bab 3
Malam esok merupakan majlis pernikahannya dengan lelaki tak guna itu. Lelaki yang kini sudah naik jawatan dengan memegang gelaran sebagai orang yang paling dibenci dalam hidupnya. Esok, lelaki itu jugalah yang akan menerimanya sebagai isteri dengan lafaz ijab dan kabul.
Serta-merta sahaja, tubir matanya terasa panas tatkala terpandangkan jemarinya yang kini merah dibubuh inai. Dirinya sebak mengenangkan nasib diri. Perkahwinan sebegini bukan impiannya. Lebih-lebih lagi dengan insan yang dia langsung tidak cinta.
'Putera... kau akan menyesal dengan keputusan yang kau ambil ini,' desisnya di dalam hati.
Itu azamnya. Kedua belah tangannya dikepal lalu digenggam sekuat hati. Api kebencian semakin meluap-luap dalam diri.
Saffiyyah memerhatikan keadaan di luar bilik melalui pintu biliknya yang sengaja dibuka sedikit. Ahli keluarga dan sanak-saudaranya masih belum masuk tidur, malah semakin sibuk mempersiapkan majlis pernikahannya yang akan berlangsung esok. Keadaan pula masih riuh-rendah dengan suara orang berborak dan bergurau senda.
Jam yang tergantung di dinding bilik diperhati buat ke sekian kalinya. Satu jam lagi... semuanya akan berubah. Saffiyyah akan melakukan perkara yang paling berisiko sepanjang hidupnya. Nafas yang semakin tidak teratur cuba diredakan. Untuk menjayakan rancangan ini, dia perlu bertenang!
Tanpa dipinta, pintu bilik diketuk dari luar. Serentak dengan itu, wajah ibu terjengul di balik pintu.
"Kak Long okey? Kenapa muka pucat tu?" Puan Saleha merenung wajah anaknya dengan kerisauan di hati.
"Errr... Kak Long okey ibu. Cuma berdebar sedikit," dalih Saffiyyah sambil cuba menutup debar di hati sebaik mendengar soalan ibu. Jelas sangatkah muka pucatnya?
Puan Saleha merenung Saffiyyah buat kali terakhir. Dia ingin memastikan anaknya dalam keadaan yang baik. Setelah berpuas hati, pintu bilik ditutup rapat. Biarlah, dia yakin Saffiyyah memerlukan masa sendiri tanpa gangguan.
Saffiyyah menggelengkan kepala sambil meraup muka. Tangannya yang menggigil hebat dipandang. Ya Allah... betul ke apa yang dia buat ini? Hati mula berbelah-bagi. Lebih-lebih lagi, tatkala melihat wajah ibu yang risau tadi.
Terbit pula rasa bersalah untuk meneruskan rancangannya. Bagaimana dengan usaha dan titik peluh ahli keluarganya mengadakan persiapan? Wajarkah dia membiarkan ibu dan ayah serta ahli keluarga yang lain menanggung malu?
Sekali lagi... Saffiyyah buntu!
Perasaan bersalah yang kian menghambat segera ditepis dari terus menjalar di segenap ruang hati. Tak boleh! Hatinya bulat dan nekad. Apa nak jadi, jadilah! Yang penting, dia takkan sama sekali dinikahkan dengan Putera. Titik! Lagipun, masih ada jalan yang terbentang untuk keluar daripada permasalahan ini.
Rai
Saff, malam ini jadi ke tak?
Mesej kiriman Whatsapp daripada seseorang itu dibaca berkali-kali. Bibirnya menghela nafas sebelum menaip jawapan balas.
Jadi. Kita proceed dengan rancangan asal.
Tepat pukul 12 kita mula.
Okey. Nanti dah settle semua, aku tunggu di Petronas.
Noted! 👌
Selesai menghantar mesej, matanya dipejam rapat. Cuba untuk membuang seribu satu rasa yang bertandang di hati. Kali ini, Saffiyyah perlu yakin dengan pilihannya sendiri. Semua ini melibatkan masa depannya nanti. Apa pun yang bakal berlaku, segala risiko yang bakal ditanggung, hakikat kebenaran yang bakal terbongkar, semuanya perlu ditelan jua!
Beg hitam yang terletak kemas di hujung katil menangkap perhatian Saffiyyah. Beg itu ditarik rapat ke arahnya. Tindakannya tiba-tiba terhenti. Rantai kunci pemberian Putera yang terpasang pada zip beg membuatkan dia teringat akan sesuatu.
"Happy birthday, Saff!" Putera separa menjerit di tepi telinga.
"Huh? Apa kau ni? Birthday aku dah lepas la," jawab Saffiyyah. Dia menjeling lelaki di sebelahnya sebelum kembali memandang pada ombak yang setia memukul pantai.
Putera sekadar tersengih. "Nah, untuk kau."
Sebuah rantai kunci berbentuk hati diletakkan di atas tangan Saffiyyah. Mata gadis itu membulat. Saffiyyah memandang Putera dengan penuh tanda tanya.
"Hadiah birthday kau tahun depan," jelas Putera. Dia masih tersengih, menampakkan barisan giginya yang teratur cantik.
"Peliknya? Kenapa bagi awal sangat?" soal Saffiyyah. Sambil itu, rantai kunci di tangannya dibelek-belek.
"Saja, takut aku tak sempat nak bagi nanti," ujar Putera lagi. Selamba dia menuturkan kata-kata tersebut tanpa memandang riak wajah Saffiyyah yang sudah mula berubah.
Saffiyyah mengecilkan kelopak mata. Gerangan lelaki di sebelahnya dipandang seperti hendak ditelan sahaja lagaknya. Putera ini kan... kalau sehari tak melalut ke laut tak boleh ke?
"Jangan nak merepek boleh tak? Aku tak suka!"
"Merepek apa pula? Betul la."
"Sekali lagi kau cakap macam ini, aku campak keychain ini dalam laut," ugut Saffiyyah. Dia pula yang rasa tak sedap hati apabila mendengar Putera berkata begitu.
Lelaki itu hanya tersenyum nipis.
"Look, Saff. Aku tahu kita dah bersahabat lama. Lebih 10 tahun. Tetapi kau kena ingat, persahabatan kita selama ini mungkin boleh terpisah apabila tiba masanya. Siapa tahu? Mungkin kau pergi dulu, mungkin juga aku. Jadi, apapun kita memang perlu bersiap sedia menghadapi kehilangan,"
"... dan perpisahan," sambung Putera lagi.
Riak wajah lelaki itu kelihatan sangat tenang. Berlainan dengan Saffiyyah yang kini dihimpit dengan kerisauan yang tidak berpenghujung.
"Kau ada sorokkan apa-apa daripada aku ke?" tebak Saffiyyah.
Putera terdiam sendiri. Automatik, dia mengeluh perlahan.
Tindakan Putera yang serta-merta berubah membuatkan Saffiyyah merasakan ada sesuatu yang perlu dia tahu.
"Put, apa masalah kau sebenarnya? Spill the tea. Aku ada," pujuk gadis itu.
Putera menggeleng. "Nothing. Aku hanya nak ingatkan kau, jangan terlalu berharap pada persahabatan ini."
'Sebab aku dah mengharapkan untuk kita bersama dalam hubungan yang lebih besar maknanya! Lebih daripada persahabatan kita,' bisiknya sendiri.
Namun apakan daya, kata-kata itu hanya mampu dilontarkan dalam hati seorang lelaki. Tanpa adanya Saffiyyah untuk mengerti.
"Aku rasa kau tertinggal satu point dalam bersahabat, Put."
Saffiyyah menghela nafas seketika.
"Biar roh terpisah dari jasad, biar tubuh bersemadi di perkuburan sekalipun... persahabatan yang sejati takkan terpisah malah akan terus bercambah sehingga ia menjadi saksi di Jannah."
Bunyi telefon bimbit di atas katil menyedarkan Saffiyyah daripada mengimbau kenangan lama. Nama si pemanggil yang tertera di skrin membuatkan nafasnya seolah-olah terputus.
Putera? Buat apa dia call malam-malam ini?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro