👑~ XXI : 21 ~👑
Munculnya Ayran yang baru sahaja keluar dari bangunan Beliung Lima ke bangsal kuda membuatkan Zarina tersenyum gembira. Pahlawan yang seorang ini sudah boleh berkerja, yang mana khidmatnya amat diperlukan buat kerajaan Angin Putih.
"Hamba lega kerana kejadian yang berlaku telah membuka mata pembuat perisai pahlawan Angin Putih. Seorang pahlawan bukan sahaja harus fokus pada apa yang ada di hadapannya sahaja malah harus melihat ke belakang jua. Kini, perisai pada tubuh tuan hamba sudah penuh dan tiada apa yang perlu dirisaukan lagi." Tutur Zarina dengan senyuman.
Aryan yang sedang bertungkus-lumus memakai kasut besinya tersengih sendiri. "Benar, hamba lega." Ucapnya lalu bangun dan mendekati Zarina. Wajah wanita yang diselamatkannya hari itu dipandang penuh redup.
"Ina, nak tanya sikit." Ujar Aryan separa berbisik sambil memandang keadaan sekeliling. "Tentang Dayang Aliya itu kan, tiada tindakankah yang bakal diambil? Saya ini sudah cedera parah. Kena tikam itu bukan sakit sikit-sikit tahu?" Soalnya pula dalam nada geram.
Wajah Zarina yang manis itu berubah kelat seketika. Namun beberapa saat kemudian, dia menarik nafas dalam sebelum menghembuskannya semula. "Jangan risau. Tuan Tuah dan tuan Andika sudah tahu cerita kita. Jika apa-apa berlaku, saya sudah ada saksinya." Balasnya dengan senyuman nipis.
"Oh ya, lupa nak tanya. Kenapa Dayang Aliya serang awak? Apa jadi sewaktu awak menghilang?" Tanya Aryan penuh keliru.
Pada waktu itulah Zarina sedar bahawa sahabatnya ini menyelamatkannya tanpa bertanya dahulu manakala dia pula lupa untuk memberitahu perkara yang sebenar. Maka, sesi penceritaan pun bermula antara mereka di kawasan bangsal yang agak sunyi itu dalam keadaan berbisik.
Hal ini demikian kerana Aryan harus mula berkerja maka, Zarina sekadar memendekkan cerita dan memberitahu perkara yang penting sahaja. Selepas mendapat reaksi daripada Aryan, Zarina mengucapkan selamat tinggal lalu membawa diri.
"Zarina ni... Dia tak perasan ke dalam cerita tu Dayang Aliya ada sebut yang Tuanku Shafhan akan dikahwinkan dengan seorang bidadari istana? Dan bidadari istana itu kan dia?" Gumam Aryan lalu menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Bangsal kuda dilangkah masuk dengan senang hati. Seekor kuda berwarna putih menjadi sasarannya yang mana merupakan miliknya sendiri.
"Duhai Jelita, rindu Aryan?" Tanya Aryan kepada kudanya lalu mengelus lembut kepala kuda tersebut. Dengusan yang hadir daripada kuda tersebut membuatkan dia tertawa sendiri.
Kuda yang dipanggil sebagai Jelita itu dikeluarkan untuk dibawa bertugas. Apabila dia mula menunggang Jelita, kuda putih itu perlahan-lahan bergerak ke pagar istana.
°°°°°°°°°°
Tengah hari menjelang, kini tugas Zarina membawa dirinya bertugas bersama emaknya di taman hadapan istana. Seperti biasa, Makcik Zakiyah akan menghabiskan masanya dengan memastikan cantasan pepohon dan anak pokok kelihatan cantik di sekeliling istana manakala Zarina pula akan menyapu segala dedaun yang memenuhi kawasan tertentu.
Dua kereta kuda yang memasuki perkarangan istana mengejutkan mereka yang berada di situ. Eh, tidak ada apa-apa perkhabaran pun tentang keluarga diraja atau bangsawan yang bakal hadir melawat?
Masing-masing tertunggu-tunggu akan insan yang berada di dalam kereta-kereta kuda tersebut. Sekiranya tetamu undangan mahupun istimewa hadir namun tiada persediaan lengkap, mereka iaitu petugas istana akan dihukum kerana cuai dan tidak mengambil tahu.
Sebaik sahaja kedua-dua pintu kereta kuda itu dibuka, masing-masing menahan nafas dan debar yang terasa di dada. Melihatkan dua pakaian diraja yang berlainan rekaan dan warnanya membuatkan mereka yang melihat terkejut bukan kepalang.
Kehadiran Tengku Ahmed Bakhri dari negara Bahtera Biru dan Tengku Hijazi Rasydan dari negara Kemuning Hijau membuatkan mereka berlari-lari melakukan apa yang harus namun Zarina langsung tidak bergerak dari tempatnya.
Apa mahu risau sekiranya tiada arahan daripada raja dan permaisuri? Sudah jelas mereka ini hadir kerana saja-saja. Namun kali ini, Tengku Ahmed hadir bersama Tengku Hijazi pula.
Zarina sudah biasa dan dia hanya membiarkan perkara itu lalu bergerak sedikit menjauh. Sekiranya dirinya diperasan, pasti ditegur.
"Dayang Ina, tuan hamba mahu ke mana itu?" Tanya Makcik Zakiyah apabila terlihat anaknya itu seperti mahu bergerak ke tempat lain. Memandangkan mereka berdekatan dengan petugas istana yang lain, bahasa istana mestilah digunakan meskipun mereka dikenali sebagai emak dan anak.
Mendengarkan sahaja soalan itu, segera dua orang putera itu mengalihkan pandangan mereka pada arah hadirnya suara tersebut. Kelibat Zarina yang dapat dilihat seperti ingin melarikan diri menggamit perhatian mereka.
"Dayang Ina~" Tengku Ahmed Bakhri sudah mula memanggil. Panggilan itu berjaya mencairkan hati para dayang yang berdekatan tetapi tidak bagi Zarina. Wanita itu sudah mula tercegat dan menahan dirinya daripada merasa meluat.
Bibirnya dicuba-cuba untuk tersenyum kemudian dia berpaling semula ke belakang. Wajah dua orang putera singgah ke penglihatannya.
"Ya?" Soal Zarina berpura-pura terkejut. "Oh, selamat datang tuan putera sekalian, jemput masuk ke dalam." Ajaknya apabila tiada seorang pun dayang berdekatan yang ingin bersuara.
Zarina melirik ke arah pengawal yang tercegat menjaga pintu. Sepatutnya, merekalah yang harus mengiringi para putera untuk masuk ke dalam. Namun, kejutan ini membuatkan semua bingung dan tidak tahu untuk membuat apa.
Secara tiba-tiba, pintu istana ditolak keluar dari dalam. Seorang jejaka tinggi yang memakai pakaian diraja serba putih melangkah keluar dengan senyuman manis.
"Saudara darah daging beta Saudara Ahmed dan juga saudara dari negara jauh Saudara Hijazi, selamat datang sekali lagi ke Angin Putih." Tutur Shafhan, tenang sekali.
Oh nampaknya, Shafhan sendiri yang mengajak mereka ke sini. Sekiranya perkara begini berlaku tanpa memberitahu kepada petugas istana, bermakna kehadiran putera-putera itu ke sini hanyalah santai, bukan kerana perbincangan antara negara.
"Tuanku, mengapa keluar sahaja tanpa memaklumkan pada hamba berdua?" Tanya Tuah yang berlari-lari keluar bersama Andika di belakangnya.
Terlihat sahaja Tengku Ahmed dan Tengku Hijazi yang memandang hairan, kedua-dua penasihat diraja itu segera membuat tunduk hormat dengan senyuman janggal. Terkejut? Ya, mereka terkejut akan kehadiran dua orang putera dari negara lain itu.
"Selamat datang Tuan Putera Ahmed Bakhri dan Tuan Putera Hijazi Rasydan." Ujar Andika sedikit kekok.
Nampaknya, Shafhan sendiri yang mengajak kedua sahabat puteranya itu tanpa memberitahu sesiapa pun. Entah-entah, ayahanda dan bondanya sendiri juga tidak tahu akan perkara tersebut.
"Saudara menjemput kami berdua hadir ke sini tanpa memberitahu warga istana? Ini benar-benar kejutan!" Kata Tengku Ahmed, kagum. Dia tertawa kecil kerana perkara seperti itu tidak pernah diperlakukan oleh mana-mana keluarga diraja agar tidak menakut-nakutkan para petugas istana.
Tengku Hijazi pula sekadar tersenyum kecil. Kini barulah dia tahu, mengapa semuanya berwajah pucat sewaktu mereka berdua turun dari kereta kuda masing-masing. Para pengawal yang menjaga juga tercegat berdiri tanpa berkata apa-apa.
"Hahaha, tuan putera tidak suka gempur-gempar kerana nanti keadaan istana bakal jadi kucar-kacir. Tuan Putera Ahmed Bakhri dan Tuan Putera Hijazi Rasydan pasti juga tahu serba sedikit tentang Tuan Putera Shafhan yang agak..." Tuah berkata bagi pihak Shafhan namun membiarkan ayatnya tergantung.
"Pendiam. Ya, kami tahu benar tentang itu." Sambung Tengku Hijazi lalu tertawa pula.
Apabila diletakkan sebagai pusat perhatian, Shafhan sudah mula malu-malu kucing. Dia benar-benar berasa malu kerana dia turut sedar dengan perwatakannya itu.
"Jadi saudara Shafhan, mahu membiarkan kami berdua tinggal di luar ini sahaja?" Tengku Ahmed sengaja berkata dalam nada comel bagi menambahkan rasa bersalah Shafhan dan ya, perbuatannya itu berjaya sekali.
Serta-merta Shafhan menarik tangan kedua-dua sahabat puteranya itu agar masuk ke dalam. Tengku Ahmed sudah tertawa besar manakala Tengku Hijazi pula tersenyum lebar. Mereka jarang sekali bertemu dengan Shafhan maka mereka kurang berpengetahuan tentang putera yang seorang itu. Tetapi apabila melihatkan gayanya itu, mereka berasa sungguh terhibur.
Tuah dan Andika meneliti setiap petugas istana yang memandang lalu mengangguk perlahan bagi menandakan mereka berdua akan mengambil alih dan warga istana yang lain sudah boleh meneruskan kerja masing-masing. Selepas itu, kedua penasihat diraja itu menoleh pula ke arah Zarina lalu tersenyum kecil.
Meskipun sedikit hairan dengan perbuatan istimewa itu, Zarina membalas senyuman tersebut dengan manis sekali.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro