bab 17
"Kau... memang binatanglah!" Serentak dengan itu, sebiji penumbuk hinggap di pipi kanannya. Terundur dia beberapa tapak ke belakang akibat penangan lelaki itu. Terasa cecair merah pekat laju mengalir di tepi bibir.
"Kau memang sial, Hilman!" Belum sempat dia menyeimbangkan badan, sebiji lagi penumbuk datang menerpa. Kali ini di pipi kiri pula. Penangannya juga lebih padu. Hilman langsung tidak membalas apatah lagi melawan. Sebaliknya, sekadar membiarkan. Merelakan dirinya diperlakukan sedemikian rupa.
Putera meraup wajahnya sekuat hati. Berombak-ombak dadanya menahan rasa. Dia bukanlah seorang lelaki yang panas baran. Bukan juga lelaki yang suka bergaduh. Tetapi apabila melibatkan perempuan itu, apa saja sanggup dilakukan. Termasuklah membunuh Hilman yang sudah kelihatan tak bermaya menghadapnya.
Kolar baju sekolah Hilman dicekak kuat sehinggakan tercungap-cungap lelaki itu mencari nafas. Rontaan Hilman minta dilepaskan langsung tidak dipedulikan. Malah semakin erat cengkaman Putera pada kolar baju. Lelaki ini layak mati! Mati di tangannya. Itu yang diinginkan sekarang.
Putera merenung tepat ke dalam anak mata Hilman dengan tubir mata berkaca. Pelbagai rasa menghimpit kalbu saat ini. Marah, sedih, kecewa dan hampa. Semuanya bersatu menjadi satu mendorongnya mengikut kata hati, bukan lagi akal yang diberi.
"Aku suruh kau jagakan Saffiyyah untuk aku! Bukannya rosakkan hidup dia!" jerit Putera. Seiring itu, air mata jantannya pecah. Pegangannya pada Hilman dilepas kasar.
Tangisannya semakin melebat. Akhirnya, Putera jatuh terduduk di tepi jalan. Sudah tidak dihiraukan lagi dengan kehadiran Hilman. Apa yang dia tahu, dia yang bersalah dalam hal ini. Dia yang lambat tiba saat Saffiyyah betul-betul perlukan dirinya.
Saat perbuatan keji Hilman sampai ke pengetahuan Putera, hampir separuh daripada jasad Putera melayang pergi. Siapa sangka, Hilman lelaki yang selama ini dipercayai dan dianggap sebagai saudara sendiri sanggup menjadi musuh dalam selimut. Tegar menjadi pemusnah kebahagiaan Saffiyyah sekali gus menghapuskan kebahagiaan seorang Putera.
Sungguh, Putera sangat kecewa. Betapa kecewanya dia kerana gagal menjadi pelindung kepada Saffiyyah. Dia gagal untuk melindungi satu-satunya sahabat yang dia ada. Sahabat di kala suka dan duka. Sedih dan tawa. Sedangkan selama ini dia cukup tahu, Saffiyyah bergantung harap padanya. Saffiyyah perlukan Putera.
Bagaikan terbayang-bayang di ruangan mata kelakuan jijik Hilman terhadap sahabatnya. Sayup-sayup juga kedengaran tangisan dan rontaan Saffiyyah saat dia tiada. Begitu juga maruah gadis itu yang sudah dicemar noda. Perlahan-lahan jemari tangannya dikepal erat.
Tanpa menunggu lama, penumbuk terakhir dilepaskan mengena wajah Hilman yang belum bersedia. Sengal pada buku lima langsung tidak terasa sakitnya. Sakit tersebut masih belum dapat menandingi perit di hati saat ini.
"Penumbuk daripada aku ini langsung tak setimpal dengan kerosakan yang kau buat, Hilman. Aku nak kau jauhkan diri daripada Saffiyyah dan jangan pernah terfikir nak muncul depan dia. Kau kena ingat, aku sanggup buat apa-apa saja untuk melindungi Saffiyyah walaupun nyawa aku yang menjadi taruhan."
"Oh ya, lagi satu. Mungkin kau terlupa. Saffiyyah hanya untuk aku dan paling penting, binatang macam kau takkan pernah boleh miliki dia. Sebab Saffiyyah aku punya!"
**********
▥▥▥
DAY 13-DAY 15
Tanya pada hati, milik siapa hati ini.
Jawab hati, aku tak tahu. Buntu.
Tanya pada Ilahi, milik siapa hati ini.
Jawab Ilahi, istikharahlah kepada-Ku.
Kerna Aku lebih tahu kamu.
Tiga hari, tiga malam, satu jawapan.
Aku tunggu!
▥▥▥
Setelah tiga hari Saffiyyah terlantar di katil hospital, hari ini barulah dia dapat meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Pergi ke pantai setiap kali jam menunjuk ke angka lima. Namun, pesanan Putera yang tercoret di kertas putih petang itu membuatkan Saffiyyah lantas berfikir panjang.
Semalam, lamaran Hilman. Hari ini, dia perlu fikirkan lamaran Putera pula. Mengenangkan perkara tersebut, sebuah keluhan mulai terbit. Terasa beban yang dipikul kini semakin berat. Nampaknya, Saffiyyah perlu memilih antara dua pilihan. Kemuncaknya, pilihan itu jugalah yang akan menentukan pengakhiran ceritera hidupnya. Bahagia atau derita.
Tatkala kegelapan langit kian memekat, sepertiga malam itu dimanfaatkan sebaiknya oleh Saffiyyah. Sepanjang tiga malam yang diberikan itu jugalah, Saffiyyah melakukan istikharah dan bermuhasabah diri tanpa henti. Dibawa sekali ketenangan dan kerendahan minda serta hati. Segalanya difikirkan dengan teliti. Sama ada baik atau buruknya.
Selama ini, apakah yang membuatkan dirinya terlalu membenci Putera? Itu soalan pertama yang berlegar-legar di fikiran. Hakikatnya, Saffiyyah hanya menjadikan rasa benci sebagai alasan menjarakkan diri daripada Putera. Saffiyyah tak mahu kelemahan dirinya terbongkar sampai ke pengetahuan lelaki itu. Lagipun, dia sedar kesuciannya sudah diragut. Mana mungkin wanita sepertinya layak untuk lelaki baik seperti Putera. Selama-lamanya dia takkan layak.
Berkenaan Hilman pula. Lelaki yang sama menghancurkan masa depannya, kini hadir dengan tujuan baru. Berjanji dengan Saffiyyah ingin memberikan bahagia tiada lagi derita. Berjanji juga untuk menjaga sebagai ganti sebuah dosa. Saffiyyah tahu, Hilman sudah jauh berubah menjadi lelaki yang lebih baik kini. Lihat saja ketulusannya dalam memohon maaf kelmarin. Malah sehingga saat ini, kekal setia menanti kemaafan daripada Saffiyyah tanpa mengenal erti lelah.
Dadanya semakin sesak. Puas dia memohon petunjuk, namun sehingga sekarang dia masih di persimpangan. Putera atau Hilman? Atau... sudah tiba masanya untuk dia mencari makna hidup sendiri? Lebih tepat lagi bebas daripada sesiapa. Tidak kisah Hilman atau Putera.
Sejujurnya, hati Saffiyyah langsung tidak tertarik dengan mana-mana lamaran tersebut. Dia takut. Takut untuk menghadapi akibat tersilap dalam membuat pilihan. Gerun untuk memikirkan soal masa depan. Sedangkan dirinya sendiri tidaklah sempurna di mata insan.
Masa diambil lagi untuk berfikir dan bermuhasabah diri. Peluang sudah terbentang di hadapannya. Tiba saatnya untuk dia memilih. Kedua belah tangan diangkat memohon perhatian dan ihsan Yang Maha Esa.
"Ya Allah, aku memohon agar memilih mana yang baik menurut Engkau Ya Allah. Aku juga memohon diberikan kepastian dengan ketentuan-Mu dan aku memohon dengan kemurahan-Mu Tuhan yang Maha Agung. Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Berkuasa, sedangkan aku tidak tahu. Engkau Tuhan yang amat mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi."
"Ya Allah! Jika menurut pendapatMu urusan ini dialah yang terbaik menjadi imamku dan memberi kebaikan bagiku untuk agamaku, kehidupanku, dan pekerjaanku, maka takdirkanlah dia bagiku dan berkatilah dia padaku. Jika menurut pengetahuanMu bahawa urusan ini dia yang memberi keburukan bagiku untuk agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku, maka aku mohon agar Engkau jauhkan dia daripadaku dan kurniakanlah bagiku hanya kebaikan di mana sahaja aku berada. Jadilah aku orang yang redha atas anugerahMu. Amin Ya Rabbal Alamin."
Selesai mengaminkan doa, sinar harapannya semakin jelas. Kali ini, Saffiyyah nekad. Hanya itu pilihannya. Pilihan berdasarkan petunjuk ilahi, pasti akan kekal hakiki.
Hmm korang macam mana? Dah bersedia untuk tamatkan HIKAYAT CINTA SAHABAT? Tinggal lagi satu chapter je ni. Esok last update. Hehehe.😊
So, nak happy ending ke sad ending? 😆
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro