HUSA 1 { ADAM }
MASA inilah paling seronok balik ke asrama. Mesti banyak cerita dari mereka. Begitulah apabila budak asrama sudah balik ke asrama. Bercerita saja tidak berhenti. Kadang-kadang, sampai warden naik asrama baru dia orang nak tidur.
"Dah, sampai."
Aku mengintai sedikit melihat asrama aku yang penghuninya baru beberapa ketul manusia. Jam G-SHOCK terlilit di pergelangan tangan dikerling. Oh, patutlah tak ramai lagi. Baru pukul 1:30 petang. Haih... awalnya aku balik. Itu pun sebab aku tidak mahu mengganggu jadual harian abah. Waktu ini, abah perlu bersiap pergi ke pasar malam untuk mencari sesuap nasi.
Tanpa membuang masa, aku keluar dari perut kereta dan aku menghalang abah yang sudah membawa barang aku di anjung asrama. Wajah letihnya jelas kelihatan. Tidak sampai hati aku melihat dia mengangkat barang aku yang berat. Memang selalunya barang aku menjadi banyak apabila aku balik ke sini semula.
Apabila sudah siap membawa barang aku keluar kereta, abah menghulurkan aku beberapa helai duit kertas dan syiling. Wajah aku yang ceria sedikit menjadi kendur apabila melihat abah meletakkan duit syiling dalam genggaman aku.
Dia masih nak cukupkan 20 ringgit sedangkan dia tiada duit ringgit. Ya Allah... tahan saja air mata ini. Jangan buat abah susah hati.
"Belajar elok-elok. Minggu depan abah datang bawa biskut, ya?"
Aku hanya senyum. Sedang berperang dengan perasaan sendiri. Sungguh aku tidak mahu dia nampak aku menangis. Aku takut dia berat hati meninggalkan aku di sini dengan duit syiling. Aku nak dia bahagia.
"Baik abah. Jaga diri."
Dia menghulurkan tangannya laju aku mengucup lama. Sungguh aku akan rindu bau yang ada pada tangan abah ini. Tangan ini yang sudah membelai aku dari kecil hingga sekarang. Tangan ini juga mencari rezeki untuk aku sekeluarga dan membayar segala tunggakan yuran.
Aku peluk tubuhnya pula. Tubuh gempal ini yang banyak berjasa pada orang. Tubuh gempal ini yang sentiasa kuat demi kami sekeluarga.
Pelukan dileraikan.
"Abah balik dulu, ya."
"Okey."
Abah kelihatan tergesa-gesa ingin keluar dari sini. Ya, dia nak cepat untuk menyiapkan barang perniagaannya. Aku menepuk poket jubah warna ungu yang tersarung elok di tubuh. Bunyi lagaan logam di dalam poket itu menghadirkan satu rasa yang membuatkan aku lemah.
Ya, aku memang cepat tersentuh jika sesuatu perkara itu melibatkan Ummi dan abah. Sangat sensitif.
Barang aku yang berlonggok di anjung asrama itu dibelek. Semua cukup nampaknya. Terus aku bawa semuanya naik ke asrama. Lengang... macam tiada tanda mahu balik penghuni asrama ni nampaknya.
"Hai, Kak Hawa."
Aku menoleh ke arah gadis yang menyapa aku tadi. Budak junior. Sesungguhnya, aku memang kurang berinteraksi dengan budak junior sampai dia orang kutuk aku kat belakang. Itu pun kawan aku yang bagitahu, ada yang kata aku garang. Kisah apa aku?
Aku menjuih. Dari layan budak-budak, lebih baik aku kemas barang aku. Lokar panjang aku buka. Baju yang aku bawa dari rumah aku susun cantik-cantik di dalamnya. Aku suka kemas lokar. Paling pantang kalau nampak benda yang tak kena.
Apabila aku sudah puas hati dengan susunan barang, aku mengambil tudung lalu aku sarungkan. Semakin lama, semakin ramai orang pulang ke asrama. Sesekali aku menjenguk juga di tingkap memerhati setiap manusia yang baru saja datang. Jangan kata aku seorang form 5 kat asrama ni.
Di koridor aku menongkat dagu. Memerhati setiap kereta dan kenderaan yang lalu lalang di depan asrama. Sepatutnya, boleh balik waktu maghrib. Tapi abah dan Ummi mesti sibuk. Sebab mereka buka bazar puasa. Tiada siapa yang boleh hantarkan aku nanti.
Tak pernah terlintas dek akal aku nak bernikah waktu tujuh belas tahun. Siapa agaknya 'jejaka misteri' itu? Tak fahamlah.
"Uii, buat apa menung je kat sini?"
Spontan dahi aku berlapis lalu aku menoleh ke sebelah. Manusia di sebelah aku pandang atas bawah.
"Aik, bila kau sampai?"
"Dah lama la."
"Aku tak nampak pun kau dekat dorm kau tadi?"
"Aku nampak kau, kau menonong je. Aku pun panggil banyak kali tak dengar. Berangan pasal ehem ke...?"
Aku menggeleng laju lalu terus membuang pandangan semula ke arah orang yang berpusu-pusu masuk dari pagar asrama. Ya, aku digosipkan dengan seorang senior, Adam namanya. Kenapa pula aku perlu ingat dia? Sedangkan aku ada tunang? Yang misteri.
Keadaan di bawah asrama yang riuh rendah dengan pelbagai cerita budak-budak bercerita tentang perihal masa cuti mereka, aku pandang. Begitulah masing-masing ada ceritanya. Aku? Tiada apa yang aku boleh cerita. Biarlah kekal misteri dan tersimpan.
"Hawa, jom pergi kolah. Ambil wuduk. Waktu zohor kau dah solat ke?"
"Belum, jomlah."
Ain mendahului aku. Perlahan aku menghela nafas berat. Cuti aku penuh dengan perkara yang mengejutkan. Perlahan kaki aku melangkah membuntuti gadis itu. Ain adalah kawan aku sejak tingkatan dua. Ramai yang kata aku dan dia adalah kembar. Sama-sama pendek, sama-sama comel. Cuma dia pakai cermin mata, aku celik lagi.
Sesampainya di kolah, aku memandang tempat di mana tempat aku selalu tukar baju. Bersepah dengan daun. Aku rasa yang kerja bersihkan kolah esok mesti menderita.
"Wa, mana Roszana. Kau nampak dia?"
"Tak."
"Acah je kata nak balik awal."
"Roszana, biasalah."
"Kau bawa makanan tak?"
Aku terdiam. Tidak tahu memberi reaksi apa.
"Hawa, dengar tak?"
"Takda."
"Haa... kebetulan, aku bawa dua polisterin nasi goreng. Nanti bila buka puasa, makan sama-sama tau."
Aku hanya tersenyum kelat lalu mengangguk. Aku dan dia mengambil wuduk untuk solat zohor.
° ° °
Masing-masing mengucap rasa syukur pada Sang Pencipta. Perut yang kian penuh itu ditepuk beberapa kali. Keluhan demi keluhan keluar dari dua ulas bibir aku yang sudah kekenyangan. Ya Allah... terima kasih atas rezeki-Mu.
Suasana mat'aam -tempat makan pelajar itu riuh rendah. Melihat kumpulan talam aku juga bising, aku hanya membiar tunggu ada orang lain yang tegur suruh senyap. Malas mahu ambil tahu.
"Para Puteri! Cepat-cepat pergi surau!"
"Jom weh. Masyitah dah bising."
Terdengar salah seorang dari mereka berkata begitu.
Masyitah sudah menjalankan amanahnya sebagai Badar. Jawatan Badar inilah yang diamanahkan oleh Mualimah pada Masyitah dan beberapa orang lagi rakannya untuk menjaga solat pelajar 'Para Puteri' (perempuan) dalam asrama ini.
Tidak membuang masa, aku dan kumpulan talam aku mula mengatur ke arah asrama dan ganti tudung lalu memakai telekung. Sesampainya di surau, aku mengambil wuduk sebelum mencari tempat untuk solat fardu maghrib.
Tidak lama kemudian, bilal mula iqamah dan bersedia untuk solat. Begitulah rutinnya ketika di asrama. Sentiasa berjemaah. Sentiasa bersepadu.
Senggang antara maghrib dan isya', adalah waktu tazkirah. Masa inilah mata masing-masing tidak boleh dijaga. Yang depan pandang belakang, yang belakang pandang depan. Yang belakang mestilah pandang depan, tapi fokusnya pada lain.
Nak tahu sesuatu? Setiap kali masuk surau, mereka mesti duduk di tempat yang sama. Orang kata, 'port' untuk kumpulan dia orang saja. Budak asrama ni, walaupun tidur sebilik, tapi ada juga yang berpuak. Orang kata, asabiah.
Setiap tingkatan, mesti ada yang berpuak.
Ada juga kumpulan 'kecoh'. Tak dinafikan memang pun dia orang ni kecoh. Tadi petang pun dia orang paling kecoh bila jumpa kawan.
Balik saja dari solat isya', seperti biasanya, aku akan balik bersama kumpulan aku. Sambil-sambil itu, kami bersembang berkenaan hal yang kami jalankan semasa di rumah.
"Hawa, Hawa. Nak moreh."
"Kau orang nak makan ke?"
"Aku kenyanglah. Kau tak kenyang ke, Ros?"
"Aku lapar... lapar..."
Roszana merengek persis anak kecil. Aku hanya mengeluh lalu aku menarik tangan Alia walaupun aku tahu dia tidak mahu makan moreh. Alia ni jenisnya pasrah saja kalau orang dah paksa. Senang bertolak ansur. Jadinya, aku, Alia dan Roszana saja yang makan. Yang lain naik ke asrama. Pergi saja kami ke dewan makan, kami mengambil satu talam dan makan bertiga. Sesudah itu, kami balik ke asrama dan tidur.
AKU tersedar apabila jam tangan yang aku selalu pakai berbunyi menandakan sudah sampai masa untuk bangun. Aku set jam setiap kali aku tidur. Aku pula jenis senang bangun. Jam tangan aku capai lalu menekan button 'light' di tepi jam. Sudah menunjukkan pukul 3 pagi. Tanpa berlengah, aku bangun dari baringan dan menyiapkan pakaian untuk turun.
Sempat aku pergi ke semua bilik dan mengejutkan ahli talam aku untuk bangun. Ya la, nanti terlambat nak sahur nanti. Selepas mengejutkan mereka, aku terus turun mandi.
Terdengar bunyi loceng di dewan makan membuatkan aku cepat-cepat menyarungkan pakaian. Bunyi loceng itu bermakna, dah boleh ambil talam untuk sahur. Nak tahu sesuatu? Aku turun pukul 3 tadi, siap mandi apa semua setengah jam.
Betapa lamanya aku mandi.
Aku baru perasan, setiap hidung-hidung aku perhatikan. Sah ahli talam aku hanya Alia dan Ain saja yang turun. Nabihah dan Roszana belum turun. Nak aku hogah guanne depa dua ni?
Beberapa minit lepas tu, baru aku nampak batang hidung dua orang tu turun. Jam yang berada di pergelangan menjadi tatapan aku tatkala itu. Mata aku juga tidak habis menyapu serata jam itu semata-mata ingin melihat waktu mereka berdua turun.
Haih...
Sudah pukul empat pagi, sedangkan aku kejut suruh bangun pukul tiga setengah pagi tadi supaya satu talam boleh menikmati sahur bersama. Takdalah kena tunggu orang lagi.
Aku merapati Roszana dan Nabihah.
"Kenapa tak bangun masa aku suruh kau orang bangun?"
"Aku tengok orang sebelah tidur. Best je."
Agak meradang juga mendengar alasan Roszana tadi. Orang sebelah dia tu memang jenis bangun lambat. Hah eloklah dua kali lima je. Senior ikut perangai junior yang pemalas.
"Kau marah ke Hawa? Sorry la."
"Kak Hawa!"
Aku menoleh ke arah junior yang berlari mendapatkan aku. Dia termengah-mengah lalu tangannya ke awang-awangan seperti menunjukkan sesuatu.
"Tu, Senior Adam panggil."
Mendengar sebaris nama itu, spontan dua mata aku bergolek ke kiri. Roszana dan Nabihah sudah masuk ke kolah untuk mandi.
"Apalah orang tua ni nak subuh-subuh ni?"
Sejujurnya aku tidak suka bersemuka dengan lelaki itu. Dia adalah seorang ketua pelajar di block KINGDORM sana. Dorm para pelajar lelaki. Dia juga bertanggungjawab untuk memastikan QueenDorm juga. Block QUEENDORM untuk pelajar perempuan.
Peranan seorang King dan Queen Dorm sangatlah berat. Dua orang perlu mentadbir pelajar yang hampir 100 orang murid itu? Berat sekali amanah ini Ya Allah. Banyak kali juga aku menangis mengenangkan diri aku yang gagal mentadbir keduanya.
Stoking aku sarung lalu membelek semula wajah di cermin.
Apabila sudah elok, aku terus berlari anak mendapatkan si orang tua yang kuat membebel itu. Aku panggil dia orang tua kerana umurnya yang selang tujuh tahun dengan aku dan dia juga banyak bebel kalah mak cik bawang sebelah rumah aku.
Dia pelajar lelaki yang return untuk mengambil SPM. Sebelum ini dia tidak ambil, tetapi dia masuk ke sekolah yang sepenuhnya menghafaz Al-Quran. Para hufaz di sana juga ada yang ke sini kerana ingin menyambung belajar untuk SPM. Umur dia tujuh tahun lebih tua dari aku. Umur aku tujuh belas, umur dia dua puluh lima tahun.
Sesampainya aku di hadapan dia yang sedang menyimpul tangan ke dada dan wajah ketat itu menunjukkan yang dia masih marah pada aku kerana tidak dapat membawa pelajar perempuan ke mata'am untuk sahur.
"Mana perginya pelajar puteri, ketua puteri? Kenapa tak turun lagi ke mata'am (dewan makan)?"
Senyap seketika. Terdengar keluhan panjangnya membuatkan aku menunduk. Malunya aku!
"Anti boleh ke handle ni? Ke nak ana yang handle Queen Dorm? Hmm?"
"Tak perlu. Ana sendiri akan handle mereka. Anta jangan masuk campur."
Pandangannya tajam memanah ke dalam mataku.
"Itu kurang sopan, ketua puteriku. Queen Dorm juga salah satu amanah ana. Tak kan ana hanya duduk diam saja memerhati kegagalan anti untuk handle Queen Dorm?"
Apabila perkataan 'kegagalan' itu ditekan, tahulah aku bahawa sang Adam itu sedang menyindir diri aku. Kali ini aku terdiam. Sindirannya berbekas di hati aku. Bagai paku, diketuk kemudian meninggalkan tanda yang tiada penghujungnya.
Jam yang terlilit di pergelangan tangan itu ditiliknya.
"Hampir lima setengah. Masih lagi hanya seketul dua manusia yang masuk, ketua puteriku. Beginikah yang anti kata anti boleh handle?"
"Tolong jangan pandang rendah pada ana."
Suara aku perlahan, tapi mampu menyentakkan dia.
Kepala Adam terangguk-angguk macam belatuk. Sempat senyuman sinisnya dihadiahkan kepada aku. Tangannya seperti mengalu-alukan aku untuk beredar dari situ. Aku sedikit kecil hati. Lelaki itu memandang rendah pada aku. Dengan rasa amarahnya, aku pergi meninggalkan Adam.
Sesampainya di asrama, aku melihat setiap dorm. Bagai mahu menitis air mata aku apabila masih ada yang tidur diulit mimpi. Dada aku dihunjam beban yang amat berat seperti bata.
Mengingatkan kata-kata sinis lelaki tadi membuatkan aku menggenggam jubah yang tersarung pada tubuh aku.
"Para Puteri! Dengan kiraan lima kau orang tak bangun, siap kau orang bila aku sampai kat sana! Yang dah siap pergi ke mata'am untuk makan! Jangan tunggu-tunggu lagi! Sekarang dah pukul berapa? Buat malu je lah!"
Suara aku lantang. Dari tadi aku menahan diri. Lantai Dorm yang sedikit usang kerana menggunakan kayu menghasilkan satu bunyi yang dapat aku tangkap, mereka sedang berlarian mengejar masa yang sudah bertempiaran lari.
"Satu!"
"Dua!"
Mereka aku nampak ada yang belum mandi, tetapi sudah ke mata'am, ada juga yang turun untuk mandi.
"Tiga!"
"Empat!"
"Lima!"
"Tengok kawan-kawan talam kau orang tu. Dah bangun belum sebelum saya panggil Senior Adam untuk handle kau orang."
Aku mula pantau melihat bilik mereka. Alhamdulillah, kosong. Sengaja aku ugut mereka kerana mereka hormat Adam. Tapi agak kecewa kerana mereka tidak menghormati aku. Beberapa keluhan terlepas akhirnya. Kemudian, aku memanggil ahli talam untuk makan sahur.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro