Bab 36
Caden menghela nafas apabila mendengar balasan daripada Adelia dan ahli Hidden Card yang lain. Mereka telah mengambil beberapa orang pelajar untuk menjadi ahli Hidden Card yang baharu pada seminggu yang lalu. Nampaknya, Queen telah berjaya memilih beberapa orang pelajar yang cukup mahir untuk melakukan tugas mereka.
Perancangan untuk melihat bilik muzik hari ini pun diatur oleh Hidden Card sebentar tadi. Baru beri arahan yang singkat, namun kesemua ahli mampu memainkan peranan yang baik. Caden melangkah masuk ke dalam bilik muzik itu dan melihat Zafril, Ken dan Ayyan yang melihat-lihat persekitaran itu.
"Ada jumpa apa-apa?"
"Belum lagi." jawab Ken. Dia melihat beberapa gambar di situ. Mungkin ada petunjuk berdekatan. Ayyan pula melihat ke arah tempat penyusunan gitar. Caden memandang ke arah Zafril yang ralit melihat nota melodi piano yang terdapat pada piano lama itu. Jarinya mula menekan satu persatu kekunci piano itu dan membentuk melodi sebuah lagu.
Lagu ni....macam dia pernah dengar. Arwah Zarif dahulu mahir bermain alat muzik terutamanya piano. Saat jarinya menekan kekunci terakhir, satu bahagian siling terbuka dengan sendirinya. Pelbagai kertas jatuh bertaburan ke atas lantai.
"Apa benda ni?" Ayyan mengambil salah satu kertas tersebut. Kertas itu merupakan surat ugutan daripada seseorang. Jantungnya berdegup laju apabila melihat tulisan tangan orang tersebut.
Zafril pula mencapai sebuah alat rakaman yang jatuh dari siling tersebut. Ada rakaman suara apa dalam ni? Dia terdengar suara Ayyan mengumam sesuatu.
"Mustahil."
***
Adelia yang sedang bersandar pada kerusinya mendengar bunyi pintu bilik penyiaran itu dibuka.
"Cassandra. Kau ada belikan aku air kotak limau?" Tiada balasan. Dia merasakan kalau yang masuk tadi bukan rakannya. Adelia mencapai sesuatu di bahagian bawah kerusinya. Pisau belati yang disimpan ditarik keluar secara perlahan.
Tiba-tiba, lehernya dijerut dengan tali. Dia menolak kerusinya ke belakang untuk melonggarkan jerutan tersebut dan melanggar orang yang berada di belakangnya. Dia bingkas bangun dari kerusinya.
"Kau." Tajam matanya memandang figura di belakangnya. Sebenarnya, pagi tadi dia telah mendengar segala perbualan orang itu bersama seseorang dan tanpa sengaja dia melihat Ayyan yang baru sahaja tiba di sana. Saat dia menegur Ayyan, dia pasti orang itu juga mengetahui keberadaan mereka.
"Kenapa? Terkejut?" kata orang itu dengan sinis. Adelia tergelak kecil mendengar kata-kata itu.
"Kenapa aku nak terkejut sedangkan dari awal lagi kau yang aku syak selama ni?" Riak wajah orang itu berubah.
"Jadi, kenapa tak laporkan?"
"Tak seronok kalau aku sendiri yang serahkan kau. Aku nak Zafril sendiri yang sumbat pembunuh abang dia dalam penjara." Mereka saling beradu pandangan sebelum pembunuh itu menyerang Adelia dengan pisau yang dibawanya.
Masing-masing bergelut. Adelia dapat mencederakan bahagian perut dan kaki orang itu namun dia juga tercedera di bahagian pehanya. Dia tahu tenaganya tak mampu untuk menyaingi tenaga pembunuh terlalu lama. Dia menekan butang 'on' pada pembesar suara.
"Jangan buang masa lagi, Adelia. Kau tahu kau boleh mati bila-bila masa sahaja!"
"Jangan terlampau yakin!" Pembunuh itu menolak Adelia ke bahagian berdekatan dengan almari besi dan cuba menumbuknya. Adelia mengelak dan menendang bahagian perut orang itu yang terluka namun pembunuh mencengkam pehanya.
"Argh!!" Dihempas Adelia ke arah meja kaca itu sehingga pecah. Dia mencekik leher Adelia dengan kuat.
"Kau...memang dungu." kata Adelia sambil memandang ke arah tempat kawalan penyiaran sekolah. Pembunuh itu juga turut memandang ke arah yang sama.
"Tak guna!!" Dia menumbuk wajah Adelia dan segera bangun. Pembunuh itu berlari keluar dengan pantas apabila mendengar bunyi tapak kasut mendekati bilik penyiaran.
"Adel!!"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro