Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XXXIV : 34 ~👑

"Hamba risau jika itu hanya satu paranoia, Pahlawan Aryan." Pahlawan Rizman bersuara setelah Aryan menceritakan apa yang berlaku. Dia tidak yakin dengan pendapat Aryan bahawa terdapatnya penceroboh kerana apa yang berlaku hanya disiasat melalui tabiat kuda miliknya.

"Namun, hamba akan cuba ketatkan rondaan kerana pencerobohan pernah berlaku di kawasan yang berdekatan dengan istana sendiri. Pahlawan Aryan, bertenang. InsyaAllah tiada apa-apa dan perkara yang sama tidak akan berlaku lagi." Ujar Pahlawan Rizman bagi menenangkan Aryan setelah dia melihat riak wajah Aryan yang mula berubah apabila ceritanya seperti dipertikaikan.

Dia bukan apa, perkara ini pernah berlaku sebelum ini dan Aryan menjadi mangsanya. Pastilah trauma dan paranoia mula menguasai diri akibat kerisauan yang melampau. Apatah lagi melibatkan Zarina, sahabat baiknya pula itu. Apa-apa pun, Pahlawan Rizman cuba untuk bersangka baik dengan segalanya.

"Baiklah, terima kasih Pahlawan Rizman." Tutur Aryan sambil membuat tabik hormat. "Hamba pergi dahulu." Dia meminta diri apabila tiada apa lagi yang ingin dia laporkan kepada ketua pahlawan itu. Meskipun dia benar-benar kecewa dengan reaksi yang diterima, dia tetap bergerak keluar dengan penuh yakin seperti seorang pahlawan yang berwibawa.

Pintu pejabat itu dibuka oleh dua orang pengawal yang mengawal. Pejabat khas milik organisasi pahlawan Angin Putih itu ditinggalkannya dengan kekecewaan yang mula bertandang di hati. Kini, tujuannya ingin ke berek pahlawan untuk menenangkan fikiran.

Tetapi risaunya itu tidak lama apabila dia terlihat tiga orang manusia yang berkelubung secara tiba-tiba muncul dari bahagian selekoh koridor yang dilaluinya. Terkejut bukan kepalang, Aryan lantas melatah kuat.

"Pahlawan Aryan bertenang, ini hamba!" Segera Zarina membuka hudnya dan melambaikan tangannya laju. Risau dia apabila melihat Aryan yang bagaikan ingin pengsan di situ.

"Astaghfirullahalazim! Agak-agaklah mahu berpakaian sebegini di istana. Bukankah penyarungan hud hanya dibolehkan di luar sahaja?!" Tegur Aryan menahan geram. Dia mengusap dadanya berkali-kali sambil beristighfar panjang.

Tawa geli hati Fazia lepaskan tatkala melihat reaksi Aryan yang hilang macho-nya akibat terkejut. "Tadi hamba bertiga berada di pekan dan mengekori tuan hamba sehingga ke dalam istana. Maka, terlupalah hamba bertiga ini untuk menyimpan hud di dalam kamar masing-masing terlebih dahulu. Maaf ya." Balasnya lalu menyambung tawa.

Aryan hanya mampu menggelengkan kepalanya agar kemarahan yang ingin membara tersimpan di dalam hati. Orang tertekan, dapat kejutan pula.

"Mengapa dengan Jelita tadi itu, Pahlawan Aryan?" Soal Rabiha sambil berpeluk tubuh. Hud di kepala masih belum diturunkan bagi menunjukkan gimik serius.

Aryan yang melihat itu meremang bulu romanya. Rabiha ini benar-benar serius atau sengaja mahu menakutkannya? Sudahlah kaca mata bulatnya itu dapat dilihat di sebalik hud apabila cahaya lampu istana terpantul di situ. 

"Ha- Hamba... Tidak pasti sebenarnya." Jawab Aryan, sedikit gugup. "Tetapi apa yang hamba tahu, Jelita mengesan sesuatu yang hamba tidak tahu. Pahlawan Rizman memberitahu bahawa berkemungkinan besar yang hamba ini bersikap paranoia namun hamba berasa tidak sedap hati." Sambungnya lagi, semakin lama semakin perlahan.

Riak Zarina yang mulanya manis kini sudah berubah kepada tidak puas hati. Dia ingin berkata sesuatu tetapi mengambil keputusan untuk mendiamkan diri apabila wajah sedih Aryan dilihat. Hatinya bagaikan sudah retak seribu.

"Tidak mengapalah Pahlawan Aryan, kita berdoa sahaja kepada Allah yang Maha Esa. InsyaAllah, jika ada apa-apa, akan Dia tunjukkan kepada hamba semua." Ujar Zarina yang cuba untuk menceriakan keadaan. "Oh ya, sebelum hamba ke kedai buku tadi, hamba ada membeli buah-buahan untuk dibuat teh. Mahu cuba?" Ajaknya pula.

Niat Aryan yang ingin berehat terus sahaja berubah apabila yang mengajaknya itu Zarina sendiri. Lantas dia mengangguk laju dengan hati yang berbunga-bunga. Peluang sudah diberi, ayuhlah kecapi!

"Boleh sahaja." Balas Aryan riang lalu mengekori tiga sekawan itu ke ruang santap.

°°°°°°°°°°


Kebisingan ruang santap mengambil perhatian empat sahabat yang baru sahaja tiba itu. Sebaik sahaja kepala dijengulkan ke dalam, terlihatlah para kerabat sedang berbual mesra. Alamak, kekok pula mahu masuk begitu sahaja.

Sudahlah hud pun masih tersarung di tubuh mereka!

"Nak takut apa? Macam tak pernah buat." Kata Zarina kepada sahabat-sahabatnya itu kemudian membuka hud labuh yang tersarung di tubuhnya itu. Hud tersebut diletakkan di atas lengannya lalu pegangannya terhadap bakul yang diisi dengan apa yang dibeli dibetulkan. Dia segera melangkah ke dalam secara bersahaja seperti biasa.

Fazia dan Rabiha saling berpandangan lalu mengikuti apa yang Zarina lakukan. Kebiasaannya, ruang santap dan ruang memasak dipenuhi kerabat Angin Putih sahaja namun hari ini, ramai pula maka mereka agak segan untuk berlagak biasa.

Aryan pula ditinggalkan di belakang. Terpinga-pinga si pahlawan itu jadinya.

'Aku ni sudahlah pahlawan, bukannya pembantu istana biasa. Ish, tak pasal-pasal kena ikut jalan pintu belakang.' Bisik hati Aryan tidak puas hati dan bertindak untuk berpatah balik agar dapat mencari jalan alternatif lain.

Langkah mereka pantas, berdesup dan senyap seperti musang licik yang gemar mencuri sayur di kawasan pasar di luar sana itu. Hal ini kerana mereka tidak mahu dilihat dan ditegur oleh ahli kerabat yang sedang asyik berbual antara satu sama lain.

Ruang masakan dimasuki mereka dengan jayanya. Petugas istana yang berada di ruang masakan itu mereka sapa dengan penuh hormat dan mesra. 

"Oh, Dayang Ina, Dayang Fazia dan Dayang Rabiha. Assalamualaikum!" Tegur Andika yang kebetulannya di situ bersama Tuah. Masing-masing sedang bersandar pada kaunter berdekatan sambil mengunyah buah jambu air di tangan.

"Waalaikumussalam. Tuan Andika dan Tuah Tuah ada di sini juga rupanya." Balas Zarina, sopan sekali disertai senyuman manis. Buah-buah dari bakul miliknya dikeluarkan.

Mendengarkan sahaja nama dua penasihat diraja itu, Rabiha laju sahaja mengeluh perlahan tanpa sengaja. Wajah Andika dilihatnya sekilas sebelum menyertai pihak masakan dalam melakukan kerja mereka.

Fazia yang melirik dengan ekor matanya sekadar terkekek-kekek sendirian. Suka benar dia melihat apa yang berlaku di sekitarnya.

"Suka betul tengok orang. Mentang-mentang Nafiz tiada di sini." Tegur Zarina yang melihat sahaja Fazia sedari tadi. Sahabatnya yang seorang itu nakal benar, ada sahaja sesuatu yang bakal menjadi hiburannya.

"Aish, mana ada." Dalih Fazia yang kemudiannya berlegar-legar di ruang tersebut tanpa kerja.

Keadaan ruang masakan mulai sibuk dengan pergerakan petugas di situ. Dayang istana biasa tidaklah harus berada di situ bersama mereka tetapi mereka tidak kisah kerana dapatlah mereka menerima segala bantuan yang ada. Lagi pun, ada juga petugas istana yang lain gemar meluangkan masa di situ.

"Ceria benar bukan di luar sana itu?" Tuah yang mendekati Zarina bersuara perlahan. Zarina yang mendengar pula mengangguk-angguk setuju. "Tuan Putera Shafhan itu malu sahaja mahu berbicara, hamba pula yang naik segan untuknya. Orang tanya sepatah, dijawabnya sepatah. Tidak pandai berkomunikasi langsung." Sambung Tuah lagi sambil memandang serba sedikit ke ruang santap di luar.

"Hahaha, tidak mengapa. Setiap orang punyai cara tersendiri dan personaliti yang berlainan. Hamba yakin, satu hari nanti Tuan Putera Shafhan bakal menjadi raja yang unggul malah petah berkata-kata." Balas Zarina dengan yakin sekali walaupun dia pelik dengan apa yang diperkatakan oleh Tuah. Seperti mahu membuka aib putera yang dijaganya itu pula.

Tuah tersenyum kecil. Ya, benar apa yang diperkatakan Zarina itu. InsyaAllah, satu hari nanti.

"Dayang Rabiha! Hamba ada sesuatu untuk tuan hamba." Suara Andika yang memanggil Rabiha mengejutkan Tuah dan Zarina yang sedang berbual. Mereka lantas berpaling ke belakang bagi melihat adegan yang bakal berlaku.

Terbantut pergerakan Rabiha yang sedang membasuh pinggan itu. Andika di sisinya itu dipandangnya hairan. "Ada apa duhai Tuan Andika?"

"Nah, bunga." Andika membuka genggamannya. Bunga-bunga kecil yang berwarna hitam memenuhi telapak tangannya seraya senyuman kecil diukir ikhlas.

"Ya Allah, itu bunga lawang dengan cengkihlah." Balas Rabiha terkejut lalu tertawa geli hati. "Ingatkan bunga apa tadi. Pergi letak balik!" Arahnya pura-pura garang walaupun bibirnya tetap ada senyuman yang samar-samar kerana terhibur.

Andika mencebik lalu menutup genggamannya. "Eee, tak hargai langsung." Bebelnya sedikit marah kemudian berlalu pergi untuk meletakkan semula segenggam bunga cengkih yang diambilnya tadi.

Mereka yang berada di ruang masakan itu turut tergelak sama. Amboi, bertambahlah khabar angin di istana Angin Putih ini nanti. 

"Eh kejap, mana Aryan?" Tanya Zarina secara tiba-tiba yang mana mengejutkan Tuah di sisinya. Pemuda itu turut tercari-cari apabila nama pahlawan itu disebut.

Pintu belakang ruang masakan terbuka dari arah bertentangan maka cahaya matahari yang menghiasi kawasan luar pun memancar masuk ke dalam. Baju besi milik pemakainya kelihatan bersinar disimbahi cahaya terang.

"Dekat sini." Balas pahlawan itu dalam nada tidak bersemangat. Nampak sangat dia keluar balik dari kawasan bangunan dan melalui jalan belakang untuk hadir ke sini.

"Allah, maafkan hamba!" Pohon Zarina dengan tangan yang disatukan. Nampak sahaja serba salah tetapi di sebalik tangan yang disatukan itu terdapatnya bibir yang tertutup rapat bagi menahan tawa yang ingin terkeluar.

Aryan hanya mengeluh kesal lalu melangkah ke dalam. Sebiji jambu air yang melayang ke arahnya segera ditangkap dengan penuh cekap. Ucapan terima kasih diberinya buat Tuah bersama satu senyuman senget.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro