Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XXVII : 27 ~👑

"Nak lamar Dayang Ina terus tak?" Soal Permaisuri Imarah pada Tuanku Shahir sewaktu mereka sekeluarga berada di kamar khas untuk mereka meluangkan masa bersama.

Mendengarkan itu, Shahmina yang sedang enak meneguk minuman hampir-hampir sahaja terserdak sewaktu memproses kata-kata bondanya itu. Apakah ini? Tidak pernah dia tahu pun tentang perkara ini?

"Lamar Dayang Ina? Untuk siapa?" Soal Shahmina tidak percaya. Matanya membulat tanda terkejut dan juga perasaan dengki yang membara di dalam hati.

Semua mata melirik ke arah hujung kamar tersebut. Shafhan yang sedang menelaah buku segera mengangkat kepalanya apabila terasa dirinya seperti diperhatikan. "Ya?" Soalnya, tidak mengerti.

"Hah?!" Jerit Shahmina kemudian lekas berdiri. Mulutnya bergerak-gerak namun tiada satu patah perkataan pun yang berjaya keluar dari bibirnya. Menjadi seorang puteri seperti dirinya, dia akhirnya berjaya menenangkan diri dengan menarik nafas dalam kemudian menghelanya perlahan. Selepas itu, dia duduk semula ke atas kerusi seperti biasa.

"Dayang Ina?" Dia bertanya dalam nada mengejek. "Dengan Shafhan yang hafiz dan kacak ini? Dia dayang, abang Shahmina ini putera, tahu? Sekufu-kah?" Sambungnya lagi bagai memprovok keputusan bonda dan ayahandanya.

Tuanku Shahir mengeluh kecil sambil menggelengkan kepalanya. Matanya mencerlung memandang Shahmina, menandakan bahawa dia benar-benar serius. "Jadi, Shahmina ada jumpa sesiapa yang sesuai untuk Shafhan? Ayahanda rasa, lebih baik Dayang Ina daripada Cik Muda Aleya bukan?" Ujarnya senada.

Shahmina menelan air liur kesat. Pastilah dia tidak mahu mempunyai kakak ipar gila seperti gadis itu. Sudahlah tua sedikit sahaja daripada dirinya. Memang sudah jelas tiada yang lebih sesuai melainkan Zarina yang nyata lagikan terang-benderang dikenali sebagai bidadari istana. Rupa parasnya, akhlaknya, kemahirannya... Sempurna.

"Allahuakbar." Bisik Shahmina sendiri. Benar, jika sudah tertulis, tidak kira apa yang terjadi, abangnya itu akan dikahwinkan juga dengan dayang istana itu meski tidak boleh dia terima. Namun dia harus sedar bahawa cacat-cela yang dilihatnya itu bukan hadir daripada Zarina tetapi dirinya sendiri.

Shahmina menguatkan dirinya untuk tersenyum. Perlahan-lahan, bara dengki dan benci semakin tipis di dalam hatinya atas izin yang Maha Esa.

"Jika itu apa yang bonda dan ayahanda inginkan, Shahmina tidak melarang." Ujarnya walau berat. "Shahmina akan cuba untuk terima."

Suasana sepi, seperti menghadam apa yang baru sahaja diperkatakan oleh Shahmina. Permaisuri Imarah pula terasa seperti mahu menangis di situ juga. Anak gadisnya ini sudah matang dan mampu berfikir dengan penuh toleransi. Doanya tidak sia-sia, semoga Allah memberikan hidayah sepenuhnya buat Shahmina.

"Yeay!" Jerit Shaima dan Shafiy serentak setelah sedari tadi berdiam diri. Mereka bangkit dari duduk lalu meluru ke arah Shahmina yang sememangnya tidak bersedia untuk menerima pelukan erat daripada dua orang adiknya itu. Mahu tidak mahu, dia membalasnya jua. 

Shafhan tersenyum dari kejauhan. Pada mulanya, dia ingin mendiamkan diri sahaja namun akibat tidak dapat menahan rasa nakalnya itu dia akhirnya bersuara. "Kan bagus begini. Shahmina nanti mesti dapat suami kacak dan gentleman macam Shahmina yang sekarang. Lagi-lagi bertudung nanti, mesti lagi ramai yang minat datang." 

Merah wajah Shahmina tatkala mendengar pujian termasuk usikan itu. Tahulah dia ini punyai rambut yang cantik, mengusik pula. Bukan dia tidak mahu bertudung cuma dia masih belum bersedia!

"Shafhan ini macam-macamlah! Suka cari pasal. Tahulah tak sabar nak kahwin. Nanti Shahmina bagitahu Dayang Ina perangai sebenar Shafhan baru tahu, hmph!" Balas Shahmina kuat dan jelas. Dia berpeluk tubuh tanpa mengalihkan renungannya pada Shafhan.

Kini, giliran Shafhan pula berwajah merah. Buku yang dibacanya itu segera diangkat bagi menutupi wajah agar tidak dapat dilihat oleh sesiapa.

"Cakap orang boleh, bila kena dekat dia, tahu malu!" Shahmina berkata lagi kemudian menjelirkan lidah walau dia tahu Shafhan tidak dapat melihatnya. Mengikut gerak-geri kakak mereka, Shafiy dan Shaima turut melakukan perkara yang sama.

Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah sekadar tertawa melihat kerenah anak-anak mereka itu. Inilah yang dimahukan, kata sepakat dan juga ikatan kekeluargaan yang erat. Bahagia, itu yang dirasakan mereka.

Namun, rasa tidak sedap hati turut kunjung tiba. Hal ini demikian kerana, hubungan diplomatik antara negara bakal menyukarkan pelan mereka dalam menjayakan penyatuan dua hati yang mempunyai darjat yang berbeza.


°°°°°°°°°°


"Gembira dengan pemergian Dayang Aliya?"

"Gembira. Awak selamat." Balas Zarina dengan senyuman terhadap soalan Aryan yang diajukan padanya itu. Kini, kedua-duanya sedang berehat bersama di pinggir hutan tebal Angin Putih yang dipenuhi pepohon rendang. Di sinilah mereka bertemu pada permulaan cerita. 

Aryan tertawa kecil melihat Zarina. Senyuman menawan sahabatnya itu dilihat dengan penuh asyik. Zarina sedang menyibukkan diri dengan buku pada tangannya maka kesempatan ini digunakan Aryan untuk merenung wanita itu pula.

Sudah banyak perubahan dapat dia lihat pada Zarina. Dari segi pemakaiannya, gaya percakapannya, dia menjadi lebih berhati-hati dan bersopan-santun. Meski gila-gilanya bakal muncul apabila hanya para sahabat berkumpul bersama, tetapi Zarina tampak lebih matang.

Hatinya sudah punyai cinta baru. Cinta kerana Allah, tidak lagi kerana untuk mengisi kekosongan hatinya seperti dahulu. Dirinya kini dipelihara atas cinta sebenar, bukan lagi cinta buku.

"Ina, dah jatuh cinta dengan orang betul ke?" Tanya Aryan, sedikit mengusik. Zarina yang enak membaca terus sahaja menarik nafas bising dan memalingkan kepalanya ke arah Aryan.

"Kenapa tanya? Lagipun, watak kegemaran saya sudah mati. Siapalah yang saya mahu cari lagi." Balas Zarina dengan cebikan. Namun daripada riaknya itu, Aryan dapat membaca bahawa dia sedang menyembunyikan sesuatu.

Aryan memicingkan matanya tatkala melihat gerak-geri Zarina. Sekejap membuka dan menutup buku, kejap membetul-betulkan kain pakaian seragamnya dan kadangkala memandang sekeliling. Memang benar ada sesuatu yang disembunyikannya.

"Ina, saya nak tanya." Aryan bersuara bagi menarik perhatian Zarina. "Apa jadi kalau Tuan Putera Tengku Ahmed Bakhri datang meminang?" Soalnya.

Gelengan laju Zarina berikan setelah mendengar soalan itu. "Saya tolak. Awak tahu bukan sudah berapa tahun putera itu hadir ke sini semata-mata untuk bertemu dengan saya?" Jawabnya.

"Kalau Tuan Putera Tengku Hijazi Rasydan?" Tanya Aryan lagi dengan jongketan kening. 

Zarina memaparkan wajah pelik. Segera dia mengalihkan pandangannya daripada terus menatap buku. "Ya Allah, tuan putera itu sudah saya tolak awal-awal. Dia sendiri memberi surat kepada bapa, tahu? Sudahlah terserempak dengannya sewaktu majlis kepulangan Tuan Putera Shafhan." Jawabnya lagi dengan gulingan mata.

Aryan tersenyum senget apabila nama itu hadir dari bibir Zarina. "Jadi... Apa jawapan Ina kalau Tuan Putera Tengku Shafhan Iyyad yang masuk meminang?" 

Pertanyaan itu bagai menerobos masuk terus ke hati Zarina. Darah mula menyerbu muka, maka Zarina menyembunyikan wajahnya dengan mengangkat buku yang berada di dalam pegangan pada paras muka. 

"Hmm, dah agak." Ucap Aryan kemudian tertawa kecil. Dia memeluk lutut kemudian merehatkan kepalanya ke atas lutut yang dipeluk. Kepalanya dihadapkan ke arah Zarina yang masih tersipu-sipu di sisinya.

Zarina segera menarik kain yang terdapat di dalam bakulnya lalu melibas lembut ke arah Aryan. Kain itu sentiasa dibawanya di dalam bakul untuk melapik segala barang yang dibeli termasuklah buku yang sentiasa dibawanya ke mana-mana.

"Dah tu Aryan? Tak akan tak minat sesiapa? Bukannya tak mampu nak kahwin. Cakap orang saja lebih." Bebel Zarina dengan penuh geram. Jelingan tajam dihadiahkan buat Aryan olehnya.

Keluhan kecil Aryan lepaskan kemudian memandang ke hadapan. Hiruk-pikuk suasana pekan Angin Putih dapat didengarinya samar-samar.

"Kesianlah dekat si dia kalau kahwin dengan saya. Saya ini sudahlah sibuk dengan hal pahlawan dan istana, maka dia harus menunggu. Kalau dia kerja di istana juga tidak apalah." Jawabnya perlahan. Matanya seperti memandang jauh yang mana tidak dapat Zarina melihatnya jua.

Zarina menggeleng kecil melihat Aryan yang beriak sedih itu. "Harap sahaja kacak dan tinggi, tapi tidak mahu cari." Katanya.

"Eh, awak tu lagilah, tolak semua pinangan tahu? Bukan setakat orang biasa, semua putera pun awak tolak. Yang menjadi penghalang cinta awak tu bukannya orang betul pun!" Tukas Aryan pula dengan suara yang sedikit tinggi.

Zarina mengembungkan pipinya tanda marah. Oh, nampaknya sahabatnya ini ingin berperang mulut dengannya. 

"Saya ada sebab! Awak tu apa pula? Cakap orang!" Melantun suara Zarina di kawasan pinggir hutan tersebut.

"Saya? Saya ada sebab munasabah yang awak tak perlu tahu. Soal hati jangan tanya tau!" Aryan pula membalas dalam nada yang sama.

Masing-masing bertekak-tekak mesra dengan tangan yang bergerak-gerak bagi menunjukkan reaksi mereka. Tiada unsur benci mahupun dengki, namun sekadar berbalas kata bagi menghiburkan dan mengenakan satu sama lain.

'Sekurang-kurangnya, penghalang cinta aku ini ialah orang betul. Tapi dia, langsung tidak memandang aku. Ya Allah, tabahkanlah hati.' Bisik hati Aryan sendiri.

"Ha, pastu orang cakap termenung-menung. Awak dengar tak ni?!" Marah Zarina apabila Aryan bagai tidak menghiraukannya.

Aryan segera menoleh ke arah Zarina dengan wajah masam. "Ya, saya dengarlah, haih..."

Angin petang beralun tenang, meniup bunga-bunga dan dedaun yang gugur dari pohon. Damainya Angin Putih, dinikmati semua di situ termasuklah dua orang sahabat yang sedang berehat tidak jauh dari istana negara mereka.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro