Bab 9
Qarizh bangun dari kerusi apabila namanya dipanggil untuk membentangkan kertas kerjanya. Mata-mata audiens yang ralit memerhatikan tingkahnya berjalan ke atas pentas dibiarkan sahaja. Ya, dia tahu dia popular dek kerana pangkat profesor yang diraihnya di usia muda, tetapi apa yang membuatkannya bengang dalam gundah ialah pandangan mata seorang gadis bernama Aralyn Awliya yang sedari tadi memandangnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan.
Kenapa Aralyn memandangnya dengan pandangan sangat 'caring'? Ah... hatinya sendiri tidak kuat untuk melihat pandangan mata itu!
Dari atas pentas yang berudara lebih sejuk dari tempat duduknya tadi, matanya dikalihkan pula kepada tingkah seorang lagi kanak-kanak tidak matang yang juga melihatnya dengan pandangan runsing. Entah sejak bila dan macam mana budak Amirul itu terlepas masuk ke sesi persidangan pada hari ini, dia tidak pasti.
Aralyn dan Amirul, kedua-dua mereka itu memandangnya seperti orang sakit yang bila-bila masa sahaja akan tumbang. Sedari tadi dia sudah memberitahu kedua-dua orang kanak-kanak Ribena itu bahawa dia sudah okey, tetapi entahlah mungkin wajahnya pucatnya pada pagi ini masih belum mampu menutup gundah hati mereka berdua.
Ya, dia faham akan kerunsingan mereka berdua. Memang betul dia masih belum pulih sepenuhnya tetapi dia akan cuba bertahan demi maruah universiti yang tergalas di bahunya sekarang. Audiens yang bakal menonton dan mendengar pembentangannya sekejap lagi terdiri daripada ahli akademik berpangkat profesor, profesor madya, doktor, dan juga pelajar-pelajar pascasiswazah serta sebilangan kecil pelajar prasiswazah.
Apa yang pasti, mereka semua itu datang jauh nun dari pelosok dunia semata-mata mahu melihat hasil kajiannya yang bakal dipersembahkan melalui kertas kerja. Namun, apa yang membuatkannya tidak faham ialah kenapa pula mereka berdua perlu merisaukan dirinya? Qarizh Zahwan tenggelam di dalam kebuntuannya.
"Salam Ahad yang ceria dan selamat pagi kepada anda semua yang hadir di sesi pembentangan pada pagi ini. Pada hari ini, saya akan membentangkan kertas kerja saya bertajuk Jenayah dan Masalah Kecelaruan Identiti dalam Kalangan Remaja. Nama saya Qarizh Zahwan dan saya adalah profesor dari Fakulti Undang-undang universiti ini." Qarizh memulakan sesi pembentangannya dengan nada sederhana rendah seterusnya membentangkan hasil kajiannya kepada audiens.
Semakin lama bercakap, semakin menarik topik yang dikupasnya dan waktu yang berlalu semakin tidak terasa. Beberapa orang audiens juga mengangkat tangan untuk bertanyakan soalan dan tidak kurang juga yang memberikan idea tambahan. Perbincangan semakin hangat apabila Qarizh turut menerima soalan daripada audiens yang menonton sidang persidangan itu secara atas talian.
"Profesor, boleh saya tahu apa pandangan profesor mengenai kes pembunuhan yang melibatkan warga universiti ni? Saya dengar, kes masih disiasat dan pihak polis sendiri masih gagal mengenal pasti dalang pembunuhan tersebut," tanya seorang audiens yang berada di kerusi belakang sekali dalam bahasa Inggeris. Suaranya yang lantang bergema di seluruh pelosok dewan mula mengundang bisik-bisik dan cakap-cakap liar.
Qarizh menghela nafas berat mendengar soalan berbaur sindiran akan ketidakcekapan polis dalam menangani hal pembunuhan anak pengarah universitinya. Kes itu agak terkenal dan mengundang perhatian seluruh warga negara Malaysia pada mulanya, namun kes itu ditutup rapat penyebarannya dengan mengatakan bahawa kes sudah selesai dan pembunuh telah pun ditangkap. Jadi, siapakah gerangan lelaki berkot hitam yang bertanyakan soalan di belakang?
"Maaf tuan yang bertanya soalan. Kes ini sudah selesai dan pihak polis telah menangkap pembunuh tersebut. Jadi, adalah tidak wajar tuan bertanyakan soalan itu," jawab Qarizh dengan tegas sekali gus berusaha untuk menutup mulut audiens yang mula melemparkan tuduhan liar dan tidak berasas sama sekali.
"Baiklah, terima kasih dan maaf profesor," jawab si audiens yang bertanya.
"Okey jika tiada apa-apa lagi, setakat ini sahaja pembentangan saya pada pagi ini. Terima kasih," ucap Qarizh lalu bergegas turun dari pentas lantas keluar dari dewan. Dia tidak betah di situ lantaran melalui cermin mata berteknologi tingginya, dia dapat mengenal pasti bahawa si penanya soalan tadi adalah Black!
**************
"Eh, Qarizh! Kau nak pergi mana?" laung Aralyn keras sambil kakinya laju mengejar langkah Qarizh yang terkocoh-kocoh keluar dari dewan. Qarizh ni sememangnya kebal ke? Kalau luka jahitan semalam terbuka semula macam mana?
"Prof, tunggulah Mirul juga," laung Amirul pula yang entah bila turut sama melangkah laju di sisi Aralyn.
Laungan daripada Aralyn dan Amirul semakin tidak diendahkan lagi oleh Qarizh memandangkan jejak Black yang dilihatnya tadi semakin menghilang. Jika tidak disebabkan Black menyeringai galak kepadanya tadi dan mengisyaratkan 'die' ke arah Aralyn dan Amirul, dia hanya akan membiarkan sahaja kehadiran Black di situ.
Black bagaikan bayang-bayang dalam hidupnya yang sentiasa menghantui di mana sahaja dia berada jika dia berjaya menyelesaikan sesuatu kes berprofil tinggi. Namun, bayang itulah yang sampai sekarang sangatlah sukar untuk dipisahkan daripada hidupnya. Kali ini, Black semakin mendekati dan memerhatikan gerak gerinya dengan semakin rapat apabila dia mula bekerjasama dengan Aralyn secara rasmi dan Amirul sebagai pembantu tidak rasminya.
Kini, persoalan yang paling besar dalam hidupnya sekarang ialah siapa sebenarnya Amirul? Jika Aralyn, ya dia faham gadis itu mempunyai rekod yang cemerlang dalam menyelesaikan kes-kes terpencil yang tidak dapat diselesaikan oleh pihak polis. Maka, sudah tentu gadis itu akan mempunyai ramai musuh yang sentiasa menanti masa untuk bertindak sahaja. Tetapi dalam perihal Amirul, apa yang istimewa sangat mengenai budak itu sampaikan Black menggelarnya sebagai 'chain'?
Amirul dalam pandangannya hanyalah seorang pelajar yang malas belajar, tidak serius, kelakar, suka menjawab kata-kata orang yang lebih tua dan banyak helah walaupun keputusan peperiksaan yang diperoleh sangatlah membanggakan. Amirul seolah-olah... perangainya yang macam kebudak-budakan itu hanyalah lakonan semata-mata bagi menutup lagak siapakah dirinya yang sebenar.
"Qarizh, berhentilah. Kau tu masih sakit tahu tak?" marah Aralyn sambil bercekak pinggang di hadapan Qarizh. Langkah kaki si profesor berjaya dipintas lantas dia berdiri di hadapan sekali gus menghalang kaki si profesor itu dari terus melangkah.
"Ke tepi!" balas Qarizh dingin seraya meneruskan langkahnya tanpa menghiraukan Aralyn yang menghalang langkahnya di hadapan.
"Qarizh Zahwan..." tekan Aralyn dengan geram.
Mahu dia tidak geram apabila amanah yang dititipkan oleh Pak Moin dan Mek Nab agar dia melihat kondisi lelaki itu perlu diabaikan gara-gara sikap keras kepala Qarizh Zahwan. Beria-ria Pak Moin menitipkan pesanan pagi tadi agar dia memerhatikan perlakuan anak susuannya itu dari membuat perkara bukan-bukan yang boleh melambatkan proses penyembuhan.
'Jika semua sudah selesai, balik ke rumah terus.' Itu adalah pesanan daripada Pak Moin kepada Aralyn ketika gadis itu bersama Jacky sampai ke perkarangan rumah banglo milik Qarizh. Riak wajah orang tua itu penuh dengan rasa gusar dek suhu badan Qarizh Zahwan hanya berkurang sedikit daripada semalam iaitu masih kekal 38.9 darjah celsius pada pagi ini. Semalam itu jugalah, tiga botol air iv drip terpaksa dimasukkan ke dalam badan jejaka itu.
Qarizh juga dilarang oleh Pak Moin untuk memandu kereta selagi mana lukanya tidak sembuh sekurang-kurangnya 70%. Pak Moin sangat arif akan perihal seorang Qarizh Zahwan yang sememangnya degil dan tidak mahu mendengar nasihat selagi mana perkara yang dihadapinya itu masih boleh ditanggungnya seorang diri. Tiada istilah manja, lembik atau menyusahkan orang di dalam kamus hidupnya.
"Jangan sibuk hal aku, kau pergi balik dululah," balas Qarizh sambil mencuba lagi melangkah ke hadapan.
"Qarizh Zahwan!" Kali ini, Aralyn sudah tidak dapat bersabar lagi. Dengan tangan kiri dicekak ke pinggang dan tangan kanannya dihalakan ke arah Qarizh, jari telunjuknya dituding tepat ke muka cemberut Qarizh yang bengang dengan tindakannya menghalang laluan.
"Kau nak pergi mana? Kau lupa ke dalam 10 minit lagi majlis perasmian Minggu Haluan Siswa akan bermula? Kau tu Timbalan Dekan Akademik Fakulti Undang-undang universiti ni, jadi memang kau wajib hadir ke majlis tu," jerit Aralyn seoktaf. Tuturnya laju bagai mesingan menembak tepat ke fikiran Qarizh yang masih lagi berkecamuk dan stres dengan ancaman Black terhadap Aralyn dan Amirul.
Bagai tersedar sesuatu yang penting, Qarizh akhirnya akur dengan kata-kata Aralyn. Minggu Haluan Siswa ialah minggu di mana orientasi pelajar baru bermula. Jika diikutkan tarikh, hari inilah harinya yang dia perlu menggantikan kehadiran dekan fakultinya yang kini sedang berada di Indonesia atas urusan rasmi universiti. Seketika, dia melepaskan keluhan lalu memandang tepat ke arah Aralyn yang merah padam mukanya.
"Aku ingat je, tapi boleh tak kau jangan ikut aku? Pergilah balik dulu, dan kau pun sama Amirul. Kenapalah kau orang berdua ni boleh ada kat sini?" tanya Qarizh dengan suara mendatar. Hatinya runsing akan keberadaan Black di sini dan dia tidak mahu terjadi apa-apa kepada Aralyn dan Amirul. Black adalah musuhnya seorang dan Aralyn serta Amirul tidak sepatutnya terlibat sama sekali dalam kancah peperangan mereka berdua.
"Ha, eloklah tu ingat tapi kenapa kau melencong ke arah lain? Dewan Tunku Omar kat sana, bukan kat sini. Apa yang ada pada stor gimnasium ni? Kau nak cari hantu ke?" bebel Aralyn lagi. Hatinya berasa puas apabila dapat meluahkan rasa sebalnya kepada Qarizh yang tidak lut dimakan saman, lagi dihalang lagi dibuat. Degil!
Suasana di situ semakin diselubungi dengan aura kedinginan dek masing-masing membisu seribu bahasa. Jika tadi aura panas yang mendominasi, kini aura sejuk pula mengambil tempat. Jacky yang melihat dan mendengar sahaja perang mulut antara seorang adik cengeng dan abang beku hanya mengilas tangan di dada tanpa mahu masuk campur urusan mereka berdua. Masing-masing berpelajaran tinggi, pandai-pandailah mereka selesaikan.
"Err... Prof, Cik, kita kena pergi sekarang," kata Amirul kepada Qarizh dan Aralyn dengan berhati-hati. Sesekali, dia mengurut tengkuknya yang terasa berdiri bulu roma dek kedinginan yang mencengkam walaupun cuaca jam 11 pagi ketika itu panas terik.
"Okey," balas Qarizh sepatah lalu terus menghayun langkah ke Dewan Tunku Omar. Dari jauh, dia sudah dapat melihat para pegawai tinggi universiti, profesor, doktor dan para pensyarah sudah pun beratur di dalam barisan untuk masuk ke dewan bagi sesi pengenalan barisan tertinggi pengurusan universiti pada majlis pembukaan majlis Minggu Haluan Siswa itu.
Aralyn dan Amirul hanya menurut dengan senyap langkah kemas yang diatur oleh Qarizh. Bukan mereka berdua mahu mengikut, tetapi mereka berdua juga terpaksa mengikut dek Prof. Dato' Dr. Hisham baru sahaja menghantar pesanan WhatsApp kepada Aralyn supaya masuk juga ke dalam dewan sebagai pensyarah, manakala Amirul pula memang salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar jadi dia juga wajib hadir ke majlis itu.
Jacky? Apek Cina si ahli forensik itu diminta oleh Aralyn untuk pergi ke mana-mana sahaja tempat yang disukai asalkan tepat jam 1 tengah hari nanti, Jacky sudah terpacak di lobi Dewan Tunku Omar. Pada masa ini, Jacky bebas menjadi dirinya sendiri tanpa kawalan daripada si bos cengengnya Aralyn Awliya.
Setelah semua barisan dif-dif kehormat mengambil tempat, pengerusi majlis memulakan ucapannya diikuti dengan ucapan perasmian oleh Naib Canselor universiti. Qarizh yang berasa bosan mendengar ucapan alu-aluan daripada Naib Canselor itu hanya mampu menahan sahaja kantuk yang mula menyerang. Matanya sempat mengerling kepada Aralyn yang tidak segan silu mengambil tempat di sebelahnya di barisan hadapan dan lagi haru, gadis itu sudah pun selamat berada di 'alam barzakh'! Qarizh hanya mampu menggeleng kepala melihat telatah tidak matang Aralyn.
"Dengan berakhirnya ucapan perasmian daripada Naib Canselor Universiti iaitu Tunku Omar al-Khalil bin Tunku Zainal 'Amal Shah, maka rasmilah sudah majlis pembukaan Minggu Haluan Siswa sesi pengajian 2020/2021. Oleh itu, tanpa berlengah lagi marilah kita semua sama-sama mengalami revolusi daya jaya maju yang dibawakan khas untuk anda oleh...?" Juruacara majlis berucap dengan lantang tetapi sengaja berjeda di tengah.
"Hoi, bangunlah!" Qarizh mencuit-cuit lengan Aralyn yang sedang tidur mati. Dalam hatinya, menebal sungguh perasaan malunya terhadap kelakuan Aralyn yang boleh pula siap berdengkur lagi ketika majlis berlangsung? Nasib baik dengkurannya halus kalau tidak di manalah ayahnya si Prof. Dr. Dato' Hisham mahu letakkan muka? Sangat tidak senonoh perangai seorang budak cengeng ni.
Bang!
Bang! Bang! Bang!
Bunyi tembakan bertalu-talu di dalam dewan tiba-tiba mengacau keharmonian majlis. Beberapa orang lelaki berpakaian tentera dan lengkap bersenjatakan M16 saling berbalas tembakan dengan beberapa orang lelaki lain yang juga bersenjatakan M16 tetapi berseluar celoreng dan berbaju t-shirt hitam serta wajah mereka juga berceloreng. Keadaan semakin panas apabila kedua-dua pihak saling bergasak dan ada di antara mereka yang berwajah celoreng menarik beberapa orang pelajar yang berada di barisan hadapan, tengah dan belakang di posisi tepi lalu menjadikan pelajar-pelajar tersebut sebagai tebusan.
Suasana juga semakin hiruk-pikuk dengan pekikan dan jeritan daripada kedua-dua belah pihak apabila tiba-tiba beberapa orang anggota beruniform biru gelap turut masuk campur dengan berbalas tembakan terhadap pihak bermuka celoreng. Anggota beruniform biru gelap melepaskan tembakan dengan pistol jenis Walther P99 dan mereka lebih tangkas bertindak dalam berlawan satu lawan satu. Beberapa orang lelaki berceloreng gugur ke lantai dan tidak kurang juga anggota tentera yang tercedera.
Bum!
Bom asap dilepaskan oleh salah seorang lelaki berceloreng dan dalam suasana panik, dia menarik seorang pelajar lelaki ke dalam pelukannya lantas melepaskan tembakan dari pistol yang berisi tali bercangkuk di hujung. Tidak menunggu lama, dia menyeringai lantas melayangkan dirinya dan juga tebusannya ke atas palang yang menyokong bumbung dewan. Pelajar yang dijadikan tebusan itu meronta pada mulanya tetapi senyap akhirnya apabila terpandangkan aras ketinggian tempatnya berada sekarang. 20 meter!
Dewan Tunku Omar dibina dengan seni reka stadium tertutup jadi ia tidak mempunyai siling. Rekaannya sengaja dibuat begitu bagi memudahkan pelajar yang menyertai unit beruniform terutamanya Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA) melakukan latihan yang memerlukan operasi menyelamat di tempat tinggi. Universiti ini mesra pelajar, jadi tidak hairanlah jika kemasukan ke universiti ini kian meningkat saban tahun.
Dalam keadaan yang semakin panik, tiba-tiba muncul pula beberapa orang anggota beruniform berpakaian serba putih dengan lambang bulan sabit merah. Anggota tersebut juga tidak kurang hebatnya dalam memberi bantuan kecemasan kepada anggota yang tercedera. Ketika mereka semua sibuk dalam menguruskan mangsa serangan, secara tiba-tiba pula mengaum hebat deruman enjin daripada tiga buah motosikal berkuasa besar masuk ke dalam dewan. Beberapa orang lelaki berceloreng semakin galak melepaskan tembakan rambang dan menjerit lantang.
Bang! Bang bang!
Jeritan nyaring kedengaran nyaring di mana-mana serta hiruk-pikuk suasana semakin cemas dengan beberapa orang yang terlibat dalam insiden itu semakin hebat melancarkan serangan. Pelajar yang ditawan dan digantung di bumbung tidak kurang juga menjerit nyaring minta diselamatkan.
Nasib pelajar itu baik apabila penjenayah yang menggantungnya bertindak melarikan diri apabila beberapa orang anggota beruniform biru muda mula menyerbu masuk ke dewan lalu bertindak memanjat bumbung dewan dengan melemparkan tali yang dilengkapi cangkuk di hujung lalu perlahan-lahan, mereka bekerjasama untuk menurunkan pelajar tersebut yang jelas sekali nampak menggigil ketakutan.
Zing... zing...
Beberapa buah drone yang dikawal oleh pasukan beruniform berpakaian hijau muda berjaya diterbangkan masuk bagi meninjau operasi menyelamatkan pelajar yang tergantung di bumbung. Namun begitu, dalam jerit pekik manusia di dalam dewan, hanya ada seorang sahaja manusia yang masih belum sedar apa yang berlaku di sekeliling. Aralyn Awliya masih nyenyak tidur!
Qarizh mendengus perlahan sekali lagi. Selain bosan dengan pertunjukan operasi serangan dan menyelamat yang dilakukan oleh pasukan unit beruniform universiti iaitu Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS), Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (SISPA), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Air Force, Wataniah dan kelab permotoran universiti, hatinya juga mendongkol geram dengan jerit pekik pelajar-pelajar baru yang nampak teruja dengan persembahan yang dilakukan. Tiap-tiap tahun sama sahaja pertunjukan yang dilakukan, mana dia tidak bosan?
"Woi, bangunlah," kejut Qarizh lagi kepada Aralyn. Kali ini, disepaknya perlahan kaki gadis itu yang sedari tadi masih belum mahu membuka mata. Dia berkira-kira mahu balik sekarang dek waktu pun sudah sampai ke penghujung dan tempat lukanya juga sudah mula berasa sengal, sakit dan pedih. Ini semua gara-gara bahana bertapa di dalam aircond yang boleh tahan suhu sejuknya.
Kesemua anggota unit beruniform yang melakukan persembahan tadi termasuklah yang memegang tugas sebagai penyerang, pembalas serangan, mangsa dan penyelamat kini berdiri di atas pentas sambil menunduk hormat dan melambai-lambai ke arah pelajar baru. Tiadalah tujuan lain pertunjukan itu diadakan melainkan untuk merekrut ahli baru iaitu fokusnya adalah pelajar yang baru mendaftar pada sesi pengajian ini.
Aaah!
Dalam suasana tenang dan ceria pelajar baru selepas pertunjukan yang mendebarkan baru sahaja selesai, mereka semua tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan lantang oleh sekumpulan pelajar yang berada di kerusi dewan tingkat atas.
"Ada orang kat bumbung!" jerit mereka semua lagi dan serentak dengan itu, sebilangan daripada mereka mendongakkan kepala ke arah bumbung.
Benar, sedang tergantung di palang besi yang terentang sambung antara palang-palang besi yang lain adalah seorang pelajar lelaki lengkap bersut hitam. Qarizh dan beberapa orang pegawai universiti juga tidak terkecuali untuk melihat siapakah gerangan yang tergantung di palang besi bumbung. Bukankah mengikut perancangan asal pertunjukan, semuanya sudah selesai? Apa yang berlaku sebenarnya?
"Itu Amirul la!" jerit beberapa orang ahli MPP yang mengenal pasti pakaian yang dipakai oleh Amirul. Amirul tidak susah untuk dicam kerana daripada kalangan mereka, hanya Amirul yang memakai baju sut hitam dengan lambang MPP di belakang kerana dia adalah Presiden Majlis Perwakilan Pelajar.
"Amirul!" jerit beberapa orang ahli MPP lagi.
"Abang Amirul!" sahut jerit ahli MPP yang lain pula. Jeritan mereka itu kemudiannya bersahut-sahutan dan bergema memenuhi ruangan dewan lalu suasana yang tenang bertukar menjadi kecoh dengan panggilan jeritan daripada para pelajar baru pula.
Qarizh mengerutkan dahi apabila mendengar nama Amirul dilaung-laung oleh pelajar dengan suara panik. Pelajar yang bernama Amirul ramai bukannya Amirul yang dikenalinya itu sahaja. Memandangkan suara pelajar semakin lama semakin bingit menjerit nama Amirul, Qarizh akhirnya berpaling sekali lagi ke arah yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar. Dengan menggunakan cermin mata berteknologi tinggi yang direka khas oleh Sarah, Qarizh membesarkan imej pelajar lelaki yang badannya digantung di palang besi bumbung.
"Lailahaillallah, itu Amirul Ghafir!" Qarizh mengucap panjang apabila menyedari pelajar itu sememangnya Amirul yang dikenalinya!
Amirul yang digantung di palang besi itu diam tidak berkutik. Melalui lensa cermin matanya, Qarizh dapat melihat tanda lebam di belakang tengkuk lelaki itu. Sah, Amirul dipukul sehingga pengsan sebelum digantung di palang besi. Entah bila masa si penjahat membuat kerja, dia belum pasti dan siapa punya angkara, juga dia belum tahu.
Tit.
"Sarah, akses semua CCTV dalam dewan Tunku Omar universiti aku ni dan tengok siapakah dalang yang membuat kerja gila ni. Oh ya, akses juga footage dari drone yang budak Air Force terbangkan tadi," bisik Qarizh melalui earbud kepada adiknya yang tetap setia menghadap komputer di bilik kawalan di rumahnya.
"Okey," balas Sarah sepatah lalu memulakan kerjanya. Dalam tangan dan matanya ligat bekerja, fikirannya terarah juga kepada bacaan nadi dan suhu badan si abang. Sangat tidak cantik graf yang terpapar di skrin monitornya...
Sementara menanti Sarah menghantar laporan maya, matanya sekali lagi memandang ke arah Amirul yang mula menunjukkan tanda sedar. Mula-mula perlahan sahaja pergerakannya tetapi apabila menyedari bahawa dirinya tergantung 20 meter dari aras lantai, dia menjerit nyaring.
"Profesor Dr. Qarizh Zahwan, tolong Mirul. Mirul takut!" jerit Amirul sekuat hati sambil meronta tanpa menghiraukan pandangan para pelajar yang memandangnya dengan pandangan kaget. Presiden Majlis Perwakilan Pelajar ini penakut juga orangnya ya?
"Amirul, bertenang," laung Qarizh kepada Amirul sambil memicit dahi apabila pandangan daripada para pelajar dan juga pegawai atasan universiti mula terarah kepadanya.
"Tapi Prof, kalau Mirul jatuh macam mana?" jerit Amirul lagi.
"Astaghfirullahalazim budak ni, aku bagi jatuh terus kan baru tahu," bebel Qarizh perlahan sambil matanya ditala lagi kepada mata-mata yang memerhati. Aduh, malu betul apabila dirinya menjadi perhatian. Dia bukanlah superhero yang boleh menyelamatkan budak tergantung. Penjahat ni pun satu, kenapalah suka sangat menggantung Amirul? Tidak ada cara lain ke kalau nak buat jahat tu?
Tit.
"Abang, Black!" beritahu Sarah dengan kalut.
"Black?" tanya Qarizh sambil mengerutkan dahi dan matanya ditala ke arah orang ramai yang membanjiri dewan. Semuanya sudah dalam keadaan tidak teratur dek kerana Amirul yang kini dalam bahaya.
"Aku kesan kehadiran Black di antara orang ramai dalam dewan tu. Dia berpakaian formal bersut biru gelap dan memakai topi Pakol Afgan. Apa yang aku risaukan sekarang ialah... dia berada betul-betul di tepi Kak Aralyn!" lapor Sarah dengan suara ditekan seoktaf.
"Apa?" Qarizh terus memusingkan badannya ke belakang lantas memandang ke arah Aralyn yang nampak mamai baru bangun dari tidur.
Gadis itu kelihatan menggeliat kecil sambil meregangkan otot-otot yang berasa tegang dek terlalu lama tidur tidak bergerak-gerak. Satu kuapan kecil juga terbit daripada mulut kecil si gadis lalu mulutnya ditutup dengan kura tangan ketika menguap. Di belakang gadis itu... tersengih Black memandangnya sambil mengangkat tinggi pisau Rambo MK8 ke arah si gadis.
Done!
Nota: Pertunjukan oleh anggota unit beruniform universiti seperti yang ditulis di atas ditulis berdasarkan pengalaman Angel semasa majlis perasmian Minggu Mahabbah Siswa Siswi Baharu 2011. Seronok betul time tu sampaikan hampir nak isi borang join SISPA tapi my mom tak benarkan. Tau dia cakap apa?
"Anak umi ni perempuan, umi tak nak anak umi nanti berperangai macam jantan." - My Mom.
Well, dapat difahami kerisauan beliau kerana Angel masa sekolah menengah
agak tomboy dan Angel join seni silat gayung fatani. Memang kasarlah perangai sebelum jumpa geng2 lady dan suka warna pink 😂 🤭
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro