Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XXXVIII : 38 ~👑

"Habislah." Ucap Andika perlahan. "Habislah!" Jeritnya pula seraya melajukan larian. Kertas-kertas yang berada di tangannya dipegang erat agar tidak terbang ditiup momentum angin. 

Dengan larian yang selaju itu, sungguh tiada yang perasan akan siapakah sang gerangan yang sedang berlari bagai orang gila di dalam istana itu. Apa yang para pembantu istana tahu ialah dia seorang lelaki, menjerit-jerit bagai dikejar pontianak di siang hari.

"Ya Allah, siapakah itu?" Soal Rabiha terkejut tatkala terlihat kelibat yang sedang berlari dari kejauhan. Dia sedang menyapu di luar, kelibat yang dilihatnya itu pula berada di koridor istana yang terbuka.

"Jika sudah berlari begitu di dalam istana, boleh jadi orang atasan." Seorang pengawal berbaju merah menjawab tatkala dia sedang meronda di kawasan itu. "Para pengawal tidak menegurnya jadi hamba rasa, warga terdekat dengan keluarga diraja." Sambungnya lagi sebelum melakukan tabik hormat dan berjalan pergi.

Zarina dan Rabiha yang mendengar sudah ternganga manakala Fazia yang berada tidak jauh dari mereka sudah mengekek ketawa. 

"Kenapa sudah itu buat tabik hormat pada kita?" Tanya Zarina kebingungan sambil melihat dua orang sahabatnya.

"Tidak, tidak, itu tidak penting. Sekarang ini mengenai insan yang sedang berlari itu. Tidak akanlah..." Rabiha membiarkan ayatnya tergantung. Wajahnya masih terlihat keliru.

Derapan tapak kaki mendekati, Fazia berdiri di hadapan kedua orang sahabatnya itu dengan senyuman kecil di wajah. Tangannya memegang bahu sahabat-sahabatnya itu erat. "Untuk jawab soalan Ina, pengawal itu buat begitu kerana awak sudah terikat dengan keluarga diraja. Bagi jawapan Rabiha pula, benar, itu Tuan Andika." Jawabnya dalam nada serius.

"Lagi pun, siapa saja yang mahu memekik begitu tidak kira tempat? Tuan Tuah memang tidak akan buat." Sambung Fazia lagi lalu melepaskan pegangannya pada bahu Zarina dan Rabiha.

Zarina dan Rabiha saling berpandangan seketika dengan mulut yang masih lagi ternganga. Masing-masing menunjukkan wajah tidak percaya.

"Astaghfirullahalazim, tidak kena tegurkah Tuan Andika itu?" Soal Rabiha yang sudah menampar wajah tanda kesal. Perangai begini, apa jadi nanti bila sudah menjadi seorang suami?

"Entahlah dia itu." Sibuk satu suara asing dari arah belakang mereka. "Sudah banyak kali saya tegur, dia tidak mahu dengar. Mahu kena ketuk sekali baru dengar rasanya." Kata suara itu lagi.

Segera ketiga-tiga orang sahabat itu berpaling ke belakang. Kelihatan seorang pemuda tinggi dan segak berpakaian formal istana sedang tersenyum ke arah mereka. Hampir-hampir sahaja Fazia menjerit akibat terkejut.

"Ah- Tuan Tuah, erm, hamba bertiga tidak mengumpat." Terang Fazia laju dengan tangan yang digoyang-goyangkan ke hadapan. Zarina sudah tertunduk-tunduk segan manakala Rabiha pula menggeleng perlahan.

"Eh, tidak mengapa. Lagi pun sudah saya kata, sesama kita tidak perlu terlalu formal. Berbahasa kita yang sopan sudah cukup." Tegur Tuah dengan senyuman yang masih tidak lekang dari wajah. "Biarkan saja Andika itu. Saya minta maaf buat pihak dia ya Dayang Rabiha akan tempias malu yang akan awak hadapi nanti. Itu pun kalau warga istana sedarlah itu dia." Sambungnya.

Rabiha tertawa perlahan dengan gelengan kecil. "Tidak perlu risaulah Tuan Tuah, sudah banyak perkara saya tebalkan muka sejak dia meminang saya lagi. Aduhai, masalah, masalah." Bebelnya sendiri.

"Mengapa Tuan Tuah di sini?" Zarina akhirnya bersuara setelah beberapa minit melihat sahaja. Semua yang berada di situ kini memandangnya.

"Apa yang Andika bisingkan sangat itu perkara penting yang harus dibicarakan sebenarnya. Kebetulan saya lalu sini dan dengar kalian berbual jadi saja masuk sekali. Tetapi jika ada apa-apa yang memerlukan bantuan atau perbincangan bersama kalian bertiga, saya akan panggil. Pinta diri dulu, maaf mengganggu." Balas Tuah panjang lebar sebelum meminta diri dan berlalu pergi.

Ketiga-tiga orang sahabat itu saling berpandangan. Apakah yang penting sangat itu sehingga mereka juga akan terlibat sekali?

"Entah-entah mengenai pernikahan awak, Ina?!" Bicara Fazia teruja. Pandangan matanya bergerak dari Rabiha ke Zarina bersilih ganti.

"Tetapi nada jeritan Tuan Andika itu... Tidak meyakinkan. Ia seperti perkara yang buruk." Balas Zarina sedikit perlahan. Dagunya dipegang, menunjukkan bahawa dia sedang berfikir.

Rabiha mengeluh kecil sebelum menepuk pakaiannya beberapa kali. Genggaman pada penyapu di tangan dikuatkan. "Sudahlah, kita ini sudah seperti orang curi tulang pula. Kerja di sini tidak habis lagi, nanti jika dilihat yang lain dikatanya kita ini mentang-mentang sudah dikaitkan dengan keluarga diraja, malas pula mahu buat kerja." Perintahnya kemudian sambung menyapu.

"Jauh benar fikirannya, ya kan Ina?" Fazia berkata dalam nada malas lalu menyapu jua. Namun demikian, kaedah menyapunya itu benar-benar mahu kena tengking dengan para ibu di luar sana. Acuh tidak acuh dan main-main sahaja.

"Aip, Allah nampak!" Laju sahaja Rabiha menegur. Lantas Fazia menyapu dengan sekuat hatinya. Berterbangan daun kering di atas rumput akibat momentum sapuannya itu. Rabiha yang melihat hanya mampu menepuk dahi.

Zarina melihat kembali koridor yang dilalui Andika itu tadi. Rasa tidak sedap hati mula terbit, tetapi dia perlu bersangka baik juga agar tidak terlalu memikirkan perkara yang masih belum berlaku.

Nampaknya, dia perlu bertemu dengan Shafhan jua nanti.


°°°°°°°°°°


"Surat dari Lembayung Merah?" Shafhan menyoal bagi mendapatkan kepastian.

Andika mengangguk laju dengan wajah yang sedikit gerun seperti baru sahaja berlari dikejar entiti yang tidak dapat dikenal pasti. "Ya, benar tuanku."

"Mahu hadir ke mari? Bukankah sudah...?" Pertuturan Shafhan terhenti sejenak. Mindanya seperti baru sahaja memetik suis. "... Tidak akanlah tentang perkahwinan kau, Andika dan Dayang Rabiha?"

"Banyaklah kau." Suara Tuah memetir sebaik sahaja pintu kamar tersebut dibuka. Dia melangkah masuk dengan wajah yang sukar ditafsir. "Mestilah pasal penyatuan kau dengan Dayang Ina! Asal pula Andika dengan Rabiha, mereka kan sama-sama orang kebanyakan?"

"Oh, ya tak ya juga kan." Balas Shafhan dengan sengihan kecil.

Andika sudah menepuk dahi dan menahan tawa manakala Tuah pula kini mengetap bibir menahan geram. Satu Al-Quran itu boleh dihafalnya dengan lancar tetapi perkara mudah sebegini boleh pula tidak difikirnya.

"Ya Allah, Shafhan, kau ni..." Kesal Tuah bersuara. Dia mengambil tempat di sisi Andika dan berpeluk tubuh, memandang Shafhan dengan pandangan tajam. "Apa lagi yang diperkatakan di dalam surat itu?"

Shafhan kini berwajah serius, tubuhnya digerakkan sedikit ke hadapan. "Saja untuk datang berziarah katanya. Tetapi aku tahu, sudah ada perkara lain yang mahu dibincangnya lagi." Jawabnya sambil menongkat dagu dengan tangan yang disatukan.

"Aku pun fikir begitu juga. Warga di sini suka benar berbicara terhadap perkara-perkara di dalam istana dan Angin Putih ini tidaklah besar mana. Jadi, kita kena sedialah dengan apa-apa yang akan datang nanti." Balas Tuah, mengangguk. Dia pula merehatkan sikunya pada lengan kerusi.

Kertas-kertas di tangan segera Andika letakkan ke atas meja setelah menyedari bahawa banyak yang dipeluknya dari tadi. Kepalanya yang tidak gatal digarunya perlahan. "Betul, aku rasa macam tu juga. Tu yang terkejut gila nampak surat cap merah masa aku tengah kumpul kertas kerja."

"Hmm, boleh agak siapa yang akan hadir?" Tanya Tuah walaupun sudah tahu akan jawapannya.

"Heh, perempuan tu mesti ada." Balas Andika dalam nada menyampah dan sarkastik.

Mengingatkan segala kejadian yang telah terjadi di Angin Putih akibat seorang gadis itu, ketiga-tiga pemuda tersebut mengeluh kecil.

Perkara kecil akan jadi besar juga nanti jika dilihat secara mendalam. Apa yang boleh dilakukan sekarang ini, berdoa agar keadaan tidak menjadi keruh saja.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro