Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XXXV : 35 ~👑

Seminggu berlalu, keadaan istana Angin Putih kini kembali tenang seperti biasa. Pulangnya ahli kerabat diraja yang lain ke negara mereka semula, mengembalikan kesederhanaan dalam menghidang juadah serta layanan yang diberi. Mereka di sini sudah terlatih untuk tidak melebih-lebih dalam menghormati dan tidak terlalu hebat dalam menyediakan sesuatu kepada seseorang meskipun kerabat diraja. Maka dengan itu, keadaan sudah kembali seperti biasa.

Namun demikian, Pahlawan Rizman, Dayang Leha, Cik Muda Nina serta beberapa orang petugas istana atasan telah pun dipanggil oleh Tuanku Shafhan dan Permaisuri Imarah atas sebab tertentu. Tiada sesiapa yang tahu akan perjumpaan itu, kerana kehilangan mereka tidak pun disyaki.

Kini di pagi hari, dapat dilihat empat orang manusia sedang meluangkan masa bersama-sama di taman belakang istana. Shaima dan Shafiy sedang berseronok melihat bunga dan bermain dengan rama-rama manakala Shahmina pula membantu Shafhan dalam sesi menguji hafazan Shafhan yang dipanggil sebagai 'tebuk'.

"Kenapa Shahmina tu nampak tertekan?" Soal Shaima yang sedang mencangkung di hadapan Shafiy sambil bermain dengan bunga di tangannya.

Shafiy menjogketkan bahunya tanda tidak tahu. "Entahlah, tertekan sebab dia yang tolong abang Shafhan. Abang pandai sangat kot." Balasnya dengan senyuman senget. Tangannya sedang ligat membentuk mahkota yang diperbuat daripada dedaun, ranting dan juga bunga-bunga.

Dia bahagian kerusi-kerusi yang ada, kelihatan Shahmina sedang melakukan riak wajah yang sukar untuk ditafsir manakala Shafhan pula terlihat tersenyum kemenangan. Matanya melihat segala gelagat adiknya yang benar-benar membuatkan dia terhibur.

"Aih, penatlah buat tebuk ni kalau semua Shafhan hafal." Rengek Shahmina yang hampir sahaja menyembamkan wajahnya pada tafsir Al-Quran yang dipegang.

"Ini bukan pertandingan, ana nak kuatkan hafalan saja. Tak akanlah nak tunggu orang lupa dulu baru nak berhenti?" Balas Shafhan sambil berpeluk tubuh.

Shahmina mencebik. "Yalah, kalau lupa bolehlah Shahmina suruh Shafhan hafal lagi dan boleh Shahmina pergi dari sini." Jawabnya dalam nada menyampah. Selendang yang dipakainya itu ditiup angin sepoi-sepoi bahasa.

Yalah, sudah hampir dua jam mereka meluangkan masa di situ sahaja.

"Hmm, nampak sangat tak ikhlas nak tolong orang." Ujar Shafhan lalu mengeluh perlahan. Kepalanya ditolehkan kepada dua orang adik kecilnya yang sedari tadi sedang bermain di atas rumput. "Ha, yang dekat sana tu main apa tu? Jangan kotor-kotor, nanti ayahanda dan bonda marah." Tegurnya pula.

Tanpa mengangkat kepala, Shafiy mengangguk-angguk dengan tangan yang ligat menyiapkan mahkotanya itu. Shaima pula segera bangkit dan menyapu pakaiannya dengan senyuman lebar yang diberikan kepada Shafhan. "Ya abang." Balasnya.

Nafas lega dilepaskan oleh Shahmina sebelum dia menutup tafsir Al-Quran itu dan menciumnya perlahan. Jika Shafhan sudah meletakkan fokusnya pada tempat lain, maka sesi mereka ini sudah pun selesai.

"Shaima laparlah, jom kita pergi makan." Pinta Shaima dengan senyuman yang masih kekal di bibir. Tangan kanannya dihulurkan pada Shafhan manakala tangan kirinya pula dihulurkan pada Shahmina agar mereka berdua menyambutnya.

Sebaik sahaja Shafhan dan Shahmina menyambut huluran itu, sebuah mahkota yang diperbuat daripada ranting pokok dan bunga-bunga diletakkan di atas kepala Shaima tanpa dipinta. Shaima segera menoleh ke belakang, melihat Shafiy yang sedang tersenyum nipis.

"Terima kasih!" Ucapnya, riang sekali. Shafiy membalasnya dengan anggukan kecil.

"Lah, itu ke yang dibuat dari tadi? Shafiy, pergi basuh tangan sekarang." 

Shafiy menepuk tangannya bagi menjatuhkan segala debu yang ada. Selepas itu, dia segera berjalan pantas ke arah bangunan istana mendahului abang, kakak dan adiknya.

Adakah itu tanda protes atau mendengar arahan? Entahlah, Shafhan hanya mampu tersenyum nipis sambil menggelengkan kepalanya tanda terhibur.

"Nak makan apa, Shaima?" Soal Shafhan dalam nada mesra, memanjakan adik bongsunya itu.

Shaima membuat gaya berfikir dengan meletakkan jari telunjuknya ke dagu manakala kepalanya didongakkan ke langit, melihat awanan indah yang diciptakan oleh yang Maha Esa. "Nasi goreng pattaya?"

"Oh kalau macam tu, Shahmina cadangkan nasi goreng pattaya hasil masakan Dayang Ina." Saran Shahmina, bersahaja. Apabila mendapat jelingan daripada Shafhan, dia segera meletakkan tangannya pada dadanya menunjukkan bahawa dia terasa. "Apa pandang-pandang? Ini berdasarkan pengalamanlah!"

Secara tiba-tiba, satu suara yang tidak dijangka kedengaran dari sisi Shahmina. "Dulu cakap tak kena dengan seleralah, bahaya kalau Dayang Ina masuk dapurlah." Bebelnya.

"Astgahfirullahalazim!" Ucap Shahmina yang hampir-hampir sahaja melatah di situ." "Sejak bila Shafiy ada dekat sini?!"

"Tadi." Jawab Shafiy dengan cebikan. "Singki ada tepi tembok tu je. Lepas habis basuh tangan, Shafiy larilah."

Sedang dua beradik itu berbalah disertai tontonan dua orang adik adik-beradik yang lain, secara tiba-tiba mereka berempat didekati dua orang pemuda yang berjalan dengan agak tergesa-gesa.

Shafhan sudah mula mengerutkan dahinya tatkala terlihat Andika dan Tuah. Ada apa sehingga tidak boleh menunggunya habis meluangkan masa bersama adik-beradiknya terlebih dahulu?

"Tuanku." Panggil Tuah seperti hilang nafas. "Ampun beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun. Patik telah mendapat titah daripada Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah agar memanggil Tuan Putera Shafhan untuk menghadap mereka di ruangan khas yang terletak di bangunan Beliung Empat."

Mendengarkan itu, Shafhan segera menganggukkan kepalanya tanda faham. Apabila dia menoleh ke arah adik-adiknya pula, mereka bagaikan sudah mendapat idea apa yang bakal dibicarakan mereka. Oleh itu, Shahmina bertindak sebagai kakak yang mithali.

"Ayuh, kita ke ruang santap?" Ajak Shahmina lalu menghulurkan tangannya pada Shafiy pula.

 Shaima sudah melepaskan pegangan tangannya pada tangan Shafhan lalu bergerak mengikuti langkah Shahmina yang turut membawa Shafiy bersamanya. 

Tuah dan Andika lantas mengapit Shafhan, mengiringinya ke tempat yang ingin dituju. Meskipun hati Shafhan berdegup kencang bagai mahu terkeluar dari tubuhnya, dia masih mampu berpura-pura tenang.

"Tenanglah Shafhan." Andika membuka bicara apabila Shahmina sudah cukup jauh untuk tidak mendengar mereka. "Kau tu putera, bukannya orang tu boleh serang kau."

"Entahnya, aku rasa macam boleh dengar je jantung dia dari sini." Sambut si Tuah pula.

Dua bahu sahabatnya itu Shafhan tepuk dengan perlahan bersama wajah yang tidak puas hati. Mahupun begitu, dia turut tertawa apabila mereka mula bergurau-senda dalam perjalan mereka sebelum tiba ke sana.

Sebaik sahaja mereka bertiga di hadapan pintu ruangan khas itu, Shafhan sudah pun mula menggeletar walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Dia berdehem perlahan bagi menenangkan hatinya yang gusar.

"Jangan risau, apa pun keputusan mereka, kau kena terima. InsyaAllah semua okey." Tuah berkata tenang lalu membuka pintu dengan perlahan-lahan.

Shafhan melangkah masuk, melihat Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah yang memandangnya dengan riak wajah yang sukar ditafsir. Dua cawan teh yang terletak di hadapan dua kerusi kosong bertentangan dengan ayahanda dan bondanya itu menambahkan lagi kegugupannya.

Kotak cincin yang terletak di atas meja dikerlingnya sekilas tanpa melihat isi dalam. Sama ada masih ada cincinnya ataupun telah kosong, biarlah Allah sahaja yang tahu buat masa ini.

Dia menarik nafas dalam lalu menghelanya perlahan. Ayahanda dan bondanya itu didekatinya kemudian bertanya,

"Puan Zakiyah dan Encik Zainal, terima pinangan itu?"


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro