Bab 14 [1]
"Apa maksud kau?" soal Aralyn dengan dahi berkerut seribu.
Qarizh Zahwan ini sudah miring ke selepas diserang kali kedua oleh Black? Ya, dia mengakui yang ajakan kahwin daripada jejaka itu membuatkan dirinya berasa bahagia.
Namun, persoalan mengenai kelakuan Qarizh itu juga berlegar-legar di dalam fikirannya. Ini semua sangat tiba-tibalah. Pelik betul rasanya!
"Sudikah kau jadi isteri aku, Aralyn Awliya?" Soalan dibalas soalan, Qarizh menghadiahkan senyuman paling manis kepada gadis pertama yang berjaya mencuri hatinya.
Dan... senyuman semanis itu tidak pernah ditunjukkan kepada orang lain kecuali gadis itu seorang. Cengeng tambah tidak semenggah, tetapi apa ada hal jika hati sudah terjatuh cinta?
"Aku..." Aralyn kehilangan kata.
"Nak ke tak nak?" Tidak berlapik, Qarizh terus memberikan kata dua.
"Er..." Aralyn menggigit-gigit jari.
Kahwin? Ini bukan perkara main-main. Berkahwin itu bermaksud bersatu dengan seseorang di mana dari situlah, satu hubungan kekeluargaan yang baharu akan dibina. Bersediakan dia, seorang Aralyn Awliya untuk menjadi isteri kepada Qarizh Zahwan?
Sejujurnya, dia tidak pernah terfikir akan perkara tersebut. Sejak awal pertemuan, mereka bagaikan anjing dengan kucing. Asal bertemu saja pasti bergaduh. Benci bersulam geram. Namun, entah kenapa apabila tidak bertemu, hati terasa kosong.
Mungkin betul orang kata, jangan dikata benci, nanti tersuka. Jangan dibilang tidak suka, nanti terjatuh cinta. Oh, sudah terjatuh cintakah dia kepada jejaka beku di hadapannya ini? Sungguh, Aralyn buntu memikirkan perasaannya sendiri.
"Kenapa... kau... aku... aku perlu kahwin dengan kau?" Akhirnya, walaupun tergagap-gagap, Aralyn berjaya membuahkan soalan.
"Kerana aku mahu melindungi kau," balas Qarizh tenang.
"Kenapa kau nak... melindungi aku?" Jawapan Qarizh dibalas dengan soalan oleh Aralyn dengan suara bergetar hebat.
"Sebab kau adalah target Black," jawab Qarizh dengan nada tetap tenang seperti tadi.
"Kenapa?" soal lagi Aralyn.
Namun, hanya sepatah sahaja perkataan yang mampu dilontarkan dek hatinya berdebar hebat apabila sepatah nama itu disebut oleh Qarizh. Black. Ya Allah, nama itu benar-benar memacu debaran jantungnya sehingga ke tahap maksima.
Sejujurnya, dia takut jika Black betul-betul mahu membunuhnya. Apatah lagi selepas kes serangan di Dewan Tuanku Omar tempoh hari, penjahat itu seperti mentargetkan dirinya dan Amirul untuk melemahkan Qarizh.
Dengan terjadinya kes itu, melalui bantuan Jacky, Mona dan Riyad, dia mendapat maklumat bahawa semua kes jenayah kejam yang berlaku kebelakangan ini juga adalah kerja Black dan kumpulannya. Semuanya kerana satu benda besar yang bakal mengubah nasib negara jika bahan terlarang itu tersebar semakin meluas.
Blue Rose, nama dadah terbaru hasil daripada formulasi Flakka dan Krokodil merupakan klu yang membawa kepada hasil siasatannya terhadap kumpulan itu. Nama yang agak biasa, namun baginya ia adalah sesuatu yang luar biasa dek Blue Rose, ramai pengkonsumsinya memilih jalan singkat untuk kembali ke alam barzakh.
Disebabkan itu, mungkin lelaki hitam itu akan berdendam dengannya jika aktiviti jahat ketua mafia Crow itu diketahui oleh pihak polis. Atas dasar itulah, dia tidak berani untuk melaporkan hasil siasatannya kepada CGP Karim. Ah, sesak otaknya memikirkannya.
"Istikharahlah, Cik Tunang Abang Sayang. Seminggu. Berikan aku kata putus dalam seminggu ni," putus Qarizh apabila melihatkan gadis di hadapannya bagaikan berada di awang-awangan.
Senyuman nipis ditarik, nafas kasar dihembus perlahan. Fuh, berdebar juga rasa hatinya di saat ayat lamaran tadi diluahkan. Gadis cengeng bernama Aralyn Awliya akan sudi menjadi isterinya atau tidak? Ah, gadis itu sukar ditebak fikirannya.
"Wan, sekarang mama nak cakap fasal bakal menantu mama." Amina mengambil tempat di sofa berhadapan dengan Qarizh.
"Ada apa dengan dia?" soal Qarizh acuh tidak acuh.
"Mama ulang sekali lagi, mama tak nak Wan kawan dengan dia," ujar Amina serius.
Mendengarkan pengulangan kata yang terluah daripada mulut merah mamanya, Qarizh semakin pusing. Apa benda mama nak cakap sebenarnya? Tidak boleh berkawan tetapi sejak daripada tadi, mama tetap mengulang perkataan yang sama 'bakal menantu'.
"Apa maksud mama sebenarnya?" Membengang, Qarizh menembak soalan tepat ke anak mata mamanya.
"Kahwin dengan dia." Amina membalas pandangan tajam anak lelakinya.
"Apa?" Bagai direnjat dengan renjatan elektrik bervoltan tinggi, Qarizh terus berdiri tegak.
Saraf sakitnya bagaikan tidak berfungsi, kesakitannya pula bagaikan berlalu pergi. Arahan yang keluar dari mulut mamanya itu begitu mengejutkan. Kenapa sampai macam itu sekali mamanya mengarah?
"Mama tak nak tengok baby boo mama sakit menanggung rindu. Daripada tindakan Wan, mama tahu yang Wan ada hati dengan budak cengeng tu," beritahu Amina selamba. Dengan selamba juga, dia mencicip teh panas yang disediakan oleh Mek Nab.
"Wan jadi begini kerana mahu melindungi budak tu. Tak apa, mama faham dan mama puji tindakan Wan. Tapi Wan, benda baik tidak elok ditangguhkan. Isteri dapat, pahala pun dapat. Bila lagi mama nak dapat timang cucu sendiri?" sambungnya lagi.
"Mama suka budak Aralyn Awliya tu. Dialah gadis pertama yang berjaya mengetuk pintu hati Wan." Amina bangun dari sofa lalu memusingkan badannya ke belakang.
"Mama tahu Wan tak suka mama. Mama minta maaf atas segala salah silap mama kepada Wan dan Sarah selama ini. Mama hanya cuba buat yang terbaik untuk melindungi Wan." Amina berjeda.
"Apabila Wan mempunyai anak, Wan akan faham tindakan mama," sambungnya pula lalu segera menapak naik ke tingkat atas.
Memori percakapan antara dirinya dan mama pada petang tiga hari lepas bagaikan tape video yang diulang tayang dan selalu bermain di ruangan mata lalu menerjah deria pendengarannya. Bagaikan terngiang-ngiang juga di telinganya ayat-ayat mama di mana ia mampu menyentap tangkai jantungnya.
"Mama sayangkan Wan dan Sarah melebihi apa yang ada di muka bumi ini. Wallahi, mama dan papa tidak pernah mengabaikan kamu berdua," bisik Amina seraya memberikan senyuman paling manis buat anaknya.
Ah, semua itu membuatkannya keliru. Qarizh tenggelam dalam tenungannya kepada Aralyn di saat gadis itu memandang tepat ke arahnya dengan pandangan yang sukar ditafsirkan. Jarum jam seakan berhenti bergerak, detik waktu seperti tidak berdetak. Sungguh, kedua-duanya bagaikan mencari kepastian dalam diri masing-masing.
"Kau... serius?" tanya Aralyn perlahan.
"Aku tak main-main," jawab Qarizh tenang.
"Kenapa?" Entah sudah kali ke berapa, Aralyn tetap menagih jawapan dengan bertanyakan soalan 'kenapa'. Sungguh, dia tidak yakin akan perasaannya sendiri!
"Kerana kau... sukakan aku," jawab Qarizh seraya tersenyum nipis.
Eh?
Merona merah pipi Aralyn mendengarkan jawapan jejaka kacak tetapi berpersonaliti sejuk beku di hadapannya. Dia sukakan Qarizh Zahwan? Betul ke? Sejak bila? Mereka berdua selalu berhentam dan hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar partner kerja. Itu yang dipercayainya!
"Yakah?" soal Aralyn seraya menarik senyuman tidak berapa menjadi. Hish, berdebarnya rasa.
"Ya. Kau sangat sukakan aku sampaikan habis staf kau jadi mangsa." Qarizh menarik kerusi lalu duduk mendepani Aralyn yang masih tercegat di hadapannya.
"Kesian Mona. Kenapa kau paksa dia pakai jubah untuk turun ke lapangan? Riyad pula, apa fasal kau suruh mamat tu ambil gambar mayat dengan kamera palaroid? Si Jacky tu, lagi kasihan." Dia berjeda.
"Hari-hari kau tibai dia ke sana ke sini semata-mata mahu melempiaskan marah kau pada kes yang tidak bergerak hujung pangkal." Qarizh menyenaraikan satu persatu kerenah Aralyn yang dilaporkan oleh Jacky.
Err...
Aralyn menggaru-garu dahi dan menggigit-gigit hujung jari telunjuk. Hish, apek Cina itu memang mulut tempayan betullah. Satu rahsia pun tidak boleh ditutup. Tahulah tidak puas hati, tetapi salah Jacky yang lambat buat kerja. Mereka kesuntukan masa, tahu?
"Kau stres sebab tak boleh jumpa aku. Kasihan. Jadi, baiklah kalau kau kahwin dengan aku. Hari-hari kau dapat tengok muka aku puas-puas," sambung Qarizh lagi dengan muka tidak ada perasaan. Selamba okey, macam ajak main game saja lagaknya.
"Ha. Hahhahahaaha," gelak Aralyn tidak ikhlas.
Heh, perangai kerek lelaki di hadapannya sudah kembali, maka mungkin betullah dia itu sudah sihat seperti sediakala. Baguslah, tidaklah dia perlu merisaukan lagi kondisi jejaka tersebut separuh mati!
"Seminggu, Cik Tunang Abang Sayang." Qarizh kembali mengingatkan Aralyn akan lamarannya.
"Okeylah, okey." Aralyn menarik muncung sambil menunduk ke bawah.
Ajakan kahwin ya? Aduh, nak ke tak nak? Pusing dia memikirkannya. Kenapa ajakan kahwin daripada Qarizh itu seperti mengajak pergi lepak saja? Hish, tak romantik langsung!
Done!
Sorry hambar. Nak 🌟 boleh? 🤭
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro