Bab 18 (2)
CGP Karim mengusap-ngusap betisnya yang terkena sepakan percuma daripada Aralyn. Berkerut mukanya menahan bisa sepakan itu. Kalau badannya muda macam Qarizh, tak apalah. Ini, tak. Dia sudah tua dan semestinya tubuhnya tidak segagah dahulu.
"Saya minta maaf, tuan." Aralyn menyesal tak sudah melihat ketua polis negara di depannya terhincut-hincut.
"Kamu ni." CGP Karim mendengus kasar lalu masuk ke dalam Aralyn dengan dibuntuti oleh Jacky.
Susun atur perabot di situ diperhatikan dengan penuh cermat dan teliti. Dalam pada itu, tak sudah-sudah kepala digeleng-geleng perlahan melihat keadaan pejabat merangkap bilik tidur gadis tersebut. Subhanallah, macam manalah Qarizh boleh terjatuh cinta dengan minah tak reti kemas rumah?
"Er... tuan datang ni, kenapa?" Aralyn bertanya sambil tersengih-sengih. Mukanya terasa tebal.
Ya Tuhan, kalaulah dia tahu yang CGP Karim yang datang, pasti bilik ini dikemas rapi. Tak pasal-pasal sahamnya sebagai detektif cantik, ayu, pintar lagi bijaksana jatuh teruk hari ini. Lagi haru, orang tua itu bapa saudara Qarizh. Argh! Jatuh saham tergolek-golek!
"Sebab nak tanya progress keslah. Ada telefon kemain pintar tapi tuannya pula tak pintar. Tak reti-reti ke nak angkat call? Sengaja nak saya datang sini kan?" Berdas-das CGP Karim bagi atas muka Aralyn.
"Err..." Aralyn hanya mampu tersengih.
Sebenarnya, bukanlah niatnya untuk "lari" daripada ketua polis negara itu tapi nak buat macam mana, dia tiada apa-apa untuk dilaporkan. Kes yang disiasat olehnya tergantung sepi, terlayang-layang di angkasa tanpa tali.
"Saya dengar Black cuba apa-apakan kamu. Betul ke?" tanya CGP Karim.
"Itu..." Pun Aralyn tiada kata-kata juga untuk diucapkan.
Entah kenapa tiba-tiba dia bagaikan bisu pula apabila berdepan dengan bapa saudara Qarizh itu. Padahal sebelum ini, elok saja dia menjawab. Siap boleh pangkah lagi kata-kata CGP Karim sampaikan lelaki separuh abad itu sakit kepala dengan perangai tidak semengggahnya. Aneh betul.
"Jaga keselamatan, Aralyn. Saya tak nak dengar apa-apa yang buruk berlaku kepada kamu dan seluruh team kamu ni." Bagaikan bapa, CGP Karim menasihati Aralyn yang hanya diam tidak berkutik.
"Baik." Aralyn menekur lantai.
CGP Karim mengambil tempat di sofa yang berada di sudut ruang bilik itu. Segenap isi bilik diperhati penuh minat. Aralyn ini minimalis orangnya, tetapi sayang minimalis itu tidak selari dengan minat kepada kekemasan. Kertas kerja siasatan kes bersepah-sepah!
Nasib baik saja Aralyn jenis yang jaga kebersihan. Tiada pakaian tergantung-gantung atau bergumpal di atas lantai. Tiada cawan atau plastik makanan basi bersepah di atas meja. Kalau tak, memang dia akan tentang habis-habisan keputusan Qarizh untuk memperisterikan gadis itu. Kebersihan kan sebahagian daripada iman!
"Kes ni berat. Daripada kes pembunuhan biasa, bertukar jadi masalah negara. Masalah berat sangat sebab melihatkan kumpulan mafia C.D.C. Jadi, saya rasa setakat ni sajalah tugas kamu, Aralyn," kata CGP Karim.
Ayat yang keluar dari mulut lelaki separuh abad itu ternyata membuatkan Aralyn terkejut. Terus matanya terbuntang luas. Lambat-lambat, dia menentang pandangan CGP Karim yang memandangnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan maksudnya.
"Apa maksud tuan?" tanya Aralyn.
"Look, Aralyn." CGP Karim menghela nafas, kemudian menyambung.
"Serangan Black ke atas kamu hari tu memang sengaja. Dah lama dia rancang sejak hari pertama kamu pergi ke kawasan setinggan tu. Tempat mayat di dalam dinding tu dijumpai," kata CGP Karim.
Sekali lagi Aralyn terdiam apabila mendengar kata-kata CGP Karim. Otaknya perlukan masa untuk memproses segala maklumat yang didengari sebab sejujurnya informasi itu sesuatu yang asing bagi dia. Kenapa Black targetkan dia pula hanya sebab dia pergi ke tempat kejadian? Macam pelik.
"Okey, saya faham yang Black targetkan saya. Tapi takkan sebab tu tuan nak berhentikan team saya daripada siasat kes tu." Terpacul pula luahan tidak puas hati dari mulut Aralyn setelah dia menimbal balik semua kemungkinan yang menyebabkan Black fokus kepada dirinya pula.
"Saya tak nak risikokan bakal anak saudara saya, Aralyn Awliya!" balas CGP Karim.
Suara tegas lelaki separuh abad itu kali ini terus membuatkan Aralyn terdiam seribu bahasa. Tiada lagi hujahnya untuk membalas kata-kata itu walaupun dalam hati, dia menentang keputusan tersebut.
Takkanlah sebab dia bakal menjadi isteri Qarizh, dia tidak boleh turut serta lagi dalam kes tersebut? Macam pelik pula. Jadi, firasatnya kuat mengatakan bahawa CGP Karim ada sebab lain untuk menggugurkan dia daripada kes itu.
"Okeylah, okey. Saya tak siasat dah," tipu Aralyn.
"Bagus." CGP Karim dari sofa lalu berlalu ke muka pintu.
"Ingat, jangan pandai-pandai siasat pula kes ni." Sempat dia beri amaran kepada Aralyn.
Aralyn membalas amaran tersebut dengan anggukan dan sengihan tidak ikhlas. Tak apa, tunjuk angguk aje dulu. Nanti apabila lelaki tua itu pergi dari sini, pasti dia akan siasat senyap-senyap kes itu. Itulah janji Aralyn kepada dirinya sendiri.
*****
Qarizh sedang menanda kertas soalan peperiksaan akhir semester pelajar-pelajarnya ketika telefon pintarnya berdering minta diangkat. Dek berasa terganggu, terus dia reject panggilan masuk. Namun, panggilan itu datang lagi bertalu-talu mengetuk talian sehingga memaksa Qarizh mengangkat juga panggilan tersebut.
"Sorry kacau kau, Qarizh. Tapi tolong tengok WhatsApp kejap. Aku ada benda nak tanya kau ni." Tanpa sempat Qarizh membuka mulut, orang di talian segera mematikan talian.
Dahi Qarizh berkerut. Apa pulalah yang si Hana itu hantar kepada dia? Tak tahu ke yang dia tengah sibuk sangat-sangat sampai tak sempat bertemu makanan pun lagi hari ini? Sempat Qarizh membebel dalam hati dek melihat betapa banyaknya mesej teks dan gambar yang dihantar oleh Hana ke peti pesanan Whatsapp dia.
"Kes penculikan budak pintar pada 20 tahun lepas?" Kening Qarizh bertaut. Apa kena mengena kes itu dengan dia sekarang?
Pantas mesej daripada Hana itu dibaca dan diteliti satu per satu. Gambar-gambar yang diberi juga diamati dan ditafsir dengan sebaiknya. Kala itu, terus otaknya dapat menangkap maksud Hana apabila sorotan matanya terpaku pada gambar seorang kanak-kanak persis dia dan sememangnya itu dia apabila tertera di situ nama "Qarizh Zahwan".
"Apa maksud kau, Hana?" Terus Qarizh membalas pesanan Whatsapp Hana.
"Aku tahu kau tak nak ingat pasal kes ni. Tapi aku nak tanya, kau kenal tak mamat hitam yang tangan dia kena gari tu?" Giliran Hana pula membalas WhatsApp Qarizh.
Lama Qarizh perhati gambar yang diberi oleh Hana. Dia ingat-ingat lupa dek selain daripada kejadian itu berlaku pada 20 tahun lepas, dia juga kehilangan sebahagian besar memori masa kejadian. Ada sesuatu yang membuatkan dia lupa perkara yang berlaku ketika dia diculik dahulu.
"Kalau tengok daripada rupa, rasa macam kenal," balas Qarizh apabila Hana menyambut panggilannya. Dia malas nak taip panjang-panjang jadi call ajelah, senang.
"Tapi aku tak ingat siapa," sambungnya lagi.
"Aku rasa kau kena recall balik memori kau, Qarizh. Aku rasa inilah sebab kenapa Black targetkan kau sekarang," cadang Hana.
"Dari mana kau dapat fail kes ni?" tanya balas Qarizh.
"Aku tengah siasat pasal program High Intelligent Child. Kau kan salah seorang kanak-kanak yang ada masuk program tu lepas tu kau kena culik. Cuba ingat balik kes tu," jelas Hana.
"Apa kena mengena pula pasal program tu dengan Black?" Qarizh masih gagal menangkap maksud Hana.
Berpusing-pusing fikirannya dek terlalu banyak benda nak kena ingat, sementelah perutnya juga mula berasa pedih dek seharian belum menjamah sebarang makanan. Hari ini dia betul-betul sibuk. Tak menang tangan hadap kerja yang bertimbun-timbun nak kena siapkan sebelum pagi esok.
Kalaulah dia tahu betapa sibuknya hari ini, lebih baik dia niat puasa sunat sahaja. Lagipun hari ini hari Isnin. Tapi telat, dia terlebih dahulu minum air kosong pada jam 10 pagi kerana terlalu dahaga. Selepas itu, jadualnya lagi padat sampailah sekarang jam 4 petang, dia belum makan apa-apa.
Dia terlupa untuk makan. Itu fakta.
"Kalau betullah kata hati aku, orang hitam yang bergari tu ialah Black. Kau punya sejarah lampau dengan dia, Qarizh. Jadi, mungkin itulah sebab kenapa dia benci sangat kat kau," kata Hana panjang lebar.
Perincian yang diberi oleh Hana sedikit sebanyak membuatkan fikiran Qarizh semakin jernih. Laju saja otaknya ingat semula setiap detik saat dirinya dihantar oleh pihak sekolah ke sebuah rumah kebajikan yang menganjurkan program kem High Intelligent Child dan kemudian, tahu-tahu saja dia dibawa ke sebuah ruangan bawah tanah.
Ketika hari kejadian, dia bersama-sama dengan 10 orang kanak-kanak lain daripada sekolah berlainan dibawa ke ruang makan sebaik sahaja sampai di tempat program. Setelah makan tengah hari dan guru pengiring masing-masing beredar dari situ, mereka dibawa pula ke asrama bagi meletakkan barang yang dibawa.
Seterusnya, mereka diiring pula ke dewan taklimat. Ucapan daripada petugas rumah kebajikan itu pada awalnya didengar dengan sepenuh perhatian. Tapi entah kenapa lama kelamaan, matanya berasa berat dan pandangannya berbalam-balam. Kata-kata juruacara majlis juga kedengaran sayup-sayup dan kemudian, sunyi dan gelap sepenuhnya.
"Aku dah ingat sikit-sikit peristiwa hari tu. Nanti aku update kat kau bila aku ingat lagi," ujar Qarizh.
"Okey." Hana mematikan talian.
Buat seketika, Qarizh memicit-micit kepalanya yang berasa berdenyut-denyut dek cuba mengingati peristiwa hitam yang sedaya upaya dia elak daripada ingat semula. Kerana kes itu, dia dibelenggu trauma yang tidak berkesudahan. Dia jadi paranoid kepada semua orang yang cuba buat baik atau melontarkan senyuman kepadanya.
Bukan mudah untuk dia atasi trauma itu. Didera dan diseksa oleh penjahat-penjahat yang mahu dia guna inteligen demi buat jenayah sangat mengganggu emosi dan jiwanya yang sentiasa berpegang pada prinsip cintakan negara.
Takkan sesekali dia khianati negara dengan cipta senjata berteknologi tinggi untuk tujuan salah atau buat satu formulasi dadah untuk jahanamkan anak bangsa. Tidak! Takkan sesekali!
Kerana itu walaupun pada masa itu dia baru berusia 12 tahun, dia berani menentang dengan cuba beri isyarat SOS kepada pihak polis melalui cara bakar bangunan rumah kebajikan itu yang terletak di tengah-tengah hutan.
Insiden itu menyebabkan hutan mengalami kebakaran teruk sehingga memaksa pihak bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran hutan selama dua hari dua malam lamanya. Tiada insiden kemalangan jiwa dilaporkan dek semua orang termasuklah penjahat berlindung di bawah tanah.
Inspektor Khalid yang mengetuai operasi menyelamat berjaya menemui mereka semua dan memberkas para penjahat yang ada di situ. Mujurlah tindakan bakar bangunan itu tidak menyebabkan Qarizh kena dakwa kerana masih di bawah umur dan tindakannya adalah untuk menyelamatkan diri serta orang lain.
"Uwek." Qarizh menekup mulut. Sudahlah kepalanya sakit, perut pedih, mual pula bertandang. Memang tidak lain tidak bukan perutnya sudah masuk angin.
Kala itu, Qarizh mengeluh lagi. Nampaknya, sudah tiba masanya dia tinggalkan sekejap kerjanya di pejabat untuk keluar beli makanan. Terus dia mengambil anak kunci kereta lalu bergerak ke pintu. Namun, belum pun dia memulas tombol pintu, tiba-tiba pintu biliknya diketuk dan dibuka tanpa sempat dia memberi keizinan masuk.
"Qarizh, kau kena tolong aku!" Aralyn muncul di muka pintu dengan wajah serius.
Siapa2 yg x baca lagi Hello, Abang Bodyguard! 2 please baca tau sebab cerita ni memang berkait dgn cerita tu. Thank u. ❤️
Angel_k20 | 17 Ogos 2023
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro