Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XXIII : 23 ~👑

Matahari yang sudah kurang panasnya menandakan bahawa hari petang sudah menunjukkan diri. Pekan yang terdapat di luar kawasan istana Angin Putih hiruk-pikuk dipenuhi penduduk yang ingin membeli keperluan mereka. Di dalam kawasan taman istana pula, kelihatan sekumpulan petugas istana sedang berkumpul untuk berehat setelah seharian berkerja.

"Seandainya, seseorang itu melakukan kesalahan kepada kita, apakah yang harus kita lakukan?"

"Kita hukum dia!"

"Bukan, kita maafkan dia, Tuan Andika. Hukuman diberi jika dia betul-betul melakukan kesalahan besar. Maksud hamba di sini apabila kesalahan biasa dilakukan seperti menipu dan sebagainya. Tiada kemudaratan besar yang dibawa." Tegur Rabiha yang sedang mundar-mandir bersama buku di tangan.

Andika yang sedang duduk di atas kerusi taman berpeluk tubuh lalu mencebik. Tuah yang berada di sebelah pula tersengih janggal.

Di hujung kerusi pula, kelihatan Nafiz dan Fazia sedang berdiri manakala bertentangan dengan mereka terdapatnya Zarina dan Aryan yang sedang berbual mesra. Sekumpulan manusia itu berada di situ atas sebab tertentu.

Beberapa orang petugas istana yang melalui kawasan koridor hanya memandang hairan terhadap kumpulan tersebut. Bersama bakul kain di tangan, mereka berbual antara satu sama lain.

"Biasanya... Empat orang sahaja, bukan?" Dayang istana A menyoal.

"Benar. Dayang Ina, Dayang Rabiha, Dayang Fazia dan juga Pembantu Nafiz jika hamba tidak silap. Kadang-kadang Pahlawan Aryan akan turut serta kerana dia juga merupakan sahabat rapat Dayang Ina." Dayang istana B pula bersuara.

Persoalannya itu membuatkan setiap daripada mereka berhenti berjalan bagi memerhati ahli-ahli kumpulan tersebut.

Dayang C mengangguk laju. "Ya. Namun kali ini... Bersama Tuan Tuah dan Tuan Andika pula?" Ujarnya, sedikit hairan. Bakul kain di tangannya dibetulkan agar tidak terjatuh dari pegangan.

"Apa yang tuan hamba semua bualkan?" Aliya tiba-tiba muncul di belakang mereka dengan bakul kain seperti mereka juga.

"Berkenaan mereka." Balas Dayang B sambil melirik semula ke arah sekumpulan petugas istana tersebut. Cemburu bertandang sedikit di hati apabila mereka sedang berehat senang manakala mereka pula bertungkus-lumus menyiapkan kerja.

Dayang A menoleh ke arah Aliya dengan senyuman nipis. "Jangan salah faham, mereka tidak meninggalkan kerja. Sepertimana yang kita tahu, kini waktu rehat mereka. Dan selalunya, mereka akan membuat 'kuiz' atau teka-teki mengenai pendidikan dalam Islam." Balasnya, mesra.

Hatinya riang melihatkan kumpulan tersebut. Seandainya dia punyai peluang, dia turut ingin menyertai permainan mereka. Tidaklah membuang masa dengan perbualan kosong.

"Seronok, bukan?" Sambut Dayang C kemudian menggeleng kecil. "Ayuh kita siapkan kerja kita." Ajaknya pula lalu mula melangkah diikuti mereka yang lain.

Aliya sekadar melirik ke arah Zarina yang sedang berbual mesra bersama Aryan. Wajah jengkel ditayangkannya dalam diam.

Dayang-dayang yang melalui koridor itu dipandang Rabiha dan Fazia. Kewujudan Aliya di situ membuatkan hati mereka panas. 

"Kenapa hamba seringkali salah dalam menjawab? Apa kata hamba pula yang menyoal." Tutur Andika, tidak puas hati. Setiap kali dia menjawab soalan Rabiha, pasti jawapannya ditukas wanita itu habis-habisan.

"Itu kerana tuan hamba suka ikut kepala sendiri. Meskipun mengikul logik akal, tidak ada jawapannya di dalam pendidikan Islam. Ingat tu!" Tegur Tuah, menggeleng. Andika ini, jika tidak mengarut tidak sah.

Rabiha segera menutup buku yang dipegang lalu berpeluk tubuh. Wajah Andika dipandangnya dengan kening yang dijongketkan sebelah. 

"Baiklah, apa yang ingin tuan hamba persoalkan?" Tanya Rabiha, serius.

Andika berdiri dan dia pula yang mundar-mandir di hadapan Tuah yang sedang duduk. Jari telunjuk kanan bergerak-gerak di udara tanda dia sedang berfikir mencari soalan.

"Tentang percintaan manusia yang berlainan status, apakah mereka boleh? Mengapakah ia ditentang oleh manusia?" Soalnya dengan senyuman senget. Umpama memberi soalan cepumas kepada Rabiha, dia mendabik dada di hadapan Tuah.

Tangan kiri yang memegang buku diletakkan ke pinggang manakala tangan kanan pula mengusap dagu. Seakan-akan berfikir dengan penuh fokus, Rabiha memejamkan mata.

Fazia dan Nafiz saling berpandangan. Masing-masing menunggu jawapan Rabiha meskipun mereka berdua hanya mendiamkan diri sedari tadi.

"Sekiranya berlainan status..." Rabiha mula menyuarakan pendapatnya.

Zarina dan Aryan yang sedang berada di kemuncak perbualan kini mengalihkan perhatian mereka pada Rabiha. Dayang yang seorang itu punyai pendapat dan pegangan yang kuat, jadi jawapannya pasti menarik.

Buat Zarina pula, hatinya berdebar-debar menunggu jawapan sahabatnya yang seorang itu. Dia juga ingin tahu tentang apa yang difikirkan oleh Rabiha setiap kali dia membabitkan nama Shafhan sebagai pasangan hidupnya.

"Hmmm... Adakah cinta manusia harus dipersoalkan bersama status? Cinta kerana Allah atau kerana hawa nafsu? Jika cinta itu ikhlas daripada hati masing-masing, Allah akan hadirkan pelbagai cara untuk menemukan mereka. Walaupun ada orang tengah dan badai yang datang, dengan kuasa Allah akan termeterai juga hubungan mereka."

"Siapakah yang meletakkan syarat bahawa mereka yang berlainan status tidak boleh berada dalam percintaan dan perkahwinan? Manusia, bukan? Benar, sudah kita dinasihatkan agar kahwin sekufu agar dapat memahami dan membantu satu sama lain namun kalian tahu atau tidak apa maksud 'sekufu' itu?"

"Dari segi darjat dan pangkat? Kerjaya? Umur? Ataupun setakat rupa wajah? Cinta kerana Allah, tiada masalah."

Jawapan panjang yang hadir dari bibir mungil Rabiha mendatangkan sepi di kawasan taman itu. Masing-masing terkejut dengan jawapan tersebut yang mana menyentak tangkai hati mereka agar melihat dunia ini dengan cara yang benar.

"Subhanallah..." Gumam Andika lalu membelakangi Rabiha. Wajahnya ditutup dengan sebelah tangan namun matanya yang tidak tertutup memandang Tuah seperti meminta pertolongan.

Tuah mengerutkan dahinya. "Kenapa?" Bisiknya perlahan.

Andika menggelengkan kepalanya lalu menarik nafas panjang dan menghelanya, Hatinya berdegup pantas, seperti baru sahaja dia menamatkan satu larian panjang.

"Astaghfirullah..." Sekali lagi Andika menggumam. Kemudian, dia kembali menghadap Rabiha dan bercekak pinggang. Senyuman manis terhias di bibir. "Jawapan itu sungguh menjawab soalan hamba yang berada dalam pemikiran hamba ini. Terima kasih, Dayang Rabiha!" Ujarnya bersemangat.

Selepas melihatkan Andika yang bagaikan takjub dengan jawapannya, Rabiha tersenyum bangga. Dia mengangguk hormat bagai membalas kata-kata Andika.

"Alamak, Dayang Ina, teh!" Suara Fazia mengejutkan Zarina yang kekaguman. Segera wanita yang dipanggil menoleh.

"Teh?" Tanya Zarina kerana mindanya tidak dapat menangkap apa yang dibicarakan.

Rabiha memandang Fazia lama sebelum menepuk dahinya. "Oh iyalah... Kita mahu buat teh guna bahan baharu itu. Dayang Fazia ini, jeritannya seperti perkara serius. Nama Dayang Ina juga disebutnya." Tegur Rabiha lalu mengeluh kecil.

"Tuan Andika, Tuan Tuah dan Pahlawan Aryan, jika tidak keberatan, mahu menyertai hamba? Ada bahan teh baharu telah diimport ke Angin Putih dari Sahmura Ungu. Hamba telah diajak untuk mencubanya kerana ia dihantar khas  buat Dayang Ina oleh puteri-puteri di sana." Nafiz mengajak dengan senyuman. 

"Benar, hamba ajak mereka yang tertentu sahaja. Jika Puteri Safa tahu yang hamba berkongsi, mahu ditegur. Jadi, jangan beritahu sesiapa tahu?" Tutur Zarina bagi membenarkan kata-kata Nafiz.

Tuah, Andika dan Aryan saling berpandangan sebelum masing-masing tersenyum bahagia. Tugas mereka sibuk, bukan selalu dapat masa lepak dan lapang sebegini.

"Bolehkah? Boleh hamba tahu jenis tehnya?" Tanya Aryan, berminat.

"Boleh. Tidak silap hamba, teh yang diperbuat daripada bunga lavender." Balas Nafiz sambil memandang ke arah Fazia untuk mendapatkan kepastian. Setelah mendapat anggukan daripada Fazia, dia mengangguk pula pada ketiga-tiga insan yang diajak itu bagi menunjukkan bahawa benar apa yang diperkatakannya.

Tuah segera berdiri kemudian menarik Andika sekali agar bangkit daripada duduk. "Memandangkan tiada apa sekarang ini, baik hamba berdua menyertai tuan hamba sekalian. Beberapa jam lagi, tamat sudah perbincangan para putera maka ketika itu hamba berdua akan menjadi sibuk sekali." Ujarnya, mesra.

Rabiha, Fazia, Nafiz dan Zarina mengangguk faham. Oleh itu, mereka berempat menjadi penunjuk arah ke kawasan yang bakal dilawati mereka untuk menyediakan teh. Sementara masih mempunyai masa lapang, manis jika dihabiskan bersama sahabat untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro