
BAB 54
Syt 54
Andai dapat aku...
...
"SUAMI Puan, Alhamdulillah dah sedar... cumanya..."
Jantung meningkat laju, rasa bahagia terpercik seketika, namun dicantas pula dengan jeda yang dibina oleh sang penyampai berita. Aku labuhkan tangan atas bahu mak, untuk menampung tubuhku ini. Aku bimbang berita dari dia bakal meruntuhkan sisa kekuatan yang sedia ada.
"Cuma apa nurse?" soalku tidak sabar. Air muka dia aku renung dengan tajam, cuba singkap apa yang disimpan dalam sanubarinya itu.
"Dia meracau-racau, emosi dia tak stabil. Detak jantung dia makin laju. Memandangkan keadaan dia masih tak stabil, doktor hadkan seorang pelawat sahaja. Bagaimana Puan Arina?"
Penjelasan nurse hampir melemahkan urat sarafku. Aku cuba kawal cengkaman sakit di celah dada.
Ayyan... Ya Allah, tolong kuat. Reen ada sini... Rintihku dalam hati.
Mak memeluk tubuhku, menyalur kekuatan. Belakang tubuh juga disalut perlahan-lahan.
"Alhamdulillah, mak lega Ayyan dah sedar. Adik pergilah tengok Ayyan, mak nak solat hajat untuk Ayyan moga dia diberi ketenangan, dan kesakitannya akan berkurangan. Adik kena kuat ye sayang, demi Ayyan. Suami adik..."
Aku angguk dan menangis. Pujukan mak sedikit membantu aku yang tiada daya ini.
Bibirku mengucap Alhamdulillah tanda syukur namun sebak tidak dapat dibendung bilamana hatiku dicekup kegusaran yang amat sangat andai keadaan Ayyan semakin melarat walaupun dia sudah kembali sedar ke dunia nyata.
...
"A-yyan..." Aku seru namanya perlahan, cukup aku yang dengari.
Sekujur badan itu terbaring lesu di atas katil. Pesan doktor tadi, doktor ada suntik ubat penenang sebab itu dia kembali tenang mengumpul nafas. Tidak meracau seperti tadi.
Aku tekup bibir, tangisan ini tidak dapat aku kawal. Sangat jelas mata itu sedang merenungku dengan linangan air mata. Sakitnya melihat dia begini, sakitnya. Tak sanggup, Ya Allah. Aku tak sanggup.
Kaki yang terasa hendak longlai, aku gagahkan untuk dekati dia. Suami yang aku sayang sepenuh jiwa ragaku. Tidak pernah lelah aku menyulam cinta buat dia, walaupun cinta aku ini tidak diketahuinya. Aku, aku... cintakan dia, Ya Allah! Tetapi, kenapa kau buat dia sakit begini? Kenapa bukan aku yang sakit, Ya Allah? Aku tak rela dia sengsara.
Tangan dia yang terkulai, aku kucup. Sejuk. Ayyan hanya mampu merenung aku. Aku tahu, dia tak dapat berbuat apa-apa. Hendak menegur aku pun dia tidak berdaya.
Tanpa segan silu, aku dakap tubuhnya perlahan. Ombakan lemah dari detak jantungnya makin melimpahkan tangisan aku. Namun, aku kembali tersedar. Tidak, aku tak boleh lemah begini! Aku tak boleh tayang aku lemah depan Ayyan! Aku perlu kuat untuk dia! Aku perlu kuat!
Aku jauhkan sedikit wajahku dan kembali meluruskan posisi badan. Pipi aku kesat kasar. Jari ini beralih menyeka air jernih di tubir mata Ayyan. Matanya bergerak-gerak sedikit laju, seakan ingin menyampaikan sesuatu kepada aku.
Bibir itu mula bergerak-gerak. Aku dekatkan sedikit telingaku pada bibirnya agar dapat aku fahami apa yang ingin dia perkatakan.
"M-ma..." Halus dan tenggelam suaranya menusuk deria ini.
"M-ma-ma..."
Air mataku berjuraian menitis tatkala aku dapat tangkap maksud dia.
Aku cuba mengawal nafas yang semakin sempit direngkung dada. Mama... sakit, Ayyan... Mama sakit...
"Mama ada... Nanti d-dia... datang tengok... Ayyan..."
Bohongku terpaksa. Bait yang terkeluar di bibirku pedih sekali menghiris hati. Aku tak mampu berterus terang bahawa Puan Suraya turut mengalamai nasib yang sama seperti Ayyan. Dia kemalangan dan koma di wad ICU.
Aku terkulai layu terduduk di atas lantai, air mata ini tidak dapat berhenti mencurah rasa sebak apabila mata ini menjamah wajah Ayyan terus mengalirkan air kesengsaraan.
Wajah mama dan Ayyan bersilih ganti meruntun jiwa lemahku. Ya Allah, sembuhkan suami aku, akhiri derita dia. Sembuhkan mama, berikan mereka peluang untuk bahagia, Ya Allah. Tolong aku.
...
"MAMA Ayyan macam mana, mak? Masih tak sedar lagi?"
Mak diam seketika, rautnya muram. Dia sekadar menggeleng.
"Apa yang adik nak cakap dengan Ayyan... Dia tanya mama dia, mak... Dia tanya tadi... Ya Allah..."
Aku mula teresak-esak.
"Kita berdoa sahaja, berdoa untuk mama. Mak yakin Suraya nak sangat jumpa anak dia... D-dia..."
Mak tekup mulut, esakan mak kedengaran. Sedari tadi mak nampak kuat, dan waktu ini aku dapat rasai tembok kekuatan dia dah roboh. Mak juga tidak mampu kawal kesedihan.
"M-mak... teringat... Suraya kata dia rindukan Ayyan separuh mati, dia rindukan anak dia sangat-sangat. Dia nak peluk anak dia... dia nak salut kepala anak dia tiap hari... dia nak beritahu anak dia, Ayyan... Yang dia sangat sayangkan anak dia... Anak yang ditinggalkan masa bayi, sempat diberi susu sekejap sahaja peluang itu. Ya Allah, mak tak sanggup ingat balik kata-kata dia. Mak tak sanggup..." Mak mengongoi menangis, aku pegang bahu mak. Aku peluk tubuh itu. Berkongsi rasa sebak dan sakit mengenang nasib Ayyan dan mama. Mengapa takdir mereka kejam, begini?
"Mak... Kenapa bukan adik yang accident gantikan tempat Mama... Kenapa bukan, adik? Adik nak mama sedar dan jumpa Ayyan... Adik nak mama dengan Ayyan jumpa dan hidup bahagia... Adik sanggup berkorban, adik sanggup jadi galang gantinya sebagai bayaran untuk kebahagian mereka, mak. Adik sanggup..." Aku hamburkan apa yang aku rasakan di hati tanpa memikir dosa. Aku lupa takdir dari Yang Maha Pencipta. Aku lupa segalanya apabila dugaan hidup sedang melanda hebat dalam kurungan hidup kami. Aku lupa...
"Mak... adik sanggup berkorban mak, adik sanggup demi suami adik. Ya Allah, tolong dengari rintihan aku. Aku sanggup sakit, mahupun maut menjemput aku andai itu dapat menggantikan mama supaya kembali sedar di dunia ini, Ya Allah. Tolong, aku Ya Allah..." Aku merintih, aku menangis sekuat hati. Dadaku terasa ingin pecah menampung beratnya sesak tangisanku ini. Jujur, kesakitan kali ini lebih mencengkam berbanding sakit aku alami disepanjang lewat hari-hariku.
"Adik... jangan doa macam ni... jangan, ingat Allah. Ingat Allah, adik..."
Pelukan aku lepaskan perlahan, aku bangun dan meninggalkan mak sendirian tanpa pamitan.
...
Bunyian mesin mencarik-carik perasaan yang sedang mengalir darahnya. Tidak berhenti walau seketika. Tangan mama aku pegang erat.
Mesin di depan mata aku tatap. Bacaan degupan jantungnya sedikit tinggi, air jernih kembali bergenang dalam kelopak mata.
Risau. Gelisah. Gementar. Sebak. Pedih. Semua rasa bergaul dan bergelodak menghempas ganas dalam ruangan dada. Aku takut... aku takut andai mama pergi tanpa dapat ketemu Ayyan. Aku terlampau takut bilamana fikiranku terbang ke situ.
Mata ini aku gerak pada wajah mama yang banyak wayar berselirat. Tumpahan air makin lebat, terngiang-ngiang suara saksi yang menyaksikan kejadian kemalangan itu.
"Saya nampak wanita tu tolak lelaki tu ketepi, sampai tubuh dia melambung dilanggar kereta. Namun, malangnya lelaki tu turut dilanggar sama oleh kereta di sebelahnya. Saya pun tak tahu dari arah mana kereta lagi satu tu muncul. Saya... saya... tak dapat bayangkan ngerinya tengok kemalangan ni depan mata. Wanita tu paling teruk keadaan dia, satu badan disimbah darah pekat.
Ya Allah, maafkan saya cerita semua ni pada Puan. Saya harap Puan tabah. Saya doakan moga mereka diberi kesembuhan dan kesihatan seperti sedia kala..."
Bibirku bergetaran. Mataku terpejam rapat, rasa pedih di makin menyiat ulu hati.
Besarnya pengorbanan seorang ibu. Sanggup bertarung dengan nyawa demi si anak. Ya Allah, jangan pisahkan mereka. Aku mohon. Aku mohon sesungguh hati, Ya Allah.
"M-ma... Ma... Bangun... Ayyan tunggu mama. Dia nak jumpa mama... Dia dah maafkan mama... Tolong bangun... Mama... Bangun..." Rayuku lemah ditemani esak yang semakin menggila.
"Mama kena kuat, kena lawan sakit...
Mama nak jumpa Ayyan, kan? Mama nak sangat dakap dia, kan? Mama dah lama tunggu waktu ni... doa mama dah makbul, tapi... tapi... kenapa mama... macam ni... kenapa? mama jangan lemah, mama kena lawan... Kena lawan demi Ayyan! Demi anak mama... Demi dia, mama..."
Aku masih tidak berputus asa memujuk mama, aku tahu dia dengar. Dia dengar kerana aku nampak ada air jernih mengalir setitik di tubir matanya.
"Mama... Ayyan perlukan mama dia... Dia dah lama nantikan mama... Walaupun dia tak pernah cakap, Nur tahu dia rindukan mama dia. Nur dapat rasa dia tak bermaksud nak berkasar dengan mama... dia cuma keliru, jiwanya tak tenteram sebab mama dia dah kembali. Dia tak tahu nak lawan ego dia macam mana... Mama tolonglah bangun... Bangun... Nur merayu sangat-sangat... bangun..."
Aku meluah semuanya agar dia tahu Ayyan sayangkan dia. Ayyan sayangkan mama dia. Aku mahu mama sedar dan bertemu dengan Ayyan, agar bahagia dapat menyerikan hubungan mereka yang terlalu lama terlerai. Aku mahu ikatan darah antara ibu dan anak bercantum semula. Hanya itu yang aku inginkan.
Mata aku pejamkan rapat. Dahiku sedikit berkerut, seperti ada renjatan elektrik mengalir dalam tubuhku tatkala aku rasa ada gerakan halus di bertindak di dalam genggaman tanganku ini.
Aku buka mata, gerakan itu kembali lagi mengusik. Seakan tidak percaya apa yang aku rasai ini. Perlahan aku lepaskan genggaman itu.
"Mama... bertahan, Nur panggil doktor..."
Aku titipkan pesan pada mama. Belakang tangannya aku kucup lembut. Sinar cahaya sedikit mengalir dalam celah hati. Aku berharap doaku akan termakbul.
...
Writer's comment : Apakah nasib mereka? Sorry sebab pendek bab ni, serius susah tulis. Sedih bygkan ayyan dgn mama dia :'(
12 nov 2019
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro