Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

👑~ XLVIII : 48 ~👑

Memotong segala ranting dan daun-daun yang tidak rata, Makcik Zakiyah mengeluh perlahan, memandang semak-semak di hadapannya itu. Kepalanya serabut memikirkan pelbagai perkara. Sejak pernikahan Zarina berlangsung tempoh hari, hatinya terasa tidak enak.

"Petualang Zainal sudah lama tidak menjenguk kita ya?" Soal Dayang Leha yang kebetulannya berada di situ bersama dayang tua tersebut. Wanita tersebut sedang asyik meluangkan masa rehatnya di jalan masuk istana yang dipenuhi pokok-pokok kecil yang enak dipandang.

"Sibuk dengan urusannya di luar sana barangkali. Sejak Zarina sudah disatukan, tugasnya dalam pelayaran bertambah. Semua orang mahu ada hubungan dengannya secara tiba-tiba." Balas Makcik Zakiyah dalam nada menyampah. Dia tahu suaminya orang yang berkaliber dalam menjaga diri sendiri namun dia turut risau apabila kali ini suaminya itu akan berlayar jauh-jauh dari tanah air.

Dayang Leha menghela nafas perlahan. Dia duduk di sebuah kerusi batu dan melihat saja setiap pergerakan Makcik Zakiyah. Benar, dia sememangnya ketua kepada semua dayang namun dia tidak akan menegur perbuatan Makcik Zakiyah yang sedang melakukan tugasnya ala kadar.

Dia faham, banyak perkara yang telah pun berlaku dan bakal berlaku, dia sedar akan perkara itu. Perbincangan yang telah mereka lakukan sebelum ini sudah membuatkan dia bersedia. Hanya dia, Pahlawan Rizman dan Cik Muda Nina serta keluarga kerabat sahaja yang tahu tentang perkara ini.

Angin Putih sedang bersedia untuk berperang.

Bukan dia tidak tahu bahawa Lembayung Merah dan Sutera Kuning itu sudah lama menantikan saat ini, hanya menggunakan soal perkahwinan Tuan Putera Shafhan sahaja sebagai asbab. Mereka memang sukakan perang namun tiada pencetus untuk aktiviti ini. Apabila sudah ada pencetusnya, mereka tidak akan melepaskan peluang.

"Ina nampak aneh sekarang ini. Dia seperti sedang menyimpan sesuatu dan setiap gerak-gerinya tidak segembira dahulu." Tutur Makcik Zakiyah, meluahkan isi hatinya.

"Adakah Tuan Putera Shafhan...?" Dayang Leha mula bersuara.

Makcik Zakiyah lantas menoleh ke arah dayang muda itu dengan satu renungan tajam. Dayang Leha terkedu di situ. "Bukan. Bukan Shafhan. Baginda anak yang baik. Hamba syak Aryan, bukan menantu saya." Jawabnya keras.

Menelan liur kesat, Dayang Leha mengangguk faham. "Hamba cakap saja." Cepat-cepat dia membetulkan tindakannya. "Mungkin ada sesuatu yang hamba berdua tidak tahu yang perlu disiasat, betul tidak?" Soalnya pula, berpura-pura tidak tahu.

Dia yakin, Zarina sudah mendapat berita tentang perkara besar yang bakal berlaku itu.

Anggukan sekali Makcik Zakiyah berikan sebelum dia kembali melakukan tugasnya agar dapat mengalihkan perhatiannya pada perkara lain. Dayang Leha pula lekas bangkit dan menuju ke dalam istana semula.


°°°°°°°°°°


Shafhan memerhatikan isterinya buat sekian lama. Wanita itu seperti tidak dapat duduk diam. Di dalam khutubkhanah pun wajahnya berkerut-kerut seperti sedang memikul sesuatu yang berat. Tangannya seperti mahu mengusap dahi Zarina agar kerutan itu hilang dan mengembalikan wajah cantik isterinya itu.

"Ina." Panggil Shafhan lembut yang mana membuatkan Zarina kembali ke alam realiti. "Apa yang dinda risaukan?" Dia bertanya.

Zarina menundukkan pandangannya ke buku yang berada di atas meja. Pandangan mata Shafhan yang penyayang itu membuatkan dia serba-salah. Hatinya tidak tenang setelah mendapat berita yang Aryan akan meninggalkan Angin Putih semata-mata untuk pergi berperang.

Bukan itu sahaja, dia telah pun melukakan hati sahabat baiknya sendiri dengan kata-katanya. Bak kata orang, kerana mulut badan binasa. Kini kata-katanya tidak dapat ditarik balik. Itulah, kata-kata itu tajamnya lebih daripada pedang.

Dan dia telah menikam hati sahabatnya itu dan sedang meninggalkan darah pada tangannya sendiri.

"Kanda, betulkah kita akan berperang?" Tanya Zarina, sedikit teragak-agak. Pandangan matanya diangkat ke wajah Shafhan yang masih tidak berubah riaknya.

Hanya keluhan perlahan putera itu lepaskan. Dia mencapai tangan Zarina yang terletak di atas meja. Belakang tangan isterinya itu diusap-usap menggunakan ibu jari. Matanya terlihat sedih, seperti menahan sakit yang dalam.

"Siapa sahaja yang mahu berperang dengan saudara sendiri, sayang?" Shafhan berkata dalam nada yang menenangkan agar tidak menakutkan Zarina. "Jika bukan kerana provokasi dan paksaan, perang tidak akan sekali Angin Putih sertai. Namun demi kesejahteraan negara, ayahanda harus masuk campur."

"Jika tidak, satu negara kita akan diserang agar mereka dapat menguasai kita dan hidup di bawah undang-undang mereka. Tiada apa yang boleh kita lakukan melainkan ada cara lain yang boleh kita lalui." Sambung Shafhan lagi.

Mata Shafhan Zarina tenung dalam-dalam untuk mencari sebarang penipuan atau ketakutan. Namun suaminya itu masih terlihat tenang, seperti memaksa dirinya mencari ketenteraman agar tidak bertindak mengikut emosi.

"Adakah Aryan akan ikut sekali?" Tanya Zarina.

"Kanda tidak akan paksa. Aryan juga seorang sahabat yang baik dan memahami, kanda juga tidak mahu dia tinggalkan kita. Tapi itu pilihan dia, dia berhak memilih. Jika dia mahu pergi, biarkan. Jika dia mahu tinggal di sini, tidak mengapa. Dia tidak melakukan sebarang kesalahan." Shafhan menjawab sambil menguatkan pegangan tangannya pada Zarina. Wanita itu menunduk kesal, kata-katanya pada Aryan bermain pada mindanya seperti kaset rosak.

"Ina, esok pergi jumpa dia. Mereka akan bergerak ke damai Kundang sebelum matahari terbit sepenuhnya demi persediaan. Pahlawan Rizman sudah mula memberi arahan dan mengetatkan disiplin mereka. Jumpa dia selagi boleh dan minta maaf." Pesan Shafhan dengan senyuman.

Selepas itu, dia bangkit dari duduknya dan mengambil segala buku yang disepahkan di atas meja demi menyusunnya semula pada rak buku. Dia melintasi meja bagi mendekati Zarina. Kepala wanita yang dilitupi tudung itu dikucupnya perlahan. "Kanda pinta diri dulu ya. Ada hal yang perlu diselesaikan bersama bonda dan ayahanda." Katanya lalu meninggalkan khutubkhanah.

Zarina terpana di situ seketika sebelum wajahnya memerah. Kepalanya diusik seketika kemudian senyuman kecil mula terbit di bibirnya. 

Dia tekad, dia akan berjumpa dengan Shafhan dan meminta maaf dengannya. Tapi sebelum itu, dia harus membocorkan rahsia ini pada sahabat-sahabatnya yang lain terlebih dahulu.


°°°°°°°°°°


"Apa?!" Jerit Fazia di taman istana pada petang itu. Rabiha terlihat dalam dunia sendiri, mengusap-usap dadanya bagi menenangkan diri. Nafiz pula terganga, terkerdip-kerdip matanya memandang Zarina dengan riak tidak percaya.

"Sutera Kuning negara bod-" Belum sempat Fazia menghabiskan kata-katanya, Rabiha lantas menekup mulut sahabatnya itu agar bahasa kesat itu tidak disebut dalam kawasan istana. Jangan suka hati hina negara lain kerana akan menjatuhkan martabat warga istana yang berkhidmat untuk istana jika ada yang mendengar.

Zarina yang bercerita dengan penuh bersemangat sambil berdiri lekas terduduk di atas kerusi. Kepalanya direhatkan pada tangannya yang diletakkan ke atas peha. Masing-masing terpempan dengan berita itu dan sedar bahawa tiada apa yang mereka dapat lakukan untuk menghentikannya.

"Saya akan ikat Aryan pada tiang istana." Ujar Nafiz suka hati.

"Kalau kita jumpa dia." Sahut Rabiha dengan gulingan anak mata.

"Dia lagi kuat daripada awak, jangan haraplah nak ikat dia macam tu saja." Sibuk Fazia pula menyampah.

Zarina sekadar menjulingkan matanya ke atas. Sahabat-sahabatnya ini, tidak serius langsung. Ada sahaja yang mahu dikatakan bagi meringankan suasana.

"Tapi apa yang Tuan Putera Shafhan katakan itu betul, kita tidak boleh menahan Aryan daripada berbuat apa-apa. Dia empunya diri, dia ada hak. Kita hanya boleh doakan dia dan menyokong dia dari jauh. Apa yang akan berlaku sudah tertulis buatnya. Aryan akan baik-baik sahaja Zarina, jangan risau." Rabiha berbicara memandangkan dia sahaja yang kini berfikir secara logik.

Perlahan-lahan, Zarina mengangguk faham. Dia sudah sedar bahawa apa yang dia lakukan sebelum ini salah. Dia sudah menimbulkan perasaan tidak enak pada Aryan terhadap kerja dan tanggungjawabnya sendiri. Ya Allah, berdosanya dia.

"Esok saya akan jumpa dia sebelum mereka berangkat ke Damai Kundang." Zarina membalas.

"Sampaikan salam kami pada dia." Pinta Rabiha dengan senyuman. Fazia dan Nafiz pula terangguk-angguk setuju.

Membalas senyuman itu, Zarina berjanji untuk menyampaikan salam mereka pada Aryan. Dia berdoa agar Allah memberikannya kesempatan masa untuk memohon maaf pada Aryan. 

Sutera Kuning dan Lembayung Merah, semoga engkau ditimpa kifarah yang besar. Tasik Kelabu, sekiranya engkau turut berkomplot, semoga negara engkau hancur sehancurnya. Angin Putih, Kemuning Hijau, Bahtera Biru dan Sahmura Ungu, menanglah engkau di jalan Allah dan dikurniakan segala kekuatan daripada Ilahi.

Zarina berdoa semampunya.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro