👑~ XXII : 22 ~👑
"Birunya lautan sebiru Bahtera Biru,
Punyai putera jiwanya satu,
Mengapa saudara berkata begitu?
Tahukah kamu hatiku retak seribu?"
"Hidupnya diriku jauh dari keluarga,
Mencari ilmu ketenangan demi ilahi,
Cubalah tanya ayahanda dan bonda,
Apakah daku tiada kehendak sendiri?"
Tengku Hijazi sekadar menonton perbuatan Tengku Ahmed dan Shafhan yang berbalas pantun setelah Shafhan menceritakan perkara sebenar kepada mereka. Shafhan sibuk menyusun bukunya di atas meja manakala Tengku Ahmed pula merenung tajam ke arah Shafhan lalu memberikan pantun demi menyampaikan perasaannya namun terdapat pula balasannya.
"Ini bermakna, Shafhan ingin juga berkahwin dengan Dayang Ina meskipun diaturkan oleh ayahanda dan bonda kamu?" Tanya Tengku Ahmed dalam nada terkejut. Memandangkan Shafhan itu lebih muda dua tahun daripadanya, dia tidak akan meninggikan suara.
Hatinya rapuh, sedih apabila Dayang Ina kesayangannya bakal diambil oleh saudara sendiri. Sewaktu mendengar berita yang Tengku Hijazi melamar Dayang Ina itu pun sudah mampu membuatkan dia hampir luluh jantung, ini pula bakal berkahwin?!
"Hati manusia Allah yang pegang,
Namun pilihan kita menjadi caturan,
Demi cinta sanggup berperang,
Tetapi jangan sehingga salah pilihan."
Tiba-tiba sahaja Tengku Hijazi yang sedari tadi berdiam diri kini bersuara sambil memandang kedua-dua putera yang jelas lebih muda darinya itu. Shafhan dan Tengku Ahmed segera menoleh.
"Apa maksud saudara?" Soal Tengku Ahmed, keliru.
"Saya maksudkan yang hati manusia ini Allah yang pegang. Contohnya kamu, Bakhri. Kamu dicintai ramai manusia namun adakah kehebatanmu itu mampu menawan Dayang Ina? Pasti ada sesuatu yang dinilai Dayang Ina sebelum dia menolak atau menerima. Saya ini pun dia tolak, apatah lagi kamu." Jawab Tengku Hijazi, tersenyum sedikit.
Bertambah kerutan di dahi Tengku Ahmed. "Hah? Jadi saudara mengatakan yang saya ini martabatnya lebih rendah? Saudara lebih hebat daripada saya?!" Marahnya.
"Bukan begitu, adik saudaraku oi. Dayang Ina itu diam, saya ini pun pendiam. Kamu itu bising, ada ke Dayang Ina mahu? Sudahlah tidak tahu berdiam diri apabila ada perempuan di sisi. Ada saja caranya mahu memikat mereka." Tengku Hijazi memulangkan paku buah keras.
Kini, kedua-dua putera itu berbalas kata dalam nada tegas namun masih terdapatnya sopan dan hormat di situ. Jika suara sudah mula ditinggikan, haruslah Shafhan menyelit masuk. Hal ini demikian kerana, sesama mereka, mereka tidak akan menggunakan bahasa istana pekat. Jadi, petugas istana di luar akan mendengar.
"Dah, dah, shhh Bakhri! Saya nak tekankan dekat sini lagi satu, sebab cinta sahaja kita sanggup berperang. Macam kamu dengan Shafhan, macam nak bergaduh dah. Tapi nampak macam kamu yang nak bergaduhlah. Oh bagaimanapun, ayat terakhir pantun saya menyatakan bahawa jangan salah pilihan dalam mempertahankan cinta kamu. Jangan sehingga menikam orang, macam seseorang itu."
Mendengarkan kata-kata Tengku Hijazi itu, Tengku Ahmed hanya mampu berpeluk tubuh lalu bersandar pada sofa. Wajahnya dipalingkan ke arah lain lalu bibir dimuncungkan.
"Saudara Shafhan." Panggil Tengku Hijazi. Shafhan yang sedang merenung ke luar tingkap segera menoleh kerana dia hanya menelinga sahaja dari tadi.
"Apa kamu tahu yang Dayang Aliya itu seorang bangsawan Lembayung Merah?" Soal Tengku Hijazi apabila yakin bahawa perhatian Shafhan sudah penuh kepadanya.
Shafhan menganggukkan kepalanya. "Tahu. Warga Lembayung Merah... Memang begitukah saudara? Putera keduanya itu pun sanggup hadir ke kawasan hutan berdekatan semata-mata untuk menculik Dayang Aliya itu semula. Tidak mampu berbincang baik-baikkah?" Ujarnya, tidak puas hati.
Tujuan Shafhan memanggil kedua-dua saudaranya itu adalah kerana untuk membincangkan hal begini. Mereka itu rapat sewaktu kecil namun tidak lagi semenjak remaja. Apabila masing-masing sudah mendapat kedudukan untuk menjadi pemegang takhta seterusnya, pertemuan mengembalikan mereka semula demi mengeratkan hubungan silaturahim.
Kisah yang didengarinya daripada Tuah dan Andika menjadi topik bicaranya hari ini. Setelah mendapat keyakinan bahawa cerita itu hadir daripada Dayang Ina sendiri, dia telah bersedia untuk membincangkannya bersama putera yang lain.
Tengku Hijazi itu cekap manakala Tengku Ahmed itu bijak. Masing-masing punyai kehebatan sendiri yang mana amat Shafhan perlukan untuk disatukan dengan kelebihannya, berfikir sebelum bertindak.
"Lembayung Merah? Bincang baik-baik? Sukar untuk difikirkan jika benar mereka akan bincang baik-baik. Mereka itu, pantang nampak penduduk Bahtera Biru, pasti dipandang macam-macam. Mereka itu bagai api, dan kami ini pula air. Susah benar untuk masuk." Sibuk Tengku Ahmed meski palingan wajahnya masih belum dikembalikan.
"Benar... Sungguh tidak dapat dinafikan." Sokong Tengku Hijazi bagai tidak mahu menerima kenyataan. "Selain Lembayung Merah, tahu apa lagi negara berbahaya?" Soalnya pula.
Kedua-dua putera yang disoal itu mendiamkan diri. Masing-masing menggelengkan kepala tanda tidak tahu.
"Negara Sutera Kuning." Balas Tengku Hijazi lalu mengeluh perlahan. Dia yang tanya, dia yang jawab.
Sebelum berkata lagi, Tengku Hijazi memastikan sekelilingnya kosong lalu berbicara. "Sekiranya ada yang mendapat tahu bahawa Shafhan akan dikahwinkan dengan orang keramaian, pasti akan diserang warga kerabat Sutera Kuning."
"Mengapa pula?" Tengku Ahmed kini memandang kedua-dua sahabatnya itu dengan wajah pelik. Barulah dia tidak merajuk lagi.
"Seperti Kemuning Hijau, kami ada keturunan yang harus dijaga. Maka, jika berkahwin dengan rakyat biasa yang mempunyai rambut perang sekalipun, Sutera Kuning tidak akan menyerang, kerana ada hak yang harus dipelihara."
"Lembayung Merah, kahwinnya keluarga diraja sesama kerabat atau orang ternama seperti bangsawan. Disebabkan itulah Dayang- maksud saya, Cik Muda Aleya sanggup hadir ke sini semata-mata untuk mendekati Shafhan. Dengan itu, dia ada alasan untuk berkahwin dengan Shafhan atas sebab dia orang bangsawan."
"Negara lain turut ada syarat tersendiri demi memelihara kedaulatan dan kerabat mereka. Namun bongkaknya Sutera Kuning... Mereka pasti akan menyediakan mata-mata yang melihat. Jika ada perkahwinan yang berlaku antara kita ini, pasti akan dipersoal. Sangat-sangatlah busybody." Tengku Hijazi mengakhiri kata-katanya dengan gelengan kepala disertai urutan di dahi.
Tengku Ahmed dan Shafhan saling berpandangan. Ingatkan mahu bincang santai-santai, akhirnya belajar sesuatu juga.
"Kalau berkahwin dengan orang biasa... Apa jadi?" Tanya Tengku Ahmed lalu menelan air liur kesat. Dia menjadi gentar pula.
Kening dijongket, kaki disilang. Wajah yang menggerunkan ditayangkan oleh Tengku Hijazi. "Peperangan akan tercetus. Tanah negara bakal dipenuhi darah. Pahlawan dan Pendekar bakal berada di medan perang. Rakyat pula akan kehilangan banyak benda." Tuturnya serius.
Sunyi menghambat suasana. Tengku Ahmed sudah bersembunyi di sebalik bantal yang terdapat di atas sofa manakala Shafhan pula menyembunyikan wajahnya di sebalik buku yang dipegang.
"Haih, ini ke pemegang takhta seterusnya?" Bisik Tengku Hijazi pada diri sendiri.
"Tak takut, seram saja." Balas Tengku Ahmed yang mendengar.
Shafhan yang sibuk berdiri di belakang sofa kini melabuhkan punggung di sebelah Tengku Ahmed. "Mengapa penyibuk sangat? Apa masalah mereka dengan kita? Jika jodoh itu di tangan Allah, tidak kira apa pun status manusia, akan berkahwin juga, bukan?" Geram dia menyoal.
"Benar. Tetapi persoalannya, adakah Sutera Kuning itu kuat pegangannya? Selain Lembayung Merah, mereka itu lebih keras kepala. Mereka akan membuat apa sahaja demi mendapatkan apa yang mereka inginkan. Ingat, mereka itu kuatnya lebih daripada negara kita bertiga. " Balas Tengku Hijazi sambil berpeluk tubuh.
Masalah demi masalah hadir setelah memulakan perbincangan. Nampaknya, Shafhan tidak akan mendapat rehat dengan info baru ini. Bantuan saudara dan sahabatnya diperlukan jua.
Hanya kerana status dan cinta manusia, peperangan boleh berlaku begitu sahaja?
Sesungguhnya, manusia bongkak dan sombong bukan kegemaran sesiapa.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro