Bab 8
"DOKTOR, ada pesakit baru masuk. Ni surat dan maklumat peribadinya," kata Cik Rozita sambil meletakkan fail warna biru di atas meja Dr. Imran.
"Di mana pesakit sekarang?"
"Ada kat luar dengan kawannya. Katanya, dia tak ada pewaris. Sebatang kara."
"Panggil dia masuk."
Jururawat memanggil Adri masuk dengan ditemani Khairul.
Dr. Imran membuka fail dan mendapati hanya dua keping kertas yang mengandungi maklumat peribadi Adri. Di dalam laporan itu, dinyatakan Adri mengalami depresi kerana kehilangan kedua-dua orang tuanya, kemudian hilang pekerjaan. Dia sudah menjalani rawatan selama tiga bulan di bawah seliaan Dr. Zarina.
Adri hidup dengan sokongan dan bantuan daripada kawan-kawannya sahaja... kononnyalah. Itu semua hanya rekaan untuk melayakkan Adri masuk ke pusat rawatan itu. Beberapa rawatan lain seperti hasil ujian tekanan darah, ritma biologi dipalsukan.
Dr. Imran membelek surat itu dan dia dapat melihat tandatangan Dr. Zarina.
"Oh, pesakit Zarina..." Dia bercakap sendiri sambil mencapai gagang telefon.
Adri hanya buat-buat bodoh, memerhati sekeliling bilik doktor muda itu. Dia mengagak doktor itu hampir sebaya dengan usianya sendiri. Masih muda dan kacak. Adri merasakan lelaki itu bertuah sekali, dalam usia muda sudah menjadi ketua pengarah kepada sebuah pusat rawatan mental yang terkenal. Memang memeranjatkan rupa-rupanya dia kawan Dr. Zarina.
Bukan mudah juga untuk meyakinkan Dr. Zarina dengan rancangan mereka. Akhirnya Dr. Zarina kasihan dengan alasan yang diberikan Khairul.
"You tahu, kerjaya I boleh terancam kerana buat perkara ni. Sebenarnya menyalahi etika, sebab kawan you ni bukannya betul-betul alami masalah jiwa."
"Alah... dia ni kalau tak jumpa dengan perempuan tu akan jadi gila lah sikit hari lagi," ujar Khairul.
"Apa-apa risiko kemudian hari awak kena tanggung sendiri." Dr. Zarina memandang tepat ke wajah Adri.
"Saya tak nak dipersalahkan nanti, kalau apa-apa terjadi pada awak."
"Kenapa saya nak salahkan doktor pulak? Saya patut berterima kasih kerana dapat jumpa dengan si dia," balas Adri.
"Ya, Ina. Takkanlah kami nak salahkan you," sampuk Khairul.
"Khairul... Khairul... kalaulah bukan disebabkan kita pernah berkawan dulu..."
"Cop! Cop! Kita bukan sekadar berkawan, kita bercinta dulu."
Dr. Zarina tercebik. "Cinta palsu. You tinggalkan I. I bernasib baik jumpa dengan suami I sekarang. Tiga bulan aje I single, lepas tu dapat kekasih baru."
Dia mengusap perutnya yang membonjol. Kini dia sedang mengandung anak ketiga.
"You dah kahwin?"
"Belum," jawab Khairul.
"Kira mujurlah kita putus dulu. Kalau tak, mungkin you masih terus single, tak merasa jadi ibu lagi. Sekarang you dah bahagia, kan?"
"Ya, I bahagia. Ada kerjaya, ada suami yang penyayang dan anak-anak."
"Okeylah, I tolong buatkan surat rekomen untuk kawan you masuk ke pusat tu. Tapi you kena ingat, nak keluar dari situ atas usaha you sendiri. Jangan nak minta tolong I lagi. I takkan tolong dah! I tak nak terlibat lagi dah." Dr. Zarina seakan-akan memberi amaran.
Sebaik memutuskan talian setelah bercakap dengan Dr. Zarina, Dr. Imaran menghadap Adri dengan senyuman.
"Jadi, dah tiga bulan dia mendapat rawatan di bawah seliaan Doktor Zarina dan dia masih gagal dipulihkan?"
"Ya," jawab Khairul bagi pihak Adri.
"Doktor Zarina tu dah sebaik-baik doktor pakar psikologi yang saya kenal," ujar Dr. Imran.
"Saya akan cuba tangani masalah dia. Dengan pelbagai kaedah yang saya percaya boleh menyembuhkan pesakit. Kita akan menjalankan beberapa ujian nanti untuk menguji tahap kecelaruan mentalnya."
"Ujian guna apa tu, doktor?" tanya Khairul.
"Di sini kami memiliki pelbagai alatan canggih, setanding dengan pusat rawatan mental di luar negara."
"Okey... buatlah apa saja, doktor. Janji kawan saya ni sihat."
"Untuk peringkat awal, kita akan bagi dia ubat selepas membuat pemantauan. Ada CCTV yang beroperasi 24 jam."
"Pernah terjadi tak pesakit berjaya melarikan diri?"
"Kalau melihat pada rekod yang ada, belum pernah terjadi lagi. Moga hal itu tidak akan pernah terjadi. Saya pun baru ditugaskan di sini."
Dr. Imran tidak banyak soal, apabila surat rekomen itu datangnya dari Dr. Zarina, dia menerima Adri sebagai pesakit. Dia akan melakukan kajian dan pemeriksaan lebih mendalam kemudian.
Adri ditempatkan di wad lelaki, yang terletak di bangunan bersebelahan dengan pejabat pentadbiran. Pusat itu terdiri daripada tiga blok bangunan. Ada asrama lelaki dan wanita, kafeteria dan surau. Khairul meninggalkan Adri di pusat rawatan itu. Dia kembali ke pusat bandar dengan memandu kereta Adri.
"Adri dah masuk ke pusat rawatan tu," kata Khairul kepada Helmi.
"Berapa lama dia akan masuk ke situ."
"Terpulang pada penilaian doktor pakar di sana. Masaklah Adri. Dia tak akan dapat keluar melainkan dengan izin doktor yang merawatnya. Kesihatan mentalnya akan dinilai. Tempat tu pulak sentiasa dipantau dengan CCTV." Helmi geleng kepala beberapa kali. "Jadi, macam mana dia nak keluar nanti?"
Khairul angkat bahu. "Dia boleh cuba melarikan diri. Tu pun kalau berjayalah."
"Kalau Datuk Idris tanya ke mana Adri menghilang, apa yang harus dijawab?"
"Jawablah apa-apa ajelah yang boleh meyakinkan dia. Kalau susah sangat cakap saja tak tahu," Balas Khairul, dengan mudah membuat keputusan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro