Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

[ Dua ]

Eva tidak mampu berkelip apabila tiba di sebuah taman luas, yang dipenuhi bunga nan muram. Kabus sudah pergi, mempersembahkan tumbuhan yang senantiasa menanggung resah. Tempat yang dipijak terasa berlecak dibasahi hitam pekat. Tiada serangga. Tiada apa-apa, melainkan jalan-jalan kecil yang dihimpit tumbuhan.

Pandangan Eva tertancap kepada beberapa orang-orang yang berdiri di antara taman bunga. Patung-patung penjaga yang selalu terlihat di sawah padi itu, kini menyeringai dengan kesan jahitan yang tertarik di wajah. Kayu tubuh orang-orang itu terpacak dalam pada tanah. Kaku.

Eva mengalihkan pandangan, menyelusuri laluan kecil yang berselirat. Renungan orang-orang itu tidak diendahkan lagi.

Bunyi daun bergerak menyapa telinga. Eva segera berpaling.

"Hmm?"

Mungkin perasaan Eva, atau orang-orang itu terasa agak dekat berbanding tadi?

Eva meneruskan langkah. Tidak berminat berfikir lebih.

Sebatang ranting patah. Eva menoleh. Sekali lagi.

Tiada apa-apa yang berlaku. Hanya orang-orang tidak bernyawa yang berjaga. Namun, entah mengapa, kedudukan mereka lebih dekat. Sesuatu yang mustahil berlaku, kerana mereka tidak mampu bergerak walau seinci.

Eva menyambung perjalanan, hanya kali ini sedikit laju. Bunyi besi berlaga mengejutkan gadis itu. Dia segera berpusing.

Orang-orang tadi sudah berkumpul tidak jauh di belakang. Mata butang mereka yang pudar merenung Eva dengan tajam. Senyap tidak berkutik. Parang dan sabit bersandar di sisi kaki mereka.

Eva berlari menyelusuri laluan yang semakin berlecak. Kakinya sudah tenggelam sehingga buku lali. Seliparnya tercabut. Bunyi percikan lumpur dan bilah besi membuatkan Eva pucat. Dia seperti dikejar berpuluh-puluh manusia.

"Habislah."

Eva berkata perlahan apabila tanaman bunga mula menebal secara luar biasa. Dia tidak mampu melihat kawasan di luar akibat dinding tumbuhan yang tinggi. Bunga-bunga yang penuh berwarna perlahan-lahan berubah hitam. Cecair merah menitis-nitis daripada kelopak, membuatkan gadis itu terlupa untuk bernafas.

"Pergi!" Eva melempar gumpalan tanah ke belakang.

Gumpalan itu tersasar lalu mendarat di bumi. Eva terpegun. Matanya tidak berkelip, merenung jalan belakang yang sepi. Nafasnya masih laju.

Kelibat orang-orang tadi lenyap. Tiada sebarang jejak langkah, berlawanan dengan jangkaannya tadi sewaktu mendengar derap larian. Terlalu senyap.

Bunyi pisau berlaga di belakang menerjah. Mata Eva terbeliak.

Sebaik sahaja dia berpaling, semua patung penjaga itu sudah menunggu di belakang. Seringai mereka basah dengan cecair merah. Tangan-tangan yang terbakar terkeluar dari tubuh patung, menghalakan bilah-bilah berkilat ke arah si gadis. Sebilah gunting terbuka luas, bersedia memotong leher Eva.

"Ah!" Eva sempat berundur, lalu gunting itu tertutup kuat. Senjata-senjata itu nyaris menikam tubuhnya, tertusuk tanah. Jaraknya hanya seinci daripada kaki Eva.

Eva memecut mahu menyelamatkan diri. Apabila dia menoleh ke belakang, orang-orang itu merangkak mengejar dengan tangan hodoh. Kepala mereka berpusing ke arah ganjil. Bulu roma Eva menegak.

Jalan-jalan di taman seperti tidak berpihak kepadanya. Kakinya semakin tenggelam setiap kali berpijak. Rasanya seperti ada sesuatu yang berusaha menarik Eva ke dalam bumi. Jalan di hadapan pun lebih panjang daripada yang dilaluinya, lebih gelap dan lebih berlecak.

"Tak boleh jadi," getus Eva.

Dia cuba merempuh dinding berbunga. Jeritannya terlepas, sebelum dia menarik tubuhnya kembali.

"Lelaki itu... dia memang," getus Eva dengan geram, memegang cecair merah yang mengalir daripada bahu.

Dinding-dinding berbunga itu terselak sedikit, menyerlahkan isi di dalam. Beribu-ribu pisau, sabit, gunting, duri, dan benda-benda tajam tersimpan senyap. Bilahnya berkilat hauskan darah.

Apabila Eva sedar orang-orang itu semakin mendekat, tergesa-gesa dia melajukan larian. Dia nyaris terjatuh akibat tanah yang semakin dalam, sebelum menstabilkan diri. Rasa perit di bahunya masih menyengat.

Sayup-sayup, bunyi tawa seseorang menggaung tanpa henti, menenggelamkan semua bunyi adrenalina yang menyerang. Eva segera menekup telinga sambil memejam erat. Denyut kepalanya menyerang lagi. Penghibur sedang mentertawakan dirinya.

Eva menjerit sekuat hati, "Diam!"

Gema tawa menjengkelkan itu lenyap. Gadis itu akhirnya dapat bernafas, lekas-lekas membelok ke jalan lain. Terlalu banyak jalan di kiri-kanan laluan. Namun, dia tidak tahu laluan mana yang membawa kepada jalan keluar.

Eva terhenti.

Sekumpulan raksasa serigala dan anjing sudah menunggu di hujung jalan. Tubuh mereka terlalu besar, sehingga melebihi benteng bunga ini sendiri. Deraman mereka bergema lapar. Mata merah mereka menyala-nyala, bersedia menerkam si mangsa.

Tubuh raksasa-raksasa itu hitam gelap, seperti bayang-bayang yang telah digubah menjadi pemangsa.

Eva segera mengambil jalan lain. Lolongan dan salakan binatang itu membunuh bunga-bunga di belakang. Setiap gema haiwan membuatkan semua bunga itu meletup dengan merah. Pekikan nyaring para patung penjaga semakin dekat di belakang.

Sebuah tangan hitam tersembul dari tanah dan menangkap kaki Eva. Gadis itu terjerit sebelum tersembam kuat. Tanah hitam menodai pakaian. Rasa dingin daripada tanah lembap menyerang. Dia terperangkap. Gadis itu menoleh ke belakang. Raksasa dan orang-orang itu semakin menghampiri. Taring dan pisau bersedia menerkam kepalanya.

Tidak. Tidak boleh.

Wajah Hana yang teresak-esak menyerang pemikiran Eva. Tangannya digenggam erat.

"Aku tidak boleh mati sekarang!" Eva menarik pisau dari benteng sebelah. Rasa sakit di bahunya tidak diendahkan.

Ketakutan kepada kematian yang luar biasa, memaksanya merentap kaki yang dicengkam. Gadis itu bersusah-payah bangkit dan mengacu senjata ke arah si musuh. Dia tidak boleh mengalah!

Suatu suara menegur bersama tawa kecil, "Saudari rasa, semangat sahaja cukup kalahkan mereka?"

Eva terdiam apabila sebuah jasad muncul di hadapan. Matanya membulat, tidak sedar sejak bila kelibat itu memunculkan diri.

"Saudari memang berani."

Tetamu misteri itu menghadap sekumpulan musuh yang mengganas.

Sarung tangan putihnya menyentuh hujung sebilah senjata orang-orang. Serentak, aura putih terlepas dari tangan. Semua orang-orang dan raksasa membatu seperti disumpah.

"Tetapi, saudari ini pelik juga, ya?" kata tetamu itu sambil menepuk-nepuk kepala salah seekor serigala.

Berpuluh-puluh bunga matahari gergasi terkeluar dari tubuh musuh. Mekar ia mengembang di sebalik percikan hitam dan daun kering yang gugur. Teriakan dan lolongan sang musuh bergema menggegarkan dunia.

Selepas beberapa saat, semua orang-orang dan raksasa jatuh menghentam bumi. Tubuh mereka hancur ditumbuhi bunga yang mengembang. Eva pula terkedu, kagum melihat kehebatan lelaki itu.

Pemuda yang baru tiba itu bertepuk selepas selesai menjalankan tugas. Kot hitam yang tersarung di tubuh masih bersih daripada lecak. Jasad itu tidak berkepala, melainkan beberapa kuntum bunga matahari gergasi yang mekar sebagai gantinya.

"Saudari sangat tenang," kata kelibat itu sambil menunduk sedikit ke arah Eva. "Saya rasa, ini bukan kali pertama saudari di sini?"

Eva berkerut, meneliti lelaki aneh berkepala bunga matahari itu. Dia melirik makhluk-makhluk yang sudah hancur, terlerai oleh akar bunga. Aura aneh yang dilepaskan lelaki tadi sudah lenyap. Eva sendiri tidak mampu membaca lelaki itu sendiri, melainkan daripada gerak tubuh dan nada suaranya.

Eva bertanya sangsi, "Kau siapa?"

Dengan sekali petikan, sekuntum bunga muncul dari tangan lelaki itu. "Saudari boleh panggil saya Bunga Matahari."

"Kau pengikut Penghibur?"

Bunga itu digenggam semula, dan apabila genggamannya dibuka, bunga itu lenyap. "Saya tidak mahu terlibat langsung dengan Encik Penghibur."

"Jadi, kenapa kau tolong aku? Kau sepatutnya tahu kau sudah tidak boleh lari daripada dia."

"Sebelum saya jawab, boleh saya tahu nama saudari?"

Eva terdiam buat beberapa lama, meneliti kelopak Bunga Matahari. "Eva."

"Baiklah, Cik Eva," kata lelaki itu sambil membelakangkan kenalan barunya. Mereka mula menatap bayangan aneh yang mula membentuk rupa tidak tetap di sekitar mereka. Lolongan dan salakan binatang mula menyakitkan gegendang telinga.

"Saya cadangkan kita cari jalan keluar dulu."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro