👑~ XVII : 17 ~👑
Langit kelam meliputi seluruh negara Angin Putih. Burung hantu berbunyi riang, menghiasi suasana tengah malam. Sebuah lorong sunyi di bangunan beliung lima, bergemanya dendangan malam di kawasan tersebut.
"Dayang Rabiha..." Suara Fazia perlahan kedengaran di lorong itu. Berdirinya dua orang dayang berdekatan dengan bilik rawatan sambil bersandar pada dinding. Masing-masing meletakkan kedua-dua belah tangan di belakang manakala kepala pula ditundukkan ke bawah.
Rasa bersalah mula menjalar di hati. Perasaan kecewa dan sedih turut bercampur baur. Sungguh, mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan oleh mereka.
Apakah Zarina yang bersalah? Tidak mungkin. Wanita itu bersahabat dengan Aryan sejak kecil lagi. Masakan seseorang sanggup menikam sahabat mereka sendiri tanpa alasan yang munasabah?
"Apa yang harus kita lakukan sekarang?" Tanya Fazia apabila Rabiha tidak menjawab panggilannya. Air mata kelihatan bertakung pada tubir matanya.
Rabiha menggigit bibir. Penyesalan memaut tangkai hati, kerana dia umpama menyalahkan Zarina sewaktu mereka tiba di tempat kejadian. Ketika itu, tembok kepercayannya bagaikan rapuh akibat tangisan bersungguh-sungguh oleh Aliya.
Tidak akanlah Aliya, seorang dayang muda dan baru sahaja berkerja di istana, sanggup melakukan perkara yang sebegitu?
"Hamba rasa, Dayang Aliya terlibat dalam kejadian itu. Satu patah pun tidak kita dengari dari mulut Dayang Ina. Jika tiada bukti yang kukuh, kita tidak boleh menuduh sebarangan." Tutur Fazia selepas kesunyian mengambil alih sekali lagi. "Hati hamba kuat, mengatakan bahawa Dayang Ina langsung tidak bersalah." Sambungnya.
Keluhan kecil dilepaskan oleh Rabiha sebelum dia mendongak memandang siling. "Ya, hamba juga memikirkan perkara yang sama. Ayuh kita tunggu sehingga dayang Ina sedar dan sihat, akan kita tanya soalan yang terbuku di hati." Balasnya, lembut.
"Lagi pun, tiada kata pembuangan kerja hadir dari pihak kerabat diraja. Permaisuri Imarah yang menziarahi Dayang Ina semalam pun tidak mengatakan apa-apa. Baginda hanya tersenyum, melihat raut wajah Dayang Ina dengan penuh kasih sayang." Ujar Rabiha lagi dengan senyuman nipis. Riak lega mula terhias pada wajahnya.
Fazia turut tersenyum lalu mengangguk setuju. Hatinya juga kuat mengatakan bahawa Zarina tidak akan melakukan apa-apa yang akan mencederakan Aryan.
Sedang mereka berdua berbual di situ, bunyi pintu bilik rawatan dibuka menarik perhatian mereka. Kelihatan seorang wanita bertudung bersama sehelai kain menyelimuti tubuhnya melangkah keluar. Dia melihat keadaan sekeliling dengan gaya yang sangat mencurigakan. Sebaik sahaja matanya bertembung dengan dua pasang mata yang lain, dia segera menarik nafas bising.
"Dayang Ina?!" Serentak Rabiha dan Fazia bersuara di situ. Bertambah-tambah terkejut si Zarina yang baru sahaja ingin mencuri keluar dari bilik itu.
"Dayang Rabiha? Dayang Fazia? Mengapa tuan hamba berdua berada di sini?" Soal Zarina sambil membetulkan kedudukan selimutnya itu. Matanya membulat melihatkan kedua-dua makhluk yang sungguh tidak disangkanya untuk berada di situ.
Suasana menjadi sepi seketika sebelum tangisan kuat hadir daripada Fazia yang meluru laju ke arah Zarina. Dia memeluk kuat sambil menangis teresak-esak tanpa berkata apa-apa. Zarina yang kelu dengan perbuatan itu, hanya membalas pelukan tersebut dengan kekok sekali.
Pada mulanya, Rabiha sekadar menonton namun selepas Zarina menghulurkan tangannya, Rabiha segera menyertai sesi berpelukan itu. Sungguh, hatinya berasa lega tatkala melihat Zarina yang mampu berdiri seperti biasa. Kejadian senja tadi sungguh meruntun hatinya.
Wajah Zarina yang sedikit pucat namun masih mengukir senyuman itu ditatap mereka berdua. Lega. Itu yang dirasakan mereka. Selepas menunaikan solat Isya' sebentar tadi, mereka segera menuju ke sini bagi meluangkan masa berdekatan dengan bilik rawatan. Untuk masuk mereka tidak berani, maka mereka hanya duduk di luar sahaja.
"Dayang Ina baik-baik sahaja? Ada merasa sakit di mana-mana? Mengapa berani sungguh keluar seorang diri malam-malam buta begini?" Bebel Rabiha sambil menepuk lembut bahu sahabatnya itu. Fazia yang berada di sebelah hanya tertawa geli hati.
Zarina tersengih bagaikan kerang busuk. Sebaik sahaja dia sedar daripada lena, dia terus melihat sekeliling bagi memahami apa yang telah terjadi. Terus sahaja mindanya menangkap perkara yang berlaku dari awal sehinggalah ketika dia jatuh tidak sedarkan diri. Melihatkan itu, dia segera bangkit dan berjalan keluar tanpa memikirkan apa-apa.
"Hamba.... Tidak tahu pun yang waktu sudah larut malam. Jika begitu, izinkan hamba ambil angin luar. Di dalam tidak enak, bau ubat." Balas Zarina dengan lembut.
"Wah, wah, wah. Tadi jatuh sehingga tidak sedarkan diri. Sekarang ini, badan panas macam cerek ada hati mahu berjalan keluar lagi? Tuan hamba ini, ambil ilmu saka dari negara mana ya?" Tanya Fazia dalam nada tidak puas hati. Matanya langsung melihat keadaan Zarina dari atas sehingga bawah. Wajah pucat dan sedikit kemerahan bagai orang sakit, tetapi berjalan dan berdiri seperti sihat sahaja.
Segera Zarina menggelengkan kepalanya. "Ha, elok sangatlah berkata begitu malam-malam begini. Dayang Fazia, Angin Putih ini banyak mistiknya. Jangan disebut-sebut." Ujarnya dalam nada misteri sebagai jenaka. Lantas Fazia bersembunyi di belakang Rabiha.
Keluhan perlahan Rabiha lepaskan. Dia segera menarik tangan kedua-dua sahabatnya itu dan melangkah dari kawasan tersebut ke kawasan yang lebih luas. Dihiasi cahaya bulan, taman kosong di belakang istana menjadi tempat duduk mereka. Kesejukan yang mencengkam tubuh dibiarkan kerana itulah sifat malam, membawa kedamaian sepi.
"Mengapa tuan hamba membawa kami ke sini?" Fazia menyoal hairan. Namun, dia tidak lepas daripada bermain dengan bunga-bunga yang menghiasi taman tersebut. Zarina dan Rabiha pula mengambil tempat di sebuah kerusi panjang berdekatan.
"Aih, sudah lupa? Pertama sekali, kerana Dayang Ina mahu mengambil angin malam. Kedua, bukankah kita ingin menyoal siasat Dayang Ina? Banyak bukan yang harus ditanyakan?" Jawab Rabiha, sedikit keras. Aduhailah Fazia, pelupa betul.
Maka dengan itu, Fazia pantas berlari lalu mengambil tempat di sebelah Zarina dan memeluk wanita itu dengan kuat. Zarina yang tidak tahu apa-apa sekadar melihat Rabiha dengan riak terkejut.
"Dayang Ina, hamba harap tuan hamba boleh terima dengan soalan hamba ini. Hamba berdua ingin bertanya, apakah yang telah berlaku petang tadi?" Rabiha bertanya dalam nada tenang. Tangannya perlahan memegang kedua-dua belah tangan Zarina seperti menyalurkan kekuatan.
Zarina mendiamkan diri seraya menggigit bibirnya. Kepalanya ditundukkan ke bawah bagi mencari ayat yang sesuai untuk diberikan kepada dua sahabat ini. Dia tidak keruan. Adakah harus dia memberitahu tentang itu?
"Harus dan wajib, Dayang Ina!" Ucap Fazia bagaikan dapat membaca fikiran Zarina. "Tuan hamba itu terlalu baik. Jika terlalu baik, akan dipijak kepala. Dan sekiranya dipijak kepala, akan jadi sebeginilah! Lihat, sahabat hamba sudah tercedera pun masih mahu berdiam dan menyembunyikan hal sebenar lagi?" Bebelnya di situ.
Fazia melepaskan pelukannya terhadap Zarina lalu berdiri dan bercekak pinggang. Pipinya dikembungkan sebagai tanda marah.
Walaupun sedikit kasar bicaranya, Rabiha tetap menganggukkan kepalanya tanda setuju. Zarina turut merasai bisa kata-kata itu yang mana berjaya menyelinap ke dalam hatinya. Benar apa yang diperkatakan Fazia, kebenaran mesti diberikan tidak kiralah pihak mana yang akan tersakiti sekalipun.
Aryan sudah tercedera! Sahabat yang telah berjanji untuk sehidup semati. Peneman sejak kecil yang sudah memegang ikatan untuk berjumpa di syurga nanti. Wallahi, bersahabat kerana Allah, tidak akan memberikan kemusnahan meskipun sekali.
"Setuju." Balas Zarina perlahan namun dapat didengari oleh dua wanita itu. "Tapi hamba berdua kena terima, terhadap apa yang akan hamba perkatakan. Kes ini berat dan akan menimbulkan syak-wasangka kerana tuan hamba ialah sahabat hamba. Jika hamba ceritakan pada tuan hamba, segala yang tertumpah pada hamba akan tercalit juga pada tuan hamba berdua." Sambungnya lagi dalam nada serius.
Rabiha dan Fazia saling berpandangan sebelum mengangguk yakin. Mereka sudah bertekad, apa yang keluar daripada mulut Zarina tidak pernah sekali tipu dan dusta. Andai benar, hanya Allah sahaja yang tahu kebenarannya.
"Sewaktu hamba mencari kain itu..."
"Sekejap! Nak join boleh?" Satu suara asing memotong kata-kata Zarina.
Pap! Mulut sang perbicara ditutup kuat oleh sahabatnya. Dua pemuda yang tiba-tiba hadir di situ membuatkan Zarina, Rabiha dan Fazia terkejut yang teramat.
"Mereka itu warga istana, dayang pula itu! Jaga percakapan. Kita masih dalam istana!" Bisik Tuah dengan kuat sementara tangannya menutup mulut Andika. Si Andika pula bersungguh-sungguh cuba untuk melepaskan diri.
Rabiha berdiri daripada duduk lalu menundukkan kepala sedikit sebagai tanda hormat. "Tuan Tuah dan Tuan andika, mengapa tuan hamba berdua berada di sini? Bukankah penasihat putera harus berada di sisinya?" Tanya Rabiha, sopan sekali.
Andika menarik tangan Tuah dengan kuat lalu mencebik kecil. "Benar duhai Dayang Rabiha namun, jika 24 jam berada bersama Tuan Putera Shafhan akan menyusahkan baginda juga." Balasnya kemudian melabuhkan punggung di kerusi panjang yang terletak bertentangan dengan kerusi yang diduduki oleh Zarina dan Fazia.
"Hamba berdua, hanya meronda kawasan." Jelas Tuah, tersenyum nipis. "Lagi pun, kami sempat mencuri dengar sedikit. Maafkan kami tetapi... Melihatkan Dayang Ina sudah sedar dan berada di sini, bolehkah untuk kami menyertai perbualan?" Pintanya sesopan mungkin. Matanya dilarikan ke arah lain kerana malu.
Rabiha tidak terus menjawab. Dia menoleh ke arah Zarina dan Fazia terlebih dahulu bagi meminta pendapat. Setelah mendapat anggukan daripada kedua-duanya, baru dia memberikan kebenaran buat dua penasihat diraja itu.
Akhirnya, bertempatlah tiga orang wanita dan dua orang pemuda di kawasan taman tersebut. Selain daripada bertentang mata dengan satu sama lain, bunyi burung hantu turut menemani mereka di situ.
Zarina memejamkan mata lalu menarik nafas dalam. Buat seketika, dia menghela nafas perlahan dan membuka matanya. Wajah para pendengar dipandangnya seorang demi seorang.
"Baiklah, sila dengar dan hadam."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro