Bab 10
ADRI nampak Lara berjalan menghala ke surau yang terletak di bangunan belakang, bertentangan dengan biliknya. Lara mengenakan telekung warna biru lembut. Kain telekungnya yang labuh disinsing sedikit agar mudah untuk berjalan. Surau itu sentiasa dibuka kepada kebanyakan penghuni di situ, tidak kira pesakit ataupun petugas. Adri cepat-cepat mandi dan mengangkat wuduk. Dia terus berjalan ke surau.
Azan maghrib baru sahaja berkumandang. Semua jemaah sudah pun berdiri untuk menunaikan solat. Tidak ramai jemaah di dalam surau kerana penjarakan sosial yang mulai diamalkan sejak beberapa bulan yang lalu.
Selesai solat maghrib ada aktiviti membaca al-Quran. Adri duduk di bahagian tepi, berdekatan dinding. Dia mendengar bacaan mereka yang mengikuti kelas bimbingan Ustaz Mustaam. Adri teringat waktu masih bersekolah rendah, ada ustaz yang datang ke rumah untuk mengajar dia dan kakaknya mengaji. Ketika itu, ibu bapanya belum bercerai-berai. Beberapa titis air matanya gugur. Sudah lama dia tidak membuka al-Quran. Malah dia sudah tidak begitu pandai lagi mengaji, setelah begitu lama ayat-ayat Tuhan ditinggal dan dilupakan.
Sepatutnya dalam usia yang hampir menjejak tiga puluh tahun, dia sudah meninggalkan hidup berfoya-foya dan membuang masa. Dia seharus kembali mengamalkan gaya hidup yang baharu, mengesakan Tuhan yang satu. Dia seorang lelaki yang sudah dewasa, mencapai usia matang. Dia tidak boleh menyalahkan sesiapa. Tidak ibu ataupun bapanya.
Ibunya memang tiada di Malaysia untuk memberikan perhatian serta nasihat. Sudah lama wanita itu berhijrah ke London, menjalani hidup di sana.
Sekali-sekala mata Adri tertumpu ke arah bahagian solat perempuan yang ditutupi tabir. Dia tahu Lara ada di situ, bersama beberapa orang jemaah lain. Jika dilihat daripada penampilan Lara, Adri yakin gadis itu sedang melalui fasa pemulihan. Adri gembira sekiranya itu berlaku. Dia ingin melihat Lara keluar dari pusat itu dan kembali ke dalam masyarakat. Dan dia juga berharap hubungan antara mereka berkembang, seperti sekuntum bunga yang mulai mengorak kelopak.
Adri menunggu dengan sabar, sehingga selesai solat isyak. Adri tidak sabar untuk menegur Lara. Lalu dia terus menuju ke pintu dan menunggu Lara di luar surau. Sayangnya masih ada acara ceramah dijalankan malam itu. Adri masuk semula untuk mendengar ceramah yang berlangsung sekitar satu jam.
Selesai ceramah, barulah Lara keluar dari surau. Adri mengekorinya dari belakang. Lara yang sedang berjalan dengan Mieza terkejut apabila lelaki itu memanggilnya dari jarak dekat.
"Adri!"
"Lara, saya nak jumpa awak sekejap."
"Ada apa, Adri?"
"Saya nak nombor telefon awak. Hari tu saya dah dapat nombor awak tapi nombor tu dah tak ada dalam perkhidmatan pula. Awak dah tukar nombor ya?"
"Adik saya yang tukar," beritahu Lara.
"Cepat bagi saya nombor, sebelum petugas di sini nampak saya bercakap dengan awak. Nanti dah ada nombor awak, senang saya nak whatsApp."
Lara enggan memberikan nombor telefon bimbitnya. Dia terus beredar dengan cepat. Lara bimbang Cik Rozita nampak dia bercakap dengan Adri.
"Lara! Tunggu dulu!" Adri mengejar dan memegang lengan Lara.
Lara meronta lembut, minta dilepaskan. Wajah Lara mulai berubah, gelisah dan bimbang. Dia memerhati sekeliling, bimbang ada orang yang melihat mereka di situ. Suasana di kawasan surau masih terang tetapi tiada orang lain. Semua sudah balik ke bilik masing-masing. Ustazah yang memberi ceramah tadi juga sudah pun berlalu.
"Ada apa lagi, Adri? Saya nak cepat. Sekejap lagi jururawat akan cari saya di bilik."
"Saya nak call awak."
"Tak perlu, Adri. Lagipun tak ada apa yang nak dicakapkan. Lebih baik awak keluar dari tempat ni, sebelum terlambat. Nanti awak tidak akan dapat keluar langsung. Awak nak dicop gila?"
"Biarlah. Saya memang gilakan awak, Lara. Saya sanggup."
"Adri, awak tak tahu apa yang awak cakapkan ni. Dengar sini... sesiapa yang dimasukkan ke sini akan dikenakan rawatan gelombang otak menggunakan kuasa elektrik. Awak nak betul-betul jadi gila ke?"
"Saya sanggup demi awak, Lara."
"Awak tak tahu macam mana seksanya saya semasa mental saya tak stabil. Tapi syukur sekarang saya dah okey. Jadi, awak jangan cari penyakit. Esok awak keluar dari sini. Tinggalkan tempat ini."
"Tapi awak janji dulu."
"Apa?"
"Awak tak akan lupakan saya. Saya akan tunggu awak keluar."
Lara mengangguk sahaja.
Di tepi sudut bangunan yang agak gelap, Mieza memerhati sahaja gelagat Adri dan Lara. Dia pelik dan hairan bagaimana Lara boleh mengenali jejaka itu. Semua orang bercakap tentang lelaki yang mirip dengan wajah pelakon Korea itu namun tiada seorang pun yang berjaya mendekatinya. Adri biasanya tidak melayani sesiapa.
Sebaik sahaja sampai di bilik, Mieza terus mengasak Lara dengan pertanyaan.
"Kau kenal jantan tu ke? Dia pesakit lelaki yang baru masuk ke sini. Semua orang cakap pasal dia. Orang panggil dia Song Joong Ki."
"Ya, aku kenal dia. Nama dia Adri."
"Dia tu pakwe kau ke? Aku tengok dia macam sukakan kau aje."
"Entah, aku pun tak tahu. Dia pakwe aku ke, kekasih ke... entah."
Mieza mengetapkan bibirnya. Ada rasa cemburu yang bertandang di hatinya tatkala teringatkan insiden Lara dan Adri berbual di hadapan surau tadi.
Mesti ada apa-apa... Aku akan siasat nanti, bisik hati Mieza.
"Taklah, Mieza. Kau rasa ada ke orang yang akan jatuh cinta pada orang yang dianggap tak siuman? Ada ke lelaki mahu dengan orang yang macam aku ni?"
"Mungkin ada... kalau dia sama-sama gila," balas Mieza sambil tergelak.
Lara ikut ketawa. Ya, kau pun boleh tahan gila, Adri. Sanggup kau masuk ke sini semata-mata untuk jumpa dengan aku? Fikir Lara sambil merebahkan badannya.
Tidak lama kemudian lampu automatik padam lalu diganti dengan mentol lampu kecil yang malap, menjadikan bilik itu samar-samar sahaja. Kebanyakan pesakit menarik selimut untuk berehat dan tidur. Lara juga mengambil keputusan untuk melelapkan mata. Dia sudah biasa tidur seawal pukul sepuluh malam.
"Lara..." panggil Mieza dari arah katilnya.
"Nak join main daun terup malam ni?"
"Tak nak. Aku mengantuk."
"Okey... kau jangan menyesal ya. Sebab malam ni ada ahli baru nak join kami main kad."
"Siapa?"
"Aku tak tahu. Saleh tak nak bagi tahu siapa."
"Kau ajelah yang pergi. Aku tak nak join."
"Okey, kau tidurlah. Aku nak pergi enjoy."
Mieza menyelinap keluar dari bilik itu. Muslihat yang sama dilakukannya dengan menyusun bantal lalu diselimutkan hingga tertutup semuanya. Selama ini dia berjaya menyelinap keluar tanpa diketahui oleh pengawal keselamatan yang memantau CCTV. Mungkin pengawal keselamatan itu pun sebenarnya tidur. Justeru itu hampir setiap malam Mieza keluar untuk bermain kad dengan sekumpulan kawan-kawannya terdiri daripada pesakit mental dari wad sebelah dan juga wad wanita.
Mieza gembira menjalani kegiatan itu hampir setiap malam. Namun sekiranya hal itu diketahui pihak pentadbiran, dia bakal mendepani hukuman dan denda.
Keesokan hari, Mieza bangun awal. Dia kelihatan senang hati. Sebelum Cik Rozita datang mengetuk pintu, dia sudah pun mandi dan bersedia untuk ke surau. Lara hairan melihat tingkah laku Mieza pada pagi itu.
"Apa yang terjadi malam tadi masa kau keluar main daun terup?"
"Aku gembira sangat."
"Sebab?"
"Kan semalam aku bagi tahu ada orang baru yang Saleh bawa masuk untuk join main daun terup."
"Jadi, siapa orangnya?"
"Song Joong Ki."
"Adri?"
Mieza mengangguk.
"Kan aku dah ajak kau pergi, tapi kau tak nak? Malam tadi kami main terup sampai jam lima pagi. Dan aku dapat ni..." Mieza menunjuk seutas rantai emas putih dengan loket berbentuk bunga.
"Bertaruh lagi?"
"Ya, aku menang semua pusingan."
"Hebat betul kau main daun terup."
"Selalu tu kami Seven Sekop ataupun Lap lap Fu."
"Aku tak tahu, sebab aku tak pernah main daun terup seumur hidup," akui Lara.
"Aku memang mahir main daun terup sebab kami tak ada permainan lain selain daripada kad. Lagipun aku selalu buka daun untuk ajak orang bertaruh. Cara mudah untuk dapat duit."
"Tapi itu berjudi namanya, Mieza."
"Entah. Aku tak pernah kisah pasal judi ataupun bukan. Yang aku tahu, aku perlu duit dan aku tak ada cara lain yang lebih mudah. Tak perlu guna tenaga, hanya guna kecerdasan otak dan tangan. Lepas tu nasib. Bergantung pada nasib baik. Kau rasa berdosa ke? Lebih besar lagi dosanya kalau melacur diri kan?" kata Mieza mulai emosi.
Lara memandang tepat ke wajah Mieza dengan dahi berkerut.
"Untuk pengetahuan kau, aku pernah jual diri untuk sesuap nasi. Kau tak pernah rasa itu semua sebab keluarga kau senang. Emak ayah kau ada harta. Tapi aku dan keluarga aku hidup menumpang di pondok buruk orang yang dah hampir roboh. Kami perlu hidup, perlu makan setiap hari sebaik sahaja celik mata. Tapi duit langsung tidak ada."
Lara diam. Da memerhati mata Mieza yang kelihatan berkaca-kaca. Sebutir air jernih sudah pun berada di tubir mata.
"Dahlah, kawal emosi kau tu. Kita berubahlah perlahan-lahan. Tu tujuan kita dimasukkan ke sini. Untuk berubah jadi manusia."
Mieza menggigit bibir. "Terlalu susah untuk berubah, Lara. Kau tak faham."
Lara diam sahaja. Dia tidak akan melayani Mieza lagi apabila wanita muda itu menunjukkan emosi yang kurang menyenangkan. Dia tidak mahu terlibat dengan semua kegiatan nakal Mieza. Lara hanya memikirkan dirinya sendiri. Jika segalanya bertambah baik dan dia dibenarkan keluar, dia punya rancangannya sendiri. Segala rencana yang tidak ingin dikongsi dengan sesiapa. Dan dia tidak pernah berhasrat ingin kembali ke pangkuan keluarganya. Bukan dia tidak tahu, mereka akan mulai mengongkong dan menyekat kebebasannya kelak. Dia ingin memulakan hidup sendiri dan berdikari. Dia akan pergi jauh, ke suatu tempat di mana tiada orang yang mengenali dan mengetahui sejarah hitamnya yang pernah jadi penghuni di Pusat Rawatan Mental DrV.
"Melalui pemantau dan laporan ini, kesihatan awak semakin baik, Lara," kata Dr. Imran sambil meneliti laporan dan kegiatan diri Lara.
"Awak dapat sesuaikan diri dengan semua kegiatan. Saya suka tengok perkembangan yang sangat baik ini. Puan Hani, guru seni lukis juga banyak kali memuji awak. Katanya awak berbakat. Teruskan semua kegiatan awak dengan Puan Hani. Saya ada tengok artwork dan lukisan yang awak lukis."
Lara tersenyum senang. "Ya, saya sangat suka melukis dan segala tunjuk ajar daripada Puan Hani sangat saya hargai."
"Awak teruskan kegiatan yang awak minat. Apa rancangan awak sekiranya dibenarkan keluar nanti?" tanya Dr. Imran. Dia ingin menguji sejauh mana Lara mampu merancang masa hadapannya.
"Saya ingin berdikari, membina masa hadapan saya sendiri tanpa campur tangan keluarga. Selama ni emak ayah saya banyak mengongkong saya, buat saya tertekan dan ingin memberontak. Banyak kali saya cuba melarikan diri dari mereka. Saya ingin buat sesuatu yang bermanfaat. Bukan saya ingin meninggalkan mereka terus, tapi saya ingin buktikan saya boleh berjaya jikalau saya dibenarkan berdikari."
Dr. Imran mengangguk. "Dah tahu apa yang akan awak lakukan? Apa bidang kerja yang awak akan pilih?"
"Saya ingin menjadi seorang pelukis yang berjaya. Nak jadi macam Vincent Van Gogh."
Dr. Imran bertepuk tangan.
"Saya ingin melukis potret dan lanskap," ujar Lara lagi.
"Bagus. Saya dapat tahu awak ada lukis potret wajah lelaki. Siapa dia?"
Wajah Lara mulai berubah, sedikit kemerah-merahan. Dia malu. Dan dia tidak akan mengaku bahawa dia melukis potret wajah Adri.
"Bukan sesiapa. Ada orang kata potret itu mirip Song Joong Ki. Mungkin juga saya lukis wajah Song Joong Ki. Saya melukis berpandu memori saya tentang pelakon tu."
Dr. Imran senyum. "Nanti lukis potret saya."
"Potret doktor?" Lara terkejut. Dengan mata bola bulat bundar, dia renung sejenak wajah Dr. Imran.
"Ya. Kenapa? Saya tak cukup handsome ke?"
"Hmm... doktor handsomelah."
"Terima kasih," balas Dr. Imran lalu melemparkan senyuman paling menawan. Kemudian dia tunduk, menulis sesuatu dalam kad laporan kesihatan Lara.
Lara memerhati lelaki itu. Berkulit sawo matang, bertubuh tinggi dan kurus. Di dagunya ada rerambut halus yang selalu dicukur rapi. Dia juga punya kumis tipis yang mengindahkan lagi senyumannya.
"Saya tak mahu berjanji, tapi saya ingin menyatakan prestasi awak sangat memberangsangkan kebelakangan ini. Ubat yang diberi tu berkesan, berbanding ubat yang dahulu. Saya menukar ubat awak sebanyak beberapa kali dan ternyata ubat yang terakhir ini, sungguh berkesan."
"Ya. Setuju, doktor. Kepala saya rasa ringan. Tidak ada lagi rasa ingin marah, memberontak dan sedih. Setiap pagi bangun dari tidur saya rasa happy."
Lara memang perasan pada perubahan dirinya. Adakah dia berubah kerana deskripsi ubat yang diberi Dr. Imran ataupun kerana kedatangan Adri ke situ? Walaupun dia menafikan potret yang dilukisnya itu adalah wajah Adri, namun hakikat dan kebenaran tidak dapat ditolak ke tepi. Dia ingat setiap inci wajah Adri, pada malam terakhir pertemuan mereka sebelum dia dimasukkan ke sini.
Dia ingat semua kenakalan yang dilakunnya. Dia mencuri motosikal budak Foodpanda untuk mencari Adri dan mengembalikan helmet Aidit. Dia ingat juga bagaimana dia melarikan diri sehingga hampir terlanggar ibunya sendiri. Mujurlah Cik Biah tidak apa-apa, sebaliknya dia yang ditimpa kemalangan. Namun mujur dia hanya cedera ringan.
"Baguslah. Itulah saya mahukan. Awak selalu gembira. Tidak perlu memikirkan sesuatu yang di luar kemampuan diri kita, Lara. Awak buat apa yang termampu. Dan jangan sesekali rasa terbeban, jika tidak mampu melakukannya ataupun tidak berjaya menunaikan hasrat orang lain, terutama sekali ibu bapa awak. Awak harus ingat, hidup awak bukan untuk memuaskan hati orang lain tapi hiduplah kerana Allah."
"Terima kasih, doktor. Segala nasihat doktor saya akan ikuti dan cuba amalkannya. Saya juga sedang cuba mendekatkan diri pada Allah. Saya sedar, saya kurang dari segi agama. Saya bukan hamba-Nya yang beriman. Saya sedang mencari jalan keredhaan."
Dr. Imran megangguk. "Baiklah, Lara. Awak boleh balik ke bilik. Berehat sebentar. Setengah jam lagi dah tiba waktu makan."
"Terima kasih, doktor." Lara bangun dan bergerak ke pintu. Tetapi langkahnya terhenti apabila Dr. Imran memanggil namanya.
"Lara! Jangan lupa petang ni lukis potret saya."
"Tapi saya tak ada gambar, doktor."
"Nanti saya kirim melalui whatsApp."
Lara mengangguk. Dia yakin, Dr. Imran pasti tahu nombor telefon bimbitnya. Tidak perlu dia bertanya banyak. Seketika kemudian, Dr. Imran menghantar WhatsApp potret wajahnya. Gambar close-up hingga paras dada.
"Handsome juga dia," kata Lara sendirian. "Doktor, walaupun kau handsome tapi Adri lebih menawan. Adri memiliki aura. Dia ada daya penarik, walaupun kami berasal daripada berlainan kutub. Dia kutub utara dan aku kutub selatan. Kalau diikutkan kami tak mungkin bertemu, tapi..." Suara Lara tersangkut di situ.
Dia masih merenung gambar Dr. Imran namun wajah itu segera dilapisi wajah Adri.
"Adri, betul ke perasaan ini adalah cinta? Cinta antara dua kutub, yang tak akan bertemu?"
Pintu yang ditolak dari luar, membuatkan Lara tersentak lalu dia terus memandang ke arah Mieza yang baru sahaja masuk. Wajah Mieza kelihatan sedikit muram. Dia baru sahaja menemui Dr. Wahab. Doktor itu sudah berumur, pertengahan 50-an. Setiap kali lepas bertemu dengan Dr. Wahab, Mieza akan tunjuk wajah tertekan. Lara hairan, mengapa rakan sekamarnya itu jadi begitu.
"Kenapa kau tak ceria? Pagi tadi bukan main happy."
Mieza bermain-main dengan rantai emas putih yang tersarung di lehernya. Kalau di hadapan jururawat, dia akan menyembunyikan rantai itu di dalam baju. Dia amat bimbang sekiranya rantai itu dirampas. Pesakit tidak dibenarkan memakai perhiasan yang akan memudaratkan diri sendiri.
"Aku benci Doktor Wahab tu!"
"Kenapa?"
"Minggu lepas dia kata, jika rekod aku baik di sepanjang bulan ni... aku akan diberi tarikh keluar dari sini. Tapi hari ni, lain pula ceritanya."
"Apa dia?"
"Dia kata aku tak boleh keluar dari sini selagi..," kata-kata Mieza terhenti sejenak.
"Apa?"
"Selagi aku tak layan dia. Kalau aku layan dia, esok pun dia boleh tandatangan borang untuk keluar dari pusat ini! Dia suruh aku buka baju. Lepas tu..." Mieza tidak mampu meneruskan bicaranya.
"Mustahil! Kan bilik dia ada CCTV?"
"Untuk pengetahuan kau, bilik Doktor Wahab tak ada CCTV. Dia bebas buat apa saja. Bukan sekali dua dia paksa aku layan dia. Dah banyak kali... aku rasa macam nak muntah bila dia... Dia paksa aku, Lara! Dia paksa aku buat benda tu di atas katil rawatan!"
"Oh, Tuhan!"
"Tapi kali ini aku dah malas dan tak ada mood. Aku benci dan meluat diperlakukan macam hamba. Aku bukan hamba, okey! Aku bukan hamba sesiapa. Aku bukan hamba doktor keparat tu... ataupun hamba bekas suami dan mak mertua aku." Mieza meluahkan rasa kecewanya.
"Kau memang celaka!" jerit Mieza tiba-tiba sambil mencapai bekas air di atas meja sisi dan melemparnya ke lantai.
Tidak cukup dengan itu, dia mulai merentap cadar dan sarung bantal. Semuanya dilempar ke lantai. Kemudian dia menolak katilnya hingga terbalik. Lara diam dan terpaku melihat keadaan Mieza. Dia tidak berani hendak berbuat apa-apa.
Dua orang jururawat lelaki bergegas masuk ke bilik itu. Cik Rozita juga muncul untuk membantu menenangkan Mieza yang mengamuk. Mereka cuba mententeramkan Mieza yang dibelenggu histeria.
Mieza seperti tidak sedar keadaan sekeliling. Dia melawan, membentak, menjerit dan menggigit jururawat yang memegang badannya. Salah seorang jururawat itu menyuntik Mieza. Beberapa minit sahaja Mieza mula lemah dan terkulai. Tubuhnya yang lembik itu diangkat keluar dari bilik itu.
"Awak okey, Lara?" tanya Cik Rozita.
"Okey Cik Ita," balas Lara.
Cik Rozita duduk di tepi katil Lara.
"Maaf, awak terpaksa tengok Mieza macam ni. Kebelakangan ni dia dah mulai okey. Tapi dia akan jadi begitu selepas jumpa Doktor Wahab."
"Tadi dia ada beritahu pasal Doktor Wahab yang cuba..."
"Awak jangan mudah percaya semua kata-kata Mieza. Dia banyak muslihat. Awak pun tahu, kan? Apa muslihat dia? Jangan ingat kami tak tahu. Semua kami tahu. Dia pandai berlakon," kata Cik Rozita.
Lara tertanya-tanya sama ada kakitangan di situ tahu yang Mieza keluar untuk bermain daun terup setiap malam. Entah siapa yang dia jumpa. Mieza ada grup bermain daun terup, terdiri daripada lelaki dan perempuan.
"Lara... kalau awak tahu apa-apa, awak akan beritahu kami, kan?" tanya Cik Rozita sambil mengusap belakang tangan Lara dengan lembut.
"Tolong kongsikan dengan kami apa yang awak tahu... Maklumat yang awak ada, akan bantu awak keluar dari sini dengan lebih cepat. Awak nak kongsi rahsia Mieza?"
Lara diam sejenak. Dia menganggap Mieza kawan baiknya. Mereka tinggal sebilik dan agak rapat. Mieza suka bercerita segala kegiatannya. Namun Lara langsung tidak ingin berkongsi apa-apa dengan Cik Rozita. Jika dia beritahu rahsia Mieza yang keluar setiap malam, bermakna dia mengkhianati persahabatan mereka.
Tidak, dia tidak akan beritahu apa-apa. Biar Cik Rozita cari dan siasat sendiri. Lagipun Lara tidak tahu lokasi tempat Mieza bermain daun terup. Lara tidak pernah mengikutnya pergi. Mungkin selepas ini, dia akan cuba ikut.
"Saya tak ada apa-apa yang nak dikongsikan, Cik Ita. Setiap malam, apabila lampu padam, saya terus tidur. Sebab ubat yang diberi buat saya mengantuk."
"Mieza tak makan ubat yang diberi selepas makan malam. Saya yakin, dia tak tidur dan dia ada buat sesuatu," ujar Cik Rozita.
"Itu saya tak tahu."
"Baiklah, Lara. Awak bertenang... saya bukan nak paksa awak. Sekejap lagi alarm akan berbunyi. Waktu makan tengah hari dah tiba. Nanti awak keluar makan." Cik Rozita bergerak keluar.
Lara mengangguk. Dia memerhati katil Mieza yang berselerak. Tiba-tiba dia terpandang rantai emas putih di atas lantai. Cepat-cepat dia ambil lalu membelek-belek rantai itu. Nyata ia masih utuh, langsung tidak putus ataupun rosak. Mieza sempat menanggalkannya sebelum dibawa pergi. Lara tahu, Mieza akan menjalani hukuman dikurung di bilik sendirian dengan tubuh dipasung.
Keadaan itu akan berlangsung sehinggalah Mieza kembali tenang. Dia akan pulang ke bilik itu nanti. Untuk beberapa malam ini, Lara akan bersendirian. Lara menyimpan rantai emas putih itu di antara lipatan baju-bajunya. Dia akan mengembalikannya kepada Mieza.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro