Kau Penonton kami. Dunia ini sahaja sudah cukup. Apa gunanya Penghibur tanpa Penonton?"

Nada Penghibur seperti gurauan, tetapi tatapannya tajam. Penonton mengalihkan pandangan. Senyuman Penghibur melebar, tetapi ada sesuatu yang tersirat daripada wajahnya.

"Oh, oh! Aku tahu!" Penghibur memetik jari. "Jangan-jangan...."

Jari telunjuk kanak-kanak itu dihala ke arah Penonton.

"Kau sembunyikan sesuatu daripada kami, 'kan?" 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro