Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

SYT 6

"Adik...!"

"Adik! Bangun dik! Bangun!"

Suara itu sayup-sayup menembus halwa telingaku. Sedaya upaya aku cuba bersuara untuk menyahut. Namun, masih sukar, tersangat sukar. Kemudian, aku mencuba pula menggerakkan tubuhku. Kekiri dan kekanan, walaupun gerakku perlahan aku tetap tidak berputus asa. Tanganku diapungkan ke atas, seperti meminta seseorang yang memanggilku adik itu, segera menarikku dan menyedarkan aku yang sedang berada dalam dunia gelap ini. Sangat terseksa.

"Adik, bangun! Jangan ikutkan perasan, tolong bangun!"

Kulit pipiku terasa perit akibat ditampar-tampar. Aku menyeringai kesakitan, tetapi masih di dalam hati. Kerana tidak tahan menerima tamparan bertalu-talu, aku menjerit lagi sekuat hati, dengan daya yag masih ada aku memaksa diriku supaya meninggalkan dunia gelap ini.

Aku mengucap sungguh-sungguh, dan berdoa tanpa mengerti erti putus asa. Berdoa kepada Yang Maha Pencipta agar dapatku meloloskan diri dari semua ini yang menyebabkan aku sangat terseksa.

Berkat itu, dengan perlahan aku kembali ke alam sedar. Mataku yang tersangat perit, aku buka sedikit demi sedikit. Dengan pencahayaan suram, aku nampak Kak Mina berada di depan mataku. Aku mahu bangun, tetapi badanku tersangat lemah. Muka dan rambutku lencun dengan keringat. Argh, apa yang terjadi? Sekarang aku ada di mana? Mataku sibuk pula meliar tetapi cahaya suram menyukarkan aku yang rabun. Sangat kelam, suasana disini seperti ada kabus.

"Ya Allah, syukur kau bangun dik. Aku kejut kau macam nak gila, nasib juga kau bangun. Kalau kau tak bangun, aku memang simbah air sebaldi kat kau tau."

Hah? Apa yang terjadi?

"Kau mengigau terjerit-jerit macam kena rasuk. Aku pun jadi takut. Kau mimpi apa ni dik?"

Ya Allah, mimpi? Aku cuba menganalisis, mimpi apa yang sedang berlaku. Satu persatu mimpi tersebut terlayar pada anak mataku, dan semua bait kata dari Ayyan bertali arus menyelinap masuk ke halwa telingaku. Terketar-ketar bibirku saat ini, aku tak sanggup untuk berada lagi dalam situasi luka itu, aku tak sanggup. Dan, kemalangan yang aku alami seperti benar-benar berlaku, dapat aku rasai tubuh dan kepalaku hampir pecah dilanggar lori. Ya Allah! Air mataku jatuh berderai, tak terkawal sehingga esakanku kuat kedengaran.

"Adik, kenapa ni? Kau janganlah nangis. Jangan ikutkan perasaa dik, tu hanya mainan tidur. Takkan berlaku di dunia sebenar dik, kau jangan..."

Belum sempat Kak Mina habiskan kata-kata, aku pantas merangkul tubuhnya. Kuat dan rapat, aku tidak mahu lepaskan. Aku perlu kekuatan dari kakak. Aku terlalu takut untuk menghadapi traumaku ini.

"Sabar dik. Aku ada, kau jangan risau ye."

Belakang tubuhku diusap perlahan dan lembut. Aku menangis lagi semahuku, sedikit sebanyak aku bersyukur semua itu tak berlaku. Aku bersyukur dalam kesedihan yang menggunung.

"Kak, adik ingatkan adik nak mati. Adik mimpi adik kena langgar kak," ujarku dengan suara tersekat-sekat setelah aku kumpul kekuatan untuk membuka mulut.

"Itu mimpi dik, jangan percaya... Adik kan kuat, jangan nangis lagi ye... Lupakan semua mimpi karut tadi, mimpi tu takkan terjadi. In Shaa Allah, adik doa banyak-banyak."

Pujukan Kak Mina tidak dapat mengurangi langsung duka dan sebak yang mengikat rapat jiwa ragaku. Aku lemah, aku tak berdaya untuk terima itu hanyalah mainan tidur, kerana sangat jelas aku rasakan itu semua benar. Barah luka itu masih lagi menginap dalam hatiku. Ya Allah, kenapa kau hadirkan mimpi ini buatku? Apa tandanya? Adakah aku akan mengalami sesuatu yang buruk?

"Kak, kalau adik betul-betul accident macam mana? Adik takut, adik tak nak mati cepat. Adik masih nak jaga mak dengan kakak. Adik tak nak!"

Semua yang aku rasa, aku hamburkan pada Kak Mina. Aku nak Kak Mina tahu apa yang sedang menguasai fikiranku sekarang.

"Ya Allah, bawak mengucap dik! Dengar sini betul-betul, semua tadi hanyalah mimpi, mimpi sahaja! Kau jangan percaya semua yang berlaku dalam mimpi kau. Ajal maut semua ditangan Tuhan dik, bila ajal kau belum sampai, kau tetap masih hidup dik. Nak atau tak nak itu bukan pilihan. Kau memang akan mati, tapi tak tahu bila. Mimpi tu bukan penanda kematian kau dik. Akak tak nak kau fikir bukan-bukan."

Panjang berjela nasihat Kak Mina menyusup ke dalam deria pendengaranku. Perasaanku bercampur baur, fikiranku cuba menimbang nasihat Kak Mina. Benar, aku alpa dengan semua itu. Ajal maut ditangan Tuhan. Aku mengucap panjang setelah kemudiannya aku tersedar dari hasutan buruk yang menimpa fikiranku.

"Kak, adik nak minta maaf sebab berkasar dengan akak tadi."

Aku bersuara setelah lama membisukan diri, tubuhku masih mendakap dia. Kasih sayang dari Kak Mina aku rasakan sangat mengalir dalam setiap nadiku, kerna itu rasa bersalah datang menerpa aku lalu secara spontan aku mohon kemaafan darinya. Aku kini tersedar, kata-kataku sangat kurang ajar pada petang tadi. Tak sepatutnya, aku mengherdik dan menghalau kakak dengan kata-kata kasar, sedangkan niat dia hanyalah ingin mengambil berat terhadapku.

"Takpe dik, akak dah maafkan. Akak faham kau sedang alami perasaan yang tak dapat kau tanggung. Akak faham..."

Aku rungkaikan pelukan, matanya aku tatap bersama air mata yang masih setia menemani aku. Aku ingin cerita semuanya pada Kak Mina, mampukah aku?

"Adik nak cerita ke dengan akak pasal Ayyan?"

Tercetus pertanyaan itu dari bibir Kak Mina. Aku kemam bibir rapat-rapat. Dalam cahaya samar-samar dari lampu tidur, dia kulihat memerhatikanku dengan riak simpati.

Aku angguk perlahan, namun berat sekali untuk aku menguraikan isi hatiku ini. Untuk buka cerita tentang semuanya bukan mudah bagiku.

"Kalau kau tak nak pun takpe dik... Kau jangan paksa diri."

Kak Mina bersuara lagi,

Aku menarik nafas dan hembuskan perlahan. Meskipun sukar aku perlu juga luahkan, sampai bila aku nak pendam seorang diri?

"Sebenarnya, betul adik sukakan Ayyan..."

Lemah sahaja nada suaraku meluahkan. Aku menunduk, malu mengakui perasaan yang tidak seharusnya hadir dalam diriku.

"Akak dah agak... Dari dulu dik lagi, aku dah tahu... So, sekarang macam mana? Dia dah ada girlfriend ke?"

Aku angguk, terasa nyilu dalam hati bilamana perkataan girlfriend muncul di bibir Kak Mina.

"Semalam tu, dia kenalkan kau dengan girlfriend dia?" soal Kak Mina.

Sekali lagi aku angguk, tetapi tubir mataku terasa memberat. Aku ingin menangis, terlalu perit kenyataan yang satu itu untuk aku akui.

"Tak guna betul Ayyan! Siaplah dia, kalau aku jumpa... Aku cekik-cekik dia! Suka sangat sakitkan hati adik aku! Bencinya!"

Aku angkat wajah, terkejut juga dengan amarah yang Kak Mina lempiaskan. Aku yang dengar ngeri membayangkan jika benar Kak Mina mahu mencekik Ayyan, hish bahaya betul.

"Akak ni... Dia tak salah pun kak, itu hak dia nak ada girlfriend. Aku ni yang tak patut ada perasaan kat dia. Dia tu cuma anggap aku macam kakak kandung dia je."

Terdengar dengusan kasar menyentak telingaku. Aku kaget, sipi-sipi kulihat dia hampir nak jadi singa jadian. Ya Allah, sabarlah kak.

"Kepala hotak dia kakak kandung! Dia buta agaknya tak dapat nak nilai macam mana layanan kau pada dia ke? Hish, kang senang sangat mulut aku nak memaki ni. Geram betul."

Kemarahan Kak Mina buat bibirku tersungging senyum tawar. Sedikit sebanyak kesedihan aku sedikit terubat.

"Akak ni, sabarlah... Janganlah marah dia, perasaan cinta tak boleh dipaksa kak... Aku redha aje walaupun... entahlah kak..."

Keluhan terlepas dari bibirku. Air mata telah kering di pipi, aku penat menangis lagi. Cukuplah aku membasuh luka tadi.

Aku tahu aku sedang menipu sekarang, aku memang tak pernah redha, tetapi apa lagi pilihan yang aku ada? Bukankah aku perlu redha walaupun aku terluka parah tanpa sesiapa tahu? Mujur juga ada kakak, kalau tidak hanya aku seorang diri memendam rasa yang entah bila akan terpadam. Kalaulah aku bisa memadamnya sesuka hatiku, sudah pasti telah kubuat.

"Aku nak kau putus hubungan dan lupakan tentang dia. Biar dia dengan hidup dia, dan kau dengan hidup kau."

"Tapi, kak..."

"Tak payah tapi-tapi, kalau kau nak move on cepat. Kau dengarlah cakap aku."

Aku diam, nak melawan tiada kuasa.

"Kalau Ayyan kacau kau lagi, biar aku uruskan. Tahulah aku nak buat dia lagu mana nanti."

Kak Mina ketap giginya kuat. Aku jadi seram... Betul-betul ke Kak Mina ni? Serius?

"Kak, tak payahlah. Tahulah aku nak selesaikan nanti."

"Kau duduk diam je dik. Tunggu kau yang acah-acah lembut tu, sampai bila pun sepanjang hayat kau akan berendam air mata dengan sakit jiwa segala. Kau nak ke macam tu dik?"

Aku diam lagi, Kak Mina ni memang fikir panjang. Tak macam aku, tak pernah terfikir apa yang Kak Mina fikir. Tapi, kalau aku dengar cakap Kak Mina, mampu ke aku berpisah dengan Ayyan? Buat selama-lamanya? Ya Allah. Aku usap dada perlahan, peritnya menanggung beban ini. Membayangkan perpisahan sudah cukup buat air mataku luruh lagi.

"Dah, kau pergi solat. Doa banyak-banyak biar Allah hapuskan cinta tak kesampaian kau tu. Aku pun doakan untuk kau... Kau jangan risau, jangan susah hati. Aku sentiasa ada untuk kau, aku ni ajelah kakak kau sorang. Apa-apa dalam hati, jangan pendam seorang diri. Inilah gunanya ada kakak. Okay?"

Aku hanya mengangguk, air mata aku seka. Benar, aku perlu luahkan segalanya pada Yang Maha Pencipta. Dia sahaja yang benar-benar mengetahui segala isi hati hambaNya.

..................................................................

Roti pemberian Kak Mina aku capai lalu aku buka plastik. Hal ini kerana aku tak tahan menanggung azab perutku berbunyi bermacam-macam lagu berentak irama rock kapak, ditambah dengan hirisan duri di dinding perutku. Aduh, aku membongkokkan badan bila perutku mencucuk-cucuk pula. Pantas aku kunyah laju-laju roti perisa jagung tu dan terus sahaja telan. Ikutkan perut, memang lapar nasi. Tetapi memikirkan mataku yang bengkak, aku batalkan niat. Aku risau mak akan bertanya macam-macam. Apa pula alasan yang aku nak berikan nanti?

Tekak pula terasa kering sangat, aku hanya mampu telan air liur ajelah. Sementara itu, aku pandang handphoneku yang terbiar kaku macam sampah di hujung katil.

"Agaknya Ayyan ada call aku tak ye?"

"Dia rindu aku tak macam aku rindukan dia sekarang?"

"Ayyan, kenapa akak mimpi pasal Ayyan nak kahwin? Betul-betul ke Ayyan nak kahwin?"

Aku jatuhkan tubuhku ke atas katil, bantal busukku capai kemudian aku peluk rapat-rapat ke dada. Aku anggap bantal itu adalah Ayyan lalu aku pejamkan mata rapat.

Rasa rindu pada Ayyan bagaikan mengalir deras dalam gelora perasaanku. Aku rindukan dia! Bagaimana nanti jika ada perpisahan selamanya dengan dia? Apakah aku sanggup menghadapinya?

Aku menggeleng, tidak mahu sama sekali membayangkan semua itu. Aku benar-benar tidak sanggup berpisah dengan Ayyan, apalagi memutuskan hubungan yang sudah lama termeterai ini. Aku sudah terlanjur sayangkan dirinya seperti aku sayangkan diri aku sendiri!

Ya Allah, apa yang perlu aku lakukan? Tolong aku Ya Allah. Aku seka air mata yang mengalir di pipi. Aku kalah lagi dengan air mata!

........................................................

"Tok, tok, tok, tok."

Ketukan pintu menyentakku dari dunia lamunanku yang tidak berkesudahan. Aku bangun setelah mendengar suara Mak memanggilku dari luar lalu aku buka pintu bilik.

Terjengul wajah Mak di hadapan pintu. Mak pandang aku tak berkelip. Di setiap ruang wajahku, dia tilik berkali-kali. Argh, aku sudah agak mesti kejap lagi habis aku ditanya berbagai soalan.

"Adik menangis sampai bengkak mata ni kenapa? Ya Allah, siapa buat anak mak lagu ni?" soal Mak dengan nada risau.

Aku diam sejenak memikirkan jawapan yang mampu buat Mak lega.

"Er, adik sedih sebab panggilan kerja untuk jadi editor buku syarikat Pelangi tu kena tolak mentah-mentah... Sebab tu adik nangis... Sedih sangat Mak." ulasku dengan nada meyakinkan.

Maaflah mak, adik terpaksa tipu sebab adik belum sedia nak cerita pada Mak. Adik tak nak Mak risau. Aku lagukan kata maaf di dalam hati.

"Betui ka? Awat Mak fikir macam tipu... Sedih pun kenapa melampau-lampau, mata tu bengkak sangat Mak tengok." tanya Mak dengan nada curiga.

Tak tertelan air liur ditekak, pasti Mak tak percaya. Hatiku serta-merta diserang gundah, aku terkulat-kulat mencari ayat yang sesuai untuk dihulurkan pada Mak.

"Hmm, nantilah adik cerita semua pada Mak. Haa... ni Mak nak habaq, adik angkat kamu si Ayyan tu datang. Mak dah suruh dia masuk, tu dia tengah duduk. Mak hidang air teh dengan kuih lepat pisang aje yang ada."

Berderau darahku mendengar bait kata-kata Mak. Hah? Serius? Jantungku usah cakap, laju berdegup bertalu-talu. Ya Allah, dugaan apa lagi yang akan ku tanggung ni?

"Cuba mak ulang lagi sekali mak... Betul ke Ayyan datang mak, ke silap orang?" tanyaku bersama gelisah yang mula singgah menjentik perasaanku. Aku tak percaya sama sekali dengan pendengaranku, dan berharap kata-kata Mak itu salah!

"Adik angkat kamu si Ayyan datang... Dia duduk kat bawah tu tengah minum teh. Dia kata dia ada hal dengan kamu, tak silap Mak... Dia ada kata dia risau kamu tak jawab call dia."

Sekali lagi aku bagaikan terkena renjatan elektrik. Hah? Jadi memang betul Ayyan datang? Dan sebab dia datang kerana aku tak jawab call? Betul ke ni? Kenapa aku rasa macam tengah bermimpi di siang hari?

"Kamu kenapa tak jawab call dia dik? Gaduh ke?" tanya Mak pula, macam nak korek rahsia sahaja gayanya.

Aku diam menekur lantai. Nak jawab apa ni?

"Er, takde apelah. Mana ada gaduh... Adik lupa nak cas handphone pasal sedih sangat semalam."

Canggung sekali gaya aku menuturkan kata. Sejurus itu, aku keluarkan tawa kecil yang jelas kedengaran dibuat-buat.

"Dahlah, duk bual sini aje. Adik turunlah dulu, tengok apa hal yang dia nak cakap tu. Tengok muka gelisah aje, risau benor dia ke kamu."

Perasaanku berbelah bagi untuk mengikut kata-kata Mak. Adik tak nak jumpa dia Mak! Jeritku dalam hati. Aku gigit bibir, cuba menyusun ayat untuk beralasan supaya tak jumpa Ayyan. Tak mungkin aku benarkan dia tengok mata aku yang serupa Kasim Selamat ni.

"Mak... adik kan malulah kalau dia nampak adik gini... Apa kata, Mak cakap adik tengah sakit perut gastrik... Suruh dia jumpa esok-esok je... Boleh tak Mak?" suaraku sehabis manja aku dendangkan pada halwa telinga Mak. Haraplah menjadi, dendangan yang tak berapa nak sedap ni.

Berkerut-kerut dahi Mak, menandakan dia menyampah agaknya mendengar alasan merepek aku. Aku kemam bibir, sambil itu setia aku menunggu kata-kata Mak seterusnya. Tidak putus-putus aku berdoa agar Mak termakan dengan butir bicara aku tadi.

"Kamu ni dik tak baik buat tetamu macam tu... Kesian tau Mak tengok dia... Apa salahnya dia tengok kamu buruk macam ni? Bukan dia boyfriend kamu pun nak disegan-segankan sangat. Haih, budak bertuah betul. Mak tak kira kamu jumpa jugak dia kat bawah. Mak nak turun dulu nak sidai baju, nak tunggu kamu sidai sampai ke esok tak siapnya. Asyik memerap dalam bilik aje tahunya."

Berdas-das peluru bebelan tembus gegendang telingaku. Aku tergamam tanpa kata. Peluru Mak ni memang dalam sungguh tembus ku ulu hati, sempat lagi Mak menyindir aku kerana memerap dalam bilik. Padahal selama ni aku rajin je tolong Mak sidai, lipat baju and so on. Mak ni, sampai hati tak kasi can anak dia berduka lara.

..........................................................................

Langkah kakiku lemah menuruni tangga. Aku tekap tanganku pada dada, debaran hebat tidak berhenti melagukan irama tanpa kenal erti mengalah. Aku menggigit bibir sambil otakku ligat memikirkan apa perlu aku perkatakan kepada Ayyan nanti.

Aku berjalan menghampiri Ayyan yang sedang rancak berbual dengan Mak. Amboi Mak, kemain berbual tak hingat dunia!

"Ayyan sambung belajar kat mana? Tinggal berapa tahun kat sana?" soal Mak ramah. Mak memang peramah kalau jumpa kawan-kawan aku.

Aku duduk di tepi Ayyan, matanya melirik kepadaku sebentar sebelum menjawab soalan Mak.

"Belajar kat UTM, Skudai. Tinggal setengah tahun aje, Mak. Ni saya cuti sem... Tu yang saya nak berjumpa dengan akak, sementara saya ada kat sini." jawabnya sambil jeling-jeling aku kat sebelah.

Aku tahu, mesti dia tengah meronta-ronta nak tahu pasal keadaan aku. Tapi, dengan soalan Mak macam cikgu tu tak menyempat dia nak bertanya lanjut pada aku. Eh, wait? Kenapa dia panggil Mak aku ni Mak? Bukan dia suami aku pun? Eh?

"Ambil bidang apa Ayyan? Mak teka kamu ambil bidang doctor ni sebab kacak semacam. Smart pulak tu... Berkenan pulak Mak tengok..."

Tersipu-sipu Ayyan mendengar bicara Mak. Aku pun turut rasa malu dengan perangai Mak, pantang betul nampak lelaki handsome, mesti puji depan-depan.

"Eh, saya ambil bidang biasa-biasa je Mak. Engineer... Hehehe... Terima kasihlah puji saya, saya ni biasa je tak handsome manalah..."

Dihujung kata rendah dirinya, Ayyan gelak kecil.

Aku pun terhibur melihat gaya sopan acah malu-malu itu. Agaknya depan Mak mertua dia, perangai dia begini? Hmm, tiba-tiba aku diserbu rasa sebak. Kenapa bukan Mak yang jadi Mak Mertua dia? Alangkah indahnya kalau Ayyan sukakan aku.

"Kalau kamu ni bukan adik angkat Arina. Dah lama Mak minang kamu tau... Betul ke kamu dengan Arina hanya ada hubungan adik kakak angkat aje?"

Ayyan pantas angguk, dia menggaru kepala yang tidak gatal. Tidak menyangka akan mendengar usikan sebegitu.

"Bukan apa, kamu dengan Arina ni sesuai pulak Mak tengok. Sorang hitam, sorang putih. Haa... Kalau dapat anak kan cantik macam Hindustan..."

Ya Allah, aku tepuk dahi sambil tahan perasaan geram kerana gaya selamba Mak mengutuk aku. Depan-depan pula tu!

"Mak ni, sampai hatikan kutuk adik!"

Aku bersuara akhirnya setelah berdiam diri.

Ayyan pandang aku lalu dia ketawa berdekah, yang tak boleh blahnya Mak turut bersekongkol gelakkan aku sekali. Aku ketap bibir geram.

..................................................................

Writer's comment : Alamak Ayyan datang pula? Amboi, kemain Mak ni menyakat Ayyan. Siapa sokong Mak pinang Ayyan?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro