Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

bab 16

"Kenapa kau buat aku macam ni Hilman..." lirih Saffiyyah. Air matanya berterusan mengalir tanpa ingin berhenti. Teresak-esak dia menghamburkan tangis. Lagi-lagi apabila teringatkan kesuciannya yang telah diragut sebentar tadi.

"Ini tandanya Hilman sayangkan Saff. Cintakan Saff. Saff tak suka?" lembut soalan tersebut meniti di bibir Hilman.

Tapak tangannya dibawa naik ingin mengelus pipi putih itu. Namun, Saffiyyah lebih pantas mengelak. Hilman tersenyum sinis melihatkan keengganan si gadis. Oh, dia terlupa satu perkara. Perempuan di hadapannya ini bukan gadis lagi.

Luluh hati Saffiyyah mendengarkan kata-kata Hilman. Ini tanda sayang? Ini tanda cinta? Pergi mampus! 

Seraut wajah lelaki itu direnung tajam dengan kolam mata yang sedia bergenang.

"Orang macam kau ni tak layak dicintailah! Dasar manusia bertopengkan syaitan! Kau tak gunalah, Hilman! Kau gila! Kau memang gila!" Saat itu, semua amarahnya dihambur keluar. Bagi Saffiyyah, Hilman tak patut hidup! Dasar lelaki perosak!

"Tak... Hilman tak gila. Hilman betul-betul sayangkan Saff. Takkanlah Saff tak nampak lagi?" Bersungguh-sungguh lelaki itu menyangkal. Kedua belah pipi Saffiyyah ditekup supaya memandangnya.

"Le... paslah, hanat! Mampuslah dengan cinta kau! Aku benci kau tahu tak!" Sentuhan lelaki itu ditepis sekuat hati. Berderai tangisan Saffiyyah buat ke sekian kalinya. Sungguh, dia jijik dengan sentuhan Hilman. Dia jijik mendengar kata-kata sayang dari mulut Hilman. Dia jijik!

Hilman terdiam dan tertunduk merenung jubin tandas yang kering. Mukanya diangkat menjadikan pandangan mereka bertembung. Dari sinar mata Saffiyyah, jelas terpancar api kebencian. Tetapi tidak pada Hilman. Hanya pandangan kosong tak berperasaan. 

"Sayangnya, Saff belum nampak kasih sayang Hilman. Biar Hilman buktikan sekali lagi," ujar Hilman. 

Kesucian Saffiyyah diragut buat kali kedua. 

**********

Kelopak mata perlahan-lahan dibuka. Cahaya lampu mula mengisi ruang kornea mata. Sejenak Saffiyyah terpejam dek silauan cahaya yang datang menerpa. Bebola mata cuba disesuaikan mengikut keamatan cahaya semasa. Gambaran siling putih menjadi tatapan utama. Tahulah Saffiyyah yang kini dia berada di mana.

Hospital. Tempat yang menyimpan beribu duka.

"Saff."

Kedengaran seseorang menyeru namanya. Saffiyyah berpaling ke kanan mengikut arah datangnya suara itu. Serta-merta tubuhnya mula menggigil. Namun sedaya upaya dia cuba untuk menahan. Tangannya yang berada di bawah selimut digenggam erat. Berharap dapat menyalurkan kekuatan terhadap diri sendiri.

Untuk kali ini, Saffiyyah tak boleh kelihatan lemah lagi. Dia perlu kuat. Cukuplah dia tewas dengan masa lalu... tetapi tidak sekarang. Diri Saffiyyah perlu kuat berhadapan dengan Hilman, lelaki yang kini berada di sisinya. Lelaki yang telah merosakkan impian dan kebahagiaan seorang Saffiyyah.

"Keluar." Sepatah perkataan itu terucap tanpa nada. Ringkas tetapi cukup mendalam.

"Saff..." Hilman masih lagi mencuba.

"Aku kata keluar!" Bergetar suaranya menahan gelojak rasa. Nafasnya juga turun naik. Kesabaran Saffiyyah tiba di puncaknya. Dia tak sanggup lagi berlama-lama menatap wajah lelaki itu.

Di wajah Hilman, Saffiyyah terbayang bagaimana dia dirogol tanpa rela. Di wajah Hilman, Saffiyyah teringat penderitaan yang selama ini meragut bahagianya. Dan... di wajah Hilman itu turut menjadi bukti kepada benih yang pernah dikandungnya.

Mengingatkan kenyataan itu, hatinya bertambah pilu. Titisan air mata gugur lagi.

"Saff... dengar dulu apa aku nak cakap. Aku minta maaf atas apa yang pernah jadi dulu. Maafkan aku Saff," sebak nada Hilman menuturkan kata maaf. Ungkapan yang selama ini dinantikan oleh Saffiyyah daripada mulut lelaki itu. Namun, semua sudah berubah. Kata maaf itu sudah tiada perlunya.

Mereka berdua bertatapan lama. Melalui lirikan mata, Saffiyyah tahu Hilman betul-betul memaksudkan maafnya. Hujung bibir yang kini kering digigit perlahan. Perempuan itu menarik nafas dalam.

"Kenapa... baru sekarang kau datang?" Wajah Hilman di hadapannya dipandang dengan mata berkaca. Mengharapkan sebuah penjelasan. Hilman terdiam seolah-olah kehilangan kata. Kepalanya menunduk.

"Kau tahu tak selepas kau pergi... hidup aku menderita? Aku hilang kawan... aku hampir hilang keluarga. Setiap hari aku tahan telinga dengar orang ramai menghina, mencaci dan tuduh aku macam-macam. Aku ini bohsia. Aku perempuan tak guna. Anak yang bawa malang. Perempuan murah. Perempuan kotor. Jijik. Banyak lagilah sampaikan aku sendiri dah lali dengar."

"Aku tahan... aku hadap semua itu seorang diri. Sampailah aku dapat tahu yang aku mengandung."

Kata-kata Saffiyyah automatik terhenti. Dadanya sesak dan sempit. Sukar rasanya hendak meleraikan derita yang selama ini tersemat di balik pekung dada.

"Kau... mengandung?" Hilman yang tadinya diam menunduk perlahan-lahan mendongak. Anak mata Saffiyyah dicari. Mencari kebenaran berdasarkan cerita yang baru didengar.

"Aku mengandungkan anak kau, Hilman." Akhirnya pengakuan itu terbit daripada mulut Saffiyyah. Itulah hakikat yang disimpan rapi selama ini. Dia pernah mengandung. Mengandungkan anak Hilman. Anak yang terhasil daripada benih perbuatan haram lelaki itu.

Hilman terpempan. Sendinya serta-merta terasa lemah mendengar bicara Saffiyyah. Tidak disangka begitu sekali kesan yang terpaksa ditanggung oleh perempuan itu. Perempuan yang dulu dan sehingga kini dipuja.

"Apabila aku dapat tahu yang aku mengandung, aku buntu. Aku tak tahu nak buat apa. Aku tak dapat terima macam mana kalau orang lain tahu pasal semua benda ini. Waktu keluarga aku dapat tahu aku kena rogol pun dia orang hampir nak buang aku. Apatah lagi kalau dapat tahu yang aku mengandungkan anak luar nikah. Mestilah nasib aku lagi teruk nanti. Jadi untuk lari daripada masalah, aku ambil cara penyelesaian mudah. Aku gugurkan kandungan itu. Aku bunuh budak itu dengan tangan aku sendiri."

Ibu jari dibawa ke pipi. Titisan air mata yang masih hangat mengalir laju diseka. Cuba untuk tidak tenggelam dengan emosi. Bimbang dia kelihatan lemah di depan Hilman, lelaki tak guna.

"Sedih kan hidup aku? Dahlah kena rogol, kemudian terpaksa mengandungkan benih haram. Paling teruk, bunuh janin yang tak berdosa dengan cara yang paling kejam. Kau nak tahu macam mana aku bunuh budak itu? Aku sendiri yang bayar doktor untuk tolong aku gugurkan kandungan."

"Jahat tak aku? Tapi... kau lagi jahat. Kau kejam. Tak berhati perut. Pengecut. Langsung tak nak bertanggungjawab atas perbuatan keji kau. Kau dah puas lempiaskan nafsu binatang kau, selepas itu kau pergi. Tinggalkan aku terkontang-kanting seorang diri."

"Sekarang, kau datang balik dalam hidup aku dengan kata-kata maaf. Apa niat kau sebenarnya? Rogol aku buat kali ketiga?" sinis pertanyaan itu dilontarkan disertai senyuman sinis di tepi bibir. Saffiyyah langsung tak kisah dengan perubahan riak wajah Hilman. Memang itu pun maksudnya. Ingin menyakiti Hilman.

Dari ekor mata, Saffiyyah dapat melihat kekesalan Hilman yang jelas terpancar. Sayangnya, semua itu belum cukup mampu untuk membeli sebuah kemaafan.

"Saff, aku minta maaf. Aku betul-betul minta maaf. Bagi aku peluang kedua untuk betulkan segala khilaf aku dulu. Kali ini, aku janji yang aku takkan sia-siakan kau. Aku akan bahagiakan kau. Itu janji aku. Janji seorang lelaki," tutur Hilman. Masih mengharapkan sesuatu yang mampu menebus kesilapan lalu.

Mulut Saffiyyah terkunci tanpa jawapan. Sungguh dia tak sangka ini niat sebenar Hilman berjumpa dengannya. Entah kenapa, Saffiyyah tak mampu berfikir sekarang. Otaknya sudah tepu dengan pelbagai perkara. Hilman di hadapannya sekadar diberi pandangan kosong tanpa makna.

Melihatkan Saffiyyah yang tidak menunjukkan sebarang reaksi, Hilman menyambung kata.

"Saff... kita kahwin? Kita halalkan hubungan kita. Aku sayangkan kau."

Again, lambat lagi untuk malam ni. Ampun beribu-ribu ampun. 🙏🏻

Jujur cakap, part ni susah nak buat. Huhu it takes me a very very long time. 😬

Hmm.. korang okey ke tu? Ada yang sedih ke? 😞

Maaf kalau tak memuaskan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro