Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XXXIX : 39 ~👑

Beberapa hari berlalu, suasana Angin Putih tiada perubahan dan tenang seperti biasa. Pekan masih bingit dengan kehadiran orang dari pelbagai tempat, keriuhan warga istana yang ramah mengeratkan silaturahim termasuklah keluarga diraja sendiri yang gemar menyibukkan diri bersama rakyat mereka.

Sehinggalah hari-hari berikutnya, bunyi latihan para pahlawan di dataran pahlawan yang terletak di bahagian belakang istana benar-benar menarik perhatian semua orang. Bukan apa, rakyat jelata yang melalui kawasan istana sendiri boleh mendengar perkara di dalam. Erangan manusia, pergelutan dan pergaduhan disertai selingan bunyi senjata yang berlaga dengan satu sama lain.

"Bedebuk sana sini hamba dengar di dalam istana itu, apa jadi?" Soal seorang penjaga gerai di pekan yang sedang ligat membungkus bahan mentah ke dalam plastik sebelum dimasukkan ke dalam beg kertas. Matanya bergerak dari tangannya yang laju bekerja kepada dua orang dayang berhud yang berdiri di hadapannya kini.

"Eh, bukan biasakah bunyi sebegitu berlaku apabila para pahlawan sedang berlatih?" Dayang Cempaka bertanya, menjeling sedikit ke arah Rabiha yang berada di sebelahnya.

Penjaga gerai tersebut bersenandung seketika sebagai jawapan sebelum menghulurkan dua beg kertas yang mengandungi bahan mentah ke arah Rabiha dan Dayang Cempaka. "Hmm, betullah itu. Setiap kali hujung minggu, pasti akan ada latihan keras oleh Pahlawan Rizman, benar? Tetapi kali ini dengarnya seperti acap, latihan malam turut akan ada jua." Ujarnya.

Dayang Cempaka mengambil beg kertas tersebut dengan senyuman. "Wah, wah. Sampai ke luar ya kisah dalam istana? Macam mana tuan hamba tahu?" Soalnya dalam nada sedikit mengusik bagi melitupi nada sarkastik. Rakyat Angin Putih ini, semua benda mahu diketahuinya.

"Ah, tiadalah. Sekadar borak-borak para wanita dan gadis di sini sahaja hamba ambil tahu. Hal ini kerana, pahlawan-pahlawan kegemaran mereka tidak lagi dilihat selalu. Adalah itu, mahu cuci mata." Jawab penjaga gerai itu sebelum tertawa sendiri bersama gelengan kepala.

Dayang Cempaka dan Rabiha saling berpandangan. Masing-masing menunjukkan wajah yang boleh ditafsirkan sebagai menyampah dan jelik. Namun begitu, mereka lekas mengukirkan senyuman kepada penjaga gerai tersebut. 

"Oh, begitu ya? Hm, mahu buat bagaimana bukan? Tidak dapat cuci mata, dapatlah sekejap cuci mata itu daripada dosa. Tengok anak teruna orang pula." Tutur Dayang Cempaka seperti girang. "Baiklah, terima kasih ya. Hamba berdua pulang ke istana dahulu." Sambungnya lagi sebelum menundukkan kepalanya sedikit sebagai tanda hormat.

Rabiha yang sedari tadi hanya memerhati turut melakukan aksi yang sama. Terkedek-kedek dia mengekori Dayang Cempaka dari belakang, meninggalkan penjaga gerai yang sudah pun terlopong itu.

"Dayang Cempaka, mengapa berkata begitu?" Tanya Rabiha dalam nada terkejut dengan mata yang membulat. Beg kertas yang berisi bahan mentah itu tadi dipeluknya erat.

"Menyampah." Sepatah Dayang Cempaka menjawab. "Sibuk saja mahu tahu perihal istana. Salah dayang-dayang kita? Mungkin. Tetapi tidak perlu menyebarkan, tibanya cerita itu pada kamu, berhentilah. Takut menjadi umpatan dan fitnah sahaja nanti." Terangnya panjang lebar.

Anggukan faham Rabiha berikan. "Betul itu, hamba setuju. Lagipun, Dayang Cempaka pun tidak tahu bukan apa yang terjadi dengan para pahlawan kita?" Soalnya pula, mengusik.

Dayang Cempaka mencebik bagi menahan senyuman yang mahu terukir. "Ya, betul. Hamba tidak tahu apa-apa pun mengenai pahlawan kita. Entah apa yang Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah arahkan, hamba malas ambil tahu. Oh, tetapi jika ada kesempatan, tuan hamba bertanyalah pada sahabat tuan hamba itu. Siapa itu... Ha, Pahlawan Aryan?" Tuturnya dengan jongketan kening.

"Oh... ya, Aryan." Jawab Rabiha terangguk-angguk. "Nanti hamba tanyakan jika sempat berjumpa. Pahlawan Aryan itu jaganya di bahagian luar Angin Putih sekitar maka untuk melihatnya jarang sekali. Apatah lagi sudah ada sesi berlatih yang seperti ini." Katanya sambil membetul-betulkan tudung selendang.

Senandung kecil Dayang Cempaka berikan sebagai jawapan. Akhirnya, kedua-dua dayang itu kembali ke istana dalam sepi, melayan perasaan masing-masing.


°°°°°°°°°°


"Kita mahu hebahkan lagilah tentang perkara ini, bonda?" Tanya Shahmina bersama wajah yang berkerut. Matanya tekun membaca surat yang berada di tangannya. Walaupun hatinya berasa macam-macam, dia tetap teguh berdiri di samping bondanya di atas singgahsana.

"Nampaknya begitulah, sayang." Balas Permaisuri Imarah kemudian berdiri. Tangannya dihulurkan kepada suaminya untuk disambut. Setelah Tuanku Shahir menyambut huluran itu, dia memandang anak-anaknya yang masih berdiri tegak di belakang kerusi. "Ayuh, kita ke kamar." Ajaknya, mesra.

Lebih baik berbincang perkara ini secara privasi berbanding harus berhati-hati jika didengari para pembantu istana. Bukan itu sahaja, pengawal yang berada di sekeliling turut memiliki telinga untuk mendengar.

"Baiklah bonda." Jawab empat orang beradik itu serentak. Shafiy dan Shaima laju sahaja mengekori bonda dan ayahanda mereka dari belakang manakala Shafhan dan Shahmina jalan beriringan di belakang sekali.

Dalam perjalanan melalui koridor istana, tiada seorang pun bersuara kecuali bisik-bisik Shafiy dan Shaima serta tawa kecil mereka. Pembantu istana, dayang, pengawal dan pahlawan yang melalui kawasan tersebut pasti memberikan salam ataupun tabik hormat. 

"Hadir lagi ke mari? Tidak penatkah mahu menjaga tepi kain orang?" Bisik Shahmina pada Shafhan di sebelahnya.

"Mestilah mereka fikir begini. Jika Bahtera Biru, Kemuning Hijau dan Sahmura Ungu boleh ziarah sesuka hati tanpa memberitahu, pastilah mereka juga boleh datang bila-bila masa. Sekurang-kurangnya mereka hantar surat terlebih dahulu." Shafhan turut berbisik, namun tangannya diletakkan di hadapan mulut agar Shahmina sahaja dapat mendengarnya.

Shahmina tidak petah untuk menyembunyikan keluhan kuatnya. Jelas-jelas dia menunjukkan bahawa dia tidak mahu melayan keluarga diraja itu yang bakal mengganggu ketenteraman keluarganya sendiri.

"Tiga negara itu lain. Bahtera Biru itu milik pakcik kita, putera Kemuning Hijau tu sahabat Shafhan dan Sahmura Ungu itu tempat Shafhan menetap semasa belajar pondok. Lembayung Merah sumbang apa? Masalah. Sutera Kuning? Beri sakit kepala. Nasib sahaja negara Tasik Kelabu tidak masuk campur. Jika tidak...." Shahmina membiarkan kata-katanya tergantung dan menenangkan diri agar tidak menyumpah seranah pula.

Shafhan mengangguk lemah. Dia setuju dengan adiknya itu apabila setelah sekian lama mempelajari negara-negara Melayu yang berjiran dan berkait rapat. Tetapi tidak semua negara boleh bertaluk ansur dan ngam, ada kebanyakannya memikirkan kepala sendiri sahaja.

"Tasik Kelabu itu diam ubi berisi. Tahu-tahu sahaja sudah berpihak pada Sutera Kuning nanti." Tiba-tiba suara comel Shafiy menyelit antara perbualan abang dan kakaknya.

Kedua insan yang sedang rancak berbual itu ternganga, melihat Shafiy yang tersengih memandang mereka. Biar benar anak ini?

"Cakap macam tahu sahaja." Ejek Shahmina dengan mata yang dijulingkan ke atas. Dia berpeluk tubuh dan memandang tempat lain.

"Pastilah. Selepas abang Shafhan, Shafiy yang akan ambil takhta bukan? Banyak sudah Shafiy belajar. Shahmina saja tidak tahu." Balas Shafiy kemudian menjelirkan lidahnya pada Shahmina yang sudah pun membulat matanya.

Shafhan laju sahaja menekup mulut dan memalingkan wajah. Deheman demi deheman dilepaskannya bagi menyembunyikan tawa yang mahu terkeluar. Tidak sangka adik-adiknya kini sudah besar sepanjang dia menghilangkan diri dari istana.

"Ya Allah, budak ini." Itu sahaja yang mampu dikatakan Shahmina yang sudah hilang segala idea bernas untuk membalas. Shafiy itu, jika tidak balas dengan logik tidak bolehkah?

"Tabahlah Shahmina, dapat adinda sebegitu." Tutur Shafhan bagi menenangkan Shahmina sambil menuding ke arah Shafiy di hadapannya. Wajah Shahmina yang berang itu membuatkan dia terus sahaja diam.

Tetapi Shahmina tidak membalas, hanya istighfar panjang diucapnya berkali-kali sambil mengusap dada. Matanya dipejamkan sejenak.

Shafhan yang melihat sekadar tersenyum. 



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro