Bab 33
BILIK yang tadinya gelap gelita telah menjadi terang benderang apabila jarinya menekan suis lampu. Dinding-dinding di sekitar bilik ini yang ditampal gambar-gambar seseorang diperhati tanpa lepas.
Rasanya sudah lama dia tidak menjejaki bilik ini kerana kesibukkannya serta sekarang dia jarang tinggal di sini. Namun, tetap juga dia akan melawat untuk membersihkan habuk di serata ruangan ini.
Lalu dengan perlahan dia menapak ke arah meja yang berada di sudut dinding. Tidak terkira berapa banyak gambar yang ada di atas meja ini. Bingkai gambar berwarna hitam diambil. Lantas debu-debu yang ada di lap dengan tangan sehingga bersih.
Dia tersenyum manis setelah melihat gambar dia dengan seseorang pada waktu zaman sekolah. Berpeluk bahu dengan raut wajah yang terbias gembira. Rindu...sungguh dia rindu waktu ini. Pertama kali mereka bertemu.
"Damn, I really miss you." Gambar itu dikucup hangat dengan mata terpejam erat.
SELURUH ruangan kondominium Ean yang mewah dipandang. Tema rumah ini berwarna hitam dan kelabu. Sesuai dengan perwatakan Ean. Qisya melabuhkan duduk di sofa yang terdapat di sini.
Lelah pula seharian asyik berjalan. Tekaknya haus ingin meneguk air. Namun dia diam tidak mahu meminta.
"Nanti masuk bilik aku. Kemas semua barang ni. Aku nak beli makanan sekejap. Kau mesti lapar kan?"
"Mana bilik awak?" tanya Qisya sambil menaikkan kepala melihat sekeliling.
"Carilah sendiri. Bukan banyak pun bilik dekat sini."
Qisya melepaskan keluhan. Lantas dia berura-ura ingin berdiri. Namun punggungnya terjatuh semula. Bibirnya terus dikemam tatkala mata Ean tajam merenungnya.
"Kau kenapa?" soal Ean keras.
Qisya geleng kepala. Dia memegang penghadap sofa untuk membantunya berdiri. Namun ada satu tangan yang menekan bahunya untuk kembali duduk.
"Kaki kau tak okey ke?" Ean terus mencangkung. Kaki Qisya di belek. "Kaki kau macam lebam." Jarinya menekan sedikit kaki itu.
"Sikit je tuh. Dahlah pergi beli makanan. Saya nak kemas pakaian awak sekejap." Qisya menarik kakinya dari pegangan Ean.
Ean mendecit sebal lalu dia bingkas bangun. Tubuh Qisya yang masih bersusah payah ingin berdiri, dicempung laju.
"Ark!" Membulat matanya dengan tindakan Ean. Dahlah dia tak bersedia langsung.
"Kalau sakit cakap. Kau fikir aku kejam sangat nak biarkan kau macam ni?" Lekuk di rahang Ean menegang keluar.
Ean menendang pintu biliknya. Lantas tubuh Qisya di bawa ke katil dan diletakkan dengan perlahan. Kaki Qisya diambil dan diletakkan atas pehanya. Jarinya mula mengurut dengan lembut.
"Kau ni macam makin gemuklah."
Lekas-lekas Qisya menjeling tajam ke arah Ean. Dia yang tadinya enak menikmati urutan lembut lelaki itu terus sahaja ingin memberi sebuah tendangan ke muka Ean.
Ean ketawa terbahak-bahak. Selesai, dia meletakkan kembali kaki Qisya di tilam. Lantas tubuhnya berdiri. Baju diperkemaskan. "Aku nak beli makanan sekejap. Kau duduk aje sini tak payah nak kemas. Ingat, jangan keluar bilik selagi aku belum balik."
Qisya melihat pemergian Ean dengan hujung mata. Lantas dia melilaukan mata ke ruangan bilik ini. Tiada gambar sesiapa yang tergantung di bilik ini.
Ting tong! Ting tong!
Dahinya berkerut hairan mendengar loceng berbunyi. Aneh? Siapakah? Ean? Rasanya lelaki itu baru saja keluar. Takkan awal benar beli makanan.
Ting tong! Ting tong!
Nak tak nak Qisya kuatkan diri untuk menapak ke pintu utama. Pergerakannya agak lambat dek kerana kaki yang sakit. Ditambah lagi dengan perutnya yang sedang membawa satu lagi nyawa.
"Ean awak tertinggal kunci—"
"Sayang! Awak pergi—"
Deg. Kata-kata mereka terus terhenti. Qisya kelu ingin bersuara apabila buka saja pintu, raut wajah tunang kepada suaminya terpampang di hadapannya. Mereka sama-sama kelu ingin berbicara.
Mata Shania sedikit terbuntang apabila melihat seorang wanita yang tidak dikenalinya berada di dalam rumah tunangnya. Baru saja dia ingin gembira kerana akhirnya Rayyan pulang ke rumah. Namun, ini yang disajikan setelah menunggu lelaki itu saban hari.
"Who are you?" soalnya sedikit keras. Atas bawah dia melihat penampilan wanita itu. Selekeh tapi tetap sopan menutup aurat. Wajah itu kelihatan pucat. Namun berseri-seri.
"H...ha? S-saya..." Qisya tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya. Dia masih terkejut. Tidak sangka akhirnya mereka bertemu. Dan dia akui, tunang Rayyan sangat cantik. Berkulit putih. Pandai dressup. Terbit rasa cemburu di hatinya. Dibandingkan dengan dirinya yang jelas seperti bibik saja.
"Yes, ada I tanya orang lain ke? You saja yang ada depan I."
"Saya Qisya,"
Terkatup terus bibir Shania dari yang ingin menghamburkan kemarahan. Nama itu, nama isteri Rayyan. Tidak berbaloi rasanya dia ingin marah sedangkan Qisya lebih layak.
"Oh. Rayyan mana?"
"Rayyan keluar beli makanan sekejap. Nanti dia balik. Awak nak jumpa dia ke?"
"Yes, I nak bincang tentang majlis perkahwinan kami. I harap you tak kisah."
Lantaran itu, wajah Qisya memucat. Bibirnya digigit menahan rasa. Lalu senyuman hambar terlorek. Entah kenapa timbul rasa sakit di hatinya mendengar perkataan 'majlis perkahwinan kami'.
"Masuklah dulu." Malas ingin berbalah, Qisya terus mempelawa Shania masuk.
Tanpa berbasa-basi laju saja Shania menapak ke dalam. Beg tangannya diletakkan atas meja ruang tamu. Lantas kakinya mengorak langkah ke dapur.
Qisya sedari tadi hanya berdiri memerhati. Tidak menegah kerana dia perasan gadis itu seperti sudah hafal dengan selok belok di rumah ini. Sedangkan dia isterinya pun langsung tidak tahu menahu fasal kondominium ini.
"I memang dah biasa datang sini so jangan peliklah kenapa I tahu selok belok rumah ni," ujar Shania setelah dia kembali ke ruangan tamu membawa segelas air kosong.
"Oh...selalu ke awak datang ke sini?" tanpa dapat ditahan terpacul soalan itu di bibirnya.
Shania menyilangkan kakinya. Matanya memandang ke arah Qisya. Lalu senyuman diulas. "Selalu juga sebab I bawakan sarapan untuk Rayyan. Kalau I tak bawakan dia sarapan memang sampai ke sudah Rayyan tak makan." Wajah terpasang riak polos. Sengaja.
Qisya angguk beberapa kali. Dia berkira-kira ingin melangkah ke bilim. Namun rasa tidak sopan pula meninggalkan tetamu di luar bersendirian. Tetapi ini bukan tetamunya. Ini tetamu Rayyan.
"S-saya masuk bilik sekejap. Nak bersihkan diri."
"Bilik?"
Terhenti kaki Qisya.
"Apa maksud you bilik? You duduk dekat bilik siapa?" Tanpa sedar, nada yang digunakan keras.
"B-bilik Rayyan..." terkebil-kebil matanya menatap gadis itu.
Shania mendengus marah. Baru saja bibirnya terbuka ingin membidas, bunyi pintu yang terbuka mematikan niatnya.
Kedua mereka menatap ke arah pintu. Qisya meramas perutnya apabila sepasang mata Ean terus tertuntas ke arah Shania. Ean langsung tidak menjelingnya.
"Apa kau buat dekat sini?"
"Sayang I cari you lah—"
"Bukan kau!"
Mati terus ayat Shania. Wajahnya jelas-jelas terpinga-pinga.
"Kau Qisya! Kenapa kau keluar? Ada aku suruh kau keluar?!" Lantas bebola mata Ean beralih menatapnya tajam. Bungkusan di tangan lelaki itu dicampak ke atas meja.
"T-tadi saya buka pintu untuk cik Shania masuk. Takkan nak biarkan aje dia menunggu." Qisya mengundur setapak apabila Ean menghampirinya.
"Kau masuk sekarang! Jangan keluar bilik selagi aku tak bagi arahan! Cepat!" Jari telunjuk Ean di hala ke arah bilik tidur mereka.
Hati Qisya bagai ditusuk sembilu apabila Ean menjerkahnya di hadapan Shania. Malu. Kenapa tidak boleh bercakap baik-baik? Memang barus kena menggunakan nada tinggi?
Ean jengkel melihat Qisya masih jalan terkedek-kedek lantas dia dukung saja tubuh itu tanpa menghiraukan tatapan Shania. Laju dia menapak ke bilik mereka.
"Duduk sini diam-diam!" Matanya menjegil besar sebaik pandangan mereka bertemu seperti memberi amaran.
Bam! Pintu ditutup kuat tanpa sempat Qisya membalas. Bibirnya digigit. Lantas bebola matanya dinaikkan untuk menahan air mata yang ingin keluar. Terasa benar dengan perbuatan lelaki itu. Rasanya elok saja sebelum Ean keluar, masih gelak tawa bersama.
Qisya melekapkan telinga ke pintu. Cuba untuk mendengar isi bualan mereka. Namun hampa. Langsung tidak dengar.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro