Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XXXVI : 36 ~👑

Kawasan kandang kuda riuh-rendah dengan suara-suara petugas istana yang berada di situ. Aryan, Zarina, Rabiha, Fazia dan Nafiz, semua sedang bertukar-tukar cerita selagi masa lapang mereka masih ada. Bukan tidak biasa mereka berbual sebegitu, hampir seluruh warga istana mengenali sekumpulan sahabat yang bagaikan isi dengan kuku itu.

"Lepastu Tuan Andika biar sahaja Nafiz dimarahi oleh Dayang Leha?" Soal Rabiha tidak percaya. Tangannya diletakkan ke mulut bagi menahan tawa.

"Ya." Balas Aryan kemudian berpeluk tubuh. "Padahal bukan Nafiz yang tumpahkan airnya. Tuan Andika yang buat lepastu kebetulan Nafiz ada dekat situ. Yang nampak bendanya Dayang Leha, tapi dia tak nampak Tuan Andika." Sambungnya lagi.

Nafiz mengeluh perlahan tanda pasrah. "Nasiblah ada Aryan lalu dekat situ. Kalau tidak, habis saya." Ujarnya yang mana mengundang tawa ketiga-tiga wanita yang mendengar cerita mereka pada hari itu.

"Tuan Andika memang. Nasiblah dia dapat pasangan macam Rabiha." Tutur Fazia dengan senyuman senget. Dia menyiku Rabiha beberapa kali.

Keluhan kecil dilepaskan Rabiha sekali sebelum tersenyum kecil. "Jangan macam-macam, kami belum bertunang lagi." Balasnya sambil bermain cincin yang berada pada jarinya itu. Dia baru sahaja baru dipinang agar tiada yang mengganggu. Upacara pertunangan belum dilakukan lagi.

Zarina yang sedari tadi mengusap kepala Jelita (kuda Aryan) sekadar mendengar perbualan itu. Dia melihat Rabiha yang bahagia itu dengan hati yang sedikit cemburu. Rabiha itu baik, bertudung dari awalnya dan sangat penyabar. Sahabatnya itu benar-benar menjaga hatinya sehinggalah tanpa sedar ada seorang yang baik meminangnya.

Dia terfikir-fikir, adakah dirinya bakal mendapat pasangan yang baik juga? Sudahlah dia ini baru sahaja bertudung, obses dengan hero siri novel miliknya itu, suka bergaul sana-sini dan menolak semua pinangan yang diberi. Jika yang baik pun ditolaknya, apakah yang lebih baik akan hadir dan mencarinya?

Ya benar, hanya Allah sahaja yang tahu. Namun, apa yang bakal terjadi apabila segala yang dilakukannya disedari adalah salah satu jalan yang salah?

"Ha, Aryan tak mahu cuba Ina-kah? Kasihan sahabat saya yang seorang ini, sudah lama dia menunggu calon." Suara Fazia tiba-tiba menarik Zarina ke alam realiti semula.

"Jangan haraplah. Dia ini menunggu hero novelnya itu hidup semula. Tidak pun, Putera Shafhan yang diminatinya itu." Kata Rabiha dengan gelengan. 

Aryan tertawa kecil, melihat Zarina yang sudah berubah air mukanya. Mereka itu bersahabat sudah lama, pastilah Aryan tahu apa yang Zarina fikirkan dan simpan di dalam hatinya. "Apa salahnya? Putera Shafhan ialah seorang pemuda yang baik. Jika ada jodoh tidak ke mana, kan?"

"Itu saya setuju." Nafiz menyambut dengan anggukan laju. Apabila sang pemuda sudah berkata begitu, tidak akanlah yang wanita mahu menyangkalnya pula. Bukan mereka tidak tahu bahawa bidadari istana yang seorang itu memang sangat memilih orangnya.

"Ish, cakap pasal orang macam saya tiada di sini." Tegur Zarina yang mana dipersetujui oleh Jelita yang meringkik di sisinya. Zarina tersenyum puas apabila menerima riak tidak puas hati daripada sahabat-sahabatnya itu.

Secara tiba-tiba, langkah laju seseorang dapat mereka dengari dari kejauhan. Tatkala menoleh, kelihatan Makcik Zakiyah sedang berjalan dengan langkah besar ke arah mereka dengan mata yang tidak lekang daripada memandang Zarina. 

"Okey, itu menakutkan." Ucap Zarina sambil menuding ke arah emaknya. Sahabat-sahabatnya itu pula menganggukkan kepala tanda setuju sebelum bergerak sedikit ke tepi dan menjauhi Zarina.

Makcik Zakiyah tiba di hadapan Zarina dengan pandangan tajam, selepas itu mengerling mereka yang berdiri di tepi. Sungguh pandangan itu keras yang mana boleh menegakkan bulu roma mereka yang melihat. 

Sebaik sahaja Makcik Zakiyah kembali menoleh ke arah Zarina, keadaan menjadi tenang semula apabila dia memandang anaknya itu dengan pandangan redup.

"Ina, ada orang masuk meminang kau dan mak terima." Ujar Makcik Zakiyah lembut kemudian mengambil tangan Zarina sebelum meletakkan sebentuk cincin di dalam genggamannya. Senyuman manis diberikan. "Kali ni, mak tak nak kau tolak."

Mata Zarina membulat apabila merasakan cincin itu diberikan kepadanya. Hatinya berdetak hebat, siapa pula yang meminangnya ini sehinggakan ibu bapanya tidak bertanyakan kepadanya terlebih dahulu?

"Ya Allah Ina." Suara Rabiha sayup-sayup kedengaran. "Alhamdulillah, tahniah sahabat."

Zarina menarik nafasnya lalu menundukkan kepala bagi melihat cincin tersebut. Cincin emas belah rotan, cincin penanda seperti apa yang dipakai oleh Rabiha namun lebih kecil saiznya.

"Mak, Ina dah cakap, Ina tak nak terima pinangan daripada sesiapa sahaja-"

"Ina, kau tahu tak siapa yang pinang kau?" Potong Makcik Zakiyah seperti ingin marah. Suaranya ditahan-tahan agar tidak menjerit atau menangis.

Zarina terdiam lalu menoleh ke arah sahabat-sahabatnya seketika. Fazia dan Nafiz menjongketkan bahu, Rabiha sudah berubah air wajah terkejut manakala Aryan pula tersenyum nipis seperti sudah tahu siapa gerangan itu. 

Zarina kembali memandang emaknya, kemudian bertanya semula. "Tak, mak. Siapa?" 

"Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah, Ina." Jawab Makcik Zakiyah, sebak. "Kau akan ditunangkan dengan Putera Shafhan, nak." Sambungnya lagi.

Sepi, hanya bunyi burung merpati yang berterbangan sahaja kedengaran.

"Mak..." Zarina menggenggam cincin itu kuat-kuat. "Biar betul, mak." Dia bagaikan ingin menangis.

Anggukan laju Makcik Zakiyah berikan. "Ya, betul. Bapak kau balik daripada kerja di Bahtera Biru sebab kena panggil menghadap oleh raja dan permaisuri, tahu tak? Kau fikir mak nak main-main ke?" 

Esak tangis kecil memenuhi suasana. Zarina mengalirkan air mata gembira bercampur sedih. Dia sungguh tidak menyangka perkara ini, kerana dia baru sahaja berfikiran negatif tentang rezeki jodoh dirinya. Namun Allah akan memberikan yang terbaik dan jika ini takdirnya, dia akan menerimanya dengan hati yang sangat terbuka. Syukur ke hadrat Illahi.

"Ya Allah." Itu sahaja yang mampu diucapnya sebelum emaknya itu dipeluk erat. Jika tidak berada di kandang kuda, sudah lama dia melakukan sujud syukur.

Tidak lama kemudian, dia dapat merasakan Rabiha dan Fazia mendekati lalu memeluknya jua. Mereka turut menangis kegembiraan bersama bertalu-talu ucapan tahniah yang mana membuatkan Makcik Zakiyah tertawa akibat terhibur.

"Mak tak tahu bila pertunangan akan berlaku atas sebab tertentu tapi, mak harap kau dapat jaga diri. Entah apa yang kerabat Angin Putih ni nampak dekat kau, tapi mak harap perkara yang baik. Mak tahu, Putera Shafhan akan jaga kau dengan ikhlas, InsyaAllah." Tutur Makcik Zakiyah sebaik sahaja meleraikan pelukan.

"Makcik akan berbesankan keluarga kerabatlah ni. Untunglah~" Sibuk Aryan yang mana mengundang pukulan kecil pada lengannya oleh Makcik Zakiyah. "Apa-apa pun, tahniah Ina." Ucapnya pula dengan senyuman nipis.

Namun di dalam hati, hanya tuhan sahaja tahu betapa retaknya ia kerana sangkaannya menjadi nyata. Pada awalnya, dia hanya fikir bahawa itu sekadar kata-kata, tapi nampaknya kerabat Angin Putih memang menginginkan rakan sepermainan sewaktu kecilnya itu untuk menjadi keluarga mereka.

Tidak apalah, Shafhan lebih baik daripada Aryan dan dia akan membawa Zarina ke arah yang lebih baik. Itu yang dipegang Aryan untuk menyedapkan hatinya.

"Pakai cincin tu, biar orang nampak. Tak adalah orang akan tanya-tanya mak lagi. Jaga diri kau baik-baik ya, bidadari istana." Pesan Makcik Zakiyah sambil menepuk bahu Zarina berkali-kali. "Mak ada kerja di kebun belakang, pergi dulu." 

Zarina bersalaman dengan emaknya lalu melambai kecil tatkala Makcik Zakiyah sudah menjauh. Cincin yang berada di dalam genggamannya lantas disarungkan, menyebabkannya mengalirkan air mata sekali lagi.

"Ina, awak tengok, jika kita meletakkan harapan kita pada Allah dan berdoa selalu, InsyAllah akan Allah jalankan yang terbaik untuk awak. Lihat." Rabiha berkata bangga sambil menuding ke arah jari Zarina yang tersarung cincin.

Anggukan kecil Zarina berikan lalu mengangkat tangannya. Rabiha menyatukan tangan mereka agar cincin yang terletak pada jari masing-masing bersentuhan.

"Alah, kalian sudah berpunya, saya bila lagi?" Keluh Fazia sambil memuncungkan bibirnya. Rambutnya yang pendek itu diusik-usik tanda rimas. "Nanti kalian sudah berkahwin, saya ditinggalkan berseorangan di sini!"

Zarina dan Rabiha saling berpandangan, mengemam bibir bagi menahan tawa. Ada benar yang diperkatakan Fazia itu. Tetapi, Fazia itu sering dipandang 'tomboy' oleh masyarakat sejagat meskipun memiliki rupa paras yang agak menawan. 

"Nak ke?" Tiba-tiba Nafiz bersuara, menyebabkan mereka semua menoleh ke arahnya dengan mata yang terjegil. "Saya serius ni Fazia, nak ke? Saya ada simpan cincin dekat rumah sana tu." Tuturnya lagi apabila perasan akan perhatian yang diberi.

Fazia ternganga, memandang dua sahabat wanitanya bersilih ganti dengan Nafiz dan Aryan yang sudah tersenyum senget. "Kejap, kejap, lawak apakah ini? Angin Putih dah nak ribut lagi ke?" Soalnya, tidak percaya.

"Lawak apanya Fazia? Nafiz ini sudah lama memerhatikan awak tahu tak? Ikut dari pandangan sayalah." Aryan mempertahankan Nafiz. "Mungkinlah Nafiz ini bukan putera, penasihat diraja ataupun bangsawan, tetapi dia ini anak kepada Encik Lazi tau! Usahawan terkenal di seantero Angin Putih?" 

Nafas bising dapat didengari daripada ketiga-tiga wanita itu. Nafiz, anak lelaki kepada Encik Lazi? Tidak salah dengar bukan? Kerana Encik Lazi itu penyumbang utama dalam sektor jual beli segala jenis berlian di negara ini. Hubungannya dengan usahawan negara-negara lain memang erat demi perniagannya di Angin Putih. Sungguh terkenal orangnya!

"Ini sebab saya tak nak beritahu orang." Nafiz berkata menyampah. Dia mencebik, memandang Aryan.

"Nafiz, betul ke awak nak si Fazia ni?" Tanya Zarina tanpa berlapik.

Jongketan bahu Nafiz berikan pada mereka. "Persoalannya kini ialah, nak ke si Fazia pada saya?"

Fazia menekup mulut, melihat Nafiz yang sedang memandangnya dengan riak ingin tahu. Dia bukan apa, mereka ini sudah bersahabat lama, tidak kurang seperti Aryan dan Zarina hubungannya. Apabila tiba-tiba dilamar begini, memang tidak dijangkanya.

"Saya fikirkan dulu, boleh?" Fazia berkata dengan sedikit janggal.

"Boleh saja, saya tak kisah pun. Ambillah seberapa lama awak nak." Jawab Nafiz dengan senyuman.

Rabiha dan Zarina sudah menjerit kecil melihat adegan itu di hadapan mata manakala Aryan pula sekadar menggulingkan bebola matanya, terhibur melihat kebahagian rakan-rakannya. Rezeki ada di mana-mana, jika engkaulah pemiliknya, memang tidak akan tersalah arah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro