Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XXVI : 26 ~👑

Sebuah kereta kuda berhenti megah di dalam perkarangan istana milik negara Angin Putih. Pintu kereta kuda yang berwarna merah gelap itu dibuka oleh pemandu yang membawa keluarga diraja tersebut ke negara yang damai ini.

Seorang lelaki tua bersama dua orang putera melangkah turun. Pakaian diraja mereka yang melambangkan negara Lembayung Merah benar-benar membawa kegerunan buat mereka yang melihat. Seperti rajanya, begitulah rakyatnya. Raja angkuh, maka rakyatnya lebih kurang begitu juga.

"Wah, sudah lama tidak daku jejakkan kaki ke sini." Tutur Tengku Aidan dengan senyuman senget. 

"Benarkah? Setahu beta, kamu itu sudah berada di sini secara diam-diam. Siap berkesempatan untuk mencuri anak dara orang lagi." Kata Tengku Aisy dalam nada mengejek namun naif. Wajahnya dikekalkan biasa agar tidak kelihatan seperti ingin ketawa.

Raja Khaizuran sekadar memandang ke arah anak-anaknya sekilas kemudian melihat ke arah pintu masuk istana itu. Dia tidak sabar untuk melihat rakyatnya yang sanggup melarikan diri ke negara lain semata-mata untuk mengejar putera di negara itu dan menolak pinangan anaknya.

Seorang rakyat biasa menolak pinangan seorang putera? Memang tidak lepaslah jika rakyat itu tertera nama Lembayung Merah di atas kad pengenalannya.

Bunyi pintu istana terbuka membuatkan semua yang berada di situ menoleh pantas. Kelihatan Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah bergerak keluar dengan senyuman manis tersungging di bibir. Jelas keikhlasan mereka dalam menyambut tetamu di situ.

"Assalamualaikum duhai saudara Khaizuran!" Ucap Tuanku Shahir kemudian mendepakan tangannya. Setelah dia berjaya mendekati Raja Khaizuran, dia memeluk lelaki tua itu dengan erat sekali.

Raja Khaizuran membalas pelukan itu semula dengan senyuman nipis. Terhibur hatinya dengan kehadiran Tuanku Shahir di sini. Jika terdapat perjumpaan antara negara, pasti raja di hadapannya kinilah yang senantiasa menerbitkan senyuman di bibir semua pemimpin di situ.

Oh, termasuk dengan abangnya yang mana merupakan raja di Bahtera Biru. Haih, dua kali lima sahaja. Maka, Raja Khaizuran pun mengeluh perlahan.

"Waalaikumussalam saudara Shahir." Balasnya dengan lembut. Pelukan itu dilepaskan lekas.

Selepas itu, Tengku Aisy dan Tengku Aidan pula mengambil giliran untuk bersalaman dengan Tuanku Shahir. Kedua-duanya menayangkan senyuman kecil sebagai tanda hormat.

"Ayuh kita bergerak ke dalam? Shafhan bakal muncul sebentar lagi." Tutur Permaisuri Imarah kemudian melangkah masuk terlebih dahulu.

Tuanku Shahir hanya tertawa besar kemudian berkata. "Shafhan itu, pagi-pagi begini akan menghabiskan masanya di taman belakang istana. Menguatkan hafalan katanya." 

Raja Khaizuran sekadar mengangguk faham, Tengku Aisy pula tersenyum manis manakala Tengku Aidan pula sekadar menggulingkan bebola matanya tanda rimas. 

Oleh itu, pintu istana tertutup rapat setelah semuanya melangkah masuk ke dalam.


°°°°°°°°°°


Shahmina mengerutkan dahinya tatkala terlihat Aliya yang berdiri di antara Rabiha dan Fazia. Tidak jauh dari mereka pula terlihat Nafiz dan juga beberapa pembantu istana lelaki yang lain. Maka, di manakah Zarina?

"Tertanya di manakah Dayang Ina?" Soal Permaisuri Imarah dengan senyuman nipis apabila terlihat wajah hairan Shahmina. 

Meskipun terkejut dengan soalan yang tiba-tiba itu, Shahmina segera berpaling ke arah bondanya dengan tenang. "Ya, bonda." Balasnya.

Permaisuri Imarah sekadar menganggukkan kepalanya sekali tanpa menjawab apa-apa. Hal itu menambahkan lagi kekeliruan pada Shahmina yang sudah pun keliru.

"Dayang Ina tidak sihatkah?" Shahmina bertanya, sedikit risau. 

"Dayang Ina itu sihat, jangan risau." Ujar Tuanku Shahir lalu melabuhkan punggung di atas kerusinya yang terhias cantik di atas singgahsana. Matanya hanya memandang ke arah hadapan, langsung tidak mengerling Shahmina.

Kini, kedudukan mereka formal buat mereka yang hadir menghadap. Tuanku Shahir dan Permaisuri Imarah duduk bersebelahan di singgahsana mereka. Shahmina dan Shaima berdiri sopan di sisi kerusi Permaisuri Imarah manakala Shafhan dan Shafiy pula berdiri tegak di sisi kerusi bapa mereka, Tuanku Shahir.

Tiga dayang berdiri di bahagian kanan ruang tersebut manakala tiga pembantu istana pula berdiri menyeberangi mereka. Sementara itu, para pengawal diarahkan berdiri di kawasan yang memang sudah tersedia buat mereka.

"Mengumumkan ketibaan Yang Mulia Raja dan putera kerajaan Lembayung Merah, Tuanku  Khaizuran bersama Putera Aisy dan Putera Aidan." Seorang pengawal yang berdiri di sebelah pintu utama berkata lantang lalu membuka pintu tersebut.

Shafiy mengerutkan dahinya setelah melihat tiga orang ahli keluarga diraja itu melangkah masuk. Dia lantas berpaling ke arah Shafhan yang berdiri serius di sebelah. "Bukankah baginda hadir bersama ayahanda? Mengapa baru muncul ke sini pula?" Soalnya sedikit berbisik.

Mendengarkan soalan itu, Shafhan lantas menyembunyikan mulutnya menggunakan belakang tangan. Ya Allah, sungguh dia mahu tertawa pada ketika itu.

"Tidak tahu. Shafhan berada di taman sebentar tadi." Balas Shafhan perlahan sambil menggigit pipi dalam mulutnya agar tidak mengeluarkan sebarang bunyi tawa. 

Shafiy kembali menghadap ke hadapan sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Mungkin mereka bersiar-siar di dalam istana dahulu sementara menunggu kita mengambil posisi." Tuturnya lagi yang mana membuatkan Shafhan bertambah geli hati.

Suasana menjadi sunyi dan aura serius mula menghambat ruang singgahsana tersebut. Raja Khaizuran bersama dua orang puteranya melakukan tunduk hormat bagi menghormati pemimpin negara yang mereka kunjungi tersebut.

Rabiha dan Fazia yang berdiri sekadar memandang gerak-geri keluarga diraja yang hadir itu. Jantung mereka berdetak laju kerana resah, namun tidak selaju degupan jantung milik Aliya.

Matanya membulat melihat tiga orang insan yang berada di hadapannya kini. Banyak kali dia berpaling ke arah lain dan berpura-pura tidak melihat apabila dia merasakan ada seseorang sedang melihatnya. Sejuk, tangannya sungguh sejuk jika disentuh.

'Mereka mahu mengenakan akukah? Adakah Dayang Ina sudah membuka cerita?!' Getus hati Aliya yang bagaikan ingin meletup. Nasib badanlah jika berwarganegarakan Lembayung Merah, negara yang ketat dan kurang belas kasihan.

Raja Khaizuran tersenyum apabila Tuanku Shahir sudah mula menjongketkan keningnya. Itu satu petanda agar mereka terus menyatakan hasrat kedatangan mereka ke Angin Putih.

"Pertama sekali, beta ingin memohon keampunan atas sebab kecuaian dan ketidakpekaan beta dalam menjaga putera-putera beta. Akibat itu, salah seorang daripada dayang milik istana Angin Putih telah mengalami kecederaan ringan akibat sifat 'tidak berfikir sebelum bertindak' oleh putera beta, Tengku Aidan." Ujar Raja Khaizuran merendah diri, namun senyuman menakutkan masih ditayangkan.

Tuanku Shahir tidak memaparkan apa-apa riak. Senyum tidak, marah pun tidak. Dia ingin tahu selanjutnya dan isi hatinya, hanya Allah sahaja yang maha tahu.

"Kedua, ada asbab hadirnya beta ke sini. Sebenarnya, ada rakyat beta yang berjaya memasuki istana ini tanpa pengetahuan sesiapa. Tambahan itu, kejadian yang berlaku antara Dayang Zarina Elisya dan Pahlawan Muhammad Aryan sungguh tidak benar sama sekali." Raja Khaizuran menambah lagi. Kali ini, wajahnya jelas menunjukkan kesal dan kemarahan yang sukar ditafsir.

Maka dengan itu, Permaisuri menarik nafas bising disertai riak wajah terkejut. "Apakah benar? Siapakah yang berani melangkah masuk ke dalam istana Angin Putih tanpa izin ini?" Dia bertanya dalam nada hairan.

Shahmina turut menjongketkan keningnya kepelikan. Walaupun begitu, hatinya terasa lega apabila mengetahui bahawa bukanlah Zarina yang melakukan perkara keji tersebut. Hatinya kuat berharap agar segala perkara buruk yang berlaku di istananya ini bukan kerana dayang kegemaran ramai yang seorang itu.

Entah mengapa, dia mengucapkan syukur dalam diam. Tetapi dalam masa yang sama, sifat menyampah itu masih ada juga tanpa dipinta.

"Nasib beta baik kerana dapat melihat si dia di hadapan mata." Ucap Raja Khaizuran, sinis sekali. "Boleh beta memohon keizinan untuk membawa Cik Muda Aleya dari golongan bangsawan Lembayung Merah ke negara Lembayung Merah semula?" Soalnya sambil perlahan-lahan menoleh ke arah dinding yang terletaknya tiga orang dayang yang sedang berdiri sopan.

Tengku Aisy turut berpaling dengan senyuman manis manakala Tengku Aidan tertawa sinis. Kedua-dua wajah itu membawa amarah yang mendalam di hati Aliya yang melihat.

Rabiha dan Fazia melihat Aliya yang sedang menggeletar sendiri di antara mereka. Hati mereka bersorak gembira kerana pelan mereka menjadi. Tidak kiralah beza mana pun gaya tudung yang diperagakan tambahan sedikit solekan yang berbeza, wajah yang sudah dikenali memang tidak akan berubah kedudukannya.

"Shafhan tidak mahukan dikau, Cik Muda Aleya. Kembalilah semula kepada beta. Tidak perlu lagi dikau ganggu Dayang Ina dengan muslihat kau yang pelbagai." Tengku Aidan berkata kasar sambil memeluk tubuh. Sungguh menambah bara ke atas api yang sudah pun membakar secebis jiwa.

"Pasti Puteri Shahmina menjadi mangsa bukan? Semata untuk menjatuhkan Dayang Ina." Sambung Tengku Aisy pula. Bukan dia tidak tahu perangai gadis yang seorang ini.

Bertambah merah wajah Aliya yang sedari tadi menundukkan kepalanya. Bukan sahaja marah, malah rasa malu mula menambahkan bara jiwanya.

Apa salahnya sehingga harus dimalukan begini terutamanya di hadapan Shafhan dan keluarganya?

"Jadi ini sebabnya dia hadir ke sini sebagai dayang khas Shafhan. Hanya untuk mendekati anak beta?" Tanya Tuanku Shahir sambil menggenggam kedua tempat merehatkan tangan di kerusinya. Wajah Aliya dipandangnya bengis.

Permaisuri Imarah menggelengkan kepalanya kesal. Meskipun dia sudah tahu dengan cerita yang diberitahu, namun apabila melihatnya sendiri memang meruntun jiwa. Seorang gadis muda yang asalnya bersekolah pondok bersama Shafhan, kini dapat dilihat mengejar cinta buta sehingga perkara keji sanggup dia lakukan.

"Lembayung Merah... Tidak kira raja mahupun rakyatnya sama sahaja bukan, bonda?" Shahmina berbisik tanpa memandang bondanya. Dia terkilan, terkejut dan bermacam rasa lagi. 

Senyuman nipis Permaisuri Imarah berikan. "Manusia itu berbeza, jangan disamakan. Tapi apa yang Shahmina katakan itu, bonda tidak dapat nafikan." Balasnya.

"Pengawal." Suara Tuanku Shahir mula menggegarkan ruang tersebut. "Bawa Dayang Aliya itu keluar." Pintanya dengan geram yang tertahan.

Nafas dalam ditarik dalam lalu menghelanya perlahan. "Apa yang terjadi, bukan lagi atas tanggungjawab beta. Semuanya bakal bergantung di tangan pemimpin Lembayung Merah. Cik Muda Aleya, maafkan beta ya." Tuanku Shahir berkata buat kali terakhir sebelum Aliya yang cuba untuk melarikan diri ditarik kuat oleh pengawal yang menjaga.

Sebaik sahaja Aliya dibawa keluar dari ruang tersebut bersama jeritannya yang diiringi pelbagai alasan, suasana sepi mula menyapa. Akhirnya, semua yang berada di situ menghela nafas lega.

"Baiklah, selesai sudah." Raja Khaizuran menepuk tangannya umpama baru sahaja menyelesaikan satu masalah. "Jika gadis itu dibawa pulang, Putera Shafhan akan kahwin dengan siapa?" Soalnya, berterus terang. Wajahnya terlihat bongkak, bagai mempersoalkan keputusan Tuanku Shahir.

Shafhan yang tiba-tiba menjadi tajuk perbualan terus sahaja membulatkan matanya tanpa sedar. Eh, ketibaan apakah ini ingin bertanya-tanya pula tentang perihal kehidupan orang.

"Soal kahwin itu, pilihan di tangan Shafhan, duhai saudara. Beta tidak boleh memaksa apabila pemilik hati Shafhan bukan beta." Jawab Tuanku Shahir dengan senyuman kecil.

Permaisuri Imarah turut menayangkan senyuman bagi menyertai perbualan itu. Dia juga berasa tidak senang tatkala dipersoalkan begitu kerana mereka sudah punyai calon, namun belum dihebahkan lagi.

"Oh, begitu. Beta faham, Shafhan ini anak yang baik. Pasti pilihannya juga baik-baik juga." Tanpa berdalih, Raja Khaizuran berkata tenang. Tengku Aisy yang berada di sisi kirinya turut mengangguk mengiyakan.

Selepas itu, pintu istana terbuka dari arah luar dengan pantas sekali lalu menunjukkan dua orang pemuda segak tergesa-gesa melangkah ke dalam. Semua memandang hairan akan kelakuan dua pemuda itu.

"Umm, ampun tuanku beribu-ribu ampun." Tuah memulakan bicara. "Hamba meminta ampun atas gangguan ini namun pemandu kereta kuda tuanku sudah memanggil lekas."

"Dayang Aliya itu sudah menggila!" Sambung Andika tanpa memikirkan ketatasusilaan lagi. Apa yang dia tahu sekarang ini ialah, ada makhluk gila yang sedang mengamuk di dalam sebuah kereta kuda di luar istana.

Riak terkejut jelas terpapar di wajah masing-masing. Tanpa membuang masa, Raja Khaizuran, Tengku Aisy dan Tengku Aidan segera meminta diri dan lantas menuju ke luar. Hanya pengawal Angin Putih sahaja yang mengiringi mereka manakala ahli keluarga diraja yang masih berada di atas singgahsana sekadar terpana seketika.

"Hah, apa jadi?" Satu suara bergema sebaik sahaja pintu dibuka dari luar setelah keadaan tenang semula. Terjengul kepala Dayang Leha dan Pahlawan Rizman di sebalik muka pintu. Pengawal yang menjaga pintu tersebut pula terkejutnya bukan kepalang.

Rabiha dan Fazia ternganga. Sejak bila ketua dayang dan ketua pahlawan ini berada di situ. Menelinga sejak tadikah?

"Alhamdulillah." Tuanku Shahir berucap lembut. "Selesai satu perkara buat masa ini."



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Assalamualaikum sahabat pembaca hamba yang dicintai! Apa khabar semua? Sudah lama tidak hamba update huwaaa mahu nangis. Assignment berlambak, bertimbun dan menggunung apa semualah. Kesian kisah Zarina dan Shafhan ini tertangguh uhuk. ><;

Terima kasih buat yang masih membaca dan menunggu. I luv luv u so much, u know dat?! Cuti kali ni first cuti saya yang betul-betul dapat rehat and dapatlah culas satu dua hari tanpa assignment. Tapi lepas ni nak kena lari lagi dari kerajaan ini demi dunia luar sana huhu.

Awak semua, tunggu saya ya? ʕ>⌓<。ʔ

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro