Bab 2
12:41 PM
Cahaya mentari panas terik membahang bumi. Tidak seperti hari-hari biasa. Setelah selesai mengemas barang dibantu oleh Zikel, Zeit langsung melabuhkan tubuhnya di atas katil. Dia yang kepenatan, nyenyak tidur. Persoalan mengenali bilik berpintu usang dan susuk tubuh yang melarangnya membuka pintu bilik itu sebelum ini masih menjadi tanda tanya.
Setelah hampir dua jam menutup mata di dalam bilik yang diterangi cahaya mentari dari tingkap yang dibiarkan terbuka, mata Zeit perlahan-lahan cuba dibuka. Dia tersedar dari tidur bukan kerana bahangan matahari, akan tetapi telinganya menangkap suara beberapa orang kanak-kanak yang sedang ketawa. Seolah-olah suara kanak-kanak sedang bermain di halaman rumahnya.
Lelaki itu bangun, duduk di birai katil seraya mengusap matanya yang masih mengantuk. Sekali lagi telinganya terdengar suara kanak-kanak. Selepas menguap, dia langsung berjalan keluar dari bilik. Belakang kepala digaru seraya mata kanan diusap. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah pintu masuk rumah. Ingin melihat anak siapa yang sedang bermain di halaman rumahnya pada tengahari yang panas ini.
Tatkala pintu rumah dibuka, matanya meliar ke kanan dan ke kiri. Ingin mencari pemilik suara yang diyakini bermain di halaman rumah, Namun, dahi Zeit berkerut seribu. Tidak menemui pula walau seorang pun budak. Kali ini belakang kepalanya digaru seraya akalnya bingung. Dia betul-betul yakin yang dia terdengar suara ketawa daripada kanak-kanak. Tetapi, setelah mencari tidak ketemu pula. Adakah itu hanya imaginasinya?
Sudah malas berfikir, Zeit memandang jam tangan analog. Sudah hampir masuk waktu zuhur. Dia berhasrat untuk ke masjid sebelum ke gerai makan yang diberitahu oleh Zikel ketika mereka mengemas tadi. Sejak subuh, perutnya masih kosong. Lagipun, teringin juga dia berkenalan dengan penduduk kampung yang lain.
Setelah mandi dan bersiap untuk ke masjid, Zeit menapak di anjung. Tombol pintu rumah dipegang lalu ditarik. Sebelum pintu ditutup dan dikunci, terlihat suatu susuk tubuh yang gelap sedang berdiri di sebelah pintu bilik yang usang bagaikan sedang memerhati gerak-geri Zeit. Namun, lelaki itu tidak menyedarinya.
Pintu kereta yang diparkir di sebelah rumah, dibuka. Zeit cuba menghidupkan keretanya tetapi entah kenapa tidak hidup pula. Bonet hadapan dibuka, cuba mencari kerosakan tetapi tidak ditemui. Zeit menarik lalu menghembus nafas berat sebelum menutup kembali bonet hadapan dan cuba menghidupkan semula kereta. Setelah kunci dipulas, ianya masih sama.
Tidak ingin berlama kerana takut terlepas berjemaah, Zeit membuat keputusan untuk berjalan kaki ke masjid. Jarak rumah ibadat dengan rumahnya tidaklah jauh tetapi disebabkan cuaca yang sangat panas membuatkan Zeit ingin menaiki kereta. Namun, keretanya pula buat hal. Entah kenapa tiba-tiba sahaja tidak hidup padahal sebelum bertolak ke kampung semalam, dia sudah memeriksa kenderaannya.
Dengan matahari tegak di atas kepala, Zeit menempuh jalan yang dilaluinya pagi tadi. Hanya jalan itu sahaja yang dia tahu. Jalan bertanah yang dikelilingi oleh tanah berbukit dan hutan di sebelah kanannya itu agak sunyi. Jarang sekali dia berselisih dengan orang-orang kampung. Lihat sahaja rumah arwah neneknya, di sekeliling rumah itu tidak banyak rumah yang kelihatan. Jelas, dia tinggal di hujung kampung.
Sudah di separuh jalan. Peluh di dahi mengalir sebelum disapu dengan tisu yang sentiasa dibawa bersama di dalam poket. Tidak terserempak dengan sesiapa di sepanjang jalan, Zeit yang meneruskan perjalanannya terkejut apabila dia bertemu dengan seorang nenek tua yang bertongkat kayu berada di tepi jalan. Di belakang orang tua itu, ada satu tangga berbatu menuju ke dalam hutan berbukit. Tidak jelas pula menuju ke mana.
Zeit tidak sampai hati meninggalkan orang tua itu bersendirian di tepi jalan ditambah pula dengan cuaca yang panas. Disebabkan itulah, dia berani mendekati nenek tua yang berpakaian kurung yang tampak usang. Pada mulanya, orang tua itu tidak memandang Zeit sehinggalah dia menegurnya dengan sopan.
“Nenek, nenek buat apa kat tepi jalan ni? Sekarang ni tengah panas, nenek nak ke mana?”
Dengan perlahan-lahan tanpa berkedip mata, orang tua itu memandang Zeit. Zeit pula berasa seram sejuk tatkala ditatap lama tanpa balasan. Setelah beberapa saat, orang tua itu membuka mulut tetapi bukannya membalas pertanyaan Zeit. “Kamu orang baru? Apa nama kamu? Apa yang kamu buat di kampung ni?”
Terkelu seketika lidah Zeit namun dia menemui kata untuk membalas, “Nama saya Razeit. Saya baru saja berpindah di sini.”
“Panas di luar ni, mari ikut nenek ke rumah.” Tanpa sempat Zeit membalas, nenek tua itu mula mendaki tangga di belakangnya. Zeit pula akur walaupun dia berasa agak janggal dan pelik.
Tangga itu membawa mereka ke sebuah rumah kayu yang masih elok terbina di atas bukit. Ianya agak tersorok dan tidak kelihatan jika dilihat di kaki bukit. Zeit tidak menyangka pula rumah nenek tua itu terbina di atas bukit. Teduh pula. Apa-apapun, dia tidak mahu berlama kerana dia takut terlepas solat berjemaah di masjid.
“Jemputlah masuk,” pelawa nenek tua dengan senyuman setelah melangkah masuk ke dalam rumah. Zeit yang berada di halaman, langsung tidak melangkah.
“Tak apalah nenek. Sebenarnya, saya nak ke masjid. Takut terlepas pula nak solat.”
“Oh, tak mengapalah kalau begitu.”
“Lain kali sajalah nenek. Nenek ada nak ke mana-mana ke tadi? Nampak macam nenek sedang tunggu seseorang.”
“Nenek tengah tunggu kamu. Tak pernah nenek nampak kamu sebelum ni.”
“Ya, sebab saya baru saja berpindah. Baru pagi tadi.”
“Kalau begitu, tak mengapalah. Nanti, kalau kamu nak datang lagi, kamu datanglah.”
“Terima kasih, nek. Sebelum saya turun, boleh saya tahu apa nama nenek?”
“Panggil saja nenek, Nek Lah.”
“Baiklah, Nek Lah. Saya pergi dulu. Assalamualaikum.”
Setelah salamnya dijawab, Zeit melangkah turun dari bukit tanpa berpaling ke arah Nek Lah. Tangga yang berlumut dan dipenuhi dengan daun-daun kering itu dipijak satu demi satu sehingga ke kaki bukit. Namun, ada sesuatu yang tidak kena. Cahaya mentari yang panas tadi bagaikan sudah dingin. Jalan bertanah yang terang pula sudah terlindung dengan bayang-bayang pokok. Sebaik sahaja Zeit menjejakkan kakinya, datang Nizam dan Tok Ketua menyapanya.
“Hey, budak baru! Apa yang kau buat di atas bukit tu, huh?” soal Nizam dengan nada kasar.
“Aku baru lepas jumpa orang tapi sebenarnya aku nak ke masjid tadi, nak solat zuhur,” balas Zeit dengan tenang.
“Apa yang kau merepek ni? Kau dah tak betul ke?”
“Nizam, biar tok yang bercakap,” Tok Ketua mencelah. Dia cuba menenangkan Nizam. “Zeit, apa yang kamu buat di atas sana, kamu berjumpa dengan siapa? Boleh kamu ceritakan?”
“Kenapa tok nampak pelik ni? Saya ada buat salah ke? Saya dari rumah nak ke masjid tadi nak solat zuhur. Entah kenapalah kereta saya tak hidup pula, jadi saya jalan kaki sampailah saya jumpa orang tua di tepi jalan. Dia ajak saya ke rumah dia, jadi saya naiklah. Saya fikir yang saya dah lambat jadi saya tolak pelawaan dia. Turun saja dari bukit, tiba-tiba tok dan dia ni tegur saya.”
Nizam dan Tok Ketua berpaling sesama sendiri mendengar cerita daripada Zeit. Tok Ketua menghembuskan nafas berat manakala Nizam pula menggaru belakang kepala tanda kebingungan. Zeit pula hairan dengan reaksi mereka.
“Kamu kata kamu nak solat zuhur? Waktu begini?”
“Kenapa pula tok? Sekarang kan tengah hari. Tak masuk waktu zuhur lagi.”
“Kau ni sihat ke tak? Cuba kau tengok jam kau, dah pukul berapa sekarang ni,” laju Nizam mencelah.
Dengan penuh sangsi, Zeit memandang jam tangan analognya. Alangkah terkejut dibuatnya, jam menunjukkan sudah pukul lima petang. Zeit terkelu seketika. Matanya luas tidak bergerak memandang jarum jam. Otaknya tidak dapat berfikir untuk seketika. Jadi, patutlah bayang pokok sudah melindungi jalan kerana sudah petang. Adakah dia tersalah melihat jarum jam ketika bangun tidur tadi? Tapi, bahang panas mentari berada di atas kepalanya jelas terasa. Apa yang sedang berlaku sebenarnya?
“Sudah petang? Tadi, bukan masih tengah hari ke? Apa yang dah berlaku ni? Saya yakin tok, tadi masih tengahari. Saya tak sempat nak ke masjid!”
“Aku rasa kau betul-betul tengah mabuk sekarang ni. Zuhur tadi aku nampak kau di masjid. Bukan aku saja, Tok Ketua, Tok Imam dan semua orang yang ke masjid nampak kau tadi. Kau siap ke gerai makan lagi. Sempat berbual dengan Zikel lagi sebelum balik ke rumah. Aku dengan tok baru saja pulang dari masjid, nampak kau turun dari tangga ni, terus aku sergah.”
Minda Zeit bagaikan terkejut dengan situasi dan cerita yang langsung tidak masuk akal daripada Nizam. “Kau bergurau kan? Aku tak ke masjid tadi. Aku naik jumpa orang tua di atas bukit ni. Kau bergurau kan?”
“Kau ni dah kenapa? Kau ingat aku menipu? Aku tak suka menipu orang!” balas Nizam dengan nada tinggi.
“Zeit, dengan siapa kamu berjumpa di atas bukit tadi?” soal Tok Ketua dengan tenang.
“Dengan … Nek Lah.”
Tersentak Tok Ketua mendengar nama itu. Wajahnya sudah cukup jelas menunjukkan yang dia benar-benar terkejut. Mustahil Zeit menipu kerana dia tidak pernah mengenali Nek Lah. Lagipun, dia masih baru di kampung. Nizam pula semakin bingung. Pada masa yang sama juga, dia terkejut.
“Zeit, kamu tahu tak siapa Nek lah?”
Zeit menggeleng kepala.
“Nek Lah tu salah seorang yang dilaporkan hilang di kampung ni pada lima belas tahun yang lepas. Jadi, betul ke orang yang kamu jumpa di atas bukit tadi ialah Nek Lah atau orang lain?”
Situasi menjadi semakin pelik. Zeit tidak puas hati dengan situasi, terus berlari naik menuju ke rumah Nek Lah. Nizam dan Tok Ketua tidak sempat menghalang. Mereka juga turut mengikuti langkah kaki Zeit. Namun, tiba sahaja di puncak, mata Zeit bagaikan gelap seketika. Dia seperti mahu pengsan. Rumah kayu yang dilihatnya sebelum ini sudah tiada. Tempat itu hanya dipenuhi dengan semak-samun dan pokok.
“Betul ke kamu dah jumpa Nek lah?” tanya Nizam.
Namun, pertanyaan itu sukar dijawab oleh Zeit. Dia bingung dengan situasi. Tidak pasti apa yang sedang berlaku. Siapakah yang bersama dengan Nizam dan Tok Ketua di masjid pada Zohor tadi jika ianya bukan Zeit? Kenapa pula waktu tiba-tiba sahaja berubah petang dan adakah benar orang tua yang bersama dengan Zeit tadi ialah Nek Lah iaitu salah seorang mangsa Kejadian Hilang pada lima belas tahun yang lepas?
Dia ialah orang yang sama sedang memerhati kamu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro