Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

5 Januari 2015.

Waktu pagi itu kecoh di gerai Pak Daud akan cerita Zeit yang dikatakan berjumpa dengan Nek Lah iaitu salah seorang mangsa Kejadian Hilang pada lima belas tahun yang lalu. Nizam bersungguh-sungguh bercerita kepada orang-orang kampung yang sedang berkumpul di gerai. Nampak ramai daripada kebiasaan. Mungkin cerita daripada Nizam ini membuatkan mereka tertanya-tanya akan kebenarannya. Manakan tidak, wanita tua yang sudah hilang sejak lima belas tahun yang lepas ditemui oleh Zeit, orang kampung baru yang langsung tidak mengenali orang tua itu.

Apa-apapun, jika Zeit benar-benar menemui Nek Lah, berkemungkinan orang-orang kampung juga berpeluang untuk menemui mangsa Kejadian Hilang yang lain. Usaha mencari yang dijalankan pada setiap petang mungkin akan menemui hasil.

Tetapi, apa yang membuatkan Nizam bingung dengan cerita Zeit, dia memberitahu bahawa dia menemui Nek Lah di atas bukit sedangkan tidak ada sesiapa malah tidak ada rumah pun di situ. Bahkan, rumah sebenar Nek Lah bukannya di atas bukit melainkan di hujung kampung berhampiran dengan rumah Zeit.

Tatkala Nizam menceritakan bahagian misteri dalam cerita Zeit tersebut, orang-orang kampung yang mendengar mula hilang keyakinan dengan ceritanya. Ada yang mengatakan itu hanya rekaan Nizam dan ada juga yang mengatakan itu hanya sekadar hiburan untuk menenangkan hati-hati orang kampung yang sudah sekian lama berpenat lelah mencari mangsa Kejadian Hilang. Meskipun, Nizam bukanlah penglipur lara yang suka bercakap bohong. Lagipun, dia hanya menyampaikan cerita Zeit.

“Kau jangan berbohong, Nizam. Betul ke budak baru dah jumpa Nek Lah? Aku dah berharap yang aku akan jumpa dengan anak perempuan aku,” kata seorang lelaki yang sudah di pertengahan usia.

“Aku pun. Aku teringin nak jumpa ibu aku yang hilang sepuluh tahun yang lepas. Jangan bagi harapan palsu pula, Nizam,” celah seorang gadis.

“Aku dah cakap kan, ini cerita daripada Zeit. Dia yang jumpa Nek Lah di atas bukit dekat hujung kampung sana. Aku hanya sampaikan saja. Kalau dia tipu, macam mana dia boleh kenal Nek Lah? Orang tua yang dah lima belas tahu hilang sampaikan polis pun tak mampu nak buat apa-apa. Kan pelik tu,” balas Nizam sebelum kembali menghirup secawan kopi panas.

“Tapi, apa yang tok pelik dengan cerita dia. Dia cakap, masa dia naik ke bukit, masa tu masih zuhur. Itu yang dia cakaplah. Lepas tu, masa dia jumpa tok dengan Nizam, dia nampak terkejut sebab sudah asar,” tambah Tok Ketua yang duduk semeja dengan Nizam.

“Yang lagi pelik, dia cakap sebelum dia berjumpa dengan Nek Lah, dia nak ke surau untuk solat zuhur, kebetulan kereta dia tak hidup. Jadi, kalau dia ke bukit sampai waktu asar, siapa pula yang aku dan Tok Ketua nampak di surau waktu solat zuhur semalam? Siapa pula yang makan dekat gerai ni semalam kalau bukan dia? Kamu semua yang ada sekali dengan aku pun nampak dia semalam kan? Siap berbual lagi. Tapi, dia tak mengaku pula yang itu dia. Jadi, siapa dengan kita semalam kalau bukan dia?” sambung Nizam lagi yang membuatkan orang-orang di gerai mula berbisik sesama sendiri.

Tok Imam yang berada di gerai pula membuka mulut. Pandangan mula beralih kepada orang tua itu. “Memang yang tok nampak semalam tu budak baru. Tapi, cara dia berbual … maksud tok, tajuk yang dia bualkan tu pelik. Tentang apa? Er … hantu? Sumpahan? Tok tak faham.”

“Bercakap tentang hantu, bukan ke rumah arwah Cik Masnah, rumah yang Zeit duduk sekarang ni ada satu bilik berhantu? Waktu aku kemas rumah tu dulu, aku ada dengar bunyi pelik datang dari bilik berpintu buruk tu,” jampuk Raqid, seorang pemuda yang muda setahun daripada Nizam.

“Bunyi apa yang kau dengar?” tanya Nizam yang ingin tahu. Bukan sahaja Nizam, malah kebanyakan orang yang ada di gerai bagaikan menunggu jawapan daripada Raqid.

“Bunyi tu …”

*****

Kawan kepada Zikel iaitu Rahim sedang melihat-lihat keadaan kereta Zeit. Katanya, enjin kereta itu tidak berfungsi ketika dia cuba menghidupkannya semalam. Namun setelah lama diperhati oleh Rahim, tidak ada pula mana-mana bahagian yang rosak. Aneh. Lagi pelik apabila Rahim menghidupkannya. Berfungsi pula. Zeit hanya menggaru belakang kepala yang tidak gatal. Padahal dia sudah yakin bahawa keretanya rosak.

“Tak ada apa-apa pun yang rosak. Semuanya dalam keadaan baik. Mungkin kau salah pusing kunci kereta, sebab tu tak hidup,” kata Rahim. Lelaki berbadan gempal itu sangat terkenal dengan kemahiran membaikinya. Dia merupakan kawan Zikel sejak di sekolah menengah dan kini membuka bengkel sendiri tidak jauh dari gerai Pak Daud.

“Tapi, aku yakin memang aku dah pusing elok-elok semalam. Pelik juga,” balas Zeit yang sedang menongkat dagu di jendela seraya memerhati keretanya di halaman rumah.

“Itu tak pelik, sekarang ni kecoh satu kampung tentang kau,” celah Zikel dengan topik yang sedang gempar.

“Kecoh tentang aku? Kenapa pula? Tentang cerita yang aku jumpa Nek Lah semalam ke?”

“Habis tu cerita apa lagi? Aku pun tertanya-tanya, betul ke kau jumpa Nek Lah di atas bukit sebelah jalan tu?”

“Kan aku dah cakap, aku memang jumpa dia. Dia ajak aku minum dalam rumah dia kat atas bukit sana. Aku kan masih baru, manalah aku kenal. Apa yang pelik, kenapa masa aku naik ke bukit tu masih tengah hari tapi bila aku turun dah asar? Kau boleh terangkan? Dari semalam lagi aku fikir sampai pening otak aku. Tambah cerita Nizam pula. Dia cakap yang aku ke surau dengan Tok Ketua dan ayah kau. Siap solat berjemaah lagi.”

“Tapi, kalau kau betul-betul jumpa Nek Lah, apa salahnya? Aku harap petang ni orang-orang kampung cari di kawasan bukit yang kau cakap tu. Manalah tahu betul-betul jumpa,” jampuk Rahim dengan logik akal.

“Memang orang kampung sini cari orang hilang setiap petang ke?” tanya Zeit.

Zikel langsung menjawab, “Ya. Memang setiap petang kami cari. Petang semalam pun sama. Aku nak ajak kau tapi lepas dengar cerita daripada Tok Ketua dan Nizam, aku rasa kau tak sihat. Jadi, aku tak ajak. Petang ni, aku jemput kau dengan Rahim. Kita ke balai raya.”

“Ke balai raya?”

“Ya. Kami akan berkumpul di balai raya dan asingkan orang kampung kepada beberapa kumpulan dan tentukan tempat-tempat pencarian mengikut kumpulan. Memang sudah jadi rutin harian orang-orang Kampung Jalan Mati. Kami sudah bersusah-payah cari tapi tak pernah jumpa walau seorang pun. Tapi ada juga orang luar yang tak percaya dengan cerita kami.”

Zeit hanya diam seketika. Dia tidak ingin banyak soal. Takut jika soalan yang keluar daripada mulutnya akan mengguris hati Zikel dan Rahim. Manakan tidak, dia juga salah seorang daripada orang-orang yang tidak percaya akan cerita Kejadian Hilang sebelum ini. Tetapi, kini dia sudah mula mempercayainya.

“Aku nak tanya korang sesuatu. Tentang rumah arwah nenek aku ni. Sebelum ni memang ada orang selalu datang bersihkan rumah ni kan?”

“Ya. Kenapa?” balas Zikel dengan soalan.

“Ada orang pernah masuk tak dalam bilik yang berpintu buruk tu? Aku dah cuba semua kunci tapi semuanya tak masuk. Memang bilik tu dah lama terbiar sebab kunci hilang ke macam mana? Nak cuba masuk ikut tingkap, kaki rumah ni memang dibina tinggi.”

“Tentang bilik tu eh? Rasanya memang tak ada orang masuk bersihkan sebelum ni. Rasanya kunci bilik tu dah lama hilang. Kami nak pecahkan tapi tak sampai hati pula nak rosakkan pintu. Sebelum ni pun memang kami memang nak masuk ikut tingkap dengan tangga tapi berkunci dari dalam pula. Tak tahu macam mana pula boleh terkunci pintu dengan tingkap lepas kami bersihkan bilik tu. Sampai sekarang tak ada orang masuk. Kau nak pecah masuk ke? Kami boleh tolong,” balas Rahim seraya memberi pelawaan.

“Tak apalah. Nanti kalau aku nak kemas rumah, aku ajak korang sekali. Pecahkan pintu tu. Aku pun nak tahu apa benda yang ada di dalam bilik tu.”

“Tak ada hal. Kau boleh telefon aku kalau ada apa-apa masalah. Aku balik dulu. Sudah nak masuk tengahari ni. Assalamualaikum,” ucap Rahim sebelum dia berlalu pergi dengan motosikal Honda EX5. Motosikal itu terlihat kecil tatkala Rahim memboncengnya. Zikel dam Zeit hanya melihat sambil melambaikan tangan. Ingin sahaja tergelak dengan permandangan tetapi itu terlalu kejam. Mereka hanya mampu menahan tawa dalam hati.

“Aku pun nak balik juga. Kalau ada apa-apa, kau telefon saja aku dengan Rahim. Guna nombor yang aku bagi sebelum ni. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Salam dijawab. Zikel menghidupkan motosikal sebelum membonceng ke jalan Rahim tadi. Rumah mereka tidaklah jauh. Jalan kaki sahaja sudah sampai tetapi, rumah-rumah yang ada di hujung kampung seperti rumah Zeit sudah bagaikan berada di kampung sebelah walaupun hanya Kampung Jalan Mati sahaja yang ada di kawasan pergunungan itu.

Baru sahaja menggeliat, telinga Zeit menangkap suatu bunyi. Laju matanya beralih ke arah datangnya bunyi itu. Sepertinya datang dari bilik yang berpintu usang. Telefon pintar yang sejak tadi lagi diepegang mula ditekan. Aplikasi kamera perakam video diputarkan. Mod cahaya juga diaktifkan. Kamera hanya difokuskan pada bilik tersebut. Perlahan-lahan kakinya mula melangkah.

Walaupun Zeit sudah lama tidak memuat naik video terbaharu di laman Youtube, rakaman bunyi aneh ini mungkin akan memecahkan status hiatusnya selama ini. Sebelum ini dia tidak pernah mengalami apa-apa kejadian aneh dan misteri. Dia hanya meneroka dan menyampaikan cerita-cerita aneh dari pelbagai negara di saluran Youtube miliknya tanpa pernah melaluinya sendiri.

Dia terfikir, ini mungkin peluang terbaik untuk memberitahu para pelanggan di salurannya akan kejadian aneh yang berlaku di rumah baharunya. Mungkin cerita semalam juga sesuai untuk dijadikan video.

Baru sahaja berdiri di hadapan bilik berpintu usang itu, sekali lagi bunyi aneh tadi kedengaran. Sakan-akan bunyi ketukan dari dalam. Tapi, terdengar juga bunyi seperti seseorang sedang berjalan. Lagipun, lantai rumah itu ialah lantai kayu. Jadi, jika ada seseorang sedang berjalan, sudah tentu akan mengeluarkan bunyi.

Tombol pintu dipegang. Cuba dipulas. Masih berkunci. Zeit membongkok. Kameranya merakam ruang di bawah pintu. Matanya pula cuba mengintai. Dia tidak pernah mengintai dari bawah pintu sebelum ini. Mungkin, dia akan nampak sesuatu jika dia melakukannya. Lelaki itu menarik nafas dalam sebelum menghembus perlahan. Matanya tajam, cuba melihat ke dalam. Cahaya lampu daripada telefon pula diguna untuk menerangi penglihatan.

Pada mulanya, matanya hanya melihat kaki sebuah katil, almari dan beberapa beg pakaian. Tetapi, tatkala matanya beralih ke sebelah katil itu, dia terkejut besar. Matanya terlopong. Nafasnya naik turun. Jantungnya berdegup kencang. Ada sesuatu yang menghalang pandangannya. Mata Zeit menangkap kaki manusia, sedang berdiri di sebalik pintu. Langsung dia mengalih pandangan kerana terkejut. Lelaki itu duduk tersandar pada pintu biliknya dengan nafas tercungap-cungap.

“Zeit!”

Suara daripada Zikel dari luar membuatkan Zeit lebih terkejut. Jantungnya bagaikan ingin pecah. Namun, dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dia ada seseorang untuk meluahkan akan perkara yang dilihatnya tadi. Dengan wajah yang pucat, peluh dingin membasahi dahi, Zeit bangun lalu berjalan ke pintu rumah seraya menghentikan rakaman video.

“Z-Zikel, nasib baik kau datang balik. A-Aku ada sesuatu nak beritahu kau,” kata Zeit dengan tergagap-gagap. Zikel yang masih duduk di motosikalnya memandang hairan. Rahim juga ada di sebelahnya. Tapi, hairan juga. Kenapa mereka datang balik?

“Kau sudah kenapa ni? Lantaklah! Aku datang nak jemput kau ni. Kau tak bersiap lagi ke?” soal Zikel.

“Bersiap? Jemput? Ke mana?” balas Zeit dengan penuh kebingungan.

“Pagi tadi kan kami nak jemput kau ke balai raya. Kau sudah lupa ke? Kita ke sana untuk cari orang yang hilang,” balas Rahim.

“Tapi, korang kata petang nanti?”

“Kau ni mabuk ke? Sekarang ni sudah petang la. Tengok sekeliling kau. Tengok jam kau pula.”

Jawapan Zikel membuatkan otak Zeit bagaikan ingin meledak. Langsung dia memerhati sekeliling. Ya. Cahaya matahari sudah condong dari barat. Jam tangan diperhati lama. Benar, jam sudah menunjukkan pukul enam petang. Kaki Zeit melemah. Nafasnya naik turun. Bingung dengan situasi yang sedang berlaku. Otaknya seperti hilang fungsi untuk seketika. Padahal baru sekejap tadi Zikel dan Rahim pulang. Waktu itu pula masih pagi. Tetapi, sekarang sudah petang?

“Apa … apa yang sedang berlaku sekarang ni?”            





























Dia sentiasa memerhati dari jauh. Dia cuba untuk menggantikanmu.                                                                                                                                                                                                                                                                      

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro