Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 2

Qarizh kembali menutup matanya dengan tidak menghiraukan gadis yang sesuka hati menghalang pandangannya pada langit nan indah, membiru dihiasi awan putih yang berarak perlahan.

"Hi, Encik Professor!" kata gadis itu lagi.

Berasa semakin terganggu, Qarizh menutup pula mukanya dengan baju kot yang dipakainya tadi sebelum dia membuangnya ketika menyelamatkan Amirul.

"Profesor..." panggil si gadis dengan suara sengaja dileretkan.

"Kau nak apa?" soal Qarizh dengan bengang. Pantang betul orang mengacaunya!

"Saya nak kawan dengan awak, boleh?" tanya gadis kecil molek itu lagi.

Tanpa mempedulikan Qarizh yang membengang, dia kemudiannya duduk bersila di tepi profesor itu tanpa menghiraukan kehadiran Amirul yang memandangnya dengan tersengih-sengih. Amirul dan sengihannya ketika ini memang nampak macam orang tak betul!

Diam. Qarizh tetap seperti tadi dengan aura sejuk beku -10 darjah celsius.

"Awak..." panggil si gadis lagi sambil menarik-narik hujung tali leher Qarizh.

'Ya Allah... annoying gila perempuan ni!' bentak hati Qarizh lalu dengan hati mendongkol geram, dia mencelikkan mata lalu menarik baju kotnya dari muka.

Perasaannya marah membara sekarang tetapi dia cuba bersabar. Tanpa sepatah kata, dia merentap tali lehernya dari pegangan si gadis lalu memandangnya dengan pandangan tajam mencerlung bagai mahu ditelannya gadis di depannya itu.

"Jangan kacau aku," kata Qarizh sambil giginya diketap kemas sehingga tulang rahangnya nampak timbul.

Dalam marah, raut wajahnya masih cuba dikekalkan agar tidak nampak yang dia sedang betul-betul marah. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia mencekik gadis berjaket kulit pink dan bertudung putih itu lalu dihumbankan saja ke bawah!

"Ala, tak boleh ke kalau kita kawan?" rengek gadis itu lagi. Nampaknya, dia tidak berputus asa untuk mendapatkan perhatian Qarizh.

"Get lost," balas Qarizh dengan semakin geram. Lantas, dia bangun dari pembaringan lalu bersedia mengorak langkah untuk pergi dari situ.

Namun, sebelum dia melangkah, sempat dia menoleh kepada Amirul yang masih statik tidak bergerak dari duduk. Keluhan kasar terbit dari mulutnya melihatkan kepada reaksi Amirul yang diam bersila dengan matanya memandang galak kepada si gadis yang selamba badak berada di tepinya.

"Kau, ikut aku," arah Qarizh kepada Amirul. Garang.

Mendengar suara kasar Qarizh yang seperti mahu mengajak bergaduh, berkecai terus angan-angan Amirul ingin berkahwin dengan gadis cantik yang berada di sebelahnya. Sudahlah datang tanpa diundang, berani pula tu ajak si singa Profesor Dr. Qarizh Zahwan untuk berkawan. Gadis itu sangat berani. Thumbs up!

"Ba... baik Prof," jawab Amirul tergagap-gagap lalu dengan terkocoh-kocoh, dia bangun dari duduk lantas berlari mengikuti langkah Qarizh yang berjalan laju menuju ke tangga untuk turun ke bawah.

Si gadis yang melihatkan respon sombong, dingin dan beku sesejuk kutub utara dan selatan lelaki zirafah di hadapannya mendengus geram. Ada ke patut lelaki itu menolak pelawaannya untuk menjadi kawan? Padahal, setiap lelaki yang dia hulurkan salam perkenalan tidak pernah menolak ajakannya untuk berkawan!

"Profesor Dr. Qarizh Zahwan, aku akan pastikan kau jadi kawan aku!" laung si gadis dengan sepenuh hati.

"Crazy!" bisik Qarizh lalu tanpa menghiraukan laungan si gadis, dia meneruskan langkah lantas turun ke bawah.

**********

"Kahkahkah!" Jacky menahan senak perut akibat ketawa tak henti-henti melihatkan wajah cemberut Aralyn.

Wow, ada sesuatu yang menarik pada diri Profesor Dr. Qarizh Zahwan ni. Masakan tidak, lelaki sejuk itulah lelaki yang pertama menolak salam kenal dari Cik Aralyn Awliya, si gadis cantik yang menjadi dambaan para lelaki.

Melihatkan Jacky yang tidak habis-habis mentertawakannya, terus Aralyn mencampakkan bantal sofa ke muka Jacky lalu dia bangun bercekak pinggang. Marah ni marah.

Sudahlah kena langgar, si perempuh itu pula tak reti meminta maaf. Lagi yang membuatkannya sakit hati ialah apabila si profesor kacak itu menolak ajakannya untuk berkawan.

Alah, bukan susah pun berkawan dengan seorang manusia bernama Aralyn Awliya ni. Cakap saja okey, kita kawan maka mereka sudah jadi kawan. Itu pun susah ke?

Aralyn merebahkan dirinya di sofa kemudian menguis-nguis tangan sofa dengan hujung kaki. Mata-mata galak Mona, Jacky dan Riyad yang memandangnya dengan pandangan menuntut penjelasan dibiarkan sepi begitu sahaja.

Dia tiada mood nak berkongsi laporan yang diterima daripada pegawai atasan universiti yang mereka lawati sebentar tadi. Otaknya serabut!

"Cik," panggil Mona sambil membetulkan cermin matanya.

"Hmm..." jawab Aralyn nak tak nak sambil matanya terkebil-kebil memandang siling.

"Macam mana?" tanya Mona lagi tetapi kali ini lebih berhati-hati, bimbang bosnya yang seorang itu akan melenting tak tentu fasal.

Aralyn Awliya ini perangainya selain daripada suka menangis, melenting marah itu juga salah satu daripada perangainya sejak azali. Melenting bukan sekadar melenting tetapi melenting sekali dengan potong gaji.

"Entah. Eii... psiko betul mamat tu. Ya Allah, aku geram! Taubat kalau aku jumpa lagi mamat beku tu, aku akan pancung dia guna pedang saber!" marah Aralyn sambil tangan dan kakinya tak henti-henti menumbuk dan menendang sofa.

Mona, Jacky dan Riyad saling berpandangan sesama sendiri lalu masing-masing kembali ke meja kerja. Jangan dilayan marah Aralyn kalau tak nak segala mak nenek yang berada berdekatan dengan gadis itu melayang tepat ke kepala masing-masing. Serik!

Bantal sofa, pen, buku, pensil, pemadam, mangkuk mee segera dan cawan adalah barangan yang sentiasa melayang ke kepala jika Aralyn dalam mood mengamuk. Sebab itulah Mona bertindak bijak dengan menyembunyikan semua cawan, pinggan atau mangkuk jenis kaca.

Ya, selain daripada jenuh nak kena bersihkan kaca pecah, seksa juga nak bersihkan kepala yang luka berdarah. Orang kata, prevention is better than cure. Sebelum banyak lagi kepala yang bersepai dek penangan Aralyn ini, lebih baik ganti dengan barangan jenis plastik saja.

Aralyn kan, kanak-kanak tak matang!

Puas menelentang, Aralyn mengiring pula ke kiri. Jemu mengiring ke kiri, dia mengiring pula ke kanan. Tak tahu nak buat apa, dia berenang pula di sofa. Pokok pangkalnya, dia tidak puas hati dengan jawapan lelaki sejuk beku tu.

"Ahhhh!" jerit Aralyn sekuat hati.

Bum!

Tiba-tiba, pintu pejabatnya dikuak kasar disertai dengan istighfar panjang daripada seorang lelaki separuh abad berkaca mata bingkai hitam. Pakaiannya juga kemas dengan berkot hitam dan menjinjit sebuah briefcase.

Kedatangan mengejutnya ke pejabat anaknya yang terletak di pinggir ibu kota Kuala Lumpur itu hanyalah rutinnya setiap tiga bulan untuk memastikan anak perempuannya itu tidak melakukan perkara yang bukan-bukan.

"Astaghfirullahalazim... kamu ni dah kenapa Awliya?" sergah Prof. Dato' Dr. Hisham dengan muka berkerut.

Aralyn yang sedang menjerit tadi tertahan jeritannya sehinggakan menimbulkan suara decitan. Sempat matanya mengerling kepada Mona, Jacky dan Riyad yang sedang ketawa terkekek-kekek di meja masing-masing.

"Kurang asam," dengusnya perlahan tapi mukanya sengaja dimaniskan apabila terpandangkan wajah serius papanya.

Aralyn bangun dari sofa lalu menyalami tangan papanya. Agak lama dah sebenarnya dia tidak balik ke rumah, mungkin sebab itu papa mencarinya di pejabat. Macam biasalah, apabila banglo dijadikan pejabat, memang tak la dia nak balik ke rumah yang jauh nun di Puncak Alam sana. Membazir minyak kereta.

"Ada apa papa datang ke sini?" tanya Aralyn sambil tersengih-sengih.

Sempat matanya meliar ke serata arah biliknya. Mukanya yang cemberut tadi bertukar menjadi serba salah apabila menyedari ruang tempatnya 'berguling' tadi kelihatan seperti tongkang pecah. Mukanya perlahan-lahan ditundukkan menekur lantai lalu hujung tudungnya digentel perlahan.

"Anak dara apa kamu ni hah Awliya? Bersepah sana sini. Ni kalau pelanggan datang mahunya dia orang angkat kaki tak toleh kiri kanan," bebel Prof. Dato' Dr. Hisham dengan geram.

Panas pula hatinya hari ni. Sudah la tadi dia terima arahan daripada ketua pengarah universiti yang mahukan kes pembunuhan pelajar di universiti itu diselesaikan segera, selepas itu dia menerima pula panggilan daripada kawan lamanya yang memegang jawatan ketua polis negara yang mengatakan kes itu diserahkan kepada Aralyn Awliya.

Namun, sebaik saja dia mendengar sebaris nama itu disebut, serta-merta darahnya mencanak naik. Kenapa antara ramai-ramai profiler penjenayah, anaknya juga yang menjadi pilihan polis tua itu?

"Papa..." Aralyn menarik-narik hujung tali leher papanya dengan membuat muka comel dan matanya sengaja dikelip-kelip.

Prof. Dato' Dr. Hisham menarik nafas panjang lalu istighfar diulang lagi di dalam hati. Berurusan dengan anak daranya yang seorang ni memang memerlukan kesabaran yang tinggi setinggi Gunung Everest!

"Yalah, papa datang sini nak cakap dengan Awliya sikit," kata Prof. Dato' Dr. Hisham lalu meletakkan briefcasenya di atas meja kopi.

Kotnya juga ditanggalkan lalu dihamparkan ke sofa. Cermin matanya juga dicabut lalu dengan tangan kanan, dia mengurut pelipis. Aralyn yang melihat reaksi papanya yang berada agak tidak selesa segera memicit kepala lelaki itu.

"Hmm..." Prof. Dato' Dr. Hisham memejam sambil mata menikmati kelembutan urutan kepala dari anak daranya.

Kelembutan urutan itu memang sama rasanya dengan cara urutan arwah isterinya yang telah meninggal dunia dua tahun lalu akibat lemas di pantai Port Dickson. Kini, pantai itu menjadi satu igauan ngeri yang sampai sekarang dia mengharamkn dirinya sendiri dari menjejakkan kaki ke situ.

"Papa datang sini sebenarnya... kenapa?" Dengan berhati-hati, sekali lagi dia menanyakan tujuan sebenar papa datang menemuinya.

Prof. Dato' Dr. Hisham membuka mata lalu keluhan berat terbit dari bibirnya. Dengan perlahan, dia menarik tangan Aralyn lalu mengisyaratkan agar gadis itu duduk di depannya.

"Awliya... handle kes pembunuhan pelajar di universiti tempat papa mengajar kan?" tanya Prof. Dato' Dr. Hisham dengan serius.

"Ya, papa," jawab Aralyn.

"Papa tak setuju," kata Prof. Dato' Dr. Hisham dengan tegas.

"Kalau kes lain, ya tak apa papa boleh consider tapi untuk kes ni, serius Awliya, papa tak setuju kamu handle," sambungnya lagi dengan lebih jelas kerutan di dahinya.

Aralyn menjongketkan kening apabila melihatkan gerak laku papanya. Jarang papanya berlakuan sedemikian jika dia mengelola sesuatu kes berat.

"Kenapa?" tanya Aralyn sambil memandang papanya yang semakin lama kelihatan semakin gelisah dan keluhan kasar juga semakin banyak terluah dari mulutnya.

"Awliya tahu tak siapa pelajar yang kena bunuh tu?" tanya Prof. Dato' Dr. Hisham.

"Ya, Awliya tahu. Dia anak pengarah universiti tu kan? Sebab tu kes jenayah berprofil tinggilah CGP Karim minta Awliya selesaikan kes ni," balas Aralyn dengan selamba.

"Kalau Awliya dah tahu, kenapa Awliya terima? Awliya sepatutnya tahu yang kes berprofil tinggi macam ni macam-macam benda boleh jadi," marah Prof. Dato' Dr. Hisham.

Aralyn terdiam melihatkan aura kemarahan papanya yang kelihatan bila-bila masa sahaja akan meletup. Bukan dia yang mahu terima, tetapi CGP Karim itu yang memaksanya menerima kerja ini.

Kata ketua polis negara itu lagi, Aralyn adalah profiler yang paling sesuai untuk handle kes berat macam ini memandangkan dia mempunyai team yang lengkap berbanding orang lain.

Team Aralyn mempunyai Mona, gadis peguam yang bertindak sebagai pemudahcara dan jurucakap profesional. Riyad, si jurnalis yang sangat pakar dalam mengorek maklumat dan mengumpul hasil kajian. Tidak ketinggalan Jacky, ahli forensik yang juga pakar kejuruteraan biologi dan kimia. Jadi, apa lagi yang tak cukup dengan team dia?

"Awliya..." Aralyn berjeda. Gerun melihatkan mata mencerlung papanya yang memandangnya bagai nak telan.

Prof. Dato' Dr. Hisham melepaskan keluhan berat sekali lagi lalu dia bangun dari sofa dan mencapai briefcasenya. Lambat-lambat, dia berjalan ke pintu lalu berpaling kepada Aralyn.

"Papa minta maaf marahkan Awliya tadi. Walau apa pun yang berlaku, Awliya kena ingat yang papa sentiasa ada untuk Awliya," kata Prof. Dato' Dr. Hisham dengan suara mendatar.

"Oh ya. Disebabkan Awliya akan menyiasat kes di universiti papa dan kes ini sangat bahaya, papa dah assign seorang partner untuk Awliya. CGP Karim pun dah setuju dengan keputusan papa, jadi harapnya Awliya berbaiklah dengan partner baru tu," katanya lagi sambil tersenyum tawar.

Dia memandang Aralyn yang nampak terkejut dengan keputusan memandai-mandainya tadi. Aralyn akan marah ke? Ah, lantaklah!

"Papa..." tekan Aralyn dengan geram.

Dia geram apabila ada orang suka masuk campur urusannya biarpun orang itu ialah papanya sendiri. Dia dah besarlah, takkan papa nak kongkong dirinya macam budak kecil?

"Dah, tak payah nak buat muka macam beruk tertelan lemon. Hodoh sangat, tahu?" ujar Prof. Dato' Dr. Hisham lalu berlalu keluar dari bilik itu dan meninggalkan Aralyn yang wajahnya sudah bertukar menjadi kemerah-merahan akibat menahan geram.

"Ahhhhh!" jerit Aralyn sekuat hati lalu menyepak-nyepak sofa sekuat hatinya.

"Kamu ni dah kenapa?" Prof. Dato' Dr. Hisham menjengulkan kepalanya ke muka pintu lalu menyergah garang.

Erk!

Aralyn terkulat-kulat melihat figura papanya yang masih berada di muka pintu. Dalam malu, tangannya menggosok belakang tengkuk sambil bibirnya ditarik agar tersenyum walau nampak agak kekok dan tidak menjadi.

"Hehehe..." Aralyn ketawa serba salah dan termalu sendiri.

Malu siot papa melihat aksinya yang tak nampak macam perempuan sejati lagi ayu. Habis terbongkar rahsianya selama ni dan mengenangkan hal tu, Aralyn rasa mahu menghantukkan saja kepalanya di bucu dinding.

Prof. Dato' Dr. Hisham menggeleng kepala melihatkan ulah anak daranya yang tidak pernah nak elok kelakuannya. Umur saja dah 26 tahun tapi perangainya ya Rabbi... macam kanak-kanak tak cukup umur. Kalau macam ni lah perangainya, lelaki malang manalah yang lucky sangat akan memperisterikan Aralyn ini?

"Papa lupa nak cakap yang mulai esok, Awliya akan masuk mengajar pelajar kursus Psikologi," beritahu Dato' Hisham dengan tenang.

Aralyn yang mendengar kata-kata papanya terus terasa dirinya berada di awang-awangan tidak jejak tanah. Gelap masa depan!

"Aku? Pensyarah? Mati la aku..." Aralyn terhenyak ke sofa.

"Satu lagi, Awliya akan assist kelas Profesor Dr. Qarizh Zahwan," kata Dato' Hisham lagi.

Aralyn yang bagai terlorot ke sofa bagai jeli lembik itu terus tertegak badannya apabila terdengar nama itu disebut oleh papanya.

"Profesor Dr. Qarizh Zahwan?" tanyanya dengan teruja.

Prof. Dato' Dr. Hisham yang melihatkan reaksi energetic Aralyn terus mengerutkan dahi. Aralyn memang sejak dulu lagi tidak mahu menjadi pensyarah seperti dirinya yang memegang jawatan sebagai Dekan Fakulti Undang-undang.

Nama saja ada Master of Criminal Justice dari Universiti Malaya tetapi sijil sarjana itu dia simpan buat pekasam. Gadis itu lebih suka bekerja sendiri dengan menubuhkan agensi penyiasatan persendirian dan menerima kes yang tidak dapat diselesaikan oleh pihak polis.

Tetapi, apabila melihatkan kepada cara Aralyn yang tadi nampak macam aiskrim cair tapi sekarang bertukar menjadi macam heroin yang dah tak sabar-sabar ke medan perang, timbul kemusykilan di benaknya. Dah kenapa dengan Aralyn Awliya seorang ini?

"Okey, papa," jawab Aralyn sambil tersenyum manis lalu melambai kepada papanya yang beransur beredar dari pejabatnya.

Dengan senyuman sinis tersungging di bibir, Aralyn merenung meja lalu tersengih panjang.

"Profesor Dr. Qarizh Zahwan ya? Aku akan buatkan kau jadi 'kawan' aku," bisik Aralyn lalu ketawa jahatnya bergema memenuhi ruang pejabat.

Done!

Btw nak 🌟 boleh?

================================
SUDUT INFO
================================
Master of Criminal Justice merupakan salah satu program pengajian peringkat Sarjana yang ditawarkan oleh Fakulti Undang-undang Universiti Malaya.

================================
7 January 2021 | 1.23 pagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro