👑~ XVIII : 18 ~👑
Matahari menjengah bumi, menyinari seluruh kawasan istana kerajaan Angin Putih. Keriuhan kawasan istana mula terasa apabila para petugas, pekebun, dayang dan pengawal istana mula mengambil tempat bagi melakukan kerja masing-masing.
Dua orang penasihat diraja kelihatan sedang melangkah longlai ke pejabat putera mereka. Kedua-duanya bagaikan tiada semangat malah seringkali menguap panjang. Sebaik sahaja mereka tiba di kamar tugas milik Shafhan, putera sulung itu memandang mereka dengan riak terkejut.
"Kenapa dengan wajah... Kalian berdua?" Soal Shafhan apabila yakin bahawa hanya mereka bertiga sahaja yang ada di situ.
"Mampus, mampus, mampus." Ucap Tuah di bawah nafasnya bagaikan sedang berzikir. Lantas bahunya ditepuk oleh Andika agar dia tersedar daripada mindanya sendiri.
Renungan tajam Andika berikan buat Tuah. "Kot ya pun, istighfar! Apa pula cakap benda yang tidak berfaedah." Tegurnya dalam gaya berbisik supaya tidak didengari Shafhan.
"Tapi... Aku yang cadang Dayang Aliya untuk ikut kita ke sini. Aku bersalah." Balas Tuah sedikit keras namun masih dalam bisikan.
"Yalah, tapi bukan salah kau. Kita semua tak tahu dia tu siapa." Tegur Andika.
Maka, dua orang penasihat diraja itu berbisik sesama sendiri di hadapan putera mereka. Apa lagi, Shafhan segera berdiri lalu menepuk bahu mereka berdua.
"Apa bisik-bisik ni, hah? Ada buat salah ya?" Soal Shafhan dalam nada menggerunkan.
Serta-merta Tuah dan Andika membetulkan postur mereka. Dengan tubuh yang tegak, mereka membuat tabik hormat meskipun terketar-ketar. Segera Shafhan melepaskan pegangannya dengan kerutan yang jelas di dahi.
"Apa yang dah jadi ni?" Pelik Shafhan bertanya sebelum kembali duduk di atas kerusi miliknya itu. Kedua-dua wajah sahabatnya itu ditenung.
Tuah dan Andika tidak menjawab malah hanya memandang satu sama lain. Masing-masing gusar akan info yang didapati mereka malam semalam.
"Kalian berdua ini, gemar sungguh berbual tanpa libatkan aku! Sewaktu di rumah hijau hari itu pun aku masih tidak faham akan perihal yang kalian ceritakan. Sudah, duduk sini! Buka mulut cepat!" Arah Shafhan, geram. Bibirnya yang sentiasa berzikir itu diketap perlahan.
Dengan ketakutan yang menyelubungi diri, Tuah dan Andika segera mengambil tempat di hadapan Shafhan. Perbuatan mereka itu mengundang senyum di bibir putera itu.
Nampaknya, akan ada informasi yang dapat dia jejak.
°°°°°°°°°°
Zarina duduk di kamar rawatan itu sambil merenung ke luar jendela. Terlihat para petugas istana sedang bertugas sambil berinteraksi riang dengan satu sama lain. Dia tersenyum nipis apabila teringat akan nasib dirinya yang telah digantung kerja buat sementara atas kesalahan yang tidak dibuatnya sama sekali.
Masih ingat ketika kamar mandi milik Shahmina dipenuhi lumpur? Ya, Zarina masih digantung kerja dalam tempoh yang diberikan. Namun, dia masih mempunyai peluang untuk mengangkat sidaian kain pada hari semalam atas permintaan sahabat-sahabatnya itu.
Tidak lama kemudian, dia tertawa sendiri. Dia sudah redha, kerana apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Biarlah dia dicemuh, difitnah, namun selagi akan dia usaha untuk pertahankan diri, dia masih ada Allah di sisi.
Kini, dia dapat berehat dengan tenang meski ditemani sakit yang tidak diminta.
'Sakit itu penghapus dosa. Aku kena kuat! Sebab aku masih ada yang percaya dengan aku.' Getus hatinya. Matanya tidak lepas daripada memandang ke luar dan melihat segala gelagat rakan setugasnya.
Tidak lama kemudian, dia kembali berpaling ke arah belakang. Kawasan tidurnya ditutupi langsir putih, namun dia tahu bahawa Aryan berada tidak jauh darinya.
"Aryan..." Sebutnya perlahan. Jejaka itu sudah sedarkan diri namun, dia banyak melelapkan mata untuk kembali sembuh. Kadangkala, Zarina dapat mendengar rungutan sahabatnya itu apabila kesakitan mencucuk diri.
Kejadian yang terjadi mula menyinggah mindanya. Tanpa membuang masa, Zarina segera menggeleng laju dan menepuk pipinya kuat. Dia tidak mahu mengingati perkara itu, kerana dia harus kuat demi Aryan.
Sebuah novel yang terletak bersama novel-novel lain Zarina capai dari atas meja yang berada di sebelah katilnya. Novel itu dipeluk kuat.
"Cinta hatiku, apakah yang akan kau lakukan tatkala kau bersedih?" Soalnya sendiri seperti berkata-kata dengan watak novelnya itu.
Dia segera menyelak beberapa muka surat untuk mencari jawapan. Meski siri novel itu sudah dihabiskan, akan tetap dia setia dengan ia yang telah membawa kegembiraan dalam hidupnya.
Sebaris ayat menarik perhatian Zarina yang mana membuatkan gadis itu tersenyum diselangi titisan air mata. Bagaikan menjawab persoalannya, buku itu dipeluk erat sekali lagi.
'Jangan bersedih kerana Allah ada. Carilah kegembiraan dalam kalimah-kalimahnya.'
°°°°°°°°°°
Aliya berjalan di dalam kawasan istana itu sesuka hatinya. Walaupun begitu, penyapu tetap berada di tangan menunjukkan bahawa dia masih dalam aktiviti kerja.
"Mana Tuah dan Andika ini?" Dia bertanya kepada diri sendiri. Entah apa sebab pencariannya, tiada sesiapa yang tahu.
Setelah kejadian yang berlaku itu sedikit reda, Aliya sudah boleh melakukan tugas seperti biasa. Setiap kali dia bersua muka dengan petugas istana yang lain, dirinya pasti ditegur bagi menanyakan tentang khabarnya.
Oh, pastilah baik dan sempurna apabila riak traumanya itu hanya satu pura-pura!
"Ada nampak Dayang Aliya?" Satu suara menjengah pendengarannya. Segera Aliya menyembunyikan diri di sebalik dinding.
"Hmm, tidak nampaklah pula, Dayang Leha. Mengapa ya?" Balas seorang dayang berambut panjang. Aliya memicingkan mata bagi melihat dan mendengar perbualan dua orang dayang itu.
Dayang Leha menggaru kepalanya kemudian membuat lambaian kecil. "Oh, tidak ada apa-apa. Dia itu seharusnya berada di bangunan Beliung Lima, tetapi hilang pula tiba-tiba." Jawabnya pula.
"Mungkin ke tandas? Jangan risaulah Dayang Leha, Dayang Aliya itu baik." Ujar dayang yang berambut panjang itu dengan penuh yakin.
"Tidak seperti Dayang Ina itu. Talam dua muka."
Aliya membuat mimik mulut seiring dengan kata-kata dayang berambut panjang tersebut. Ya, mereka menyebutnya dengan serentak tetapi di tempat yang berasingan.
Kini, senyuman lebar terhias di bibir Aliya. Inilah yang dimahukannya. Kepercayaan yang teguh oleh warga istana ke atas dirinya. Jika diteruskan begini, dapatlah misinya dijayakan tanpa sebarang batas dan halangan.
"Tuan hamba ini...." Suara Dayang Leha membantutkan angan-angan Aliya. "Tidak baik berkata begitu, tahu? Dayang Ina itu sudah lama bersama kita dan sudah banyak kebaikan si dia yang dapat kita lihat. Jangan berkata sebarangan kerana Dayang Aliya itu masih baru, belum ada kepastian bahawa dia akan tetap begitu." Tuturnya keras. Tidak lama kemudian, dia meninggalkan dayang tersebut bagi menyambung tugas.
Penyapu yang berada di tangan Aliya genggam kuat-kuat. Sungguh, hatinya panas mendengarkan kata-kata ketua dayang itu.
Dayang Ina itu, Dayang Ina ini. Bukan setakat di dalam istana sahaja nama wanita itu disebut, malah di seluruh negara lain. Bosan dan rimas! Itu yang dirasakannya.
Oleh itu Aliya bertekad, dia akan cuba membuang kepercayaan Dayang Leha terhadap wanita itu dan dialah yang akan dipandang tinggi oleh petugas istana Angin Putih. Biarlah dia dapat duduk di sini buat sementara waktu, selagimana matanya dapat dicuci dengan kehadiran putera Shafhan yang tinggal dekat dengannya.
Inilah yang sering dikatakan apabila hati sudah mempunyai cemburu dan hasad, haruslah kita tinggalkan cepat-cepat. Sekiranya dibiarkan, akan ia makan dalaman dan menghitamkan hati kita sedikit demi sedikit.
°°°°°°°°°°
Assalamualaikum tuan hamba semua! Sekali lagi, hamba memohon maaf atas kelewatan. Sibuk yang teramat sampai tak sempat nak tulis. Tidak mengapa, sem akan habis tidak lama lagi. Sikit sahaja lagi. Doakan hamba ya!
Terima kasih kerana setia bersama HTBL. Sayang semua! Jaga diri baik-baik ya. (◍ ˃̵͈̑ᴗ˂̵͈̑)
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro