Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"LARA, apa khabar kau nak?" tegur Encik Musa.

Lara melihat ayahnya datang dengan senyuman lalu menghulurkan tangannya kepada lelaki itu untuk bersalaman.

"Lara semakin baik, ayah," jawabnya. "Ayah datang seorang? Mana mak?" Kepalanya terjenguk-jenguk kelibat Cik Biah.

"Mak ada di sini, sayang," jawab Cik Biah yang baru muncul dari sebalik pintu yang tertutup.

Lara memandang emaknya dengan air mata berlinangan. Dia bangun lalu memeluk emaknya dengan erat.

"Lara rindu sangat dengan mak. Mak tak apa-apa?"

"Mak sihat."

Lara memerah ingatan. Samar-samar dia cuba mengingat kejadian pada malam itu. Dia menaiki motosikal budak Foodpanda dan melarikan diri apabila dikejar polis. Dia memecut laju dan motosikal yang ditunggangnya meluru laju ke arah Cik Biah.

"Mak, Lara minta maaf. Malam tu, Lara langgar emak? Mak tak apa-apa?"

"Mak sempat mengelak, Lara. Kau tak langgar emak pun. Mak terjatuh di atas jalan. Sebaliknya, kau yang terbabas lalu melanggar pokok bunga kertas depan rumah jiran kita."

"Oh..." sahut Lara dengan mengeluh. Dia benar-benar tidak ingat. Bagaimana pula dia boleh berada di sini? "Lepas tu apa yang terjadi?"

"Kau pengsan. Kami hantar kau ke hospital."

"Mak, ceritalah. Macam mana Lara boleh ada di sini? Bila Lara boleh keluar dari sini? Lara nak balik, mak... ayah," kata Lara dengan wajah sedih. Berlinangan air matanya sambil memandang kedua-dua ibu bapanya.

"Nanti ayah bincang dengan doktor. Kalau Lara dah pulih, Lara akan dibenarkan ikut kami balik."

"Hari ni?"

"Mungkin juga. Ayah pun tak tahu. Biar ayah pergi jumpa doktor dulu. Lara berbual-buallah dengan mak. Ayah pergi jumpa doktor sekejap." Encik Musa bangun, meninggalkan bilik rehat itu.

Tinggal Lara bersama Cik Biah yang duduk saling berhadapan. Waktu melawat baru bermula. Bilik rehat itu mulai penuh dengan para pelawat yang datang untuk menemui pesakit mental yang dirawat di pusat rawatan itu. Kelihatan mereka semua memakai pelitup muka, yang menyembunyikan bahagian hidung dan mulut. Hanya terpamer dua biji mata sahaja.

Cik Biah juga memakai pelitup muka. Namun begitu Lara bebas daripada mengenakan apa-apa. Lara rasa lemas memakai pelitup muka itu. Dia rasa seperti hendak mengamuk dan marah setiap kali jururawat cuba mengenakan pelitup ke mukanya.

"Lara, awak jangan mengamuk begini. Awak nak keluar dari sini ataupun terus duduk di sini hingga tahun berganti tahun?"

Lara akan tenang semula apabila jururawat seakan-akan menggertaknya begitu. Dia terpaksa patuh pada SOP (Standard Operating Procedure).

"Macam mana Aidit, mak? Dia mesti happy sebab Lara tak ada di rumah, kan? Tak ada geng untuk diajak bergaduh."

"Dia sibuk kerja. Selalu dia kerja lebih masa, balik dah tengah malam," beritahu Cik Biah.

"Dia tak pernah sebut pasal Lara?"

Cik Biah menggeleng. "Biasanya dia balik, emak dan ayah dah tidur. Kami tak sempat pun berborak. Pagi-pagi pula Aidit dah pergi kerja."

"Walaupun sekarang PKP, Aidit tetap bekerja macam biasa ya, mak?"

Cik Biah mengangguk.

"Lara rindu nak balik rumah. Lara rindukan bilik Lara. Dah lama rasanya tak buka laptop dan main handphone."

"Handphone kau Aidit pegang. Emak tak tahu kenapa dia nak pegang handphone kau tu."

"Nanti mak bawalah handphone tu ke sini. Lara rindu nak dengar lagu dalam handphone Lara tu," kata Lara lembut, memujuk. Dia teringat lagu-lagu Sam Smith yang menjadi kegemarannya.

"Pesakit di sini tak dibenarkan guna handphone, Lara," ujar Cik Biah dengan suara lirih.

"Mak! Lara bukan pesakit. Tengok Lara dah sihat!" Lara mendepangkan tangannya.

Cik Biah nampak ada kesan-kesan lebam di pergelangan tangan Lara. Dia yakin, itu kesan lebam akibat diikat di tiang katil. Pasti Lara banyak memberontak. Fikiran Lara belum tenang sepenuhnya.

Dia kasihan melihat keadaan Lara yang kehilangan semangat dan kekuatan diri. Wajahnya menceritakan segala penderitaan yang dialami. Mata Lara kosong, seperti manusia yang hidup dalam dunia khayalan.

Memang anaknya itu kebosanan dikurung di situ dan terpaksa melalui pelbagai rawatan. Namun Cik Biah berharap Lara akan kembali sembuh seperti sedia kala. Dia ingin melihat Lara hidup normal dan bahagia seperti orang lain. Dia ingin melihat keceriaan yang terbit dari mata Lara, sinarnya penuh ceria umpama matahari pagi. Lembut dan hangat.

Anak perempuannya menderita penyakit Bipolar Disorder. Doktor ada menerangkan kepadanya tentang ciri-ciri penyakit yang dialami Lara. Cik Biah sedar, penyakit Lara diwarisi daripada neneknya.

"Boleh ke anak saya sembuh, doktor? Emak saya dulu tidak sembuh. Dia meninggal dalam keadaannya sangat menyedihkan," kata Cik Biah mulai teresak.

"Puan bertenanglah. Kaedah rawatan sekarang sangat moden dan advance. Pasti dia akan sembuh asalkan mengambil ubat-ubatan yang betul."

Cik Biah merenung wajah Lara. Gadis itu terus terdiam apabila kehendaknya tidak tertunai. Dia menunduk sambil bermain dengan kukunya sendiri. Kemudian dia menggigit kukunya satu per satu. Sisa kuku itu dibuangnya dengan menggunakan mulut. Tanpa sedar, Lara mulai menggigit jarinya sendiri hingga berdarah.

"Ya Allah... Lara! Kenapa ni? Berdarah dah jari kau ni!" Cik Biah cemas. "Misi! Misi tolong tengok anak saya ni! Jari dia berdarah ni..."

"Kenapa, puan?" tanya jururawat bertugas yang bergegas datang.

"Dia gigit jari dia sendiri. Mula-mula tu dia gigit kuku..."

"Lara, jangan begini ya. Kan tadi dah janji nak buat baik? Kalau buat perangai nanti langsung tak boleh jumpa keluarga." Jururawat memimpin Lara keluar dari bilik rehat.

Cik Biah memerhati sahaja. Wajah wanita itu sedih melihat keadaan anaknya. Tiada tanda-tanda Lara akan pulih dalam waktu terdekat.

Encik Musa masuk ke ruang itu. Dia baru selesai bercakap dengan Dr. Aminah yang merawat Lara.

"Lara dah dibawa masuk ke biliknya?" tanya Encik Musa dengan dahi berkerut.

"Ya, bang. Tadi dia gigit kuku, lepas tu gigit jarinya sampai berdarah."

"Kenapa?"

"Dia minta saya bawa handphonenya, tapi tulah kat sini pesakit tak dibenarkan guna handphone."

Encik Musa mengangguk, faham akan peraturan di wad itu. Kemudian dia bersuara, "Saya baru jumpa doktor tadi. Katanya keadaan Lara tak banyak berubah sejak dia dimasukkan ke sini. Tapi doktor sedang berusaha untuk memberi rawatan yang terbaik."

"Abang, sedihnya hati saya tengok keadaan Lara." Air mata Cik Biah mengalir perlahan di pipinya yang mulai disentuh kedutan. Dia sedih dan bimbang. Adakah Lara akan sihat semula? Berapa lamakah lagi dia harus berada di pusat rawatan ini?

Suami isteri itu melangkah pulang bersama seribu pertanyaan yang bergayutan dalam kepala.

DR. AMINAH mengemas meja kerjanya. Hari ini hari terakhir dia bertugas di sini. Dia akan bertukar ke hospital lain, luar daerah. Dia sudah bertugas di pusat rawatan ini lebih daripada sepuluh tahun. Dalam beberapa tahun lagi dia akan pencen. Sepatutnya dia tidak perlu ditukarkan ke mana-mana lagi, tetapi dia harus patuh pada arahan.

Dia memerhati ke seluruh ruang bilik kecil itu. Ada deretan fail pesakit yang ditanganinya sejak berpuluh tahun. Ada kes pesakit yang tidak kunjung sembuh, puluhan tahun terus mendekam di situ, menjadi penghuni paling setia.

Setiap hari ada sahaja kes baharu yang diterima. Sekitar sebulan yang lalu mereka menerima kes pesakit bernama Larasati Aisya. Lara, baru sahaja menghidap Bipolar Disorder. Keluarganya tidak menyedari keadaannya sehingga dia melakukan pelbagai perkara yang tidak masuk akal. Puncanya setelah dia menerima tekanan berat di tempat kerja dan kehilangan kepercayaan orang yang amat dihormatinya. Dia juga kehilangan pekerjaan yang menambah lagi beban dalam fikirannya. Pelbagai ubat-ubatan sudah pun dicuba ke atasnya, tetapi belum menunjukkan sebarang perubahan positif.

"Belum habis berkemas, puan?" tegur Rozita, ketua jururawat yang agak rapat dengan Dr. Aminah.

"Hampir selesai," jawab Dr. Aminah ringkas.

"Nak saya tolong?"

"Tak apa," balas Dr. Aminah, seperti biasa bersikap tegas dan ringkas dengan petugas-petugas bawahannya.

"Boleh saya berbual dengan puan sekejap? Mungkin selepas ini tak berpeluang lagi menuntut pelajaran dan pengalaman daripada puan," kata Rozita.

Dr. Aminah tersenyum kecil. Dia sedar selama ini dia seorang wanita yang cukup tegas dan berdisiplin. Dia menangani sebuah pusat yang penuh dengan pesakit mental. Jadi, dia memang melatih diri bersikap tegas, serius dan agak keras. Dia tidak tahu cara orang lain, tetapi itulah cara dia mempertahankan kerjayanya di sini, sehingga pusat itu menjadi pusat rawatan mental terbaik di seluruh negara.

Apabila dia diarahkan bertukar, dia tidak peduli lagi apa yang berlaku di sini. Pusat itu akan berada di bawah pengurusan seorang doktor psikitri muda yang baru pulang dari luar negara. Dia tahu serba sedikit latar belakang Dr. Imran yang pernah belajar di universiti paling berprestij di Amerika Syarikat. Dia juga berkhidmat di sana beberapa tahun.

Dia bukan cemburu dengan prestasi doktor psikitri seperti Dr. Imran. Tidak. Mungkin Dr. Imran punya kaedah ataupun cara yang jauh lebih baik. Dan dia sedia bertugas ke hospital lain.

"Suspen pula nak terima ketua baru di sini. Kami di sini semua dah biasa dengan cara puan mengendalikan pusat ini,"ujar Rozita.

"Yalah, pasti ada beza cara saya dan dia," balas Dr. Aminah. "Beri peluang pada doktor muda pula. Saya sedar saya dah lama berkhidmat di sini. Mungkin Doktor Imran punya kaedah yang jauh lebih baik, siapa tahu? Dia pun seorang doktor selebriti, penulis buku psikologi yang dikenali ramai di Malaysia ni."

"Puan pernah jumpa Doktor Imran tu? Handsome tak?"

"Sekejap ya!" Dr. Aminah membuka sebuah kotak di atas meja. Kotak itu berisi pelbagai jenis buku berkaitan psikologi miliknya. Dia mengeluarkan sebuah buku berkulit keras. Di permukaan hadapan kulit buku itu tertera gambar seorang lelaki, yang tersenyum lebar. Tertulis juga tajuk buku serta namanya dengan tulisan yang besar.

"Nah! Ni buku tulisannya." Dia menghulurkan buku itu ke penatapan Rozita.

Rozita menyambut buku itu, membaca tajuk dan membelek halaman belakang.

"Gambar cover ni, Doktor Imran ke?"

"Ha'ah..."

"Wah... Handsomenya. Muda lagilah. Saya agak umur dia awal tiga puluhan."

"Ya... dan masih bujang."

"Ramailah jururawat muda kat sini yang akan jatuh cinta pada dia nanti." Rozita tergelak kecil.

"Hah! Jangan nak mengarut. Nak kerja ke nak mencari jodoh?" Dr. Aminah berkata sambil menyimpan semula buku tulisan Dr. Imran di dalam kotak.

"Kasi canlah, puan," gurau Rozita.

Dr. Aminah hanya tersenyum.

Sebelum meninggalkan bilik kerjanya itu, satu jamuan kecil diadakan bagi meraikan Dr. Aminah. Jamuan yang berlangsung tidak sampai pun setengah jam. Dr. Aminah bergerak keluar meninggalkan pusat rawatan itu. Petugas-petugas di situ mengucapkan selamat jalan kepadanya. Masing-masing menunjukkan wajah sedih kehilangan seorang ketua yang amat baik. Tetapi kemudian, gosip tentang Dr. Imran yang kacak, bujang trang tang tang dan terkenal pula mulai bertebaran. Mereka seolah-olah tidak sabar untuk menerima seorang ketua baru.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro