👑~ XXXII : 32 ~👑
Matahari sudah mula berada di atas kepala masing-masing maka, santapan tengahari sudah pun tiba. Shafhan, Tengku Ahmed dan Tengku Hijazi berjalan beriringan melalui koridor-koridor istana diikuti Tuah dan Andika yang mengekori dari belakang.
Sedang mereka hadir ke persilangan empat arah koridor tersebut, perbualan dua orang dayang istana menghentikan mereka daripada terus berjalan. Hadirnya dua dayang dari kiri yang mana akan berjalan menuju ke arah persilangan bahagian kanan mereka.
"Cantik sungguh selendang yang diberi ini! MashaAllah, rezeki hamba berdua hari ini nampaknya."
"Hamba setuju. Puteri-puteri Sahmura Ungu itu benar-benar pemurah."
Sambil berbual rancak, mereka berjalan terus tanpa menyedari kehadiran tiga orang kerabat dan dua orang penasihat diraja yang tercegat di kanan mereka. Masing-masing sibuk dalam dunia sendiri sambil memeluk selendang di tangan berkali-kali.
Hilang sahaja dua dayang itu daripada pandangan, Shafhan bersama dua tetamunya itu terus sahaja memandang satu sama lain. Kemudian, dia menoleh ke arah Andika dan Tuah yang mana memberikan gelengan tidak mengerti kepada tuan putera mereka itu.
"Ada apa?" Tanya Tengku Ahmed.
"Tiada apalah. Ayuh kita ke ruang santap." Balas Shafhan kerana dia sendiri tidak tahu apa yang baru sahaja terjadi. Puteri-puteri Sahmura Ungu? Mengapa disebut-sebut pula mereka itu?
Sewaktu mereka ingin meneruskan perjalanan, suara-suara rancak berbual dari koridor di hadapan mereka sekali lagi menghentikan niat mereka untuk terus melangkah. Suara-suara tersebut semakin lama semakin kuat, sehinggalah kelihatan pemilik suara itu sebaik sahaja empat figura muncul dari arah kiri yang mana baru sahaja memasuki koridor di hadapan mereka itu.
Kini, terjawablah persoalan Shafhan bersama dengan dua orang penasihatnya itu tadi. Nampaknya, ketiga-tiga puteri dari negara Shamura Ungu itu ada di dalam istana ini. Namun... Untuk apa?
Sebaik sahaja kelibat Shahmina yang berselendang itu terlihat, Shafhan tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum kecil. Hatinya berbunga-bunga tatkala terlihat perubahan adiknya itu.
"Wah, Shahmina-kah itu?" Soal Tengku Ahmed kemudian mendapat anggukan daripada Shafhan sendiri.
"Alhamdulillah." Sebut Tengku Hijazi perlahan dengan senyuman. Selepas itu, dia berdehem perlahan bagi menarik perhatian dua orang sahabatnya itu. "Tak nak tegur ke?" Soalnya dengan jongketkan kening.
"Ah, ya, ya. Jom." Tutur Shafhan sedikit ragu-ragu. Memandangkan mereka ini semuanya hadir dari negara dan keturunan kerabat yang berlainan, mereka haruslah menegur satu sama lain sebagai tanda pendamaian. Jika tidak, bagaimana mahu menjalinkan hubungan kenegaraan dengan baik?
Berjalan dengan gagah ke hadapan, pergerakan Shafhan semakin lama semakin perlahan sehinggalah tanpa sedar dia sudah menyembunyikan dirinya di belakang Tengku Ahmed dan juga Tengku Hijazi. Tuah dan Andika yang berada di belakangnya sudah menekup mulut menahan tawa.
"Ini sudah kenapa ini?" Soal Tengku Hijazi seraya menoleh sedikit ke belakang. Bertambah-tambah menyoroklah si Shafhan di belakangnya.
Tengku Ahmed tertawa kemudian mengusap kepala Shafhan yang sudah pun malu-malu. "Alah, adik saudara saya yang seorang ini kan pemalu dengan perempuan. Meskipun hampir sepanjang hidupnya berada di Sahmura Ungu untuk meneruskan belajar agama, itu tidak bermakna bahawa dia dapat bercakap dengan puteri-puteri itu setiap masa." Tuturnya lalu mendapat tepisan kuat daripada Shafhan.
Senyuman kecil Tengku Hijazi ukirkan. Aduhailah Shafhan, ada-ada sahaja perangainya yang senantiasa menghiburkan mereka setiap kali mereka hadir ke Angin Putih untuk menziarahinya.
"Eh, saudara Bakhri dan saudara Hijazi pun ada di sini? Assalamualaikum." Tegur Puteri Safa apabila mereka mula sedar akan kehadiran pemuda-pemuda itu di situ. Adik-adiknya yang tadinya rancak berbual pun kini turut perasan akan insan-insan lain yang berada di hadpaan mereka.
"Waalaikumussalam." Balas Tengku Hijazi, sopan sekali. "Ya, saudara Shafhan ingin membawa kami ke ruang santap. Kalian jugakah?"
Puteri Saadah mengangguk laju sebagai jawapan. "Betul itu. Tetapi... Di manakah saudara Shafhan?" Soalnya hairan. Dia tercari-cari keberadaan pemuda yang disebutkan itu.
Shahmina yang melihat semua yang berlaku di hadapan matanya itu segera mengeluh kecil. "Paduka kakanda Shafhan." Panggilnya tegas yang mana mengundang persoalan terhadap mereka yang mendengar. Shahmina berasa agak pelik apabila sebutan itu bermain pada lidahnya namun apakan daya, sahabat dirajanya juga berada di situ. "Boleh tak jangan bersembunyi? Keluar sekarang." Arahnya.
Seperti berkomplot dengan puteri sulung itu, Andika dan Tuah segera memegang bahu Shafhan yang tertunduk-tunduk itu lalu menariknya ke belakang. Mahu tidak mahu, haruslah putera itu berdiri tegak bagi menstabilkan diri.
"Oh, itu pun dia. Assalamualaikum!" Puteri Sakinah bersuara ramah. Tangannya dilambai-lambaikan tanpa mengisahkan tatacara beradab sebagai seorang puteri. Puteri Safa yang berada di sebelah sekadar menggeleng kecil.
"Waalaikumussalam." Balas Shafhan sebelum bergerak ke sisi Tengku Ahmed. Senyuman kecil dia berikan sebelum tertunduk semula, tidak memandang wajah puteri-puteri tersebut.
Shahmina memandang Tuah dan Andika yang sibuk menyiku satu sama lain di belakang sana. Gadis itu memberikan senyuman kecil kepada mereka berdua sebagai tanda terima kasih manakala dua penasihat diraja itu pula sempat membalas dengan anggukan sopan.
"Tuan putera dan tuan puteri, ayuh ke ruang santap. Patik berdua akan menunjukkan jalannya." Tuah bersuara lalu menarik Andika untuk berjalan di hadapan. Melihatkan itu, seluruh ahli kerabat itu mengekori mereka berdua dari belakang sambil berbual mesra.
"Duhai saudari Shahmina, apa khabar?" Tanya Tengku Ahmed yang menyamakan langkahnya dengan Shahmina. Tangan gadis itu diambil dan mahu dibawanya ke bibir.
"Khabar baik." Segera Shahmina menarik tangannya dengan lembut. "Saudara Bakhri apa khabar?" Soalnya pula.
Tengku Ahmed yang terkejut dengan perbuatan Shahmina lantas menjongketkan kedua belah keningnya dan menjawab. "Khabar baik, apatah lagi melihat wajah menawan milik saudari Shahmina yang bertambah jelita dengan selendang itu. Alhamdulillah, masih belum jatuh gering lagi."
Akibat kurang selesa dengan jawapan yang diberikan, tawa janggal Shahmina hadiahkan sebelum melangkah laju sedikit ke hadapan. Dia menyelit antara Puteri Saadah dan Puteri Sakinah yang mana mengekori Puteri Safa dari belakang.
"Saudara Bakhri, apa buat di belakang sana itu? Sini!" Panggil Tengku Hijazi apabila menyedari bahawa Tengku Ahmed tidak berada di sebelahnya. Dia tidak mahu putera yang seorang itu berjalan di belakang puteri-puteri tersebut.
Tengku Ahmed bersenandung perlahan lalu bergerak ke hadapan. Apabila sudah menyamai langkah Tengku Hijazi, bahu sahabatnya itu ditepuk-tepuk.
Puteri Saadah sedar akan perubahan riak wajah Shahmina dan bertindak untuk menarik perhatiannya. "Shahmina." Panggilnya separa berbisik.
Shahmina terus sahaja menoleh ke kiri. "Ya saya?"
"Tuan Andika itukah yang merisik salah seorang dayang di sini?" Tanya Puteri Saadah sambil menjeling-jeling Andika yang berjalan di hadapan.
"Ya, betul tu." Shahmina menjawab lalu tergelak sendiri. Wah, sampai ke negara lain dapat tahu. Lain benar gosip yang ada di Angin Putih. "Macam mana tahu?"
"Dayang istana kami. Mereka itu tidak habis-habis menceritakan apa yang ada di negara-negara lain. Ada putera kacaklah, penasihat diraja yang tampanlah, semua mahu disebutnya. Mentang-mentang Sahmura Ungu tidak punyai putera dan para penasihat kami itu perempuan, negara lain pula dilihatnya." Tutur Puteri Saadah bersama keluhan dan gelengan kepala.
Shahmina tersengih apabila mendengar cerita itu. Kebajikan mereka bertiga sungguh terjaga, benar-benar membawa imej Islam yang baik. Dia tidak punyai penasihat diraja kerana di Angin Putih, ada had umur untuk mereka memiliki pengiring lagi-lagi apabila dia bukanlah seorang yang bakal mendapat takhta ayahandanya itu nanti.
"Shahmina tidak minat sesiapa?" Puteri Sakinah menyibuk secara tiba-tiba.
"Errr, tak ada rasanya. Ada cadangan?"
Puteri Sakinah meletakkan jari telunjuknya ke dagu sebagai tanda berfikir. Wajahnya kelihatan serius. "Hmm, tidak ada cadangan pula. Apa kata cari seseorang yang berkarisma? Seperti... Putera Ahmed Bakhri?" Cadangnya.
"Oh, jika begitu. Tidak apalah." Laju sahaja Shahmina membalas sambil menggulingkan matanya yang mana mengundang tawa Puteri Saadah dan Puteri Sakinah yang melihat.
Puteri Safa yang sedari tadi berdiam diri bagi mencuri dengar kini menoleh sedikit ke belakang dan menyoal dengan suara yang perlahan. "Mengapa tidak mahu dia?"
"Yalah, Saudara Bakhri itu umpama coklat. Manis, namun akan mengundang sakit perut jika terlalu banyak." Balas Shahmina petah. Setiap orang pasti ada pilihan masing-masing. Walaupun dia sukakan yang kacak, tak akanlah sesiapa sahaja mahu diambilnya.
Ketiga-tiga puteri itu tertawa geli hati sekali lagi dengan jawapan Shahmina yang masuk akal itu. Di hadapan mereka pula, kehairanan mula terbit di benak para putera yang tidak memahami apa-apa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro