pengakhiran
"Ibu, Saff mana bu? Dari tadi Putera cari dekat dalam tak jumpa pun." Dia menghampiri Puan Saleha yang kebetulan baru saja keluar dari dapur.
"Aik? Tak ada langsung ke?" Ibu mertuanya itu sudah berkerut dahi. Haih, ke manalah pula Si Saffiyyah ini. Takkanlah lari rumah lagi?
Putera menggaru kepala yang tidak gatal. Mati akal jadinya mencari kelibat si isteri sedari tadi. Dia rindu!
"Ayok Put, macam mana ni? Baru je kahwin, takkan bini dah hilang?" giat Puan Saleha dengan nada mengusik.
"Saff ni sengaja tau, ibu. Suka sangat main lari-lari macam ni. Tahu-tahu je, Put dah kena tinggal. Sedihlah macam ni..." adu Putera.
Geli hati Puan Saleha menatap wajah cemberut itu. Aduhai, menantu seorang ini macam-macam perangai! Tawanya pecah juga.
"Good luck la cari bini. Ibu nak layan tetamu lagi ni." Bahu Putera ditepuk lembut sebelum berlalu pergi.
Lelaki itu pasrah sendiri. Orang lain kahwin tak ada pun kena susah-susah cari pengantin perempuan, sebab memang akan bersama sepanjang hari. Lain pula halnya dengan dia. Belum sampai 24 jam jadi pengantin, isteri dah hilang dari radar.
Sedih!
Langkahnya diatur pula ke ruang hadapan. Dari jauh, dia terlihat batang tubuh Saffiyyah membelakanginya. Siapa sangka, isterinya itu elok saja duduk di bawah khemah cuma agak jauh dari kelompok orang ramai. Manalah dia nak nampak. Automatik senyuman senget tersungging di bibir Putera. Aha, dah jumpa!
Tanpa sebarang kata, kerusi kosong berhampiran Saffiyyah diisi. Gadis itu sedikit terkejut dengan kehadiran Putera secara tiba-tiba. Namun riak biasa masih dikekalkan agar tidak terlalu ketara.
"Errr... dah makan?" soal Saffiyyah. Kekok berhadapan dengan Putera yang kini bergelar suami.
"Kau dah makan ke?" Soalan berbalas soalan. Saffiyyah mengecilkan mata memandang Puteta. Ish, orang tanya bukannya nak jawab.
"Dah makan tadi. Put, kau pergilah makan sana. Nanti perut tu gastrik pula," balas Saffiyyah.
"Tak payahlah, aku tak lapar." Putera menggeleng menafikan. Padahal perutnya terasa perit sekarang akibat tak menjamah sebarang makanan. Berdebar tunggu akad punya pasal.
"Aku suap nak?" pelawa Saffiyyah.
Tanpa berlengah, Putera membetulkan posisi duduknya. Kemudian, dia berganjak rapat ke arah Saffiyyah sebelum dahi isterinya itu disentuh dengan belakang tangan. Hmm, tak panas pula.
"Weh, kau kenapa?" Pelik Saffiyyah jadinya. Dalam hati, berdebar juga dia melihat jarak mereka yang agak rapat sekarang.
"Kau tak demam. Kenapa baik sangat pula ni?"
Jawapan lelaki itu membuatkan Saffiyyah mendengus geram. Putera, sehari tak menyakitkan hati memang tak sah! Macamlah dia tak pernah berbuat baik dengan Putera selama ini.
"Kurang ajar eh kau. Aku dalam usaha nak jadi isteri yang baik ini." Wajah Putera dikerling tajam. Geram!
Putera meletuskan tawa. Terusik hatinya mendengar kata-kata Saffiyyah. Comel sungguhlah isterinya ini.
"Hahahahaha Saff... Saff. Fikir sweet ke nak main suap-suap dengan aku hah? Eee... tak nak aku!" Sengaja Putera jual mahal.
Pap! Pap! Pap!
Tamparan Saffiyyah mengena lengan berbaju Melayu putih itu. Meluat pun ada dengan sikap suami yang seolah-olah bermain tarik tali. Kalau nak, kata sajalah nak! Tak habis-habis nak cover macho.
Putera mengaduh sakit. Penangan Saffiyyah jangan pernah dibuat main. Banyak kali dah dia merasa tapi itu sajalah cara untuk Putera bermanja. Nak lebih-lebih tak boleh, nanti jatuh air muka lelakinya.
"Tak nak sudah. Jangan mengadu dekat aku bila gastrik kau datang eh. Isteri kau ini takkan layan." Dia sudah berdiri ingin beredar.
"Tak apalah kalau macam itu. Terpaksalah aku cari isteri baru."
Mendengarkan ungkapan Putera pantas membuatkan hatinya terbakar. Jelingan tajam dihadiahkan sebelum kaki Saffiyyah mengorak langkah mendapatkan buffet yang tersedia.
Pinggan putih dicapai lalu sesenduk nasi putih diceduk. Lauk-lauk yang tersedia dilihat sekali lalu. Mencari lauk yang kena dengan selera Putera.
Belum sempat tangannya mencapai senduk, terasa pinggangnya ditarik rapat ke sisi. Pandangan Saffiyyah terdongak menatap wajah Putera.
"Aku nak makan ikan keli." Jari telunjuk Putera lurus menuding bekas di depan mereka. Teragak-agak Saffiyyah menurut.
Tangan Putera yang terlilit kemas di pinggangnya membuatkan dirinya serba tak kena. Pergerakan pun seperti terbatas. Rasa nak terkeluar jantung oi!
"Yang ini ke?" Seekor ikan diangkat.
"Jangan ambil yang itu. Tengok badan dia, penuh dengan sambal. Sakitlah perut aku nanti," jelas Putera. Saffiyyah mengangguk sebelum matanya mencari ikan lain.
"Okey, dah. Lagi nak makan apa, tuan Putera?" soal Saffiyyah. Perut Putera ditolak-tolak dengan hujung pinggan.
Sengaja dia buat begitu. Lagipun, dia nak cepat. Tak selesa dengan keadaan mereka sekarang.
"Kau perli aku eh? Tak elok tau perli-perli suami. Macam mana nak jadi isteri yang baik ni?" Putera membuat kenyataan balas. Wajah Saffiyyah direnung dari dekat. Sesekali kepalanya digeleng kesal.
Saffiyyah membuat muka bosan. Aduh, dah keluar kuasa veto dia.
"Hah yalah. Kau nak apa lagi ni? Cepatlah, aku dah penat berdiri tahu?" Itulah yang Saffiyyah rasa sekarang. Ditambah pula dengan kasut tumit setinggi tiga inci di tapak kaki membuatkan dia semakin tidak selesa.
"Ehem, ehem. Abang Putera, Kak Long! Buat apa tu? Bersemut je Rin tengok." Suara lantang Arina mengalihkan perhatian mereka berdua. Gadis itu memandang mereka bersama kening yang sengaja dimainkan tanda mengusik.
Tersedar akan sesuatu, pantas Putera mengalihkan lingkarannya di pinggang isteri. Begitu juga Saffiyyah, segera menjarakkan dirinya daripada suami. Masing-masing membuang pandang ke arah bertentangan.
Terhibur Arina yang melihat telatah pasangan pengantin baru. Elelele tengah cover malulah tu!
"Eh, tak payahlah malu-malu. Kan dah sah. Tak apa, Rin pergi dulu eh. Abang Putera dengan Kak Long bolehlah sambung balik scene tadi. Rin tumpang tengok sekejap je. Hehe bye!" Arina menjauh setelah menyelesaikan tugasnya malam itu. Yalah, bukan selalu dapat usik Kak Long!
Saffiyyah sudah puas memaki di dalam hati. Arina ini kan... Suka sangat nampak benda yang tak sepatutnya dia nampak. Kalau tertangkap dengan Rayyan tadi, tak adalah dia malu sangat.
"Okey tak tu? Hahaha dah, jom makan. Suap aku eh?" ajak Putera.
Saffiyyah hanya diam. Bukannya Putera tak tahu, Saffiyyah masih teringat usikan adiknya tadi. Isterinya itu kan, pantang diusik!
Tanpa menunggu jawapan, tangan Saffiyyah ditarik menuju ke meja makan yang agak tersorok. Tidak mahu mempamerkan kemesraan mereka di hadapan khalayak. Tambahan pula, dia perlukan masa berduaan dengan Saffiyyah.
"Macam mana nak suap? Tak ada sudu pun." Akhirnya, wanita itu membuka mulut. Putera sekadar tersenyum.
"Suap guna tangan kan boleh. Kenapa? Tak sudi ke?"
"Tak adalah macam itu. Tangan aku kotor, tak basuh lagi ni. Give me a second."
Setelah membasuh tangan, Saffiyyah kembali. Kali ini, turut dibawa sekali tisu dan secawan air bersamanya. Terbit rasa kagum dalam hati Putera. Kini, dia ditunjukkan sisi lain isterinya. Sisi yang baru ditemui.
"Bismillah... hah buka mulut, baby besar." Putera tersengih mendengarkannya. Namun, arahan itu diturut jua. Buat pertama kali, suapan Saffiyyah masuk ke dalam mulut.
Putera mengunyah nasi dengan tertib sehinggalah ke suapan terakhir. Gembira apabila dilayan sebegini istimewa oleh orang yang dia cinta. Apabila Saffiyyah suap, menyelam sambil minum airlah jawabnya. Kenyang dapat, bermanja lagilah dapat. Haha.
"Saff, kita jalan-jalan nak selepas ini?" cadang Putera. Saffiyyah menjongketkan kening. Gila ke nak keluar malam-malam buta macam ini? Lagipun, mereka baru saja menikah. Tak pernah dibuat oranglah!
"Jalan-jalan? Tak payahlah. Dah malam kot. Apa pula kata ibu nanti," bantah Saffiyyah kurang setuju.
"Saff, kita berdua ni dah kahwin. Bukannya kawan rapat macam dulu lagi. Sekarang, tak ada siapa nak halang. Aku nak bawa kau masuk dalam hotel pun boleh. Free je, tak kena serbu." Sempat Putera bergurau. Saffiyyah pula yang tebal muka menahan malu. Tak payahlah bangkitkan isu tu!
"Baiklah tuan Putera merangkap kawanku, temanku, sahabatku, imamku, pembimbingku. Patik..." Belum sempat dia menghabiskan kata, Putera lantas mencelah.
"Woi, title suami aku mana?"
Saffiyyah mendengus geram. Sabar sajalah dapat kawan yang jadi suami ni. Ada saja benda yang nak cari gaduh. Huh!
"Baiklah tuan Putera merangkap kawanku, temanku, sahabatku, imamku, pembimbingku, suamiku..." Perkataan suami itu sengaja ditekan. Putera tersenyum lebar hingga ke telinga. Seronok!
"Kita nak jalan-jalan pergi mana ni?" tanya Saffiyyah lagi.
"Lepak pantai jom."
**********
Bayu laut malam lembut menampar tubuh masing-masing. Air laut juga tenang bergelora. Tidak dilupakan juga dengan pemandangan indah yang tersedia di dada langit. Bintang bertaburan malah tak segan berkelipan di samping sang rembulan.
Putera dan Saffiyyah kembali ke pantai ini. Tempat yang menjadi saksi segala yang berlaku di antara mereka. Banyak suka duka yang terselit akhirnya mengajar mereka 1001 erti kehidupan.
"Ada apa-apa nak confess dekat aku tak malam ini?" Putera memecah sunyi yang mengelilingi. Dia menoleh menatap wajah Saffiyyah di sisi. Memang itu pun tujuannya, agar mereka dapat berbicara dari hati ke hati. Tambahan pula, sudah lama mereka terpisah.
"Aku sayang kau, Put. Sebagai suami, sahabat, kawan, teman..." luah Saffiyyah.
"Maafkan aku sebab cipta syarat bodoh itu dulu. Mesti kau terseksa kan? Kesian kau," sambung gadis itu lagi. Renungannya bersabung dengan mata hitam milik Putera.
Lelaki itu sekadar tersenyum. Benar, apabila diimbas semula perit sungguh rasanya memendam cinta sendiri. Tiada apa yang boleh dilakukan selain mencintai perempuan itu dari jauh. Walaupun secara zahirnya, mereka sentiasa bersama.
"Tapi siapa sangka, kau dah jadi milik aku sekarang? Aku pun tak sangka sebab selama ini aku hanya mengharap. Langsung tak pernah lebih daripada itu."
Saffiyyah ikut tersenyum. Rasa kerdil dirinya kini. Yalah, tahu-tahu saja lelaki yang kononnya dibenci itulah yang dicinta sepenuh hati. Betullah kata orang tua, jangan terlalu benci, nanti cinta. Jangan terlalu cinta, nanti berubah rasa.
"Put... maafkan aku tak? Banyak sangat dosa aku dekat kau ni. Lagi-lagi plan langgar lari tu. Aku rasa itu yang paling kejam kot." Tanpa dipinta, Saffiyyah sendiri mengungkit kisah lama.
Putera lantas menunduk sambil kedua belah tangannya dibawa meraup muka. Senyumannya bertambah lebar.
"Oh, pasal kes tu. Rai ada bagitahu aku."
Pandangan Saffiyyah tunak pada gerangan di sebelahnya, malah langsung tak berkelip mata. Mulutnya turut terlopong luas. Terkejut mendengar pernyataan yang baru keluar daripada mulut Putera.
"Kau kenal Rai?"
Lelaki itu mengangguk. Melihat anggukan Putera, Saffiyyah terasa ingin pitam! Kini, semakin banyak persoalan timbul. Seolah-olah langsung tiada penghujung.
Bagai dapat mengagak reaksi isterinya, Putera tertawa. Hah, tahu takut! Masa buat dulu tak fikir pula ek? Saff... Saff.
"Tak payah terkejut sangat. Ya, Rai yang maklumkan aku pasal rancangan kau tu. Nasib baik aku tak pengsan mendengarnya. Hebat betul otak kau buat kerja gila macam tu ek? Aku pun tak sangka," ujar Putera.
Giliran Saffiyyah pula menunduk. Rasa bersalah kembali menghimpit dada. Sungguh, dia menyesal yang teramat sangat! Lagi-lagi tatkala mengetahui bahawa Rai itu kenalan Putera.
"Kalau kau nak tahu, Rai pun ada waktu majlis kita tadi."
"Ya ke? Kenapa tak kenalkan aku dengan dia?"
"Tak payah. Buang masa je. Banyak lagi masa kau boleh kenal. Lagipun, ramai sangat orang tadi," balas Putera.
"Eh, macam mana dengan dia sekarang? Yalah, aku dah lama tak bagi dia kerja." Ingatan Saffiyyah menjengah terhadap Rai, si lelaki misteri. Walaupun mereka sekadar berurusan atas dasar kerja, namun dia rasakan yang Rai sangat mengambil berat akan dirinya.
"Rai? Budak tu? Mestilah dia gembira sekarang tengok kakak dia bahagia," kata Putera. Sesekali dia menjeling ke sebelah mengintai reaksi Saffiyyah pada kali ini.
"What! Are you kidding me?" Saffiyyah hampir terjerit. Kelopak matanya membuntang luas. Lengan Putera digenggam. Mencari kebenaran di sebalik bicaranya.
"Saff, I'm just telling you the hidden truth."
Lambat-lambat lengan itu dilepaskan. Tangan dibawa menekup mulut yang terdiam tanpa kata. Maksudnya, selama ini Rai itu ialah Rayyan? Adik lelakinya sendiri? Sungguh, Saffiyyah terasa seperti orang bodoh sekarang. Kenapa dia tak pernah tahu?
"Terkejut kan? Relax, dear. Ada sebab semua ini jadi. Biar aku buka cerita dulu. Aku nak kau dengar dan jangan buat kesimpulan ataupun hipotesis sendiri, boleh?" pinta Putera. Redup pandangan miliknya menyapa ruang mata.
"Boleh. Tapi cerita sampai habis. From A to Z include the spoiler," tegas Saffiyyah. Perasaannya bercampur-baur sekarang. Dia keliru.
Kedua belah tangan Saffiyyah dicapai lalu diletak ke ribanya. Nafas dalam diambil sebelum mula bercerita.
"Rayyan bagitahu aku perangai Hilman yang sebenar. Segala apa yang dia dah buat dekat kau... semuanya. Sampai sekarang, aku masih terkilan atas perkara yang dah berlaku. Aku tak ada untuk lindungi kau sewaktu kejadian tu. Maafkan aku, Saff."
Putera kekal merenung pepasir pantai. Tidak tega menentang wajah Saffiyyah. Dadanya juga sesak ingin mengaku salah.
"Oleh sebab itu, aku ambil keputusan untuk melamar kau. Jadikan kau yang halal supaya aku dapat jaga kau. Aku nak tebus balik kesilapan yang aku pernah buat dulu. Pada masa yang sama, aku nak jauhkan kau daripada bayang-bayang Hilman. Aku sayangkan kau, Saff. Seorang Putera takkan pernah biarkan puteri dia menderita. Kau layak bahagia."
Tubir mata terasa panas. Pandangan gadis itu mulai berkaca. Luhurnya luahan Putera cukup membuatkannya tersentuh sekali gus berjaya mengusik tangkai hatinya.
"Tapi nak buat macam mana, awalnya memang bukan jodoh kita untuk bersama. Kau masih dengan pendirian kau. Aku tak ada cara lain, jadi aku ambil keputusan minta Rayyan menyamar jadi Rai untuk jagakan kau. Sebab aku tahu, waktu itu kau kalah dengan emosi dan kau kecewa sangat dengan lamaran aku," terang Putera lagi.
"Habis, kejadian langgar lari itu pula macam mana? Takkanlah Rai teruskan plan itu?" Soalan itu menjadi tanda tanya buat Saffiyyah. Mustahil semua itu hanyalah lakonan. Empat matanya sendiri menjadi saksi keadaan Putera yang kritikal.
Putera terdiam sejenak.
"Aku betul-betul kemalangan malam itu. Bukan atas plan kau atau Rai, tapi sebab ketentuan Allah. DIA dah tetapkan untuk aku." Tenang seraut wajah itu menutur kata sama seperti air di kali.
Saffiyyah pantas mencari anak mata Putera. Penuh dengan pandangan simpati. Hatinya turut meruntun sedih. Betapa kejamnya dia dulu, sanggup meninggalkan sahabat sendiri ketika di dalam kesusahan.
"Hei, jangan pandang aku macam itu. Aku okeylah. Dah lama dah aku maafkan kau. Don't worry, princess." Kepala isterinya yang berbalut tudung putih diusap perlahan. Cuba untuk menenangkan.
Namun, sebaliknya yang berlaku. Tindakan Putera semakin menambah rawan di hati Saffiyyah. Air mata yang ditahan pecah semahunya. Tahu-tahu saja, Putera ditarik ke dalam pelukan. Tangisan dilabuhkan di dada lelaki itu.
"Aaa... aku minta maaf. Aku tak ada waktu kau susah. Aku dah tinggalkan kau waktu kau sakit, Put. Kalau apa-apa jadi dekat kau sekarang, akulah orang yang paling bersalah. Paling layak terima hukuman," esak Saffiyyah. Tersedu-sedan dia meluah rasa. Habis basah baju Putera dibuatnya. Kisah apa dia. Yang penting, dia sedih mendengar cerita Putera.
Bibir lelaki itu mengoyak senyum. Terkejut juga dia dengan perbuatan Saffiyyah tadi. Sebaik mendengar tangisan gadis itu, dia hampir kehilangan kata. Tahulah Putera bahawa penjelasannya tidak lain hanya menebalkan rasa bersalah dalam diri Saffiyyah.
"Tak apa, jangan risau. Aku kan dah sihat sekarang? Selepas ini kalau aku sakit, kau jagalah aku baik-baik. Deal? "
Di balik dada Putera, Saffiyyah menggeleng enggan.
"Buat apa nak bagi kau sakit? Aku nak jaga kau baik-baik sampai kau tak ada masa nak sakit."
Alahai, Putera sendiri cair dengan ungkapan si isteri. Rasanya semut api pun dah mula menghurung mereka. Manis sangat!
"Okey, aku sambung cerita eh? Sepanjang kau tinggal dengan Rayyan dekat luar negara, aku lega. Walaupun kau jauh, sekurang-kurangnya ada orang yang tolong jagakan kau, tengokkan kau dekat sana. Pada waktu yang sama, aku jumpa Hilman."
Mendengarkan sebaris nama itu, Putera menghela nafas berat. Sebagaimana Saffiyyah, dia juga ingin mengusir nama itu sejauhnya. Namun untuk kali ini, dia terpaksa.
"Hilman bagitahu aku, yang dia betul-betul menyesal atas perlakuan dia. Dia sangat memerlukan kemaafan daripada kau. Kalau tak, selagi itu dia dihantui dosa silam. Jadi, aku dan Rai aturkan pertemuan di antara kau dengan Hilman. Dengan syarat, selepas ini dia perlu pergi jauh daripada hidup kau dan takkan munculkan diri lagi. Aku dan Rai sekadar memerhati dari jauh. Ingatkan segalanya akan berakhir hari itu, rupa-rupanya aku silap. Kau masih trauma dan pengsan selepas jumpa Hilman."
Ya, Saffiyyah mengakui hakikat itu. Dia masih trauma dengan Hilman. Menatap wajah lelaki itu saja cukup untuk meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya.
"Kalau kau nak tahu, perkara utama yang buatkan aku bersungguh-sungguh dapatkan cinta kau adalah sebab Hilman. Aku tak nak tengok kau dibayangi cerita hitam itu sebab aku sendiri dah janji pada diri aku untuk terima kau seadanya. Aku pun tak sanggup bayangkan orang yang aku sayang hidup dengan seseorang yang telah hancurkan masa depannya."
"Aku nak jadi satu-satunya pelindung kau, Saff. Walaupun ada ramai lagi insan jauh lebih sempurna, aku tak kisah. Sebab bagi aku, seorang Saffiyyah hanya layak untuk Putera. Begitu juga seorang Putera hanya layak untuk Saffiyyah."
Saat itu, pandangan mereka bertaut lama. Masing-masing berbicara melalui renungan mata. Saffiyyah mengeratkan pelukannya terhadap Putera. Sungguh, dia insan yang paling beruntung kerana dihadirkan seseorang yang menyayanginya sepenuh hati dan sanggup berkorban memastikannya bahagia. Benarlah, cinta itu pengorbanan.
Putera turut membalas dakapan tersebut. Syukur, setelah menempuh pelbagai onak dan duri, akhirnya hati mereka bersatu. Sekeping hati milik Saffiyyah akan dijaga sehingga akhir nafasnya. Itu janji Putera. Janji sang pencinta.
Perlahan-lahan pelukan mereka terlerai.
"Kau tunggu sini sekejap tau!" pesan Saffiyyah. Putera memerhati tindak-tanduk isterinya yang ligat ke sana ke mari seolah-olah mencari sesuatu.
Tak lama kemudian, Saffiyyah kembali mengisi tempat di sebelahnya bersama ranting kayu di tangan. Kening Putera ternaik. Saffiyyah tersenyum lebar.
Gadis itu kemudiannya menundukkan sedikit badannya ke bawah. Ranting kayu di tangan bertindak mengukir sesuatu di atas pepasir pantai. Setelah berpuas hati, dia menoleh memandang Putera.
"Hah, cepat baca."
Badan Putera turut membongkok, cuba untuk meneliti perkataan yang terukir di balik samar-samar cahaya rembulan. Tanpa dipinta, seulas bibirnya melakar senyuman.
HIKAYAT CINTA SAHABAT
#BAHAGIA
Start from today, we will have the life we never know we would. It's me and you become us. Together.
-TAMAT-
Alhamdulillah, special chapter DONE! ✔️
Aku tahu ramai yang tunggu part ni sebab tulah aku tulis panjang-panjang. 😂
Sebelum aku terlupa, mohon berterima kasih dekat Putera korang sebab menjadi pembakar semangat untuk aku update chapter ni. Yalah, sebab Putera dah buat aku happy, dia menang BEST HERO. 😆💓
Thanks for everything, wish me luck in my writing. And I hope you guys do enjoy reading my story! Weee 😁🤗
Assalamualaikum!
Xoxo, AinQalbi ✨
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro