Bab 4
Selasa, 5:24 pm.
Kereta yang dipandu oleh Zeit melalui jalan kampung, menuju ke balai raya. Arah ditunjuk oleh Zikel yang berada di tempat duduk sebelah pemandu manakala Rahim berada di tempat duduk belakang. Anak kepada Tok Imam masjid Kampung Jalan Mati itu sebenarnya tidak senang apabila Zeit tetap mahu mengikuti mereka setelah apa yang terjadi kepadanya tadi. Tidak ubah seperti kejadian semalam. Tetapi, Zeit tidak mahu menghancurkan kesungguhan Zikel dan Rahim. Disebabkan itulah, dia bersetuju untuk ke balai raya. Ingin menyertai orang-orang kampung dalam misi pencarian.
“Kau betul-betul okey ke ni? Risau juga aku,” soal Zikel.
“Aku tak apa-apa. Jangan risaulah. Mungkin aku tidur sampai ke petang. Tak perasan pula dah pukul lima,” balas Zeit dengan bohongan.
“Tu la kau. Tidur lagi. Tak baik tidur waktu petang nanti kepala jadi pening. Kalau kau nak tidur sekalipun, tidurlah masa tengah hari sebelum zuhur. Waktu sunat untuk tidur.”
“Yalah-yalah.”
Zeit tidak mahu memanjangkan cerita. Dia masih lagi dibelenggu dengan seribu persoalan. Jika dia menceritakan perkara yang sebenar, sudah tentu mereka tidak akan percaya. Pastinya Zikel dan Rahim menganggap Zeit tidak sihat seperti yang pernah terjadi kepadanya semalam. Tetapi, apa yang Zeit lalui ialah realiti yang sebenar. Hanya dia sahaja yang mengetahuinya. Sia-sia sahaja jika dia membazir air liur menceritakan semua perkara jika tidak ada yang akan percaya.
Kereta mereka berhenti di halaman balai raya. Kelihatan orang-orang kampung sudah berkumpul. Enjin kereta dimatikan. Pintu dibuka. Zikel dan Rahim keluar terlebih dahulu sebelum Zeit. Mereka pula menjadi perhatian ramai. Nizam, Tok Ketua dan Tok Iman juga ada di situ. Sebelum mengikuti langkah Zikel dan Rahim, Zeit mengunci pintu kereta. Cermin tingkap juga dikatup rapat.
“Lambat. Kau pergi mana, Zikel? Meronda kampung dengan budak baru ke?” tanya Nizam dengan sindiran.
“Ada sesuatu yang tak dapat dielakkan tadi. Dah bagi kumpulan ke dan tempat ke?” balas Zikel dengan pertanyaan.
“Ya. Aku tunggu kau dengan kawan-kawan kau la ni. Hari ni kita akan cari di kawasan sini saja. Esok baru di kawasan hujung kampung. Kau, aku, Rahim dan Zeit akan cari di kawasan gunung belakang balai raya ni. Kau ada bawa lampu suluh tak? Kita akan cari sampai maghrib macam biasa.”
“Aku rasa aku lupa bawa,” balas Zikel sambil tersengeh, tangan menggaru belakang kepala yang tidak gatal. Nizam pula mengeluh. Sudah banyak kali dia bersabar dengan perangai Zikel itu. Selalunya, orang cakap bapa borek anak rintik tetapi Zikel langsung tidak sama dengan ayahnya.
“Jangan risau. Aku ada bawa lampu suluh dari rumah,” celah Zeit seraya mengangkat lampu suluh sebesar tapak tangan itu.
“Itu menjadikan dua. Kau dan aku.”
Sebelum mereka bergerak ke tempat yang telah dibahagikan, Tok Imam mula membaca doa. Orang-orang kampung menadah tangan. Setiap kali ayat sudah dibaca, diaminkan. Itu menjadi rutin harian. Nampak yang mereka benar-benar berharap agar Tuhan memakbulkan doa mereka. Berharap agar orang-orang tersayang, kembali muncul setelah lama menghilang. Berharap juga pencarian mereka ini menemui petunjuk akan Kejadian Hilang.
Setelah doa habis dibaca, itu menjadi tanda bahawa misi pencarian mereka telah bermula. Nizam mengetuai kumpulannya ke bukit yang tidak jauh di belakang balai raya. Bagi diri Nizam, itu sudah masuk kali ketiga dia mencari di kawasan bukit tersebut setelah bergilir-gilir dengan kumpulan lain. Bahkan, ini kali sembilan dia satu kumpulan dengan Zikel dan Rahim.
Kaki bukit dipijak. Nizam berhenti seketika sebelum memandang ke kiri dan ke kanan. Hanya semak-samun yang dilihat. Yakin tidak ada orang lain selain mereka, kaki kanannya mula melangkah. Bukit berhutan tebal itu didaki perlahan. Zeit berada di paling belakang. Dia yang masih baru hanya mengikuti langkah tiga orang di hadapannya. Meliar matanya mencari susuk tubuh seseorang seperti yang dilakukan oleh tiga lagi ahli kumpulannya.
“Helo! Sesiapa! Ada orang dengar tak? Kalau dengar munculkan diri!” panggil Nizam seolah-olah sedang memanggil orang yang ‘hilang’. Zikel dan Rahim turut melakukan hal yang sama. Zeit pula hanya mendengar seraya matanya mencari. Lampu disuluh ke semak-samun dan belakang pohon. Penglihatannya sudah gelap disebabkan cahaya matahari dilindungi bukit.
“Hey, aku tertanya-tanya. Korang cakap orang-orang di kampung hilang secara tiba-tiba kan? Kalau mereka hilang di rumah, kenapa perlu cari sampai ke atas bukit?” soal Zeit membuatkan telinga Nizam panas.
“Kau tahu kenapa mereka hilang?” pantas Nizam mengajukan soalan.
“Tak.”
“Bukan setakat kau saja malah semua orang kampung di sini tak tahu macam mana dan kenapa mereka boleh hilang. Sedar tak sedar mereka dah tak ada. Boleh jadi mereka lari dari rumah dan boleh jadi mereka kena culik. Tapi tidak ada sesiapapun yang tahu perkara yang sebenarnya terjadi melainkan Tuhan. Sebab itulah kami ikhtiar cari mereka setiap petang. Mereka ada keluarga, ada orang-orang tersayang. Mustahil mereka lari dari rumah. Kalau diculik, siapa yang nak culik? Usaha ni hanya ikhtiar, jumpa atau tidak itu nombor dua tapi semua orang kampung nak mereka dijumpai,” balas Nizam panjang tanpa berpaling ke arah Zeit di belakangnya.
“Aku tanya je.”
“Lantak kau. Sejak kau jumpa Nek Lah di bukit hujung kampung sana, aku ingat kami ada harapan nak jumpa orang lain juga. Sudahlah. Buat saja kerja kita.”
Zeit masih tertanya-tanya sama ada Nizam mempercayai ceritanya ataupun tidak. Bahkan, dia juga tertanya-tanya dengan cerita Nizam semalam. Siapa pula orang yang menyamar menjadi dirinya semalam? Siap ke masjid dan gerai pula. Tetapi, jika orang yang dilihat oleh Nizam dan Tok Ketua semalam adalah Zeit bermakna ada dua orang Zeit? Mustahil kembar kerana Zeit merupakan anak tunggal. Pening pula kepalanya memikirkan akan hal itu. Mungkin, semua ini akan terjawab juga suatu hari nanti.
Sedang menyuluh-nyuluh, secara tidak sengaja cahaya lampu Zeit tersuluh satu susuk hitam berbentuk manusia di belakang pokok. Pada mulanya, Zeit mengendahkannya tetapi tangannya langsung menyuluh buat kali kedua. Dia terkejut. Lama susuk tubuh itu ditatap sebelum susuk itu berlari turun dari bukit. Zeit lantas memanggil Nizam, Zikel dan Rahim yang sudah jauh menapak di hadapannya.
“Korang, aku jumpa seseorang!”
Laju Nizam berlari ke arah Zeit diikuti oleh Zikel dan Rahim. Lelaki berbadan gempal itu tidak sepantas dua lagi rakannya. Pada masa yang sama juga Zeit cuba mengejar kelibat hitam tadi yang sudah tidak kelihatan dalam pandangan. Tetapi, jejaknya masih diingati oleh Zeit. Kelibat hitam tadi mungkin turun dari bukit. Itulah yang difikirkan oleh Zeit. Dia hanya mengikuti jejak larian kelibat tadi yang samar-samar dalam ingatannya.
“Hey, Zeit! Tunggu dulu!” panggil Nizam dengan suara yang lantang tetapi langsung tidak menghentikan langkah seribu Zeit. Lelaki itu sudah tidak memikirkan apa-apa lagi selain mengejar kelibat hitam yang dilihatnya tadi.
Larian Nizam semakin pantas. Malah mampu mengejar langkah kaki Zeit. Pantas lengan lelaki itu dipegang membuatkan larian Zeit terhenti.
“Aku cakap tunggu dulu!”
“Aku nampak ada orang berlari turun tadi!”
“Tengok apa ada depan kau!”
Mata Zeit yang asalnya pada Nizam tatkala membalas kata, laju berpaling ke hadapan. Ada beberapa gulung kawat berduri di sebalik semak di hadapannya. Zeit terkelu. Jika Nizam tidak menghentikan langkahnya tadi, sudah tentu Zeit akan tercedera parah terlanggar kawat itu. Namun, adakah Zeit salah langkah? Dia yakin bahawa kelibat tadi berlari menggunakan jalan tersebut.
“Apa yang kau kejar tadi, Zeit?” soal Zikel yang baru sahaja sampai.
“Aku ada nampak orang berlari turun ke bukit tadi. Dia guna jalan ni. Aku yakin!”
“Hey, kenapa korang lari laju sangat? Aku ... aku tak larat,” soal Rahim yang keletihan. Dia memegang lutut. Nafasnya tercungap-cungap.
“Kau salah tengok ke? Sepanjang jalan naik ke bukit ni berkawat kecuali jalan yang kita guna sahaja. Kau nak masuk hospital ke? Kalau aku tak hentikan kau tadi, entah apa yang jadi,” kata Nizam.
“Macam mana rupa orang yang kau nampak tadi?” soal Zikel lagi.
“Aku tak nampak dengan jelas. Tapi, tadi masa kita mencari, aku tersuluh satu kelibat hitam di sebalik pokok. Nampak macam orang. Pakai baju warna hitam rasanya. Lepas sahaja aku nampak dia, dia terus lari guna jalan ni. Sebab itulah aku kejar. Tapi, aku tak tahu pula sekeliling bukit ni berkawat kecuali jalan yang kita masuk tadi.”
Nizam, Zikel dan Rahim terdiam seketika. Mereka tidak ada idea dengan apa yang dikatakan oleh Zeit. Bahkan, mereka tertanya-tanya adakah orang yang dikejar lelaki itu benar-benar ‘orang’ ataupun makhluk lain. Mustahil Zeit salah nampak kalau dia sanggup mengejar kelibat itu.
Nizam mula mencari susuk tubuh yang dimaksudkan oleh Zeit tadi di sepanjang gulungan kawat berduri. Bahkan, Zikel dan Rahim pula mencari di sebalik pokok dan semak-samun. Tetapi, mereka tidak menemui sesiapa.
“Dah agak. Apa yang kau nampak tadi mungkin imaginasi. Kau ni suka sangat tengok filem. Semalam kau cakap kau nampak Nek Lah. Hari ni pula kau nampak kelibat hitam? Esok apa pula? Bunian? Diri kau dari masa depan? Jangan bergurau! Kita sambung pencarian,” simpul Nizam dengan sindiran melangkah pergi.
“Aku rasa kau masih tak sihat. Aku suruh kau berehat di rumah tadi, kau tak nak. Tak apalah. Kita teruskan pencarian,” sambung Zikel pula.
“Mungkin kau nampak orang tengah berak tadi. Dia lari lepas kau suluh. Jangan fikir sangat. Mari kita ikut Nizam,” tambah Rahim pula sebelum mengikuti langkah Nizam dan Zikel.
Zeit hanya menatap kawat berduri di hadapan. Dia masih yakin dengan matanya. Dia yakin bahawa kelibat hitam yang dilihat tadi bukanlah imaginasi. Meskipun, ke mana kelibat itu sudah pergi? Kenapa pula dia melarikan diri daripada Zeit? Adakah itu manusia? Kalau bukan manusia, makhluk apa yang dilihatnya tadi?
Bukit yang tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu besar itu menjadi tempat pencarian mereka. Sudah merata mereka mencari tetapi tidak menemui sesiapapun sehinggalah senja tua. Seperti yang diberitahu oleh Nizam tadi, pencarian mereka sehingga waktu maghrib sahaja. Jadi sebelum matahari terbenam sepenuhnya, mereka harus berkumpul di balai raya untuk memberikan laporan tentang misi pencarian hari ni.
Nizam memaklumkan pencarian mereka hari ini kepada Tok Ketua namun dia tidak menyebut pula tentang kelibat hitam yang dilihat oleh Zeit tadi. Mungkin dia masih tidak percaya dengan cerita Zeit atau mungkin juga belum waktunya dia memberitahu hal tersebut kepada Tok Ketua. Lagipun, dia sendiri masih kurang pasti dengan cerita Zeit itu.
Zeit berjalan ke arah kereta. Kunci diseluk keluar dari poket seluar. Mahu menunggu Zikel dan Rahim di dalam kereta sahaja sementara mereka sedang berbual dengan orang-orang kampung. Baru sahaja membuka pintu kereta, Zeit terlopong. Matanya menatap sebentuk kunci di tempat duduk pemandu. Kunci itu diambil sebelum diperhati lama. Tidak ingat pula yang dia tertinggal kunci. Seingatnya, dia sudah meletakkan semua kunci rumah dalam gugusan bersama dengan kunci kereta.
Mungkin seseorang tersalah kereta dan menaruh kunci itu ke dalam keretanya. Pada mulanya, itulah yang difikrkan oleh Zeit. Namun, dia yakin selepas dia keluar dari kereta tadi, dia mengunci kereta dan menutup semua cermin tingkap. Jadi, bagaimana kunci itu boleh ada di dalam keretanya?
Lama kunci itu ditatap sehinggalah Zeit menyedari sesuatu. Jenama pada kunci itu pernah dilihatnya sebelum ini. Zeit kenal jenama kunci itu. Dia meremang. Seram sejuk pula rasa.
“Ini kunci bilik pintu buruk kat rumah. Kunci yang hilang. Tapi, macam mana boleh ada kat tempat duduk pemandu? Aku yakin, sebelum aku keluar tadi tak ada apa-apa pun kat situ. Pelik.”
Sejarah akan sentiasa berulang jika dilupakan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro