Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

"DIT, kau dah maafkan aku?" tanya Lara dengan suara lirih.

"Dah. Aku dah maafkan kau, Lara. Lagipun aku dah dapat balik helmet kesayangan aku."

"Kenapa kau sayang sangat dengan helmet tu?"

"Sebab ada tertulis nama makwe aku kat situ."

"Aku tak nampak pun."

"Sebab aku tulis dengan huruf rahsia. Hanya aku dan dia yang tahu." Aidit ketawa.

Lara ikut tertawa. Dia rasakan pertama kali dia boleh bergurau dan bercakap dengan gembira. Selama ini hubungannya dengan Aidit tidak pernah harmoni. Ada-ada sahaja yang akan jadi isu untuk mereka bercakaran, seperti anjing dan kucing. Walaupun mereka sudah lama duduk di bawah satu bumbung, Lara tidak ingat lagi bila kali terakhir mereka bergurau senda seperti dua orang adik beradik.

Lara berharap saat ini tidak akan berakhir. Lara gembira kerana Aidit berubah menjadi lebih mesra melayaninya berbual.

"Dit, aku dah jatuh cinta."

"Pada siapa?" tanya Aidit.

"Pada seorang lelakilah."

"Ya tak ya... mestilah lelaki. Tapi siapa nama dia?"

"Nama dia... nama dia aku lupa. Tapi muka dia macam Song Joong Ki."

Aidit ketawa.

"Betul ke? Atau itu semua hanya khayalan kau saja?"

"Betul. Muka dia ada iras-iras Song Joong Ki, terutama sekali matanya."

Aidit ketawa.

"Jadi, aku akan dapat abang ipar nanti?"

Lara ketawa. Aidit juga ketawa.

"Mana abah dan mak? Aku tak nampak mereka."

"Abah ada... begitu juga dengan mak."

Sekonyong-konyong Lara teringat sesuatu. Apakah dia sedang bermimpi ketika itu? Dia sedang memecut laju dengan motosikal dan Cik Biah muncul di hadapannya. Lara melanggar emaknya dengan motosikal yang sedang meluncur laju. Apa yang terjadi kepada emak? Apakah emaknya sudah meninggal akibat dilanggar?

Tidak! Aku harap tidak akan berlaku sesuatu pada emak! Emak! Di mana emak? Lara rindu sangat dengan emak. Lama dah rasanya Lara tak dengar suara emak.

"Emak!" Lara menjerit memanggil Cik Biah lalu tersedar daripada lenanya yang panjang. Matanya terbuka luas. Dia terus melihat siling yang putih bersih, berserta lampu kalimantang yang terpasang terang. Buat seketika matanya silau. Dia cuba menggerakkan badannya tetapi tidak boleh. Dia memerhati tangannya yang terikat pada katil. Kakinya juga terikat kuat. Apabila dia meronta-ronta, terasa kaki dan tangannya mulai sakit.

"Tidak! Lepaskan aku!" jerit Lara. "Aku tak mahu berada di sini! Lepaskan aku!" jeritnya dengan lebih kuat apabila dia menyedari di mana dia berada.

Air mata mulai merembes perlahan-lahan dari pelupuk mata. Pandangannya mulai dikaburi air mata yang membuak-buak seperti empangan pecah. Lara tahu dia sudah kembali ke satu-satunya tempat yang paling ditakutinya. Di dalam bilik yang pernah dihuninya sebelum ini. Lara kesal. Dia menangis dan menangis lagi sepuas hati.

Seorang jururawat masuk. Dia cuba memujuk Lara dengan lembut. "Sabar dan bertenang Lara. Jangan melawan. Nanti doktor akan beri lagi ubat supaya awak tidur. Kalau awak tak mahu ditidurkan, lebih baik awak tenangkan diri."

"Tolong lepaskan saya, misi. Sakit. Kaki tangan saya sakit, tak boleh bergerak."

"Saya tak boleh lepaskan awak, Lara."

"Tolonglah, misi. Saya nak balik. Saya nak jumpa dengan mak saya. Saya rindu sangat pada keluarga saya." Rayu Lara dengan air mata berlinangan.

"Awak boleh balik bila awak dah pulih," kata jururawat.

"Misi, lepaskan saya. Sekejap saja. Tangan saya lenguh, sakit sangat ni. Tolonglah," rayu Lara berulang kali.

"Saya akan lepaskan awak tapi awak mesti janji jangan bertindak ganas. Kalau awak menunjukkan kelakuan baik, kami akan lepaskan awak balik. Boleh jumpa keluarga dan kawan-kawan."

"Ya, saya janji. Saya janji akan jadi baik. Saya nak jumpa teman lelaki saya."

"Okey." Jururawat itu membuka ikatan di tangan Lara.

Sebaik sahaja terlepas daripada ikatan, Lara terus bertindak dengan merampas pen di dalam poket uniform jururawat itu dan cuba menusuk pen itu ke lehernya sendiri. Jururawat terkejut lalu memanggil rakan setugas dan juga doktor.

Seorang doktor dan dua orang jururawat bergegas masuk. Doktor segera mengikat Lara semula. Doktor menyuntik lengan Lara hingga dia lemah dan terus tertidur semula.

"Pesakit ini tidak boleh dilepaskan sehinggalah dia betul-betul tenang dan pulih dari trauma," kata Dr. Wahab.

"Baik doktor." Jururawat mengangguk sahaja. Dia kesal kerana termakan pujukan dan rayuan Lara. Sepatutnya dia tidak menghiraukan rayuan pesakit yang hanya berpura-pura tenang.

DUA minggu yang penuh seksa bagi Adri, sudah berakhir. Hari ini dia dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur. Dia tidak sabar untuk pulang, menemui kawan baiknya Khairul dan Helmi. Sudah lama mereka tidak melepak, berborak, main games ataupun tengok bola sepak.

"Sekarang dah tak boleh melepak di luar," kata Khairul semalam semasa Adri menghubunginya.

"Nak lepak, kena lepak diam-diam di rumah. Lepas tu tak boleh ramai-ramai sangat. Tak boleh buat bising nanti adalah jiran yang akan buat report," kata Khairul lagi.

"Okey, jumpa malam ni kat rumah aku. Kita lepak sambil makan-makan. Aku bawak ole-ole dari Pulau Pinang," kata Adri.

Malam itu, Khairul dan Helmi datang ke rumah Adri. Adri tinggal seorang diri di banglo yang dihadiahkan bapanya, Datuk Idris sempena hari lahirnya beberapa tahun yang lalu. Usia Adri sudah mencapai angka 29 tahun. Namun dia masih senang bersendirian dan tidak pernah memikirkan tentang rumah tangga. Dia menyaksikan banyak peristiwa pahit dalam perkahwinan antara ayah dan ibunya. Mereka berpisah semasa Adri di usia remaja.

Datuk Idris berkahwin lain tidak lama selepas itu. Tetapi rumah tangganya tidak pernah kekal bahagia. Tiga kali kahwin cerai buat Datuk Idris lebih suka dengan status bujang. Bujang tua tetapi kaya dan bergaya. Walaupun ramai wanita yang tergila-gilakannya, namun dia belum terbuka hati untuk menikah buat kali keempat.

"Papa akan lebih enjoy hidup sebagai orang bujang," kata Datuk Idris. "Walaupun kadang-kadang hidup single ni terasa sunyi."

"Papa patut kahwin sekali lagi. Kahwin kali terakhir dengan seorang perempuan yang betul-betul ikhlas mencintai papa." Adri pernah berkata begitu kepada papanya.

"Kau ajelah kahwin."

Perihal itu dikembalikan semula kepadanya. Adri menegaskan dia belum puas menikmati waktu-waktu bujang. Khairul dan Helmi juga masih bujang, tetapi mereka mempunyai kekasih.

"Macam nak gila aku duduk kat hotel dua minggu. Boring oi... tak ada geng kat sana." Adri mengadu. "Lepas tu, banyak prosedur kena ikut pulak tu. Ada sesetengah tempat kena kuarantin, bila kes tinggi."

"Samalah sini pun. Tak ada beza."

"Nak main apa malam ni? Main kad?" tanya Adri.

"Tak nak main kad lah. Tengok bola lagi best. Malam ni siaran langsung kot. Tengok kat sini tv besar."

"Pukul berapa start?" tanya Adri.

"Pukul sepuluh. Ada masa satu jam lagi. Jom, makan dululah," ajak Adri sambil bergerak lebih dahulu ke ruang makan.

Di atas meja, penuh dengan hidangan. Khairul dan Helmi terbeliak biji mata melihat hidangan yang banyak itu.

"Siapa masak ni?" tanya Khairul.

"Ceflah yang masak. Order dari restoran kegemaran aku," jawab Adri, selamba.

"Kenapa banyak sangat ni? Kau ada jemput orang lain selain kami ke?" tanya Helmi, rasa pelik sungguh melihat nasi beriani semangkuk besar berserta pelbagai lauk pauk.

"Sebab kau kuat makan. Aku takut tak cukup. Nanti dah tengah malam, boleh second round," usik Adri.

"Bedal ada ajelah, jangan banyak fikir. Esok pagi pergi joging," balas Khairul.

"Dah dapat contact Lara ke?" tanya Helmi, sambil menceduk kuah dalca ke dalam pinggan nasinya yang penuh.

"Aku ada jumpa dia dua minggu lepas. Dia dah ambil jaket dan helmetnya tu. Tapi aku lupa nombor dia."

"Kenapa kau tak catat?"

"Tak sempat. Dia jerit dari jauh. Aku tak ingat dua nombor di belakang nombor dia. Dah puas aku cuba dial tapi asyik terlepas ke nombor orang lain," cerita Adri kecewa.

"Tulah nombor ni kau kena pusing sampai sepuluh kali. Barulah dapat yang betul."

"Gila, dua nombor tu kalau aku pusing sepuluh kali maknanya aku akan contact dua puluh orang kot..."

"Yalah, dalam dua puluh orang tu, mesti salah satu nombor tu nombor dia," balas Khairul.

"Ya, tak ya juga..." Adri baru terfikir sambil menguis-nguis nasi dengan sudu. Tiba-tiba hilang hampir 50 persen selera makannya.

"Apa-apa hal makan dulu," kata Helmi mulai menyuap.

Selesai makan, mereka bertiga memasuki bilik khas yang dijadikan sebagai bilik menonton. Televisyen besar terlekat pada dinding dengan beralatan stereo lengkap. Sofa panjang berbentuk L mendominasi sebahagian daripada bilik kecil yang siap dipasang dengan alat kedap bunyi.

Pintu ditutup rapat. Setiap sorakan mereka tidak akan terlepas keluar. Mereka benar-benar enjoy menonton perlawanan bola sepak malam itu. Setelah permainan tamat, Khairul dan Helmi beredar pulang.

Adri merebahkan tubuhnya ke atas tilam. Ketika itulah, kesepian datang mengetuk pintu hatinya. Dia teringat pada Lara. Telefon bimbit dicapai. Dia cuba mendail nombor telefon yang pernah diberikan Lara. Akhirnya dia mencatat setiap nombor yang didail. Seperti kata Helmi, dua nombor terakhir itu dia pusing sampai sepuluh kali. Dan akhirnya dia dapat satu nombor... Nombor terakhir. Dia berharap nombor itu adalah nombor Lara.

"Helo, boleh bercakap dengan Lara?"

"Helo. Kau siapa? Tengah-tengah malam telefon tanya pasal Lara." Terdengar suara lelaki menjawab dengan kasar.

"Tapi ini betul nombor Lara, kan?" tanya Adri tetap lembut walaupun lelaki itu bercakap dengan nada yang keras.

"Ya, memang ni nombor Lara. Apa hal?"

"Boleh saya bercakap dengan dia."

"Kau siapa?"

"Nama saya Adri."

Empunya suara di hujung talian diam sejenak.

"Buat masa ni Lara tak ada di rumah."

"Dia ke mana?"

"Kau telefonlah lagi bila dia dah balik," jawab empunya suara itu, dingin.

"Bila dia balik?"

"Entah. Sebulan atau dua bulan. Tak pun tiga bulan."

"Awak, jangan main-mainkan saya. Cakaplah perkara yang sebenarnya ke mana Lara pergi. Kenapa dia tak bawa telefon dia?"

"Awak serius ke berkawan dengan kakak saya ni? Atau awak hanya nak main-mainkan hati dan perasaan dia?"

Giliran Adri pula yang terdiam. Rupa-rupanya dia sedang bercakap dengan adik lelaki Lara.

"Ya, saya ikhlas nak berkawan dengan Lara."

"Nanti saya beritahu dia awak telefon." Talian terus diputuskan.

Adri merenung telefon bimbitnya bersama rasa seperti tidak percaya. Akhirnya dia dapat nombor telefon Lara. Walaupun tidak dapat bercakap dengan Lara sendiri, tetapi dia rasa puas hati. Sekurang-kurangnya ada punya harapan untuk menemui Lara jika masa dan keadaan mengizinkan.

Tapi ke mana Lara pergi? Mengapa dia tidak membawa telefon bimbitnya? Adri hairan dan curiga. Malam itu dia sukar untuk melelapkan mata. Dia asyik terbayang wajah Lara dan aksi gadis itu yang jinak-jinak merpati. Nampak sahaja jinak, tetapi apabila hendak ditangkap, ia lari.

SEJAK kebelakangan ini, semangat Adri untuk bekerja bagaikan hilang dibawa angin lalu. Dia lebih banyak termenung, menghadap meja dengan timbunan kerja yang tidak beres. Ada beberapa artikel dalam bahasa Inggeris yang perlu dia baca dan edit. Artikel itu akan dimuat naik dalam page yang akan dibuka ke seluruh dunia global. Entah mengapa hatinya rasa begitu kosong dan hampa. Dia ingin sekali lagi bertemu dengan Lara tetapi pertemuan bagaikan tiada antara mereka.

Lara menghilangkan diri dan Adri tidak tahu di mana harus mencarinya. Beberapa kali dia menghubungi telefon bimbit Lara, namun tidak berjawab langsung. Mesej-mesej daripadanya juga tidak berbalas. Adri gelisah. Dia berdiri di tepi tingkap kaca yang menghala ke jalan raya. Jalan raya di hadapan syarikat bapanya yang gah itu, kelihatan lengang. Tidak banyak kenderaan di jalanan, sejak Perintah Kawalan Pergerakan mulai dijalankan di beberapa bahagian di kota ini.

Bangunan pejabat syarikat bapanya itu masih beroperasi. Banyak syarikat yang masih meneruskan perniagaan masing-masing di musim Covid ini. Pun begitu pekerja-pekerja di syarikat itu juga sudah dikurangkan. Kebanyakan yang boleh bekerja dari rumah akan menjalankan tugasan seperti biasa. Manakala pekerja yang perlu hadir, akan datang jua ke pejabat dengan pengikut SOP. Penjagaan jarak sosial dan pemakaian pelitup muka dititikberatkan. Ada juga pekerja yang terpaksa ditamatkan perkhidmatan.

"Kita akan mengalami kerugian dalam perniagaan sekiranya keadaan ini berterusan," keluh Datuk Idris semalam.

"Buku-buku terbitan syarikat kita tidak dapat dipasarkan apabila banyak kedai-kedai buku yang ditutup. Pelanggan tak ada apabila PKP akan dijalankan secara menyeluruh," sambungnya lagi.

"Kita sekarang hanya boleh beri tumpuan kepada berita-berita yang ditulis melalui online."

"Sekarang, apa tajuk-tajuk sensasi yang boleh kita ke utarakan, Khairul? Sebagai penulis terbaik syarikat ni, tolong kemukakan isu yang boleh menarik minat orang untuk buka page kita."

"Sekarang isu Covid saja di mana-mana. Isu ekonomi, pergolakan politik..," kata Khairul.

"Okey, tulis pasal pergolakan politik negara kita sekarang ni... memang tengah hangat."

"Helmi, apa pula idea kau?"

"Saya... err... tak ada idea yang bernas buat masa ni, Datuk. Beri masa saya fikir. Saya ingat nak utarakan isu global, macam isu Palestin."

"Okey. Good. Adri?"

"Err... saya juga tak ada apa-apa idea, papa."

"Kau ni kenapa, sejak balik dari Penang hari tu... papa tengok macam orang angau."

"Eh, mana ada..." jawab Adri pantas. "Saya okey aje, papa. Angau apa pulak? Girlfriend pun tak ada. Lepas putus dengan Marla saya single mingle."

"Lara... Lara... Gadis zaman sekarang," gumam Khairul, menyanyi-nyanyi kecil seperti menganjing.

Adri jeling tajam pada Khairul tetapi kawannya itu hanya kenyit mata. Adri bimbang Datuk Idris dengar nama Lara. Nanti jadi satu isu pula yang susah untuk dia jawab. Adri gertap bibirnya dengan kuat, sambil tangan tunjuk penumbuk. Datuk Idris tidak melihat aksinya itu. Lelaki itu sedang menunduk dan menulis sesuatu di atas buku catatannya.

"Saya nak kamu bertiga tulis satu isu yang agak daring sikit. Tentang isu yang melibatkan penceramah agama. Penceramah yang didakwa sebagai penunggang agama. Bukan ke isu ini akan menarik minat ramai orang? Sekarang orang hanya duduk di rumah. Mereka tentu sedang resah gelisah dan tiada bahan bacaan yang hangat," kata Datuk Idris.

"Kita perlu hangatkan sikit suasana yang sejuk beku ni..." tambah lelaki itu lagi.

"Artikel paling baik antara kamu bertiga, kita akan siarkan pada hari Isnin ni. Ada dua hari untuk difikirkan. Sabtu dan Ahad ni bolehlah buat kerja sikit. Jangan hanya fikir nak tengok bola ataupun main game."

Mereka bertiga mengangguk serentak.

DUA hari berlalu. Setiap pagi, apabila jam loceng membangunkan Adri daripada tidur yang kurang nyenyak, dia akan berfikir tentang Lara. Adri masih belum menulis apa-apa berkenaan dengan artikel yang diminta oleh Datuk Idris. Menulis tentang penunggang agama? Hati Adri berbisik ketika dia menikmati sarapan. Kopi hitam pekat dengan secubit gula serta dua keping roti sahaja yang menjadi hidangan. Dia tidak berselera menjamah roti, yang digigitnya sedikit, tak ubah seperti gigitan sang tikus.

Aku tak minat nak tulis artikel tentang penunggang agama... aku percaya pembaca muda di luar sana lagilah tak minat! Aku rasa, aku lebih suka menulis tentang misteri hidup Lara dan cinta. Cinta yang baru berputik di hatiku! Ah! Benarkah ini cinta ataupun satu kegilaan semata-mata? Hati Adri bermain kata sambil meraut mukanya yang kusut.

Duduk di rumah, tidak pergi ke mana-mana sepanjang dua hari ini, dia begitu malas hendak mandi. Rumahnya sentiasa dipasang penghawa dingin. Suasana sejuk dan nyaman. Perlukah mandi jika dia hanya bersendirian?

Selepas membuang sisa roti yang tidak berjaya dihabiskan, Adri membawa kole berisi separuh kopinya ke meja tulis. Komputer riba dipasang. Dia duduk di kerusi, sambil merenung permukaan komputer yang kosong. Jari-jemari diletakkan di atas papan kekunci, bersedia untuk menaip. Sayang sekali otaknya enggan memberi kerjasama. Apa yang aku nak tulis ni? Adri jadi buntu.

Telefon bimbitnya berbunyi. Muncul lagu Dancing With A Stranger. Dia baru menukar nada dering kepada lagu nyanyian Sam Smith itu beberapa hari lalu. Lagu yang membangkitkan nostalgia dan kerinduannya pada Lara.

"Hoi! Kau tengah buat apa?" tegur Helmi.

"Aku baru nak start menulis ni. Kau dah siapkan artikel tu?"

"Aku dah e-mel malam tadi. Patutnya pagi ni dah keluar kat company page. Tapi aku check tak ada pun artikel aku. Artikel Khai pun tak ada."

"Aku belum buka lagi company page. So, artikel apa yang keluar."

"Satu artikel lain. Kau bukalah nanti. Penulis guna nama samaran. Mat Mentadak. Apa punya nama Mat Mentadak? Tak ada nama lain dah ke nak letak," komen Helmi.

"Kau jangan cakap gitu. Kalau papa aku dengar, masak kau."

"Kenapa?"

"Tu nama samaran papa aku. Dia guna nama Mat Mentadak masa dia muda-muda dulu, tulis akhbar gosip," kata Adri sambil tertawa kecil.

"Laa..." Helmi ikut tergelak.

"Dia tulis pasal apa?"

Helmi gelak lebih kuat.

"Dia tulis pasal cinta. Tapi cara dia tulis tu macam budak-budak muda baru jatuh cinta. Sebenarnya aku macam tak percaya, papa kau yang tulis."

"Tulah, dia sengaja 'muda'kan penulisannya walaupun hakikatnya dia dah tua."

"Datuk tu tua-tua pun handsome. Jambang dia yang ala-ala ada uban tu satu daya penarik bagi perempuan muda. Macam jambang Jock Zonfrillo."

"Siapa pula Jock Zonfrillo tu?"

"Cef selebriti. Dia ada restoran di Adelaide, Australia. Nama restorannya Orana."

"Hmm... Nantilah, kita pergi Australia. Lepas habis PKP."

Beberapa jam kemudian, perut Adri mulai berkeroncong. Walaupun dia berusaha untuk menulis tapi beberapa kali juga artikel yang ditulisnya itu dipadamkan. Akhirnya, dia bosan. Kesudahannya Adri main game hingga jam 1.00 tengah hari.

Dia capai telefon bimbit dan menghubungi restoran kegemarannya. Dia meminta set lunch dihantar ke rumahnya.

"Okey, sekitar setengah jam lagi penghantar makanan kami akan tiba di rumah encik."

Sementara menunggu makan tengah harinya sampai, Adri sambung main game. Dia tidak sedar, penghantar makanan sudah pun tiba di hadapan rumah. Loceng pintu yang berbunyi nyaring membuatkan Adri berlari ke pintu. Ketika itu dia sedang cuba mendail nombor telefon bimbit Lara. Sudah beberapa kali dia mendail nombor tetapi tidak berjawab. Pun kali ini, dia mendengar suara lelaki menjawab panggilannya. Adik Lara yang menjawab panggilannya.

Namun dahi Adri berkerut kerana dia sedang bercakap dengan penghantar makanan yang berada di hadapan pintu rumahnya.

"Awak..." Suara Adri terputus.

"Set lunch encik," kata lelaki itu.

"Tadi saya dengar suara awak di telefon. Awak ada kaitannya dengan Lara, kan? Saya call Lara tadi."

Aidit terpaksa mengakuinya. Memang dia yang menjawab panggilan itu tadi dan dia tidak sangka yang memanggil adalah Adri, pelanggannya. Mereka sedang berdiri saling berhadapan, di muka pintu yang terkangkang luas.

"Ya, saya Aidit, adik Lara."

"Kenapa telefon Lara ada pada awak?"

"Panjang ceritanya. Encik settlekan dulu bayaran set lunch ni, boleh?"

Adri mengangguk. Dia terus membayar harga makanannya. Bekas berisi makanan di dalam beg plastik bertukar tangan. Adri memerhati motosikal Aidit yang diparkir di tepi jalan. Dia perasan motosikal itu. Lara pernah datang ke rumahnya dengan menunggang motosikal itu. Dia juga memakai topi keledar milik Aidit. Adri kenal topi keledar yang tersarung di kepala lelaki itu.

"Boleh saya tahu di mana kakak awak? Saya nak jumpa dia."

"Buat masa ini lebih baik tak payahlah, encik. Dia sedang berehat. Tak... maksud saya sedang dirawat."

"Dirawat? Dia sakit ke?"

Aidit mengangguk.

"Sakit apa?" Adri sedikit cemas.

Apakah Lara sakit teruk? Apakah dia akan mati? Tidak! Lara tidak boleh mati begitu sahaja. Adri tidak sanggup membayangkan kehilangan Lara sebelum sempat cinta di hatinya berputik, kembang mekar dengan indah. Dia tidak sanggup membayangkan sebuah kematian.

"Maafkan saya. Saya nak cepat, encik. Masih banyak makanan yang perlu saya hantar. Nanti encik WhatsApp. Inya-Allah saya akan jawab. Terima kasih, encik kerana menggunakan khidmat kami."

Adri memerhatikan sahaja Aidit berjalan ke arah motosikalnya dan meluncur pergi. Kemudian, dia kembali menghadap komputer riba. Jari-jarinya mula menaip. Ideanya datang seperti curahan hujan musim tengkujuh.

Setelah selesai menaip, dia terus menghantar e-mel kepada Datuk Idris. Adri menikmati makanan tengah harinya yang sudah mulai dingin, sedingin hatinya. Dia ingin tahu lebih banyak tentang Lara. Diam-diam dia berdoa, Lara akan sembuh dari segala penyakit yang dihidapinya, tidak kira penyakit apa sekali pun. Dia amat berharap untuk melihat wajah Lara lagi. Wajah yang tidak akan dilupakannya.

"I don't want to be alone tonight..." Adri bersiul lagu nyanyian Sam Smith dengan penuh penghayatan. Malam ini dia tidak ingin bersendirian. Dia ingin bersama sisa-sisa memori dengan Lara. Khairul dan Helmi yang ingin melepak sambil menonton bola, dihalangnya daripada datang.

"Kau nak buat apa sorang-sorang kalau kami tak datang? Mesti kau akan bosan gila," kata Helmi ketika Adri menghubunginya.

"Adalah sesuatu aku nak buat," balas Adri. Dia tersengih lebar apabila teringatkan rancangannya.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro