Bab 2
SUARA Aidit marah-marah terdengar begitu kuat pada awal pagi. Lara tersedar daripada tidur. Mulanya Lara fikir, dia masih diulit mimpi. Dia merasakan dia berada di tempat lain bukan lagi di rumahnya. Dalam ilusinya dia berada di suatu taman yang indah, dikelilingi bunga-bunga segar dan harum. Namun dia kecewa lantaran masih mendengar suara Aidit marah-marah. Dia masih berada di kamarnya yang pengap, berkuap panas seperti di dalam kawah yang sedang mendidih, hingga seluruh tubuhnya berpeluh. Cahaya matahari sudah pun memancar garang di tingkap cermin yang bertutup rapat.
"Habis minyak motor aku! Sial! Kau memang sial! Laraaaaa!" jerit Aidit dengan suara yang lantang.
Rumah mereka jenis rumah teres setingkat, berkembar dengan jiran-jiran tetangga. Suara Aidit yang kuat itu terdengar jauh hingga ke rumah paling hujung di jalan itu. Cik Biah segera menjenguk di pintu hadapan. Dahinya berkerut melihat Aidit yang sedang mengamuk.
"Kenapa marah-marah ni? Apa yang kakak kau dah buat?"
"Minyak motor Aidit dah kering, mak! Enjin motor Aidit panas lagi. Dia baru balik pagi ni!"
"Eh, tak mungkinlah."
"Tak mungkin apa, mak? Dah jelas lagi nyata. Dia selalu menyusahkan Aidit. Tu ajelah yang dia tahu."
"Setahu emak, dia tak keluar dari bilik sejak petang hingga ke pagi ni."
"Mak! Dia keluarlah, mak! Tengah malam bila semua orang dah tidur, dia curi-curi keluar. Cuba rasa enjin ni panas lagi. Petang semalam sebelum balik kerja, Aidit isi minyak penuh tangki.
Sekarang ni tangki dah kering. Macam mana Aidit nak pergi ni mak?" Wajah Aidit sudah merah padam menahan amarah.
"Tak baik kau tuduh dia! Cuba kau tanya elok-elok."
"Tak baik kata mak? Dia selalu tuduh Aidit yang bukan-bukan, tak apa pulak. Sekarang ni dia memang buat benda yang tak baik. Tapi mak tak percaya. Aidit nak pergi buat perhitungan dengan dia! Sama ada Aidit keluar dari rumah ni atau dia yang berambus!"
Aidit meluru masuk ke dalam rumah lalu terus naik ke tingkat atas. Pintu bilik tidur Lara diketuk kuat seperti hendak roboh. Cik Biah mengikut dari belakang sambil meminta Aidit bersabar.
"Keluarlah! Keluar, Lara! Keluar!" jerit Aidit sekuat hatinya. Suaranya bergema mengalahkan Tarzan di hutan rimba.
"Sabar! Bertenang. Kau bising-bising macam ni, apa kata jiran-jiran? Perlahan sikit suara tu. Kau tak malu?"
"Argh!" Aidit menumbuk pintu bilik Lara dengan sekuat hati. Dia geram dan marah apabila Lara langsung tidak keluar. Bersuara pun tidak.
Lara membatu diri di dalam bilik tidurnya sambil memekup telinga dengan bantal. Telapak kaki Aidit terdengar bergerak menjauhi bilik tidur Lara. Lara lega. Dia boleh menyambung tidur semula. Namun suara Aidit di tingkat bawah, masih terdengar kuat.
"Mak, siapa nak ganti duit minyak motor Aidit? Aidit dah elok-elok bajet sampai cukup bulan. Dah lari bajet Aidit, mak."
"Tak apa, biar mak gantikan. Berapa minyak motor kau tu? Lima puluh ringgit cukup?"
Aidit mengangguk sahaja. Lima puluh ringgit itu cukup untuk memenuhkan semula tangki motosikalnya. Aidit bekerja sebagai penghantar barang, menggunakan motosikal. Dia amat sayangkan motosikalnya itu. Jika motosikal itu rosak, dia akan susah. Bukan hanya duit yang akan melayang tapi pekerjaannya juga mungkin akan terancam.
Memang dia amat marah setiap kali Lara mencuri-curi membawa motosikalnya itu pada tengah malam buta. Kalau setakat berpusing mengelilingi taman perumahan ini, dia tidak kisah. Tapi kali ini entah ke mana dia pergi. Bukan sekali dua, sudah acap kali Lara berbuat demikian.
Selepas ini dia akan memastikan motosikalnya tidak akan dibawa lagi ke mana-mana di tengah malam buta. Kunci motosikal juga akan disorokkannya di tempat yang paling sulit. Apabila dia mengadu dengan ibunya, Cik Biah tidak percaya. Cik Biah menuduh dia sengaja mahu mencari kesalahan Lara.
"Jom kita sarapan dulu. Mak masak sarapan kegemaran kau." Cik Biah memujuk. Wajah Aidit masih cemberut walaupun wang RM50 sudah bertukar tangan. Terkorban duit belanja dapur minggu ini. Dia terpaksa meminta duit lagi dengan suaminya.
"Mak masak apa pagi ni?"
"Nasi lemak sambal sotong."
Aidit menjeling jam di pergelangan tangan. Masih sempat bersarapan sebelum pergi kerja. Dia masuk kerja jam 9.00 pagi. Aidit mengekori emaknya menghala ke dapur. Dia terus duduk di kerusi menghadap meja makan. Di atas meja sudah terhidang nasi lemak, sambal bilis, sambal sotong dan ulam timun. Seteko kopi O juga sudah dibancuh Cik Biah tadi. Kopinya suam-suam kuku, sudah sedia untuk diteguk. Aidit meneguk kopi bikinan emaknya dengan penuh nikmat. Kemudian dia makan nasi lemak kegemarannya. Seleranya bagai dijulang-julang. Dua kali dia bertambah.
"Sedap?" tanya Cik Biah apabila melihat Aidit begitu selera menikmati sarapan itu.
"Sedaplah, mak. Kalah nasi lemak sotong kat gerai Kak Tijah janda tu."
Senyum meleret Cik Biah mendengar pujian anak lelaki bujangnya itu. Selesai makan, Aidit segera bangun menuju ke ruang tamu. Dia tercari-cari topi keledar yang selalu diletakkan di atas almari kasut.
"Mak! Nampak tak helmet Aidit?"
"Kan ada kat tempat kau selalu letak tu. Atas almari kasut."
"Tak ada, mak!" kata Aidit dengan cepat, rasa marahnya kembali datang menerpa lagi. Ini semua mesti Lara punya kerja. Entah di mana diletakkan topi keledarnya itu. Macam mana dia hendak pergi kerja tanpa topi keledar?
"Kau salah letak agaknya," kata Cik Biah sambil bergerak ke luar dari dapur. Dia turut membantu mencari helmet Aidit tetapi topi keledar berwarna hitam itu tidak kelihatan.
"Lara!" jerit Aidit sambil berlari memanjat tangga menuju ke bilik Lara sekali lagi. Kemarahannya meledak-ledak, umpama gunung berapi akan meletuskan lahar. "Lara! Mana helmet aku!"
Tiada sahutan dari Lara. Aidit meradang.
"Lara! Buka pintu ni! Kalau tak aku tendang pintu ni biar sampai roboh!" gertak Aidit sambil terus memukul daun pintu bilik Lara sekuat hatinya.
"Keluar, Lara! Keluar!"
Namun Lara masih enggan. Aidit benar-benar meradang. Dia menendang pintu dengan sekuat hati. Mulutnya tidak berhenti menyumpah seranah Lara.
"Apalah nasib aku, ada kakak gila macam kau ni, Lara! Kau memang gila! Lebih baik kau ni dihantar ke Tanjung Rambutan."
Cik Biah tidak berani lagi bersuara. Dia hanya memerhati Aidit yang menendang pintu beberapa kali sehingga pintu itu hampir-hampir roboh.
"Mak! Hantar saja Lara ke hospital gila! Tempat ayah pernah hantar dia dulu. Kali ni biar dia duduk lama-lama dalam tu. Tak payah keluar-keluar," marah Aidit lagi. "Aku dah tak tahan hidup dengan orang gila dalam rumah ni!"
Tiba-tiba pintu terbuka dari dalam. Lara berdiri di hadapan pintu dengan baju kelawar warna putih yang lusuh. Rambut Lara kusut masai, wajahnya masih bersisa dengan solekan. Bahagian bawah pelupuk matanya kelihatan hitam, sisa maskara dan celak masih melekat di situ. Di sudut bibir pula, calitan lipstik merah di sana sini terpalit, membuatkan dia kelihatan benar-benar seperti perempuan tidak siuman. Comot sekali wajahnya.
"Mak oiiii... opocot! Terkejut aku. Ingatkan hantu Kak Limah tadi," kata Aidit tanpa sengaja melatah apabila terpandangkan wajah dan gaya Lara.
"Aku tak gilalah. Kau yang gila, pagi-pagi buta memekak aje. Orang nak tidur pun tak senang."
"Mana helmet aku? Aku tahu kau bawak motor aku malam tadi, masa orang semua dah tidur. Kau curi-curi keluar."
"Manalah aku tahu helmet kau. Memang aku bawak motor kau malam tadi. Aku dah letakkan helmet kau elok-elok kat tempat aku ambik. Dahlah, jangan memekak lagi. Aku mengantuk ni!" ujar Lara sambil menguap. Matanya pedih. Dia menutup pintu semula.
"Tak adalah, bodoh! Helmet tu tak ada kat atas almari kasut tu! Mana kau letak? Atau kau dah hilangkannya?" Aidit bertempik, sambil melangkah masuk ke dalam bilik Lara. Dia menggeleng melihat bilik tidur kakaknya yang bersepah-sepah seperti sarang tikus. Aidit bergerak ke sana sini, mencari topi keledarnya tapi dia tidak menemui apa-apa. Hanya barang-barang kepunyaan Lara. Kain baju yang bertimbun-timbun tidak berlipat diletakkan di satu sudut. Aidit terus mencari, tetapi dia gagal menemui topi keledarnya itu.
"Cepatlah, cari helmet aku! Aku nak pergi kerja ni. Macam mana aku pergi kerja kalau tak ada helmet."
Lara termenung sahaja di atas katil. Sekilas ingatan muncul dalam kepalanya. Wajah lelaki itu juga hadir dalam ingatan. Oh Tuhan! Keluh Lara perlahan. Di mana aku jumpa lelaki itu? Di mana? Aku pergi ke parti hari jadinya. Helmet dan jaket aku tertinggal di rumahnya. Mampus aku! Aku tak ingat rumah dia kat mana!
Aku balik dinihari tadi tanpa memakai helmet dan jaket... Tiba-tiba, Lara teringat semula semuanya. Dia memeluk betisnya sendiri, sambil dagu diletakkan di atas tempurung kepala lutut. Matanya memerhati Aidit yang sedang membolak-balikkan timbunan kain bajunya. Aidit terpegang bra Lara yang berwarna hitam. Aidit menyumpah dan mencampakkan bra itu ke arah Lara.
"Kau ni memang menyusahkan. Dah pakai barang orang, pulangkan elok-elok," marah Aidit.
"Mulai hari ni kau jangan sentuh motosikal aku. Kalau kau sentuh juga, aku bunuh kau!" sambung Aidit sambil menghalakan jari telunjuknya ke muka Lara.
"Bunuhlah! Aku memang nak mati pun," jawab Lara dan air matanya tanpa sedar meleleh perlahan-lahan ke pipi.
Saat itu satu peristiwa tragis melintasi ingatan yang membuat dia terpaksa bergantung pada ubat-ubatan. Ubat itu membuatkan dia tenang dan lupa. Setahun sudah pun berlalu, tanpa sedar. Kadang-kadang Lara merasakan tempat itu hanyalah satu mimpi. Benarkah dia pernah bekerja di situ? Mengapa aku difitnah? Aku cuba bekerja dengan jujur. Tapi mereka memfitnah aku kerana bencikan kejayaan aku! Aku akan sentiasa menjadi orang yang gagal?
Lara teresak perlahan-lahan. Hanya sejenak. Ingatan itu begitu cepat hilang dibawa angin. Lara teringat pada Adri, peristiwa malam tadi menari-nari di ruang matanya kini.
"Tolonglah... Kau jangan hilang dari ingatan aku. Aku tak mahu lupakan kau." Lara berbisik perlahan sambil berharap wajah Adri tidak akan hilang daripada ingatannya. Dia mahu ingat betul-betul wajah Adri. Tapi sayangnya wajah Adri semakin lenyap dari kotak memorinya.
Malam tadi adalah sesuatu yang indah, Adri. Kau pandai menari. Kau buat aku rasa istimewa, aku ingin menari lagi dengan kau. Tiba-tiba Lara bangun, berdiri dan memeluk dirinya sendiri dan bergoyang dengan mata yang terpejam. Dia ingat irama dan lirik lagu itu. Lara menggumam sendiri lagu Dancing With A Stranger.
"Memang sah gila..." cemuh Aidit lalu bergerak keluar dari bilik Lara.
"Berambuslah! Aku haramkan kau masuk bilik aku lagi!" jerit Lara.
"Aku takkan kacau kau, asalkan kau jangan kacau barang-barang aku," balas Aidit lalu menutup pintu bilik Lara dengan kuat.
ADRI berjalan masuk ke pejabat, sambil membetulkan rambutnya. Sebelah tangan memeluk topi keledar. Jari-jari tangannya memegang jaket kulit berwarna hitam.
"Hai, naik motor ke hari ni, bos?" tegur setiausahanya, Mazni.
"Taklah," jawab Adri sambil terus berjalan menghala ke biliknya. Mazni mengekorinya dari belakang.
"Tapi bos bawa helmet dan jaket tu. Siapa punya?"
"Malam semalam ada parti di rumah I. Ada orang tinggalkan helmet dan jaket ni," ujar Adri sambil meletakkan topi keledar dan jaket itu di atas meja kerjanya.
"Ooo... okey. Bos nak minum? Nak saya buat kopi three in one ataupun order kopi?"
"Order kopi kegemaran I. Pleaselah... tak lalu I nak minum kopi three in one."
"Okey, bos," jawab Mazni, patuh.
Adri duduk di kerusi, sambil mata memandang ke arah topi keledar dan jaket perempuan misteri yang datang lewat tengah malam tadi di rumahnya. Dia bingung dan tertanya-tanya mengapa perempuan itu meninggalkan topi keledar dan jaketnya? Apakah rumahnya tidak jauh dari rumah Adri sehingga dia boleh pulang tanpa perlu memakai topi keledar. Siapakah dia?Dua orang kawan baik Adri, Helmi dan Khairul melangkah masuk ke bilik kerja Adri.
"Hei! Pagi-pagi lagi dah termenung. Kenapa?" tegur Helmi.
"Mi, kau perasan tak perempuan yang datang parti aku malam tadi?"
"Yang menari dengan kau tak berhenti-henti dekat sejam tu? Asyik putar lagu yang sama. Bukan sekali atau dua kali, tapi lima, enam kali! Sampai semua orang rasa nak balik. Muak!"
"Ya. Peliklah. Dah puas menari, dia tinggalkan jaket dan helmetnya kat rumah aku. Dia balik macam tu aje naik motor, tak pakai helmet. Sekelip mata hilang."
Dahi Khairul berkerut. "Eh, kau biar betul! Jangan-jangan orang bunian kot?" usiknya. Dia memandang ke arah jaket dan topi keledar yang terletak di atas meja. Helmi juga memandang arah yang sama dengan Khairul.
"Apalah yang kau merepek ni, Khai? Ni kotalah, bukan kampung nak cerita pasal bunian bagai. Tak mungkinlah sebab buktinya helmet dan jaketnya tertinggal."
"Memang aku nampak kau menari dengan dia bukan main rapat mengalahkan kekasih. Kau pun bukan main lagi, dapat peluk perempuan cantik." Khairul tergelak mengingati peristiwa malam tadi di rumah Adri.
"Siapa dia?" tanya Helmi.
"Stranger. Totally stranger. Aku tak tahu nama dia... dari mana asalnya. Aku tak tahu."
"Aku ingatkan kau kenal dia. Sebab aku nampak kau menari, berpelukan... rapat sangat. Aku ingatkan Marla pergi tinggalkan kau sebab cemburukan perempuan tu. Kau tentu ada pasang perempuan lain."
"Kau silap. Marla pergi lebih awal. Dia yang tinggalkan aku. Dia kata kami putus, sebab dia tidak cintakan aku lagi. Dia dah ada pengganti."
"Serius?" Helmi membeliakkan matanya.
Adri angguk. "Aku tengah termenung fikirkan Marla, tiba-tiba perempuan tu muncul. Dia ajak aku menari. Ceria sangat. Aku terhibur tengok keceriaan dia. Dia pandai bergurau... cepat mesra," ujar Adri sambil mengenang semula setiap dialog antaranya dan perempuan misteri itu.
"Tapi siapa dia?" tanya Khairul.
"Itulah aku tak tahu. Aku tanya nama dia tapi dia tak nak beritahu."
"Kau ni.... cubalah kau cari maklumat dia. Keruk poket jaket dia tu kalau-kalau ada maklumat."
Helmi pantas mencapai jaket yang terletak di atas meja, lalu membelek-beleknya. Kemudian jari-jarinya pantas menyeluk setiap poket yang ada. Tiba-tiba dia tersentuh sekeping kad. Kad nama itu dikeluarkannya dengan pantas lalu dia terus membaca segala yang tertera di atas kad tersebut. Pada kad itu tertulis nama sebuah syarikat pembekal makanan yang terletak di Cheras. Di tengah-tengah kad itu tertulis sepotong nama serta jawatannya sebagai pengurus kewangan.
"Larasati Aisya."
"Apa dia?" tanya Adri sambil bangun lalu merampas kad dari tangan Helmi.Dia membelek kad itu yang tertulis dengan nama Larasati Aisya. Tertulis juga nombor telefon syarikat tempat dia bekerja. Adri terjerit. Helmi dan Khairul turut terjerit sporting.
"Kan aku dah kata... mesti dapat maklumat kalau rajin mencari," kata Helmi.
"Eleh! Rajin sangatlah," ejek Khairul.
"Yes! Dia bekerja di sini... di syarikat ni!" Adri tergelak gembira.
"Call dia cepat!" Helmi pantas memberi galakan.
"Kalau Marla dah tinggalkan kau, buktikan bahawa kau juga tidak kurang perempuan yang ingin menjadikan kau kekasih."
"Adri hebat! Beberapa jam sahaja putus cinta terus dapat pengganti. Cepat call," kata Khairul pula.
"Okey... aku akan call nombor ni!"
"Oi, kau orang... Datuk akan masuk bilik meeting kejap lagi. Cepat balik ke stesen masing-masing," kata Mazni mengingatkan Khairul dan Helmi.
Helmi dan Khairul cepat-cepat beredar tapi masih sempat lagi memberi isyarat dengan meletakkan tangan di telinga, menyuruh Adri menelefon Larasati Aisya. Adri mengangguk sahaja.
"Bos, meeting dah nak mula. Datuk dah masuk bilik meeting." Mazni mengingatkan.
"Okey."
Adri tidak jadi hendak mencapai telefon bimbit. Dia akan menghubungi gadis itu selepas selesai mesyuarat nanti.
SEPANJANG masa mesyuarat, Adri lebih banyak dilamun khayal daripada memberikan pendapat. Beberapa kali bapanya Datuk Idris menjeling ke arahnya tetapi dia buat tidak faham sahaja. Dia leka berkhayal, mengingati peristiwa malam tadi. Lagu Dancing With A Stranger tiba-tiba menghambat ingatannya.
"Adri, apa pandapat kau?" tanya Datuk Idris mengejutkan Adri daripada lamunan.
Adri sedikit terkejut. "Okey, semuanya okey."
"Apanya yang okey?" tanya Datuk Idris lagi.
"Err..." Adri terus terdiam.
"Kita tengah bincang pasal apa tadi?" tanya Adri sambil memerhati setiap wajah yang ada di sekeliling meja. Mesyuarat pagi itu langsung tidak masuk ke dalam kepalanya. Ada perkara lain yang mengisi mindanya, yang membuat dia leka dan terlepas pelbagai perkara.
Datuk Idris hanya menggelengkan kepala, kemudian dia bangun. Sebelum meninggalkan bilik mesyuarat itu dia berkata, "Datang ke bilik papa lepas ni. Papa nak cakap sikit." Datuk Idris terus pergi.
"Masak aku..." keluh Adri sambil memandang Khairul dan Helmi.
Semua staf yang berada di dalam bilik mesyuarat keluar apabila Datuk Idris beredar. Tinggal Adri, Khairul dan Helmi sahaja.
"Tadi sebenarnya papa aku cakap pasal apa?"
"Pasal PKP yang sedang dijalankan di pejabat ni. Kita semua akan mula bekerja dari rumah. Hanya beberapa orang yang datang ke pejabat, secara bergilir-gilir. Nanti akan keluar jadual tugasan."
"Oh..."
"Pergilah kau menghadap Datuk cepat sebelum angin puting beliung turun," saran Khairul sambil tersenyum kecil. Dia bangun sambil diikuti Helmi.
Adri berjalan lambat menghala ke bilik papanya. Pasti dia akan kena marah, tapi dia merelakan dirinya sahaja. Dimarahi dan ditegur perkara biasa baginya. Namun sangkaannya meleset. Dia bukan kena marah tetapi Datuk Idris mengarahkan dia bertugas di syarikat cawangan yang terletak di Pulau Pinang.
"Tapi sekarang PKP, papa. Lebih baik syarikat di cawangan tu ditutup saja dan tumpu pada syarikat induk di sini."
"Kalau gitu, kau nak suruh papa yang pergi dan kau tetap di sini jalankan tugas papa?" tanya Datuk Idris separuh menyindir.
"Baiklah, saya pergi," balas Adri perlahan sebelum beredar keluar dari bilik bapanya.
"HELO!" seru Adri dengan suara yang jelas dan mantap.
Khairul dan Helmi tersenyum sahaja memerhati wajah Adri yang sedang duduk bersandar di kerusinya sambil memegang telefon bimbit. Sengaja dia menekan butang loud speaker supaya dua sahabatnya dengar sama.
"Boleh saya bercakap dengan Cik Larasati Aisya?"
Suara yang menjawab panggilan Adri, diam sejenak.
"Cik Larasati Aisya? Tak ada nama tu di sini..." balas suara di hujung talian.
Helmi dan Khairul menanti dengan gaya tidak sabar. Wajah Adri berubah mendengar kata-kata itu.
"Mana boleh tak ada.? Cik Larasati sendiri yang beri kad nama ini pada saya," bohong Adri.
"Sebenarnya saya baru bekerja di sini. Tapi rasanya tak pernah dengar nama tu."
"Hah... cakaplah yang awak orang baru. Banyak perkara awak tak tahu. Ramai orang yang awak tak kenal. Kan senang?" kata Adri seperti berleter pula.
Suara di hujung talian terdengar merengus kasar.
"Cubalah awak tanya staf lain yang ada di situ. Mungkin ada yang tahu. Ini sebahagian dari tugas awak untuk tolong..." Tidak sempat kata-katanya diselesaikan, terdengar bunyi klik di hujung telinga.
Adri merengus sambil mencampakkan telefon bimbitnya di atas meja.
"Tak dapat cakap dengan dia?" tanya Helmi.
"Staf situ sombong, tak nak layan aku. Tak apa aku pergi sendiri ke situ. Siapa nak ikut?"
"Sorry, aku banyak kerja." Helmi cepat-cepat mengelat.
"Aku pun," balas Khairul.
"Okey tak apa. Aku pergi sendiri. Lebih baik aku settelkan hal ni petang ni juga sebab esok aku akan ke Penang." Adri terus menyambar jaket dan topi keledar lalu keluar dari bilik kerjanya.
Helmi dan Khairul hanya saling memandang lalu bertukar senyum. Mereka bergerak ke stesen masing-masing untuk memulakan kerja.
ADRI sampai juga ke tempat yang dipercayainya akan menemui Larasati Aisya. Dia terus masuk ke syarikat itu dan menemui penyambut tetamu. Dia yakin perempuan itulah yang menyambut panggilannya pagi tadi. Adri berdiri dengan tenang di hadapan kaunter sambil mengepit topi keledar dan jaket hitam milik Lara.
"Ya, encik nak jumpa siapa?" tanya penyambut tetamu sambil tersenyum manis. Handsomenya lelaki ni... nampak bergaya macam anak orang kaya, bisik hatinya.
"Saya ada call pagi tadi berkenaan dengan Cik Larasati Aisya. Dia bekerja di sini?"
"Oh... encik yang call pagi tadi cari Larasati Aisya?"
"Ya dan awak receptionist biadab yang meletakkan telefon semasa saya masih belum habis bercakap," kata Adri tersenyum sinis, menyembunyikan rasa hati yang panas.
"Maaf, encik. Di sini tak ada Larasti Aisya."
"Oh... pandai awak minta maaf. Pagi tadi awak macam kurang ajar sangat. Kalau saya mengadu dengan bos awak memang awak akan kena."
Penyambut tetamu itu menggigit bibir, wajahnya masam mencuka.
"Saya tak percaya dia tak ada di sini. Nampak kad ni? Jelas dia bekerja di sini ataupun pernah bekerja di sini di bahagian kewangan." Adri menunjukkan kad yang baru diambilnya dari dalam jaket Lara. Dia menunjukkannya kepada penyambut tetamu itu.
"Sekejap. Saya pergi tanya di dalam." Gadis itu bangun kemudian masuk ke bahagian dalam pejabat. Tidak lama kemudian dia keluar bersama seorang staf yang lain. Kelihatan wanita itu agak berumur sedikit. Adri memerhati sahaja wanita itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Wati.
"Memang Lara ada bekerja di sini, tapi dia dah lama berhenti."
"Bila dia berhenti?"
"Dah lama. Setahun yang lalu."
"Wah, dah lama tu..." balas Adri, sedikit kecewa.
"Ya, dah lama. Ada apa encik cari dia?" tanya Wati ingin tahu.
"Ada hal pentinglah. Kalau tidak, saya takkan cari dia. Boleh dapatkan nombor telefon bimbit dan alamat rumahnya?"
"Bukan tak nak beri tapi kami dah tak ada simpan rekod dia. Nama dia dah blacklisted," kata Wati dengan tegas.
"Tolonglah. Saya bukan berniat jahat. Saya ada hal penting nak jumpa dia."
"Berkenaan apa? Ada kaitannya dengan kewangan?"
Adri diam sejenak. Serba salah. Takkanlah dia hendak bercerita dia mulai obses untuk mencari Lara. Dia risau Lara buat sesuatu yang tidak baik pada dirinya sendiri.
"Beginilah... Dia memang pernah ada masalah sebelum tinggalkan syarikat ini dulu. Masalah besar yang melibatkan kewangan syarikat."
"Apa?" Adri agak terkejut mendengar kata-kata Wati.
"Kalau awak cari dia sebab kena perdaya dengan dia, saya akan ceritakan pada awak apa yang menyebabkan dia dibuang kerja," ujar Wati sambil memandang tepat wajah Adri.
"Hmm... Kenapa dia dibuang kerja?"
"Mencuri duit syarikat. Walaupun dia tak mengaku, kata dirinya difitnah tapi ada bukti dia mencuri. Dia terima duit dari pelanggan, tapi barang tidak sampai pada mereka. Bos kami baik hati, tak jadi serahkan dia pada pihak berkuasa. Dia hanya minta serahkan kembali duit jualan yang diambil. Bukan sikit, ribu-ribu juga," cerita Wati.
"Jadi, dia pulangkan duit tu?"
Wati menggeleng. "Dia tak mengaku. Dia kata ada orang yang sengaja nak jatuhkan dia. Sebab jawatan tu memang jadi rebutan pekerja lama di syarikat ni. Tapi Lara baru saja masuk kerja terus dilantik sebagai pengurus kewangan. Jawatan tu memang panas. Tak lama pun jawatan tu dipegang Lara."
"Habis, tempat dia dulu diganti siapa?"
"Saya," jawab Wati dengan tegas bercampur bangga.
Adri hanya angkat kening. Dia renung wajah Wati sejurus tanpa sepatah kata.
"Lebih baik awak hati-hati apabila berhadapan dengan dia. Berapa banyak duit awak yang dia curi?"
"Bukan duit. Dia curi hati," jawab Adri selamba.Wajah Wati berubah, cemberut. Dia terus mencebirkan bibirnya.
"Gila!" rungutnya sebelum berlalu.
Walaupun tidak mendapat sebarang maklumat, namun Adri belum berputus asa. Dia akan mencari jalan sampai dapat menemui Larasati Aisya dan memulangkan jaket serta topi keledarnya. Dan dia juga ingin tahu mengapa Lara seperti tidak peduli pada barang-barang yang ditinggalkannya.
Adri berjalan keluar dari syarikat itu dengan hati yang gundah. Dia memandu ke pejabat semula. Dia harus menyelesaikan kerja sebelum ke Pulau Pinang esok. Datuk Idris mahu dia berada sekitar dua minggu di sana, menguruskan penutupan syarikat, membayar gaji pekerja dan lain-lain hal yang berkaitan. Dia berharap kesibukannya di sana nanti buat dia lupa pada Larasati Aisya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro