Bab 9
ADRI berbaring di dalam bilik yang dikongsi dengan seorang pesakit lain. Lelaki itu tidak mempedulikan kehadiran Adri. Dia asyik membaca komik kanak-kanak. Sesekali dia membaca dengan nada kuat, dialog di dalam komik itu. Dia membuat mimik muka dan suara mengikut watak-watak karton dalam komik berkenaan.
Adri menjeling ke arahnya dan nampak dia sedang membaca komik Sin Chan. Dia meniru suara Sin Chan dan ibu Sin Chan yang kelakar itu. Adri seperti ingin tergelak, tetapi dia bimbang lelaki itu akan marah atau tersinggung. Dia membaca dengan lebih kuat dan suaranya yang kelakar tatkala mengajuk suara Sin Chan benar-benar menjadi. Akhirnya Adri tergelak jua.
"Lucu?" Dia bertanya kepada Adri.
Adri mengangguk. "Sangat lucu."
"Aku akan membacakan komik ini bila anakku datang melawat nanti."
Adri mengangguk saja.
"Kita belum berkenalan. Nama aku Saleh. Kau?"
"Adri."
"Kenapa kau masuk ke sini?"
"Aku masuk ke sini, semata-mata kerana Lara."
"Lara? Siapa Lara?"
"Hmm... Siapa Lara?" ulang Adri. Dia sendiri tidak pasti.
Adri berfikir sejenak. Kenapa dia sukar hendak memberitahu status Lara di sisinya? Lara bukan kekasihnya pun. Hanya seorang perempuan yang disukai dan digilainya. Itu sahaja. Dari sisi Lara, dia tidak tahu sama ada gadis itu merasakan perasaan yang sama ataupun tidak.
"Lara berada di wad sebelah. Bahagian pesakit perempuan."
"Kau masuk ke sini semata-mata kerana nak jumpa dia? Aku faham. Kau dilamun cinta, kan?" teka Saleh.
Adri mengangguk.
"Ya, aku dilamun cinta..." Adri bercakap perlahan pada dirinya sendiri. Dia seolah-olah baru tersedar bahawa dia sudah lama jatuh cinta pada Lara.
Saleh menyambung membaca komik dengan suara yang kuat. Adri mengambil keputusan untuk keluar dari bilik itu. Dia ingin mencari Lara di bangunan sebelah. Pun begitu dia tahu pesakit tidak dibenarkan bebas merayau-rayau. Dia masuk ke bilik persalinan dan mencari baju yang dipakai oleh petugas. Dia menemui uniform petugas, berwarna putih. Dia menanggal baju dan seluarnya, kemudian memakai uniform tersebut. Muka ditutupi dengan pelitup muka. Kemudian dia berjalan santai menghala ke bangunan sebelah.
Dengan mudah dia masuk dan meninjau dari bilik ke bilik. Lara tidak kelihatan di mana-mana. Di papan putih, Adri meneliti kegiatan setiap pesakit. Dia lihat nama Lara dan aktiviti yang dilakukannya sepanjang hari itu. Adri tersenyum sendiri, lalu terus memanjat tangga untuk naik ke tingkat atas. Dia terus mencari pintu yang tertulis dengan perkataan studio lukisan.
Adri melangkah masuk. Di dalam studio sederhana besar itu dia lihat banyak stand lukisan yang berdiri tegak, berserta kertas lukisan yang kosong. Hanya beberapa orang sahaja yang duduk di kerusi untuk melukis. Di hadapan kelas, tidak kelihatan tenaga pengajar yang bertugas. Namun di atas meja terdapat fail dan beg tangan seseorang. Mungkin petugas itu keluar sebentar.
Adri bergerak pantas mencari Lara. Mudah sahaja dia nampak Lara sedang tekun melukis. Rambut Lara nampak kemas bersikat. Rambutnya juga sudah kelihatan lebih panjang dari saat pertama kali mereka berjumpa.
"Hai!" tegur Adri perlahan sambil mencuit sedikit bahu Lara.
Lara terkejut, lalu segera menoleh. Wajahnya yang terdedah tanpa mengenakan pelitup muka kelihatan bingung. Dahinya berkerut.
"Ada apa?" tanya Lara.
"Saya Adri. Saya nak jumpa awak."
"Saya tak kenal awak," jawab Lara dengan dahi yang masih berkerut.
Adri menanggal pelitup mukanya. Dia tersenyum mesra sambil membetulkan rambut yang dirasakannya kurang kemas. Lara memandang seluruh wajah Adri dengan mata tidak berkelip. Kemudian dia memandang kembali ke arah lukisannya yang sudah hampir siap.
"Saya tak kenal awak," ulang Lara sambil terus melukis. Pura-pura sahaja. Dia tidak tahu bagaimana Adri boleh masuk ke situ.
"Gambar siapa yang awak lukis ni?" tanya Adri sambil meneliti potret wajah lelaki yang dilukis Lara.
Lara melukis wajah Adri, yang mengenakan T-shirt putih dan seluar hitam, dengan rambut yang masih basah. Kelihatan lelehan air mengalir lembut di dahi. Jelas kelihatan garisan-garisan halus penuh seni yang berjaya dilukis oleh Lara. Lara memang berbakat dalam bidang lukisan. Tiada siapa pun yang dapat menafikannya.
"Ini kan gambar saya? Satu petang, awak datang ke rumah saya. Saya baru lepas mandi, pakai baju T-shirt dan seluar hitam. Awak ingat tak?"
Lara menggeleng.
"Ni bukan gambar awak. Ni gambar Song Joong Ki."
"Tak, ni gambar saya. Awak lukis gambar saya, tandanya wajah saya ada dalam memori awak."
Lara menggeleng. "Bukan awak. Boleh tak awak pergi saja?"
"Saya sukakan awak. Saya tak akan pergi."
"Tempat ni bukan untuk awak. Macam mana awak boleh berada di sini?"
"Saya berusaha sendiri. Merata-rata saya cari awak. Akhirnya saya jumpa juga awak di sini."
"Awak dapat kerja di sini ke, Adri?" tanya Lara ingin tahu.
Adri tersenyum. "Tak, saya menyamar pakai pakaian petugas di sini. Saya datang ke sini sebagai pesakit."
Lara menggeleng. "Lebih baik awak hentikan semua ini. Pergi dari sini, Adri sebelum terlambat. Nanti awak langsung tak dapat keluar dari sini. Awak nak ke terkurung di sini bersama-sama dengan orang gila?"
"Saya cintakan awak. Saya harap tak terlambat luahkan perasaan saya pada awak."
Lara diam sahaja. Dia terus melukis, seolah-olah Adri tiada di situ.
Tenaga pengajar masuk ke studio, lalu Adri terus memakai pelitup muka semula. Dia pura-pura memeriksa keadaan di dalam studio, kemudian berpusing mendekati Lara.
Dia sempat berbisik ke arah Lara, "Nanti kita jumpa. Saya akan datang lagi."
"Pergilah! Saya tak nak jumpa awak."
Adri terus keluar dari studio sebelum tenaga pengajar itu perasan dia bercakap dengan Lara. Namun Adri puas hati kerana Lara masih ingat dan mengenalinya. Apa yang lebih menggembirakan Adri, Lara melukis potretnya walaupun gadis itu cuba menafikan. Tidak mungkin itu adalah tindakan bawah sedar Lara, melainkan wajah Adri benar-benar melekat dalam memorinya.
Cerita tentang kehadiran Adri, seorang pesakit kacak dan muda di pusat itu menjadi bualan para jururawat yang bertugas di situ. Mereka seperti tidak percaya seorang pemuda yang kacak seperti Adri mengalami masalah mental.
"Dia tidak nampak seperti sakit," kata Cik Rozita.
Mieza memasang telinga ketika wanita itu berbual-bual dengan rakan sejawatannya, Cik Hasnah di bilik rehat. Sambil mengawasi para pesakit yang melakukan aktiviti bebas, Cik Rozita mengambil kesempatan untuk bergosip.
"Tapi kata Doktor Imran, dia mungkin pura-pura saja untuk kelihatan normal walau sebenarnya dia ada masalah. Lagipun yang rekomen dia masuk ke sini adalah doktor dari hospital kerajaan. Doktor tu kawan lama Doktor Imran," kata Cik Rozita.
"Betul-betul handsome ke?"
"Ya, pagi tadi Laila ditugaskan di wad sebelah. Dia tunjuk video yang dia rakam masa beri pesakit tu makan ubat."
"Oh..." Cik Hasnah angkat kening.
"Dia makan tak ubatnya itu atau dia membantah?"
"Makan dengan tertib. Laila kata muka familiar sangat macam muka orang terkenal. Mungkin anak orang kaya."
"Hmm... Moga aku ditugaskan di sana esok," kata Cik Hasnah sambil gelak-gelak. "Ramai juga misi yang cerita pasal dia. Baik sangat macam tak sakit langsung."
Mieza berlalu pergi selepas Cik Hasnah dan Cik Rozita bercerita hal lain. Dia terus mendekati Lara yang sedang duduk berlunjur di atas katil. Lara sedang asyik melayari Google melalui telefon bimbitnya untuk melihat gambar pemandangan yang cantik. Boleh dijadikan ilham untuk melukis nanti. Aktiviti melukis lima hari seminggu, Isnin hingga Jumaat manakala Sabtu dan Ahad akan diadakan kelas fardu ain.
Lara menghubungi Aidit, meminta adiknya memasukkan kredit dan data Internet ke dalam telefon bimbitnya. Cik Rozita membenarkan dia menggunakan telefon bimbit dari jam 4.00 petang hingga 10.00 malam. Kelonggaran itu bergantung pada prestasi kesihatan mentalnya yang semakin baik.
Hilang sedikit rasa bosan di hati Lara. Dia dapat melayari Facebook. Walaupun dia tidak ramai kawan tetapi dia suka membaca pelbagai berita dan menonton YouTube. Sejak berada di sini, banyak perkara dia ketinggalan.
"Kau nak dengar cerita tak?" tanya Mieza sambil duduk bertenggek di tubir katil Lara.
"Cerita apa?"
"Pasal pesakit lelaki handsome kat bangunan sebelah."
"Siapa?"
"Tak tahu nama dia tapi semua misi panggil dia Song Joong Ki. Ramai yang suka dia dan tak percaya dia sakit."
"Adri." Suara Lara menggumam perlahan.
"Jom kita curi-curi pergi jumpa dia nak?" saran Mieza.
"Merepeklah."
"Mieza, kau kena ingat apa yang doktor cakap. Kalau kau nak keluar dari sini, kau mesti pastikan buat perangai elok-elok. Makan ubat ikut waktu. Ikut sahaja apa yang diarahkan. Jangan kerap sangat curi-curi keluar waktu malam. Mereka kan ada CCTV? Mereka tahu apa yang kita buat."
"Alah, aku pandai mengelak. Aku tahu lorong mana boleh masuk dan tidak boleh masuk. Bukan semua tempat boleh nampak melalui CCTV. Kau tahu tak, misi-misi kat sini pun ada yang curi tulang. Merokok, main telefon waktu kerja..."
"Biarlah mereka buat, janji kita tak buat. Kau nak jumpa dengan anak-anak kau, kan? Kau rindu kat diorang kan? Kalau kau buat perangai, nanti mereka kurung kau lebih lama. Lagipun dah setahun kau kat sini. Kau nak berada di sini berapa lama lagi?" kata Lara.
Dia tahu serba sedikit tentang diri Mieza. Wanita itu mengalami tekanan perasaan yang teruk selepas didera suaminya sendiri. Lama dia tidak ingat apa-apa. Hidup dalam dunia yang tersendiri sebelum dia mendapat rawatan di sini. Setiap kali anak-anaknya datang, dia terpaksa menipu mereka dengan menyatakan dia bekerja di pusat ini. Mieza tidak mahu anak-anaknya sedih apabila mengetahui keadaan mental yang belum betul-betul stabil.
Walaupun masih muda, umur dalam lingkungan 25 tahun, tetapi Mieza dipaksa bernikah oleh keluarganya. Keluarga Mieza berharap dengan mengahwinkannya dengan orang berharta, dapat mengeluarkan mereka dari lubuk kemiskinan. Namun apa yang terjadi, Mieza bertambah susah.
Dia hanya belajar hingga tingkatan tiga. Apabila dia dijodohkan dengan keluarga orang berharta di kampungnya, dia dijadikan seperti hamba, dihina dan dicerca. Sejak berkahwin, suami yang tidak mencintainya, mendera mental dan fizikalnya siang malam. Ibu mentua dan ipar duainya turut melakukan hal yang sama.
Ditambah dengan bebanan melahirkan dan menjaga anaknya, mental Mieza semakin goyah. Dia tidak tertanggung lagi segala beban fikiran yang penuh kecelaruan. Setelah setahun berada di situ, Mieza semakin pulih. Dan dia sudah bebas dari cengkaman suaminya. Dia diceraikan lalu anak-anaknya ditinggalkan bersama keluarga Mieza yang hidup melarat.
Mieza berazam untuk kembali ke dalam masyarakat, memiliki pekerjaan bagi menyara dua orang anaknya. Lara juga menyimpan hasrat yang sama ingin kembali ke dalam masyarakat dan mencipta kejayaan dalam bidang yang disukainya. Walaupun sekarang perjalanan yang bakal dilaluinya masih samar-samar, namun dia pasti di sebalik kabus pasti ada sinar mentari.
"Siap! Siap! Kuliah maghrib dan ceramah sebentar lagi." Cik Rozita menjenguk dan mengingatkan kedua-dua pesakit di bawah seliaannya.
"Cik Ita, nak tanya sikit, boleh?"
"Tanyalah, Mieza."
"Betul ke ada pesakit handsome baru masuk ke wad lelaki di sebelah?"
"Awak ni cepat betul dengar cerita. Ya, memang betul. Kenapa?"
"Siapa nama dia, Cik Ita?"
"Dah! Dah! Cepat, siap. Setengah jam lagi awak berdua dah ada di surau. Malam ni ada ustazah datang bagi ceramah. Jangan mengelat," kata Cik Rozita enggan melayani Mieza lagi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro